Perutusan
Yang Dipertua
Kesatuan Pekerja-Pekerja LPPM, Semenanjung
Malaysia
Bilangan 2/2013
Sempena Sambutan Hari Pekerja, 1 Mei 2013
Salam Sejahtera, Salam 1Malaysia,
Rakan-rakan
sekerja sekelian,
Di kala ini, kita
terlalu kerap mempersoalkan tentang hak dan kepentingan masing-masing dalam
organisasi yang satu ini. Tourism Malaysia selaku tempat punca rezeki untuk
kita menyara anak dan isteri telah menjadi suatu tempat yang misteri. Kerap
juga kita disogok dengan harapan dan dongengan semata-mata untuk dijadikan picu
supaya terus cekal memandu industri ke tempat yang lebih tinggi. Kini, setelah
40 tahun menabur bakti, Tourism Malaysia ternyata masih teguh berdiri, kukuh serta
terus didukungi oleh sekelian warga pekerja dari pelbagai generasi. Jika
dilihat dari satu sudut intrepretasi, ini pasti satu pencapaian yang berprestasi
tinggi.
Saban tahun statistik
ketibaan pelancong ke Malaysia menggambarkan kejayaan yang tidak disangkal sama
sekali. Kejayaan demi kejayaan bersilih ganti sehingga tidak putus kata puji
dari dalam mahupun di luar negeri. Lantaran dari itu, tidak hairanlah jika semua
pihak berasa layak untuk berdiri sama tinggi, berkongsi persepsi malah
berebut-rebut pula untuk bergambar bersama Menteri.
Secara jujur, Kesatuan
melihat perkara-perkara tersebut sebagai satu kronologi singkat yang melentur
kekuatan organisasi ini supaya terus disegani. Pada masa yang sama, Kesatuan
tidak lupa berharap agar pembangunan dan peningkatan organisasi ini akan selari
dengan perlaksanaan kepentingan kumpulan pekerja, khususnya warga kumpulan
sokongan di Tourism Malaysia. Sudah sampai masanya untuk kita diberi perhatian
dan pengiktirafan yang sama banyak dengan kumpulan di jawatan yang tinggi.
Tidak perlu menjadi dungu untuk bercerita tentang gaji. Kesatuan hanya ingin
menyentuh perkara-perkara yang berkaitan peluang peningkatan kerjaya serta
kemudahan-kemudahan lain yang layak diberi.
Sebagai contoh, Kesatuan
mahu kekosongan jawatan diisi tanpa kompromi. Baru-baru ini, sebanyak 5 jawatan
E38 diberi kenaikan pangkat ke E41. Seharusnya kekosongan jawatan tersebut
diisi dengan kadar yang segera supaya pergerakan boleh terlaksana dengan
lancar. Kesatuan berpendapat
bahawa perkara ini perlu diberi perhatian yang tinggi oleh BSMP demi menjamin
keharmonian di kalangan pekerja terutamanya kita yang berada di kumpulan
sokongan. Kesatuan faham jika BSMP tidak mampu untuk memberikan peluang itu
kepada semua, namun, sekurang-kurangnya 10 orang daripada kami akan dapat
menikmati kenaikan tersebut. Sehubungan itu, Kesatuan akan berjuang demi
memberikan hak berkenaan kepada kita di kumpulan sokongan. Pastinya,
jawatan-jawatan lain di pelbagai peringkat gred juga akan diberi perhatian,
khususnya gred-gred jawatan B, C dan D.
Kesatuan akan cuba
sedaya upaya untuk menarik perhatian pihak yang berwajib berkenaan isu
tersebut. Apa yang kami harapkan ialah sokongan dan semangat yang positif di
kalangan warga Kesatuan supaya setiap perjuangan yang kami cuba bawakan tidak
akan dipandang ringan oleh BSMP dan pihak pengurusan tertinggi.
Bersempena sambutan Hari
Pekerja pada kali ini, Kesatuan dengan penuh dedikasi akan cuba sehabis baik
untuk mengupas isu-isu serta cadangan dan pandangan semua pihak. Hubungan baik
Kesatuan dengan pihak CUEPACS baru-baru ini telah membuka lembaran yang unik
sekaligus menjanjikan sesuatu yang istimewa. Kami dengan penuh pengharapan agar
semua tunjuk ajar dan sokongan YBhg. Datuk Hj Omar Osman, Presiden CUEPACS akan
membantu peningkatan pencapaian Kesatuan Pekerja-Pekerja LPPM (Tourism Malaysia)
di masa yang terdekat ini. Untuk makluman semua, Kesatuan telah menyuarakan
beberapa perkara kepada beliau termasuk isu waran perjawatan yang telah
dikelirukan sama sekali oleh pihak-pihak tertentu. Kami berasa berterima kasih
dan bersyukur kerana usaha kami telah mendapat respon yang positif dari pihak
CUEPACS dan Y Bhg. Datuk Hj Omar sendiri.
Bagi merealisasikan
hak-hak warga pekerja, satu program bersama CUEPACS untuk diadakan di Tourism
Malaysia sedang diperincikan. Harapan kami agar mendapat kerjasama warga
Kesatuan sekelian. Semoga lawatan CUEPACS melalui program berkenaan akan
membuka lebih banyak peluang kepada kita.
Rakan-rakan sekerja
sekelian,
Jika tuan/ puan
perhatikan, beberapa mantan Yang Dipertua Kesatuan telah pun kembali bertugas di
ibu pejabat. Sukacita saya maklumkan bahawa pengalaman mereka ini semua akan
menjadi sumber inspirasi kepada diri saya sendiri agar memberikan yang terbaik
kepada Kesatuan. Semoga segala tunjuk ajar akan dapat dimanfaatkan ke arah yang
menguntungkan kumpulan pekerja. Pada masa yang sama, Kesatuan juga komited
untuk bekerjasama dengan Kumpulan P & P bagi melihat isu-isu kumpulan
pekerja secara yang menyeluruh. Kami berharap agar wakil Kumpulan P & P
juga akan mengambil sikap yang proaktif dan selari dengan susur perjuangan
Kesatuan.
Demi menyambut Hari
Pekerja pada tahun ini, Kesatuan ingin menyeru seluruh warga pekerja, khususnya
para ahli Kesatuan untuk sentiasa bantu-membantu dalam segala bidang termasuk
mengekalkan bentuk hubungan yang lebih harmoni dan erat sekaligus meningkatkan
silaturrahim di antara kita. Kesatuan percaya bahawa perkara tersebut akan
mewujudkan kejayaan di dalam diri kita sendiri serta organisasi yang dicintai
ini.
Akhir kata, Kesatuan ingin
bermohon agar komitmen Y.Bhg. Dato’ Ketua Pengarah terhadap kebajikan kumpulan
pekerja tidak akan luntur malah, bertambah segar dalam mengimbangi
keperluan-keperluan yang wajar. Kesatuan berasa amat yakin bahawa sinar baru yang
kita nantikan akan terbit tepat pada masanya.
Sepertimana harapan dan
doa kami sebelum ini, Kesatuan masih percaya bahawa bentuk kepimpinan yang adil
dan bersifat prihatin sahaja yang akan memelihara organisasi ini. Semoga ianya
terlaksana.
Rakan-rakan sekerja
sekelian,
Kesatuan akan sentiasa
bersama anda. Itu ialah janji. Semoga Hari Pekerja pada tahun ini akan memberi
peluang dan ruang yang luas kepada kita semua agar menjadi yang terbaik.
Sekian terima kasih,
(HASRIZAL MUHAMMAD SHAWAL TUKIJAN)
Yang Dipertua
Kesatuan
Pekerja-Pekerja
Lembaga Penggalakan
Pelancongan Malaysia
Semenanjung Malaysia.
3 comments:
Jika pihak pengurusan terus bercadang untuk 'trade-off' jawatan kumpulan sokongan seperti E38 alan mengakibatkan ketidak-seimbangan yang membebankan pegawai sokongan dan bahagian yang terlibat. Kita tidak setuju dengan sebarang 'trade-off'!
Juga penempatan pegawai-pegawai diluar negeri mesti mengikut waran, maka untuk pegawai gred 32 & 27 terus berpeluang untuk bertugas di luar negara.
Cronyism is partiality to long-standing friends, especially by appointing them to positions of authority, regardless of their qualifications. Hence, cronyism is contrary in practice and principle to meritocracy.
Kami mohon untuk semua bersifat positif dan tidak menimbulkan spekulasi yang salah. sehingga kini, BSMP masih belum mengeluarkan apa-apa kenyataan rasmi berkaitan perkara ini. Kesatuan telah berhubung dengan pihak CUEPACS dan telah dinasihatkan untuk meneruskan perbincangan dengan pihak majikan dengan cara yang berhemah. Semoga langkah-langkah awal dapat diambil dan memberi manfaat yang seimbang kepada kumpulan pekerja dan majikan amnya.
Post a Comment