Wednesday, January 1, 2014

Perutusan Yang Dipertua Kesatuan Pekerja-Pekerja LPPM, Semenanjung Malaysia - Sempena Tahun Baru 2014


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh
Salam Sejahtera, Salam 1Malaysia

Rakan-rakan pekerja sekelian, bersyukur kita kerana sekali lagi diberi peluang untuk bersama-sama mencari rezeki yang halal demi keluarga tercinta. Mewakili Kesatuan LPPM, saya mendoakan agar saudara/ saudari sekelian berada dalam keadaan yang terpelihara dan sejahtera hendaknya. 

Hari demi hari, suasana di tempat kerja menjadi semakin mencabar. Malah, pada setiap cabaran itulah yang akan membentuk peribadi dan kecekalan diri kita dari semasa ke semasa. Semakin lama, kehidupan warga kerja Tourism Malaysia, khususnya pegawai-pegawai di kumpulan pelaksana telah menjadi buah mulut serta perhatian banyak mata. 

Sepanjang tahun 2013, Kesatuan LPPM telah sedaya upaya memberi yang terbaik dalam memenangi setiap isu dan pelbagai perkara yang berbangkit. Kami bersyukur, dalam setiap liku dan cabaran yang menerpa, di situ juga terbuka pintu-pintu hikmah demi kebajikan kumpulan pekerja. Kami berdoa agar pintu-pintu itu akan terus terbuka demi kebaikan kita bersama.
  
Saudara/ saudari sekelian, jumlah keahlian Kesatuan LPPM sentiasa terus bertambah dan semakin hampir ke angka sasaran. Seperti yang kami war-warkan selama ini bahawa 500 keahlian akan direalisasikan dengan kerjasama dan sokongan tuan / puan sekelian. Kami sentiasa memandang tinggi kepada matlamat ini. Semoga sokongan dan kepercayaan tuan / puan akan menghadirkan berita gembira untuk kami. Ucapan terima kasih dan setinggi penghargaan juga kami sampaikan kepada tuan / puan yang selama ini telah setia dan berjuang bersama kami, membelah badai dan menghempas ombak tanpa gusar atau gentar. Alhamdulillah, kesetiaan tuan / puan telah menyuntik semangat dan kekuatan untuk saya dan rakan-rakan dalam Jawatankuasa untuk terus maju memperjuangkan kebajikan dan kepentingan pekerja di Tourism Malaysia.

Saudara/ saudari sekelian,

Seperti yang telah dimaklumkan oleh Puan Setiausaha baru-baru ini, perjumpaan bersama CUEPACS telah diadakan sebagai simbol kerjasama yang semakin kukuh diantara Kesatuan LPPM dan CUEPACS. Perbincangan yang rasmi diadakan menjurus kepada pelbagai isu dan perkara-perkara berbangkit khususnya yang berlaku di Tourism Malaysia. Sokongan serta keterbukaan CUEPACS amat penting demi membantu kami memahami selok-belok hal pekerja. Untuk makluman tuan / puan sekelian, satu lagi sesi bersama CUEPACS akan diadakan pada masa yang terdekat ini bersempena perlantikan Presiden baru CUEPACS, Encik Azih Muda. Kami berdoa dan berharap agar hubungan baik yang telah diwujudkan ini akan memberi manfaat kepada seluruh warga kerja Tourism Malaysia sekaligus mengukuhkan organisasi sehingga menjadi penting dan berpengaruh di kalangan industri pelancongan negara.

Walaupun hasil perbincangan tersebut telah diwar-warkan, namun, saya memohon agar tiada spekulasi dibuat tanpa perbincangan yang lebih teliti. Tujuan kami sentiasa jelas dan memihak kepada kumpulan pekerja. Kami telah memohon kerjasama CUEPACS untuk membantu Tourism Malaysia dalam menyelesaikan isu permohonan pertambahan dan kenaikan jawatan termasuk jawatan pengurusan tertinggi sehinggalah jawatan di peringkat pelaksana. 

Saya memberi jaminan, bahawa Kesatuan LPPM berniat untuk memberikan yang terbaik kepada kumpulan pekerja sekaligus kepada organisasi yang tercinta ini. 

Rakan-rakan sekelian,

Kesatuan LPPM melalui MBJ Bil 3/2013 telah menyampaikan maksud yang jelas kepada pihak Pengurusan Tertinggi Tourism Malaysia. Sudah sampai masanya kita mengangkat martabat dan kekuatan nama organisasi kita ke peringkat yang lebih tinggi. Tourism Malaysia serta sekian isinya perlu bangkit untuk bermegah dan bangga dengan setiap pencapaian di sepanjang 42 tahun penubuhannya.

