Monday, May 15, 2017

Penjawat Awam Kontrak Berkhidmat 15 Tahun Layak Diserap Ke Jawatan Tetap - Ali Hamsa



LABUAN, 12 Mei (Bernama) -- Penjawat awam bertaraf kontrak yang telah berkhidmat selama 15 tahun dan ke atas layak diserap ke jawatan tetap selepas 31 Disember tahun ini.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata kelayakan mereka untuk diserap sebagai anggota tetap adalah sejajar dengan skim perkhidmatan awam.

"Tahun lepas, kerajaan membuat keputusan bahawa penjawat awam yang masih bertaraf kontrak, dilanjutkan perkhidmatan mereka hingga 31 Disember 2017 dan mereka yang telah berkhidmat selama 15 tahun, boleh diserap sebagai pegawai tetap," katanya selepas melakukan lawatan rasmi ke Jabatan Kastam dan Jabatan Laut Labuan di sini hari ini.

Menurut beliau, menjelang akhir tahun ini, mungkin terdapat permintaan daripada jabatan dan agensi kerajaan berhubung isu petugas, khususnya staf yang kontrak mereka berakhir pada 31 Disember tahun ini dan kerajaan akan membuat keputusan tentang perkara itu.

Ali berkata jumlah penjawat awam bertaraf kontrak masih kecil serta terkawal dan setakat ini, tiada peningkatan dari segi jumlahnya, manakala jumlah penjawat awam kekal sebanyak 1.6 juta sejak lima tahun lepas.

Kata Ali, beliau tidak menerima sebarang permohonan daripada jabatan dan agensi kerajaan di pulau bebas cukai ini berhubung pengambilan staf baharu.

"Dengan jumlah staf yang ada sekarang, para pegawai kastam Labuan memaklumkan kepada saya bahawa mereka masih berupaya menjalankan tugas masing-masing dan menjalankan tugas penguatkuasaan... dan saya dimaklumkan bahawa semua jawatan telah diisi.

"Saya rasa pelik sedikit kerana apabila datang ke sini, tiada permintaan daripada jabatan dan agensi kerajaan...semua menunjukkan kecemerlangan dalam tugas mereka...jadi, saya ucapkan tahniah kepada penjawat awam di sini," kata beliau.
-Bernama.

Monday, May 1, 2017

Setuju laksana SIP

NAJIB TUN RAZAK


PUTRAJAYA 1 Mei - Kerajaan telah bersetuju untuk melaksanakan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP), kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata, pelaksanaan sistem berkenaan adalah bagi memastikan kira-kira 6.5 juta pekerja swasta tempatan yang sedia ada di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 sentiasa terbela dan dilindungi.


Melalui SIP kata beliau, pekerja akan mendapat bantuan kewangan sementara untuk menyara hidup diri dan keluarga dalam tempoh tertentu semasa mencari pekerjaan baharu. 


“Selain bantuan kewangan, pekerja yang kehilangan mata pencarian juga akan diberi sokongan perkhidmatan pekerjaan yang meliputi bantuan carian kerja, pemadanan pekerjaan, kaunseling kerjaya dan latihan kerjaya untuk mendapatkan pekerjaan baharu. 


“Tambahan lagi, bagi melaksanakan SIP ini, Kerajaan sedang memperhalusi draf Rang Undang-undang SIP, bagi pembentangan pada sesi persidangan Parlimen yang akan datang,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat Hari Pekerja kepada 5,000 warga kerja yang hadir pada majlis Perhimpunan Hari Pekerja 2017 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.


Mengulas lanjut, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, seterusnya, kutipan caruman akan dilaksanakan mulai Januari 2018 dan pemberian faedah kewangan dijangka dibuat mulai Januari 2019. 


Menurutnya, SIP merupakan satu langkah jangka panjang yang bukan sahaja bertujuan untuk membantu golongan pekerja terjejas tetapi juga berupaya mengekal dan merancakkan pertumbuhan ekonomi secara mampan terutama jika berlaku kegawatan. 


