Monday, October 3, 2011

560 pangsapuri Presint 11 dibuka untuk tempahan

PUTRAJAYA 3 Okt. — Sebanyak 560 unit pangsapuri di Presint 11 di sini yang akan dibina bawah Program Perumahan 1Malaysia (PR1MA) kini dibuka untuk tempahan.

Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA, Datuk Abdul Mutalib Alias berkata, sebanyak 470 permohonan tempahan telah diterima sejak dibuka pada 30 Sept lalu dan akan berakhir pada 12 Okt. ini.

"Proses pemilihan pembeli akan dilakukan secara pengundian dan akan dipantau oleh firma akauntan bertauliah bagi memastikan pemilihan dilakukan secara telus,” katanya pada sidang media di pejabat Perdana Menteri di sini hari ini.

Katanya, proses cabutan pemohon unit pangsapuri akan dilakukan pada 15 Okt. ini.

Abdul Mutalib berkata, pemohon yang ingin membuat tempahan haruslah memenuhi syarat kelayakan antaranya warga negara Malaysia berusia 21 tahun ke atas, bermastautin atau bekerja di Putrajaya dan merupakan pengundi berdaftar di kawasan Putrajaya.

Selain itu, pemohon hendaklah mempunyai tidak memiliki lebih daripada satu rumah dan mempunyai pendapatan isi rumah kasar yang tidak melebihi RM6,000 sebulan, katanya.

Menurutnya, pemohon juga terbahagi kepada dua kategori iaitu senarai yang dipanggil yang akan melalui proses saringan dan menunggu.

Beliau berkata, permohonan tempahan unit pangsapuri itu terbuka kepada semua yang memenuhi syarat yang ditetapkan dan tidak terhad kepada hanya penjawat awam.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai pembelian unit pangsapuri itu boleh melayari laman web www.pmo.gov.my 

— Bernama

1 comment:

Asraf Adnan said...

Warga TM yang berminat dicadangkan memohon dengan kadar segera...