Showing posts with label Transformasi Sektor Awam. Show all posts
Showing posts with label Transformasi Sektor Awam. Show all posts

Saturday, November 21, 2015

Agensi Kerajaan Perlu Rancang Program Transformasi Menjelang Akhir Tahun Ini - KSN

KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) -- Setiap kementerian dan agensi kerajaan perlu merancang program transformasi masing-masing menjelang akhir tahun ini, bagi menambah baik mutu perkhidmatan awam.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa pada masa sama, berharap lebih banyak lagi cadangan baharu serta penambahbaikan akan dibuat.

"Transformasi dalam kerajaan telah dimulakan secara perintis oleh dua jabatan besar iaitu Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan dan dilihat banyak penambahbaikan dilakukan," katanya dalam rancangan Bual Bicara Bernama TV, di sini malam ini.

Beliau percaya program transformasi yang dilaksanakan akan memberi penjimatan bukan sahaja dari segi kewangan tetapi keperluan penjawat awam di sektor yang lebih diperlukan.

"Kita lihat terdapat beberapa tugas yang kurang relevan dan mungkin kita perlu meletakkan semula penjawat awam di tempat lebih diperlukan, dan itu sedang kita laksanakan," katanya.

Mengulas mengenai integriti penjawat awam, Ali tidak menafikan terdapat isu berkaitan salah laku seperti rasuah memandangkan kakitangan sektor awam mencecah 1.61 juta orang, namun perlu sentiasa ada tindakan untuk menanganinya.

"Bukan senang hendak kawal, tetapi usaha diambil untuk memberi pengetahuan mengenai integriti cara tadbir urus dan sebagainya semasa menjalankan tugas," katanya.

Selain itu, beliau berkata kerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga dipergiatkan bagi membendung masalah tersebut.

Ketika menjawab pertanyaan seorang pemanggil yang meminta penjelasan berhubung peranan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan di dalam agensi kerajaan, beliau berkata ia berfungsi sebagai badan pengawas untuk memantau aktiviti tidak sihat dalam kalangan penjawat awam.

"Semua agensi perlu dipantau supaya berjalan dengan lancar, tidak ada masalah. Suruhanjaya itu boleh melihat jika terdapat kelemahan yang boleh ditambah baik," katanya.

Dalam pada itu, Ali berkata Ketua-Ketua Perkhidmatan Awam ASEAN akan menyerahkan Deklarasi bersama Putrajaya hasil pemukiman yang diadakan pada 17 Nov lepas, di Cyberjaya.

Pemukiman itu merupakan inisiatif oleh perkhidmatan awam Malaysia sempena peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2015, di mana sebanyak tiga program khas diadakan kepada perkhidmatan awam ASEAN dari 16 hingga 19 Nov lepas.

"Pertama ialah pemukiman Ketua-Ketua Perkhidmatan Awam ASEAN, Sukan Perkhidmatan Awam dan Persidangan Inovasi Perkhidmatan Awam ASEAN," katanya.

Ali berkata deklarasi berkenaan dijadual untuk diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) esok.

Deklarasi bersama itu memfokuskan enam perkara utama - Tadbir Urus Baik dan Integriti; Kerjasama Teknikal; Reformasi Sektor Awam dan Penyampaian Perkhidmatan; Amalan Baik Kawalselia; Kecekapan, Akauntabiliti dan Tatacara Keterlibatan; serta Jaringan Antarabangsa, Perkongsian dan Persidangan ASEAN mengenai Keutamaan Perkara-Perkara Perkhidmatan Awam.

-Bernama.

Thursday, May 21, 2015

RMK11: Usaha Rasionalisasi Sektor Awam

KUALA LUMPUR, 21 Mei (Bernama) -- Merasionalisasikan sektor awam, mewajarkan saiz perkhidmatan dan memperkenalkan dasar pemisah personel berprestasi rendah merupakan antara usaha yang akan dilaksana kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).

Langkah itu bertujuan menjadikan perkhidmatan awam berfokuskan rakyat disokong dengan bakat yang lebih berkemahiran, kurang lapisan hirarki dan birokratik, kurang pemusatan kerja serta perkhidmatan lebih mudah dicapai, cekap dan berkesan untuk rakyat.

Menurut dokumen RMK11 2016-2020 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat, Khamis, sektor awam akan memperkenalkan pendekatan kreatif dan inovatif untuk meningkatkan kualiti sistem penyampaian.

Kerajaan akan memperkenalkan beberapa langkah transformasi dengan tumpuan beralih ke arah tadbir urus bersama rakyat dengan meningkatkan pemahaman berkaitan keutamaan rakyat dan melibatkan mereka dalam perancangan dan penyampaian perkhidmatan.

Prosedur birokrasi yang menghalang fasilitasi penyampaian perkhidmatan awam cekap akan dipermudah, data dimanfaatkan sepenuhnya, pertindanan dikurangkan dan akauntabiliti ditingkatkan.

Laporan itu menyebut kerajaan akan beralih daripada peranan sebagai penyedia perkhidmatan dengan memberi lebih penekanan kepada peranan sebagai fasilitator.

Bagi mencapai matlamat ini, di bawah RMK11 yang merupakan rancangan untuk tempoh lima tahun dari 2016 hingga 2020, lima bidang fokus dikenal pasti untuk mentransformasikan perkhidmatan awam.

Selain itu, pengurusan projek akan ditingkatkan untuk mencapai keputusan lebih baik dan cepat serta memanfaatkan pihak berkuasa tempatan menyediakan perkhidmatan berkualiti pada peringkat tempatan.

Di bawah setiap bidang fokus tersebut, laporan RMK11 itu menggariskan secara terperinci strategi yang akan dilaksana seperti mengurangkan kerenah birokasi, menyusun semula institusi sektor awam dan mengurangkan pertindanan peranan.

Model penyampaian dan perkhidmatan baharu ini membolehkan kerajaan melaksanakan pembaharuan dan pengukuhan supaya operasi menjadi lebih kos efektif dan kerajaan lebih bersedia memenuhi permintaan dan harapan rakyat menjelang 2020 dan seterusnya.

-Bernama.

Friday, November 28, 2014

Setiap Penjawat Perlu Faham Dengan Jelas Transformasi Perkhidmatan Awam - KP JPA

KANGAR, 24 Nov -- Setiap penjawat awam perlu memahami dengan jelas transformasi sektor awam supaya matlamat yang ditetapkan tercapai, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (JPA) Tan Sri Mohd Zabidi Zainal.

Beliau berkata transformasi juga untuk meningkatkan integriti, keberkesanan dan kelicinan sistem penyampaian, dinamik dan berjiwa rakyat serta menambah nilai perkhidmatan awam.

Dalam pada itu, Mohamad Zabidi berkata, "Isu-isu membabitkan agensi-agensi tertentu ibarat 'nila setitik rosak susu sebelanga' telah merosakkan seluruh perkhidmatan awam.

Sebagai contoh, katanya, isu tanah runtuh dan pendatang asing tanpa izin di Cameron Highlands telah menyebabkan persepsi negatif terhadap perkhidmatan awam di kalangan rakyat timbul.

"Persepsi negatif ini perlu diubah dengan memenuhi kepercayaan dan harapan rakyat terhadap perkhidmatan awam sebagai tiang seri kerajaan yang memerintah," katanya.

Mohamad Zabidi berucap merasmikan program 'Semarakkan Transformasi dan Jelajah #myGST4U' peringkat negeri Perlis di Dewan 2020 di sini, Isnin.

Setiausaha kerajaan Perlis, Romli Dai serta wakil CUEPACS dan agensi-agensi kerajaan persekutuan dan negeri turut hadir.

Sebanyak 20 booth mempamerkan perkhidmatan kerajaan termasuk mengenai Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP).

"Jabatan-jabatan kerajaan hendaklah bertindak sebagai satu pasukan. Kena buat koordinasi, tidak boleh bertindak sendiri, malah pemikiran juga kena berubah. Inilah transformasi sebagai satu pasukan.

"Apabila pendekatan ini dilaksanakan, masalah tidak cukup anggota tidak akan berlaku. Kita juga mesti responsif dan memberi yang terbaik kepada rakyat," tambahnya.

Menurutnya program tersebut bagi membolehkan JPA dan agensi-agensi lain menyebar luas agenda dan dasar-dasar kerajaan mengenai CBP serta menjawab keraguan atau pertanyaan mengenainya.

Mohamad Zabidi berkata program itu yang telah dibuat di Perak, Kedah dan Sabah menunjukkan kefahaman penjawat awam semakin meningkat berdasarkan maklum balas positif hasil sesi soal jawab, forum dan pameran yang diadakan.

"Sekiranya penjawat awam boleh bertindak sebagai jurucakap dengan menerangkan kepada ahli keluarga dan rakan-rakan mereka, akan berlaku kesan berganda yang memberi impak besar mengenai dasar yang dilaksanakan kerajaan terutama berkaitan CBP," katanya.

Beliau menambah Perlis adalah negeri pertama melaksanakan Lab Transformasi dengan kerjasama pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri bertujuan memberi pendedahan mengenai transformasi perkhidmatan awam kepada semua penjawat awam.

Katanya, program sama akan diadakan di Johor Baharu pada 2 Dis depan.

-Bernama.