Setiap kemajuan yang dialami oleh industri pelancongan negara tidak datang bergolek. Pada setiap bangunnya hotel serta pusat-pusat pelancongan dalam negara ini perlu berterima kasih di atas kerja keras tuan / puan sekelian yang sentiasa setia memacu setiap arahan dan tugasan yang diberikan demi membawa misi negara mencapai jumlah kedatangan pelancong yang tinggi saban tahun. Sekian warga kerja Tourism Malaysia di setiap peringkat wajib diberikan penghargaan yang tinggi di atas setiap pencapaian tersebut. 

Dalam hal ini, Kesatuan LPPM telah memohon agar bayaran bonus diberikan kepada pekerja khususnya sempena sambutan Tahun Melawat Malaysia 2014. Secara dasarnya, perkara tersebut telah mendapat sambutan yang baik di peringkat Pengurusan Tertinggi Tourism Malaysia. Kami berdoa agar perkara tersebut dipertimbangkan dengan mendalam sehingga tercapai.

Pada masa yang sama, saya menyeru rakan-rakan pekerja sekelian agar memberikan yang terbaik kepada organisasi sehingga angka keramat 28.0 juta pelancong terpahat di dalam statistik kehadiran pelancong 2014. Sekaligus menjadi penanda aras yang baru kepada ketertinggian semangat serta reputasi hebat seluruh warga kerja Tourism Malaysia. Kami seru agar kita bersatu demi matlamat yang satu ini.

Pada masa yang sama, sifat sepakat serta kekeluargaan yang selama ini menjadi lambang kepada kekuatan Tourism Malaysia perlu diteruskan. Hapuskan segala sifat iri dan hasad pada diri kita. Tutup segala ruang kelemahan yang ada dan gantikan dengan segala kekuatan demi maruah sesama kita. Sokongan penuh perlu ditunjukkan terhadap kepimpinan YBhg Dato’ Ketua Pengarah bagi menghalang anasir-anasir luar yang mempengaruhi sekaligus menjadi faktor perpecahan di kalangan kita. One should response and aware their stand towards the organization. Sudah sampai masanya kita hentikan ketakutan. Masanya juga sudah tiba untuk kita bersatu menjadi kuat demi organisasi dan kebajikan pekerja secara menyeluruh. 

Rakan-rakan sekelian, 

Sokongan yang tiada henti kepada saya dan Kesatuan LPPM akan menjadi kunci kejayaan kumpulan pekerja di Tourism Malaysia. Intergriti akan menjadi simbol yang sangat besar sekaligus membalas kepercayaan tuan / puan sekelian. Selama mana Yang Dipertua menjadi pangkal kepada amanah yang diberikan kepada saya, selagi itu jua maruah pekerja akan kami pelihara.

Kami juga tidak lupa mengucapkan ribuan terima kasih dan penghargaan kepada seluruh pegawai di Bahagian Sumber Manusia & Pentadbiran (BSMP) di atas segala kerjasama dan komitmen yang telah mereka berikan kepada Kesatuan LPPM selama ini. Hubungan murni dan harmoni telah menjadi trend baru diantara majikan dan pekerja perlu diteruskan. Faedah yang berterusan pasti mencari jalan dengan sendirinya tanpa paksaan. Sekali lagi terima kasih diucapkan.  

Tahun baru kini menjelang tiba meninggalkan seribu kenangan. Tidak kira dengan linangan air mata kesedihan mahupun kegembiraan, kedua-duanya sama penting demi mematangkan fikiran serta tindak-tanduk kita di masa mendatang. Samalah jua bagi kami, pelbagai lagi perkara yang perlu dibincangkan. Tahun depan akan menjadi satu lagi platform untuk kami mendepangkan tangan demi perjuangan ini. 

Isu kenaikan pangkat di pelbagai peringkat gred, elaun khas perumahan, kuarters, insurans kemalangan, kebajikan pemandu, insentif persaraan, tabung kebajikan bencana dan kemalangan serta banyak lagi akan menjadi antara isu yang akan kami bawakan kepada perhatian majikan. Insyallah, dengan segala doa dan harapan tuan / puan, semoga ia terlaksana.

Demi tahun yang lebih gemilang, Kesatuan LPPM akan sekali lagi duduk di barisan hadapan mewakili tuan / puan. Semoga segala rancangan mendapat berkat dan redha Allah SWT. Kesatuan LPPM dengan ini mengambil kesempatan mengucapkan selamat tahun baru, semoga yang terbaik akan selamat singgah di hadapan tuan / puan sekelian. Kami juga berdoa agar kempen Tahun Melawat Malaysia 2014 akan cemerlang sekaligus kekal menjadi lambang kejayaan kita untuk panduan berpuluh generasi yang mendatang.


Insyallah
Sehingga kita berjumpa lagi,

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

HASRIZAL MUHAMMAD SHAWAL TUKIJAN
Yang Dipertua
Kesatuan Pekerja-Pekerja
Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia, 
Semenanjung Malaysia 

No comments: