Thursday, November 10, 2011

Bantuan persekolahan RM100 dibayar berkuat kuasa hari ini

KUALA LANGAT 10 Nov. – Lebih lima juta pelajar sekolah rendah dan menengah di seluruh negara akan menerima bantuan persekolahan sebanyak RM100 yang disalurkan kepada pihak sekolah berkuat kuasa hari ini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bayaran tersebut akan dibayar kepada pelajar tahun 1 hingga tingkatan empat bagi sesi 2011.

Beliau berkata, bagi pelajar tahun 1 dan tingkatan 1 sesi 2012 akan dibayar pada Januari ini.

''Wang bantuan itu akan dimasukkan ke akaun BSN sekolah. Kalau sekolah tiada akaun BSN, mereka perlu buka akaun sementara,'' kata beliau pada majlis bersama pensyarah dan pelajar matrikulasi di kolej matrikulasi selangor di Jugra di sini. 

– Utusan/maa.

JPA persoal motif DAP

PUTRAJAYA 8 Nov. - Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mempersoalkan tujuan sebenar DAP mahu mengurangkan bilangan penjawat awam tanpa memikirkan implikasi besar yang akan berlaku kepada negara pada masa hadapan.

Ketua Pengarahnya, Tan Sri Abu Bakar Abdullah berkata, jumlah penjawat awam yang sedang berkhidmat sekarang adalah ideal dengan nisbah penduduk negara ini.

Katanya, jika cadangan tersebut dilaksanakan, ia akan memberi kesan kepada kerajaan dalam proses penyampaian perkhidmatan terutamanya dalam bidang kritikal.

"Bila bilangan penduduk negara makin bertambah maka perkhidmatan awam juga seharusnya wajib ada dan mencukupi. Sebagai contoh doktor, tidak mungkin kita hendak kurangkan bilangan mereka.

"Jadi bila mereka kata nak kurangkan penjawat awam yang mana satu hendak dikurangkan? Tentera? Polis? Guru? Doktor atau yang mana satu?" soalnya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua baru-baru ini untuk mengurangkan kakitangan awam sekiranya dipilih sebagai pemerintah negara.

Kenyataan tersebut mendapat reaksi daripada pelbagai pihak yang menyifatkan ia mengukuhkan dakwaan bahawa parti itu tidak selesa dengan penguasaan orang Melayu dalam sesuatu bidang.

Menurut Abu Bakar, DAP juga tidak perlu risau mengenai pertindihan bidang tugas sesebuah jabatan atau pun agensi kerajaan kerana pihaknya sentiasa memantau dan membaiki keadaan tersebut.

"Sekarang kita sedang lakukan kajian di mana terdapat pertindihan tugas dan fungsi tugas akan diselaraskan namun, ia tetap mengambil masa untuk dilaksanakan sepenuhnya.

"Misalnya kita tidak tambah bilangan polis untuk kerja-kerja pengurusan sebaliknya pelantikan diambil daripada penjawat awam," katanya.

-Utusan Online/maa.

Wednesday, November 9, 2011

MAKLUM BALAS BERKAITAN ISU-ISU DALAM LAPORAN KETUA AUDIT NEGARA 2010

PUTRAJAYA, 7 November 2011 – Kementerian Pelancongan dan Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (LPPM) sentiasa memandang serius tentang Laporan Ketua Audit Negara dan mengambil langkah memantapkan tadbir urus kewangan dan perolehannya. Semua pembayaran yang telah dibuat adalah berdasarkan kepada kerja yang telah dilaksanakan dengan sempurna dan disertakan dengan bil-bil dan dokumen-dokumen sokongan yang berkaitan, serta berdasarkan kepada peraturan pembayaran yang telah ditetapkan olen Kementerian Kewangan. 


