Thursday, May 2, 2013
Jumlah 1.42 juta kakitangan awam tepat, mencukupi
KUALA LUMPUR 1 Mei - Jumlah penjawat awam seramai 1.42 juta orang ketika ini merupakan saiz yang sangat tepat atau mencukupi buat negara, kata Ketua Setiausaha Negara (KSN) Datuk Seri Dr. Ali Hamsa.
Bagaimanapun, katanya, bilangan itu perlu ditambah pada masa depan berdasarkan kepada permintaan terhadap perkhidmatan awam yang semakin meningkat khususnya dalam bidang tertentu.
"Sekarang kita guna konsep re-deployment atau pindahkan kakitangan daripada jabatan yang mempunyai lebihan pekerja ke jabatan yang sangat memerlukan.
"Bagaimanapun re-deployment ini tidak boleh dilakukan selamanya, sebab itulah kita perlu tingkatkan pengambilan penjawat awam pada masa akan datang," katanya dalam wawancara khas Bersama KSN yang siarkan di TV1 sempena dengan Hari Pekerja hari ini.
Selain itu, Ali yang menerajui perkhidmatan awam sejak 24 Jun 2012, berkata secara keseluruhannya beliau berpuas hati dengan pencapaian dan prestasi yang ditunjukkan penjawat awam di seluruh negara terutama menerusi konsep turun padang yang diperkenalkannya.
"Selain dapat maklum balas bagaimana untuk perbaiki perkhidmatan awam, konsep turun padang ini juga dapat merakyatkan perkhidmatan awam dan program ini akan diteruskan," katanya.
Ali turut meminta penjawat awam supaya bekerja dengan gigih, cepat serta berintergriti untuk memajukan negara dan ekonomi dalam usaha Malaysia mencapai status negara maju dalam tempoh tujuh tahun lagi.
-bernama/utusan.
Labels:
KSN,
Penjawat Awam
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment