PROJEK PERUMAHAN 1 MALAYSIA (PR1MA)
Soalan & Jawapan
PR1MA
1. Apa itu PR1MA?
PR1MA (Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia), adalah satu program Kerajaan untuk
menggalakkan pemilikan rumah yang lebih meluas, terutama sekali di kalangan kumpulan
gaji pertengahan, dengan menyediakan lebih banyak perumahan dengan harga berpatutan
di bandar-bandar utama di seluruh negara.
2. Adakah PR1MA sebuah pemaju perumahan, penyelaras program atau pihak berkuasa bagi
pembangunan-pembangunan perumahan tersebut.
PR1MA akan menjadi satu pihak berkuasa yang akan membangun, mengurus dan
mengendali rumah mampu milik PR1MA yang dibina di bawah programnya.
Unit PR1MA, di bawah Jabatan Perdana Menteri, juga akan memberi sokongan dalam
memperuntukkan rumah-rumah yang dibina oleh pihak swasta, yang telah menerima
bantuan daripada Kerajaan.
Struktur organisasi PR1MA adalah tertakluk kepada keputusan dan kelulusan Kabinet serta
akta yang berkaitan yang akan dibentangkan di Parlimen. Satu pengumuman rasmi akan
dibuat kelak.
Pembangunan Terkini – Putrajaya Holdings Presint 11
3. Apakah pembangunan perumahan yang diperuntukkan oleh PR1MA buat masa ini?
Di bawah Program Perumahan 1Malaysia (PR1MA) yang dilancarkan pada 4 Julai 2011,
sejumlah 560 rumah mampu milik akan diperuntukkan kepada pemohon yang layak (syarat
kelayakan seperti di bawah) yang bekerja atau tinggal di Putrajaya dan merupakan pengundi
berdaftar di Putrajaya.
PR1MA percaya semangat kepemilikan di kalangan pemilik rumah adalah amat penting, dan
PR1MA ingin memupuk semangat ini di kalangan pemilik bukan sahaja terhadap rumah yang
didiami malah komuniti di mana mereka tinggal. Pengundi di Putrajaya adalah
berkemungkinan besar bermastautin Putrajaya. Dengan memperuntukkan rumah-rumah ini
kepada mereka, PR1MA memupuk semangat kepemilikan dan kemasyarakatan yang lebih
utuh di kalangan mereka.
4. Di manakah terletaknya perumahan tersebut?
Ia terletak di Presint 11, Putrajaya dan dibangunkan oleh Putrajaya Holdings Sdn Bhd (PJH).
5. Apakah saiz rumah-rumah yang diperuntukkan itu? Berapakah harga rumah-rumah tersebut?
420 unit rumah bersaiz 815 kaki persegi dengan harga RM120,000.00 setiap satu.
140 unit rumah berukuran 1,006 kaki persegi berharga RM150,000.00 setiap satu.
6. Bagaimana untuk memohon? (Sila rujuk prosedur-prosedur di bawah)
Calon-calon yang berminat boleh memohon didalam talian www.pmo.gov.my