Secara asasnya, semua aktiviti yang dilaksanakan oleh Kementerian Pelancongan dan LPPM adalah bertujuan meningkatkan pembangunan industri pelancongan negara. Di samping itu, aktiviti-aktiviti ini adalah  bagi meningkatkan kedatangan pelancong-pelancong antarabangsa ke Malaysia secara berterusan yang seterusnya dapat membantu merangsang ekonomi negara melalui sektor ini. 

 

Berikut adalah penjelasan lanjut ke atas isu-isu yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2010 dan juga pihak media cetak dan elektronik: 

 

AKTIVITI PENGIKLANAN 2009 DAN 2010 

 

Aktiviti pengiklanan merupakan medium yang terpenting dalam mempromosikan industri pelancongan negara. Terdapat dua kaedah perolehan pengiklanan yang dibuat oleh LPPM iaitu melalui agensi-agensi pengiklanan yang dilantik melalui tender terbuka atau secara 

tempahan terus (atau direct booking). Pembelian secara direct booking telah menjimatkan kos komisyen agensi (15% dari kos pembelian media) berjumlah RM19.93 juta pada tahun 2009 dan RM9.20 juta pada tahun 2010, berbanding menggunakan khidmat agensi pengiklanan yang dilantik melalui tender terbuka. 

 

Langkah ini juga telah dapat membantu LPPM membuat rancangan perbelanjaan bagi tahun 2009 dan 2010 dengan pengurusan kewangan yang lebih baik dan telah mengurangkan 

semua defisit yang tertunggak. Keberkesanan strategi ini dapat dilihat dengan kejayaan Malaysia untuk menarik 23.6 juta pelancong  dengan pendapatan  sebanyak RM53.4 bilion pada 2009 dan 24.6 juta pelancong dengan pendapatan RM56.5 bilion pada 2010. 


Untuk rekod, kaedah pembelian secara tempahan terus (direct booking) ini telah dilaksanakan oleh LPPM sejak tahun 1998 mengikut Pekeliling Pengurusan LPPM Bil. 10 Tahun 1998. Pembelian ini hanya dibuat dengan pihak pemilik media seperti CNN, Discovery Channel, National Geographic, BBC World, Star Channel, Al Jazeera dan lain-lain. Tempahan terus (direct booking) juga turut dilaksanakan ke atas pembelian ruang dalam media cetak, billboard dan juga media online di mana kadar harga yang ditawarkan oleh pemilik media melalui kaedah ini adalah lebih rendah berbanding dengan perolehan melalui agensi pengiklanan. 


Namun begitu, berdasarkan pemerhatian Ketua Audit Negara bagi tahun 2010, LPPM telah mendapatkan kelulusan daripada Kementerian Kewangan pada 16 Februari 2011 bagi 

meperkukuhkan tatacara kewangan supaya pembelian media secara direct booking  dibenarkan dengan merujuk kepada Lembaga Perolehan B untuk kelulusan. Buat masa  sekarang, LPPM telah melaksanakan tatacara ini di mana semua direct booking perlu  mendapatkan kelulusan terdahulu daripada Lembaga Perolehan B. 

 

 

PENGIKLANAN PAPARAN LUARAN (BILLBOARD

 

Bagi pemerhatian Audit berhubung lokasi billboard yang tumbang, tanpa lampu dan berada di lokasi yang tidak strategik, penjelasan adalah seperti berikut: 

 

Pemilihan Lokasi Billboard di Medan, Indonesia 

 

Pemilihan adalah berdasarkan kepada keputusan pihak pengurusan atasan LPPM setelah menjalankan due diligence termasuk lawatan tapak. Hasilnya, semua pihak termasuk 

Pengarah (Luar Negeri) telah bersetuju bahawa ianya adalah tapak yang sesuai dengan 

mengambil kira aliran trafik (traffic flow) yang melalui kawasan ini. Pemilihan lokasi ini juga memang strategik memandangkan negara Singapura, melalui Singapore Tourism Board, juga turut memilih lokasi papan billboard di kawasan yang sama. 

