Thursday, May 2, 2013
Naik gred ikut tempoh khidmat
PELABUHAN KLANG 30 April - Kerajaan sedang menimbang untuk memperkenalkan kenaikan gred berdasarkan time-based bagi penjawat awam di jabatan tertutup seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Jabatan Imigresen.
Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr. Ali Hamsa berkata pertimbangan itu selepas mengambil kira kenaikan gred dalam kalangan penjawat awam di sektor berkenaan agak perlahan berbanding jabatan lain.
"Kalau ikut skim kenaikan pangkat sedia ada, ramai (pegawai dari jabatan tertutup) akan pencen pada tahap gred 48. Saya telah nyatakan perkara ini kepada Perdana Menteri dan ini akan dibawa untuk pertimbangan jawatankuasa Kabinet.
"Bagi pegawai berprestasi tinggi kalau boleh sebelum pencen sekurang-kurangnya gred 54 untuk lepasan ijazah dan untuk kakitangan sokongan kita juga akan perkenalkan time-based promotion mengikut kategori masing-masing," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja di Wisma Kastam Selangor di Pulau Indah, di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Khazali Ahmad dan Pengarah Kastam Selangor, Badaruddin Mohamed Rafik.
Ali berkata, konsep kenaikan gred berdasarkan tempoh perkhidmatan itu akan memberi motivasi yang lebih kepada anggota penguat kuasa untuk menjalankan tugas dengan cemerlang selain menghargai sumbangan mereka kepada negara.
Selain itu, beliau berkata, kerajaan juga akan mempertimbangkan cadangan untuk memperkenalkan skim insurans khusus bagi anggota penguat kuasa beruniform memandangkan mereka sentiasa terdedah kepada ancaman semasa bertugas.
"Tugas penguatkuasaan selalu diancam pihak tidak bertanggungjawab dan saya ada menyatakan kepada semua ketua jabatan bahawa mereka perlu meningkatkan tahap keselamatan penjawat awam kita dan keluarga mereka," katanya.
Sementara itu ketika mengulas penyebaran khidmat pesanan ringkas (SMS) berhubung arahan daripada Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan yang kononnya meminta pegawai kerajaan tidak bekerja lebih masa, Ali berkata, perkara tersebut dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab yang berniat ingin memperlekehkan peranan penjawat awam di Malaysia.
Katanya, adalah perkara biasa bagi pihak Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan mengeluarkan pekeliling pentadbiran keselamatan untuk mengingatkan penjawat awam betapa pentingnya mereka menjaga keselamatan khususnya kerahsiaan dokumen.
"Tetapi saya nampak ada pihak tidak bertanggungjawab cuba spin (arahan pekeliling ini) dengan mengedarkan SMS. Saya rasa itu tidak elok, jangan bawa penjawat awam dalam perkara yang mereka nak perlekehkan dalam negara," katanya.
Ali percaya penjawat awam bijak membuat keputusan sendiri dan tidak akan mudah terpedaya dengan perbuatan pihak-pihak yang cuba memutarbelitkan perkara itu.
Terdahulu, Khazali semasa berucap pada majlis berkenaan mengutuk sekeras-kerasnya pihak yang bertanggungjawab dalam pembunuhan kejam Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman dan Cukai Dalam Negeri) Datuk Shaharuddin Ibrahim pada Jumaat lepas.
Beliau berharap kejadian itu tidak akan mematahkan semangat warga kastam untuk terus menjalankan tugas dengan penuh integriti.
"Kita sangat terasa kehilangan Allahyarham, yang sangat berkaliber dan berdedikasi dalam menjalankan tugasnya. Ketika ditanya pemberita adakah saya takut, saya jawab kalau pegawai penguat kuasa takut maka siapa yang nak diharapkan untuk memikul tanggungjawab yang diberi oleh kerajaan.
"Justeru, sama-samalah kita pastikan pengorbanan Allahyarham tidak sia-sia dengan bekerja penuh tanggungjawab serta penuh keimanan," katanya.
-bernama/utusan.
Labels:
Kenaikan Gred,
KSN,
Penjawat Awam,
time-based
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
Tourism Malaysia juga adalah agensi tertutup dan patut diberikan kenaikan gred berdasarkan time-based bagi semua pegawai-pegawainya. Tourism Malaysia mestilah pro-aktif akan perkara ini dalam menghantar permohonan terus kepada KSN. Sekian.
Post a Comment