“Pada hemat saya, SIP ini ibarat pepatah Melayu menyebut juga sebagai, sediakan payung sebelum hujan. Oleh yang demikian, saya menyeru kepada semua pihak, khususnya para majikan untuk menyokong pelaksanaan SIP ini,” katanya.


Dalam pada itu, Najib memberitahu, kerajaan bercadang untuk memperluaskan liputan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri secara berperingkat-peringkat kepada kategori pekerjaan informal yang lain seperti para nelayan, petani, pekebun kecil, penjaja dan penggiat seni.


“Melalui skim ini juga, orang berinsurans yang menjalankan pekerjaan sendiri, akan dilindungi sekiranya berlaku kemalangan semasa bekerja atau mengalami penyakit berkaitan pekerjaan, sebagaimana pekerja dalam sektor formal,” katanya.
-Utusan.

Lebih 49 ribu penjawat awam berdepan risiko muflis - Cuepacs

Datuk Azih Muda mencadangkan sistem bagi mengawal pinjaman
di kalangan penjawat awam. -Gambar fail


KUALA LUMPUR: Lebih 49 ribu penjawat awam berdepan risiko menjadi muflis berikutan kegagalan mereka menguruskan hutang pinjaman. 

Presiden Kongress Kesatuan Pekerja Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Azih Muda mencadangkan sistem bagi mengawal pinjaman di kalangan penjawat awam.

“Kerajaan boleh melaksanakan sistem sepertimana yang dilaksakan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia iaitu Sistem Pelaporan Kredit (Spekar) yang mempunyai rekod penjawat awam,” katanya selepas merasimakan Seminar Hari Pekerja di sini hari ini.

Azih berkata ada dikalangan penjawat awam melakukan pinjaman peribadi daripada institusi kewangan yang melebihi kemampuan gaji mereka.

"Hal ini saya lihat semakin serius dan ia  terjadi kerana ada penjawat awam yang bertindak memalsukan slip gaji ketika membuat pinjaman," katanya.

Jelasnya, ketiadaan sistem mengawal pinjaman merupakan punca penjawat awam membuat pinjaman melebihi kemampuan dan melakukan pinjaman bertindih.

"Sekarang ini kerajaan memberi peluang kepada lebih 20 agensi pinjaman membuat potongan gaji kepada penjawat awam yang melaksanakan pinjaman tanpa perlu merujuk antara satu sama lain (institusi pinjaman).

Tambahnya lagi, ketiadaan sistem yang mengawal pinjaman yang dilakukan merupakan antara punca golongan ini meminjam melebihi kemampuan dan pinjaman bertindih.

"Sistem ini akan dapat mengawal pinjaman yang dilakukan oleh penjawat awam kerana sistem itu dapat mengesan data potongan gaji dan maklumat pinjaman penjawat awam.

Setakat ini, lebih 3,000 orang sudah diisytihar muflis, dan Azih menegaskan jika ia tidak dibendung, jumlah itu akan terus bertambah.

-www.astroawani.com

Friday, March 10, 2017

Hanya 10 Pejabat Tourism Ditutup, Empat Kekal Jadi Pejabat Wilayah

KUALA LUMPUR – Hanya 10 pejabat Tourism Malaysia negeri yang ditutup manakala empat lagi dikekalkan sebagai pejabat wilayah, demikian menurut Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.

Menurut jawapan bertulis kementerian itu di Parlimen hari ini, pejabat yang dikekalkan ialah pejabat Wilayah Tengah di Kuala Lumpur (meliputi Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan), pejabat Wilayah Utara di Pulau Pinang (meliputi Pulau Pinang, Perak, Kedah dan Perlis), pejabat Wilayah Selatan di Johor (meliputi Johor dan Melaka) dan pejabat Wilayah Pantai Timur di Pahang (meliputi Pahang, Kelantan dan Terengganu)

Bagi Sabah dan Sarawak, kedua-dua Pusat Penerangan Pelancongan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dan Kuching akan diperkasakan dan bertindak sebagai ‘mini Tourism Malaysia’.
Tourism Malaysia akan mengekalkan Pusat Penerangan Pelancongan di negeri-negeri seperti sedia ada untuk memudahkan penyebaran maklumat kepada pelancong.

Jawapan bertulis itu merujuk soalan lisan Datuk Seri Hasan Malek (BN-Kuala Pilah) yang meminta penjelasan kementerian berhubung penyelarasan semula tugas dan fungsi berkaitan pelancongan, khususnya yang dipertanggungjawabkan kepada Tourism Malaysia setelah pejabat Tourism negeri di seluruh negara diarah tutup baru-baru ini.

Kementerian itu menjelaskan fungsi pejabat wilayah Tourism Malaysia termasuk menguruskan kesemua Pusat Penerangan Pelancongan di setiap negeri serta bertindak sebagai sudut rujukan dan nasihat untuk penggiat industri pelancongan seperti hotel, agensi pelancongan, pengusaha produk pelancongan dan persatuan pelancongan dalam kempen promosi pelancongan.

Pejabat itu akan membantu segala inisiatif kajian berkaitan pelancongan yang dibuat oleh Tourism Malaysia dan kementerian serta mengemas kini inventori produk pelancongan di setiap negeri agar dapat diwujudkan pakej-pakej dan dipromosikan.

Sebelum ini, kerajaan membuat keputusan menutup semua pejabat Tourism Malaysia di seluruh negara bagi mengelak pertindihan kerja dengan agensi-agensi negeri dalam mempromosi pusat pelancongan di negara ini.
– BERNAMA

Friday, March 3, 2017

Nasib Pekerja Tourism Malaysia Belum Ditentukan - Cuepacs


KUALA LUMPUR: Nasib pekerja pejabat Tourism Malaysia yang diumumkan penutupannya pada Januari masih belum dapat ditentukan, kata Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Azih Muda.

Azih bagaimanapun berkata, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz telah bersetuju untuk bertemu Cuepacs berhubung perkara ini.
“Menteri sudah maklum dan telah setuju nak jumpa kita tapi belum dapat tarikh lagi.
“Saya harap isu berkaitan penempatan kakitangan Tourism Malaysia di negeri-negeri ini dapat diselesaikan lebih cepat kerana sebahagian daripada mereka mempunyai keluarga dan tanggungjawab sendiri,” katanya, lapor mstar.
Menurut Azih, walaupun pekerja-pekerja berkenaan tidak dibuang kerja, keadaan mereka kini yang digambarkan seperti ‘terumbang-ambing’ menunjukkan wujudnya situasi kurang sihat dalam institusi awam.
“Mereka tak dibuang kerja, tapi tak ada pejabat, mereka berkerja, mundar-mandir…tak produktiflah.
“Cuepcs berharap menteri dapat melapangkan masanya,” katanya.
Cuepacs sebelum ini pernah menggesa kementerian menangguhkan keputusan menutup pejabat Tourism Malaysia di semua negeri.
Azih berkata, beliau difahamkan sejumlah 232 pekerja yang terlibat tidak dimaklumkan secara rasmi tentang penutupan tersebut.
Daripada jumlah tersebut, 39 daripadanya berstatus kontrak di mana mereka berisiko kehilangan pekerjaan secara serta-merta.
Nazri ketika mengumumkan penutupan kesemua 14 pejabat pelancongan 23 Januari lalu berkata, ia tidak melibatkan pemberhentian kakitangan, sebaliknya mereka akan diserap ke ibu pejabat kementerian dan jabatan lain.
Katanya, keputusan ini dibuat bagi mengelak pertindihan kerja dengan agensi negeri dalam mempromosi pusat pelancongan negara ini dan langkah itu dijangka dapat menjimatkan kos sebanyak RM6 juta setahun yang boleh diguna sebagai perbelanjaan lain.

-peraktoday.com.my

Thursday, February 16, 2017

Penjawat awam tidak terlebih, malah tidak cukup - Cuepacs

Jelas Azih (gambar), apa yang membuatkan masyarakat melihat lambakan kakitangan dalam perkhidmatan awam adalah kerana tentera, polis, kesihatan dan pendidikan turut diklasifikasi sebagai perkhidmatan awam. - Foto Astro AWANI / Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menolak cadangan mengecilkan jumlah penjawat awam bagi mengurangkan perbelanjaan kerajaan.

Sebaliknya menurut Presidennya Datuk Azih Muda, perkhidmatan awam ketika ini sebenarnya kekurangan kakitangan, berbeza daripada apa yang didakwa.

Hal itu menyebabkan perkhidmatan awam mengalami kesulitan menjalankan tugas mereka dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Kita tidak ada servis yang overlap (bertindan), setiap posisi ada tugas masing-masing. Contohnya yang bekerja di pejabat tanah tidak sama dengan kerja pentadbiran biasa.

“Tiada jabatan yang terlebih kakitangan, kurang ada. Bersara 50 orang, pengambilan cuma tiga orang. Satu hari kerja di klinik bayangkanlah 1,000 orang yang datang, yang kerja cuma lima orang. Kerja non-stop daripada tujuh pagi sampai 10 malam, makan pun tak sempat. Nak buang orang lagi?” soal Azih.


Jelas Azih, apa yang membuatkan masyarakat melihat lambakan kakitangan dalam perkhidmatan awam adalah kerana tentera, polis, kesihatan dan pendidikan turut diklasifikasi sebagai perkhidmatan awam, sepertimana tertakluk dalam Perlembagaan Persekutuan.

Peerkara itu tidak diamalkan di banyak negara di dunia dan tidak adil untuk membandingkan Malaysia dengan negara lain dalam hal tersebut.

“Jika dianalisa perkhidmatan awam kita, jumlah kakitangan hanyalah sekitar 500,000 jika tidak dikira sama empat cabang perkhidmatan tersebut,” katanya.

Ketika ini, terdapat 1.6 juta orang berkhidmat dengan kerajaan iaitu 11 peratus daripada jumlah keseluruhan tenaga kerja di negara ini, menjadikan nisbah penjawat awam kepada penduduk di Malaysia paling besar di rantau Asia Pasifik.

Menteri Kewangan II Datuk Johari Abdul Ghani juga sebelum ini memaklumkan bahawa terdapat kira-kira 1 orang penjawat awam untuk setiap 19.37 orang penduduk ketika ini, menyebabkan perbelanjaan kerajaan bertambah.

Tahun lalu sahaja kerajaan telah membelanjakan RM74 bilion untuk menggaji penjawat awam dan jumlah itu dijangka meningkat kepada RM76 bilion dan pada tahun ini.

Bagaimanapun Azih menyatakan bahawa kerajaan tidak terbeban dengan perkhidmatan awam.

“Kerajaan tak terbeban pun, dia yang sibuk jadi kerajaan. Kerajaan OK saja, saya jumpa Perdana Menteri beliau kata tak ada isu. Perdana Menteri mengatakan tahun 2017 adalah tahun delivery, delivery, delivery (penyampaian) kepada rakyat. Beliau tak kata tahun 2017 tahun kita kena buang orang kerana pekerja telah terlebih.

“Jadi apa yang kita nak balik ialah produktiviti. Kalau dulu kita boleh buat sepuluh perkara, hari ini kita kenaserve (berkhidmat) untuk rakyat 20 perkara,” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Khas kongres itu di ibu pejabatnya di sini hari ini, di mana mesyuarat sebulat suara menggesa kerajaan agar tidak melihat cadangan yang diutarakan bekas ketua setiausaha perbendaharaan Kementerian Kewangan, Tan Sri Mohd Sheriff Mohd Kassim kelmarin.

Berhubung itu, Azih menegaskan bahawa cadangan sebegitu tidak sepatutnya keluar daripada mulut seorang yang menikmati faedah yang banyak semasa tempoh perkhidmatan dahulu dan kini sedang menerima wang pencen.

Katanya, cadangan tersebut boleh menimbulkan kemarahan kakitangan awam dengan melihat keadaan semasa di mana kos sara hidup semakin meningkat.

-www.astroawani.com