 

Billboard Yang Tumbang 

 

Billboard yang tumbang di KM 50.4 Lebuh Raya Utara Selatan berkemungkinan disebabkan oleh hujan lebat dan/atau angin kuat yang berlaku pada malam sebelum lawatan tapak oleh pihak Audit. Pemantauan berkala oleh LPPM dan pihak agensi pengiklanan yang dilantik pada tarikh-tarikh terdahulu mendapati ianya berada dalam keadaan baik. Daripada 67 

billboard yang dipasang di seluruh negara, hanya satu sahaja yang tumbang iaitu 1.49% 

daripada jumlah keseluruhan. 


Seperti mana yang telah dipersetujui dalam kontrak yang ditandatangani dengan pemilik media, billboard ini telah dibina semula dengan kos ditanggung oleh mereka. Manakala bayaran sewaan media (media rental) tidak dibuat oleh LPPM bagi tempoh kerosakan tersebut. Untuk rekod, LPPM telah menetapkan bahawa pihak agensi pengiklanan perlu membuat laporan pemantauan pada setiap bulan bagi membolehkan bayaran pengiklanan billboard dibuat kepada mereka. 

 

Billboard Tanpa Pencahayaan 

 

Berdasarkan pemantauan berkala yang dijalankan oleh agensi pengiklanan yang dilantik oleh LPPM, billboard di Batu 3 Shah Alam, Selangor mempunyai kemudahan pencahayaan. Namun begitu, semasa pemeriksaan Audit dijalankan, generator elektrik bagi billboard berkenaan dipercayai telah dicuri. Seperti mana yang telah dipersetujui dalam kontrak, pihak kontraktor telah menggantikan generator elektrik tersebut dan LPPM juga tidak membuat sebarang pembayaran ke atas kos elektrik bagi tempoh berkenaan. 


Manakala bagi billboard di Mid Valley pula, ianya adalah bagi tujuan tarikan serta mendapatkan perhatian pengguna jalan raya pada sebelah siang sahaja. Tapak ini juga tidak mempunyai kemudahan elektrik bagi tujuan pencahayaan. Manakala kontrak dengan pemilik media juga adalah tanpa kos pencahayaan. 

 

 

RAK RISALAH 

 

Kementerian Pelancongan telah mengambil tindakan ke atas segala teguran pihak Ketua Audit Negara mengenai isu rak risalah Tahun Melawat Malaysia 2007. Pihak Kementerian juga telah menubuhkan Jawatankuasa Siasatan pada 5 Oktober 2011 bagi menyiasat perkara ini. Siasatan sedang dilaksanakan dan laporan penuh siasatan akan dikemukakan kepada Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan pada 18 November 2011. Untuk rekod, rak risalah ini ditempah bagi tujuan meningkatkan lagi promosi Tahun Melawat Malaysia 2007. Pembayaran telah mendapat kelulusan Kementerian Kewangan iaitu RM1.7 juta untuk 873 unit rak yang diterima sahaja. 

 

 

CENDERAHATI 

 

Sepertimana yang telah digariskan dalam Pekeliling Perbendaharaan (SPP 12/2007), sebarang pembelian cenderahati bernilai sehingga RM 50,000 adalah dibenarkan secara pembelian terus daripada pembekal. Walaupun cenderhati yang dibekalkan telah memenuhi spesifikasi dan kualiti yang ditetapkan, laporan kajian pasaran tidak disediakan. Oleh demikian, surat peringatan daripada Ketua Setiausaha Pelancongan bertarikh 6 Julai 2011 agar perkara tersebut tidak diulangi pada masa hadapan dan sentiasa mengikut tatacara perolehan semasa yang berkuatkuasa. 

  

Dato’ Dr. Ong Hong Peng 

Ketua Setiausaha 

Kementerian Pelancongan Malaysia.

-Tourism Malaysia media centre/maa.

