Showing posts with label KSU. Show all posts
Showing posts with label KSU. Show all posts

Tuesday, December 6, 2016

Ab Ghaffar Dilantik KSU Baharu Kementerian Pelancongan Dan Kebudayaan

PUTRAJAYA, 6 Dis (Bernama) -- Datuk Ab Ghaffar A Tambi dilantik sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan mulai 5 Dis, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa hari ini.

Ab Ghaffar, 59, yang sebelum ini adalah Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan), Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, menggantikan Tan Sri Dr Ong Hong Peng yang bersara wajib, katanya dalam satu kenyataan.

"Beliau berpengalaman luas dalam bidang pengurusan pentadbiran, pengurusan perolehan dan pembangunan menerusi karier perkhidmatan," katanya.

Ab Ghaffar, yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sosiologi/Sejarah (Kepujian) dari Universiti Malaya, telah berkhidmat dalam perkhidmatan awam lebih 35 tahun dengan menyertai perkhidmatan Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 1981.

"Pengalaman, pengetahuan dan kredibiliti yang dimilikinya akan membolehkan beliau melaksanakan tanggungjawab ini dengan berkesan.

"Beliau juga mampu meneruskan misi Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan dalam memacu sektor pelancongan dan kebudayaan serta memperkasa, memulihara dan memelihara seni, budaya dan warisan negara," kata Ali.

Pada masa sama, Ali turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan bagi pihak kerajaan kepada Ong atas segala sumbangan dan khidmat bakti beliau kepada perkhidmatan awam dan negara selama lebih 35 tahun.

-Bernama.

Friday, November 2, 2012

280,000 penjawat awam dapat naik gaji maksimum


IPOH 1 Nov. - Semakan kenaikan gaji tahunan sehingga lima peratus bagi sektor awam bermula tahun depan hanya melibatkan kira-kira 280,000 orang atau 20 peratus daripada 1.4 juta kakitangan kerajaan yang telah mencapai tangga gaji maksimum tahun ini.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman berkata, perkara itu memandangkan kumpulan berkenaan yang sepatutnya menerima lonjakan gaji dalam sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) kembali menerima tangga gaji maksimum selepas pelarasan gaji sebanyak 13 peratus ekoran pembatalan sistem itu.

Keadaan itu tambah beliau, menyebabkan gaji mereka menjadi statik sekiranya tiada kenaikan pada 2013 sedangkan penjawat awam lain akan menerima kenaikan tahunan seperti biasa sepanjang tempoh interim Sistem Saraan Malaysia (SSM) sehingga skim baharu yang menyeluruh dirangka kelak.

"Perkara ini dinyatakan sendiri Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ali Hamsa yang menjelaskan kenaikan itu bukan melibatkan sektor awam secara keseluruhannya.

"Namun, kita menyambut baik usaha kerajaan ini kerana prestasi kerja golongan berkenaan akan terjejas sekiranya mereka tidak menerima kenaikan gaji pada tahun depan," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas perasmian Mesyuarat Agung Dwi Tahunan Kesatuan Pekerja-pekerja Lembaga Air Perak (LAP) oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir, di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ali semalam bahawa kerajaan akan mengkaji semula skim gaji penjawat awam termasuk kenaikan tahunan sehingga lima peratus bermula tahun depan.

Kajian itu dibuat bagi membantu penjawat awam menangani masalah kos hidup yang semakin meningkat.

Omar berkata, CUEPACS juga akan mengadakan perbincangan dengan kerajaan berhubung isu itu pada minggu depan.

"Tidak semua penjawat awam akan menerima kenaikan gaji sehingga lima peratus. Kita perlu bincang siapa yang akan dapat maksimum lima peratus dan siapa akan dapat dua peratus," katanya.

Mengulas berhubung kumpulan berkenaan, beliau berkata, mereka terdiri daripada semua peringkat daripada Gred 1 hingga Gred 54 dan ada antara mereka mempunyai tempoh perkhidmatan selama 10 dan 20 tahun lagi.

"Ada yang berkhidmat 10, 15 dan 20 tahun tetapi tidak naik gaji kerana sudah maksimum. Kalau sekarang mereka dapat kenaikan 13 peratus tetapi pada tahun depan sudah maksimum kembali," ujarnya.
-utusan/maa.

Monday, November 28, 2011

Jawatan JUSA, Turus akan diubah

KUALA LUMPUR 27 Nov. - Skim jawatan utama atau premier perkhidmatan awam, peringkat JUSA dan Turus akan diubah suai bagi membolehkan kepakaran luar termasuk dari sektor swasta diambil masuk.

Dengan cadangan itu bermakna, mana-mana pekerja sektor swasta yang berminat mengisi Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) dari JUSA C dan sehingga ke peringkat tonggak, Turus boleh berbuat demikian.

Utusan Malaysia difahamkan, jawatan yang terbabit boleh menjangkaui sehingga ke kedudukan Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan Ketua Setiausaha (KSU) sesebuah kementerian.

KSU yang berada dalam kategori JUSA tertinggi dan Turus adalah sama seperti Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat korporat.

Bagaimanapun tidak diketahui sama ada pengisian jawatan-jawatan tertinggi itu akan mengambil kira kouta berdasarkan kaum.

Satu taklimat kepada pegawai-pegawai peringkat utama dan ke atas telah dilakukan oleh pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) minggu lalu.

Difahamkan ia adalah sebahagian daripada program transformasi dalam perkhidmatan awam. Di bawah program itu Skim Saraan Malaysia (SSM) akan diganti dengan Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SSBPA).

Menurut satu sumber, di bawah sistem baru itu, kemasukan kakitangan untuk kategori itu akan dilakukan secara lateral.

Buat sementara, difahamkan lima buah kementerian telah dikenal pasti untuk dilaksanakan kaedah itu.

Dalam pada itu, Utusan juga difahamkan di bawah program itu, kesemua KSU akan dikehendaki meletak jawatan dan memohon semula secara kontrak. Prestasi mereka akan dinilai dalam tempoh kontrak tersebut.

Dalam proses ini, menurut sumber itu, pihak dalam dan luar daripada perkhidmatan awam juga boleh memohon untuk mengisi jawatan tersebut.

-Utusan Online/maa.