Tuesday, October 25, 2016

Konvensyen Majlis Bersama Jabatan (MBJ), Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia

Majlis Pelancaran Konvensyen Majlis Bersama Jabatan (MBJ), Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia bersama Y.Bhg. Tan Sri Dr. Ong Hong Peng, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia.


Majlis Bersama Jabatan (MBJ) ialah sebuah medium dua hala, di mana Pihak Pekerja diberi saluran untuk berkomunikasi dengan Pihak Pengurusan dalam menyuarakan pendapat, pandangan serta menyumbang idea-idea yang bernas demi kepentingan dan kebaikan organisasi.

-MOTAC facebook.

Saturday, October 22, 2016

Bajet 2017: Kelayakan pinjaman perumahan, pembelian motosikal penjawat awam dinaikkan

KUALA LUMPUR 21 Okt. - Kelayakan pinjaman perumahan untuk penjawat awam dinaikkan daripada serendah RM120,000 kepada RM200,000 manakala pinjaman paling tinggi pula daripada RM600,000 kepada RM750,000.


Selain itu, kerajaan memutuskan bahawa had pinjaman pembelian motosikal untuk penjawat awam akan dinaikkan daripada RM5,000 kepada RM10,000.
Malah, kemudahan pembiayaan untuk pembelian komputer diperluaskan meliputi pembelian telefon pintar dengan had pinjaman sehingga RM5,000 untuk setiap tiga tahun.
- utusan online.

Bajet 2017 Beri Lebih Banyak Peluang Kepada Penjawat Awam

KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) -- Bajet 2017 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini disifatkan sebagai bajet yang menyejahterakan rakyat dan memberi lebih banyak peluang kepada penjawat awam.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) Kamarozaman Abd Razak berkata penjawat awam terutamanya kumpulan pelaksana menerima manfaat yang besar daripada bajet kali ini.

"Keputusan kerajaan untuk memanjangkan kemudahan cuti belajar bergaji penuh dengan biasiswa kepada kumpulan pelaksana adalah manfaat yang besar kepada mereka kerana sebelum ini kumpulan pelaksana berhadapan dengan kekangan kewangan untuk melanjutkan pengajian mereka," katanya ketika dihubungi Bernama.

Pada pembentangan Bajet 2017 itu, perdana menteri mengumumkan kemudahan cuti belajar dengan gaji dibayar penuh bersama biasiswa dipanjangkan kepada kumpulan pelaksana.

Kemudahan tersebut sebelum ini hanya diberikan kepada penjawat awam di dalam Kumpulan Pengurusan dan Profesional iaitu dari Gred 41 dan ke atas.

Mengenai harga Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia yang dijual pada kadar 20 peratus di bawah harga pasaran, beliau berkata langkah tersebut menjadikan harga rumah lebih terkawal.

"Melalui langkah itu, penjawat awam akan mendapat pinjaman perumahan dengan lebih mudah. Walaupun kerajaan menaikkan had kelayakan pinjaman, ia tidak membawa sebarang perubahan sekiranya harga rumah turut sama meningkat".

Kamarozaman turut menyambut baik langkah kerajaan melanjutkan perkhidmatan pegawai 'Contract of Service' dan 'Contract for Service' selama setahun yang menurutnya meredakan keresahan pegawai-pegawai kontrak yang masih belum mendapat pekerjaan lain.

Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (Cuepacs) Datuk Azih Muda berkata kerajaan buat pertama kalinya telah menunaikan tuntutan Cuepacs untuk memberi lebih peluang kepada kumpulan pelaksana.

"Cuepacs telah lama mencadangkan kepada kerajaan untuk memberikan kemudahan Cuti Belajar Bergaji Penuh dengan biasiswa kepada kumpulan pelaksana dan cadangan itu telah diterima dalam bajet kali ini," katanya.

Beliau turut mengalu-alukan langkah kerajaan menaikkan had pinjaman perumahan penjawat awam dari RM120,00 kepada RM200,000 dan dari RM600,000 kepada RM750,00 yang disifatkan langkah sangat bagus kerana melaluinya para penjawat awam kini berpeluang untuk mendapatkan semula kelayakan pinjaman perumahan mereka.

Dalam pada itu, Azih turut berharap agar ketua-ketua jabatan dalam sektor perkhidmatan awam tidak membuat keputusan di luar pengumuman perdana menteri mengenai pelanjutan perkhidmatan pegawai kontrak selama setahun.

-Bernama.

Wednesday, September 14, 2016

Cadang pemandu kenderaan kerajaan dikecualikan Kejara, AES - Azih


PUTRAJAYA 14 Sept. - Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mencadangkan, diwujudkan satu klausa pengecualian kepada pemandu kenderaan kerajaan daripada dikenakan tindakan pemotongan mata demerit apabila Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (Kejara) dan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dijalankan serentak nanti.

Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, pelaksanaan serentak dua sistem itu akan memberi kesan kepada lebih 50,000 pemandu kenderaan kerajaan yang ada ketikanya terpaksa memandu melebihi had kelajuan ditetapkan atas faktor kepentingan urusan kerajaan.

Pemandu kenderaan polis, ambulans, bomba serta menteri antara yang tidak terkecuali dalam pelaksanaan sistem Kejara dan AES apabila dilaksanakan kelak.

Azih berkata, pemandu kenderaan kerajaan adalah tertakluk kepada tugasan seperti terlibat dalam operasi, mengejar penjenayah, menghantar pesakit atau terpaksa bergegas dari beberapa lokasi dalam masa yang singkat.

"Apabila kamera AES mengesan kenderaan dipandu melebihi had, pemandu terbabit secara automatik akan disaman, dikenakan pemotongan mata demerit Kejara yang mungkin pada akhirnya lesen memandu mereka digantung jika jumlah kesalahan mencapai 20 mata seperti ditetapkan," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di sini hari ini.

Azih berkata, keadaan sedemikian bukan sahaja merugikan pemandu malah memberi kesan kepada penugasan kementerian, jabatan atau agensi kerajaan kerana mereka yang terbabit mungkin tidak boleh melakukan tugasan lain kerana jawatan hakiki mereka adalah sebagai pemandu.

Kebimbangan serta cadangan mewujudkan klausa pengecualian kepada pemandu kenderaan kerajaan antara yang dibangkitkan delegasi CUEPACS dalam pertemuan tertutup mereka dengan Ketua Pengarah JPJ, Datuk Nadzri Siron selama sejam di ibu pejabat JPJ di sini.

Ditanya reaksi Ketua Pengarah JPJ terhadap cadangan berkenaan, Azih berkat,a Nadzri mengambil maklum mengenainya serta menjelaskan perincian lanjut perlu dilakukan kerana pelaksanaan kedua-dua skim tersebut masih baharu di negara ini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai pada Januari lepas dilaporkan berkata, dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan jalan raya, AES dan Kejara akan dilaksanakan serentak selewat-lewatnya pada Mac.

Menurutnya, pelaksanaan tersebut bukan bertujuan mendenda pemandu, sebaliknya penguatkuasaan AES dan Kejara merupakan satu daripada cara berkesan dalam mengurangkan nahas jalan raya.
-utusan/BERNAMA.