Tuesday, November 8, 2011

Kesatuan sekerja bantah DAP

KUALA LUMPUR 7 Nov. – Beberapa kesatuan sekerja hari ini bangkit menentang hasrat DAP yang mahu mengurangkan bilangan penjawat awam. Sambil menyifatkan, ia satu tindakan berunsur politik dan mempunyai agenda tersirat, kesatuan-kesatuan juga menyifatkan cadangan itu sebagai tidak rasional serta tidak berasas.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan berkata, hasrat tersebut adalah tidak rasional kerana tidak mempunyai alasan yang munasabah.
“Kami di bidang perguruan khususnya menolak 100 peratus hasrat tersebut yang dilihat bukan satu langkah bijak. “Lebih-lebih lagi peningkatan pelajar sebanyak 500,000 orang setiap tahun manakala banyak guru yang akan bersara menyebabkan keperluan guru meningkat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai hasrat DAP untuk mengurangkan kakitangan awam sekiranya dipilih sebagai pemerintah negara dan mengukuhkan dakwaan bahawa parti itu tidak selesa dengan penguasaan orang Melayu dalam sesuatu bidang.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Pegawai Pengangkutan Jalan Semenanjung Malaysia (KPPJSM), Hamzah Masri tidak bersetuju dengan hasrat tersebut yang dilihat boleh menyebabkan kualiti perkhidmatan terjejas. “Contohnya, dalam bidang penguatkuasaan seperti kami, sekiranya tenaga kerja dikurangkan, sudah tentu akan menyukarkan untuk mengawal jumlah kenderaan yang berjuta-juta. “Tidak mungkin, suatu masa nanti kita mahu menswastakan perkhidmatan awam yang menyebabkan lebih mementingkan keuntungan berbanding untuk berkhidmat kepada rakyat,” ujarnya.

Dalam pada itu, Presiden Kesatuan Kakitangan Am Universiti Kebangsaan Malaysia (Kesukma), Abdul Rahman Mohd. Nordin berkata, pengurangan itu lebih membawa keburukan daripada kebaikan yang mana meningkatkan lagi pengangguran dan kebergantungan khidmat luar sehingga menyebabkan kos lebih tinggi. “Hasrat DAP dilihat mempunyai agenda tersirat umpama ada udang di sebalik batu. Dalam perkhidmatan kami, bilangan pelajar semakin lama makin meningkat dan memerlukan penambahan kakitangan mengikut keadaan,” jelasnya.

Bagi Pengerusi Kesatuan Pegawai Kastam Semenanjung Malaysia (KPKSM) Cawangan Kuala Lumpur, Ja‘apar Mansor berkata, tidak semestinya pengurangan bilangan penjawat awam akan dapat mengurangkan bajet kerajaan malah boleh menyebabkan kesan yang sebaliknya.
Pengerusi Persatuan Pekerja Wanita, Silam Hassan berkata, pengurangan berkenaan adalah agenda DAP untuk mengurangkan hasil ekonomi orang Melayu dan ini membuktikan mereka kurang senang dengan pencapaian bumiputera kini. “Jika penjawat awam rata-rata bangsa Melayu dikurangkan, mereka juga sukar untuk mendapatkan pekerjaan kerana tidak diberi peluang untuk menjawat jawatan di syarikat milik bukan Melayu,” katanya.

Menurut Presiden Kesatuan Pekerja Pekerja KTMB, Abdul Razak Md. Hassan berkata, hasrat tersebut perlu dibantah keras kerana kewujudan pelbagai sektor awam di negara ini adalah inisiatif kerajaan dalam membantu rakyat di negara ini agar mempunyai punca pendapatan.
“Adakah dengan berniat mengurangkan jumlah penjawat awam maka ruang kerja akan disediakan oleh mereka yang terlibat. Ini sesuatu yang perlu dipandang serius dan ditentang kerana akan meningkatkan jumlah pengangguran,” katanya.

Presiden Kesatuan Sekerja Kakitangan Makmal, Kementerian Pendidikan Malaysia (KSKM), Hamran Ahmad menyatakan kenyataan yang dibuat Setiausaha Penerangan DAP, Tony Pua itu lebih berat kepada unsur-unsur politik daripada menjaga kepentingan penjawat awam yang lebih 80 peratus terdiri daripada orang Melayu. “Mengurangkan jumlah kakitangan bermakna ada penjawat yang akan kehilangan kerja. Ini akan membantutkan perkembangan ekonomi negara dan akan memberi impak yang tidak sihat kepada negara,” katanya.

Kesatuan Pekerja Sistem Penerbangan Malaysia turut membantah cadangan DAP dengan menyifatkan ia sebagai tidak berasas. Presidennya, Alias Aziz berkata, kerajaan yang baik ialah kerajaan yang dapat menyediakan banyak peluang pekerjaan kepada rakyatnya bagi menjamin kelangsungan pertumbuhan ekonomi negara.
-Utusan/maa.

Friday, November 4, 2011

Pembayaran RM888,000 dibuat kepada LCL Interior, bukan Awana Dubai

KUALA LUMPUR: Seorang saksi memberitahu Mahkamah Sesyen di sini bahawa pembayaran wang sebanyak RM888,000 bagi pelaksanaan projek restoran Malaysia di Dubai dibuat kepada LCL Interior, dan bukan Awana Dubai. 


Bekas Ketua Pengawal Kewangan Pembangunan Pelancongan Malaysia Berhad (PEMPENA), Lim Khing Tai, berkata ini kerana Awana Dubai, yang bertanggungjawab melaksanakan projek itu pada 2007, belum mempunyai akaun bank.
Lim, 40, yang kini perunding bebas, turut menafikan beliau melakukan kesalahan besar kerana membuat pembayaran kepada LCL Interior.
Saksi ketujuh pendakwaan itu berkata bekas Ketua Pegawai Operasi PEMPENA Mohammad Rosly Md Selamat memberitahunya secara lisan supaya menyediakan pembayaran berkenaan. 

"Saya kemudian mengarahkan staf saya menyediakan pembayaran secara kiriman wang kepada syarikat LCL Interior yang dimiliki oleh Datuk Low Chin Meng," katanya pada perbicaraan kes pecah amanah membabitkan Mohammad Rosly dan Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Mirza Mohammad Taiyab. 

Pada 16 Ogos tahun lalu, Mirza, 54, dan Mohammad Rosly, 57, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan pecah amanah meluluskan pembayaran wang berjumlah RM888,000 ke akaun LCL Interior Dubai pada 27 Feb 2007, bagi projek pembinaan Restoran Malaysia Dubai tanpa mematuhi syarat yang ditetapkan. 

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat PEMPENA di Tingkat 3, Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra pada 27 Feb 2007. 
Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun, dan denda, dan juga boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan. 

Selain itu, Lim mengakui beliau tidak memaklumkan pembayaran yang dibuat kepada LCL Interior kepada Ahli Lembaga Pengarah PEMPENA pada mesyuarat bertarikh 22 Disember 2007. 

"Saya dipanggil untuk menghadiri mesyuarat itu hanya sebagai jemputan dan saya tidak boleh bercakap di dalam mesyuarat, ataupun senyum," katanya ketika disoal peguam G.Rajumaren yang mewakili Mohammad Rosly. 

Bagaimanapun, Rajumaren mempersoalkan jawapan Lim dan membacakan kepada mahkamah beberapa minit mesyuarat yang mencatat pandangan saksi itu. 

Hakim Che Mohamad Zulkifly Jusoh kemudian meminta penjelasan Lim mengenai perkara itu. 

Lim berkata beliau hanya akan bersuara apabila pandangannya diperlukan, atau ketika disoal ahli lembaga pengarah PEMPENA. 

Rajumaren turut mencabar kredibiliti saksi itu dengan mengungkit kejadian lampau yang menyaksikan Lim menukar minit mesyuarat bertarikh 19 Disember 2006 untuk menyebelahi Low dalam satu projek tempatan, iaitu Wisma Yeap Chor Eee & Khoo Kongsi, namun Lim menafikan beliau membuat pindaan berkenaan. 

Perbicaraan disambung 14 November ini. 
- BERNAMA/maa. 

Thursday, November 3, 2011

Harga barang: Protes secara senyap CUEPACS diperluas

MELAKA 3 Nov. – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) komited memperluaskan tindakan protes secara senyap isu kenaikan harga barang di Sabah dan Sarawak. Presidennya Datuk Omar Osman berkata, penglibatan kongres juga akan menganjurkan penerangan khas berhubung isu tersebut menerusi sokongan badan bukan kerajaan (NGO).

"Justeru, saya minta semua penjawat awam di seluruh negara melakukan protes senyap ini secara berterusan dan kita mensasarkan untuk tempoh tiga bulan bermula bulan ini hingga Januari tahun depan sebagai permulaan. "Tak perlulah kita berarak di jalan raya untuk menunjukkan protes, cukup dengan hanya melakukan secara senyap memboikot peniaga yang menaikkan harga barang,” katanya selepas menghadiri Mesyuarat Khas CUEPACS Peringkat Kebangsaan di Seri Negeri di sini, hari ini. Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Omar Kaseh.

Sebelum ini katanya usaha kongres itu turut mendapat sokongan daripada Majlis Belia Malaysia (MBM), Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM). Jelas beliau, kongres di peringkat negeri telah diarah untuk menjalankan tindakan yang sama supaya para peniaga lebih prihatin dan memberikan kerjasama agar tidak menaikkan harga barangan terutamanya ketika musim cuti persekolahan dan sambutan perayaan Krismas tidak lama lagi.

"Sekurang-kurangnya kita berharap dapat memperoleh jumlah 40 peratus iaitu kira-kira 520,000 penjawat awam mempunyai kesedaran untuk memboikot kenaikan harga barang.
“Jika hendak mencapai 100 peratus sememangnya mustahil, tetapi jika semua melakukan tindakan ini, implikasinya akan dapat dilihat,” kata Omar.
- Bernama/maa.

Wednesday, November 2, 2011

Borang daftar bantuan one-off Disember ini

KUALA LUMPUR 1 Nov. – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan mengeluarkan borang pendaftaran bagi mendapatkan bantuan one-off berjumlah RM500 Disember ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr. Mohd. Shukor Mahfar berkata, pendaftaran yang dibuka kepada rakyat berpendapatan isi rumah bulanan di bawah RM3,000 itu boleh dilakukan di 36 cawangan LHDN di seluruh negara. “LHDN berfungsi sebagai agensi yang berdaftar untuk membantu Kementerian Kewangan mengenalpasti penerima bantuan yang layak.

“Kita menyediakan borang pendaftaran tersebut secara online dan bertulis bagi memudahkan proses pendaftaran yang tidak lebih daripada 14 hari waktu bekerja. “Pengagihan bantuan wang tunai itu dilakukan secara berperingkat-peringkat, tanpa penetapan masa dan akan dilakukan secepat mungkin bermula Januari depan melalui bank yang dilantik oleh Akauntan Negara,” katanya. Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan sambutan Hari Inovasi LHDN 2011 dan pelancaran laman media sosial LHDM di sini hari ini.

Bantuan one-off atau sekali sahaja kepada isi rumah yang berpendapatan bulanan di bawah RM3,000 diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan Bajet 2012 baru-baru ini. Mohd. Shukor berkata, buat masa ini, Kementerian Kewangan serta agensi kerajaan berkaitan sedang memuktamadkan mekanisme terbaik bagi pendaftaran dan pelaksanaan bantuan itu. “Kementerian Kewangan juga sedang memperkemaskan definisi isi rumah yang telah siap 98 peratus dan ia dijangka disempurnakan dalam masa dua minggu.
-Utusan Online/maa.