Monday, December 31, 2012

Perutusan Yang Dipertua Kesatuan Pekerja-Pekerja LPPM, Semenanjung Malaysia Bil 4/2012 Sempena Sambutan Tahun Baru 2013

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 
Salam Sejahtera, Salam 1Malaysia 

Kedatangan tahun baru, 2013 disambut dengan penuh kesyukuran. Semoga 2012 
berlalu pergi dengan seribu panduan dan pengajaran. Kita berdoa agar setiap 
peristiwa yang dilalui mampu dijadikan peringatan untuk membimbing serta 
memimpin kita menyusuri tahun baru dengan tenang dan jayanya.  

Rakan-rakan sekerja sekelian,  

Apa jua yang dinikmati sepanjang tahun 2012, samada pangkat atau imbuhan, 
anugerah atau sanjungan, mahupun musibah dan kegagalan adalah merupakan 
senarai lengkap bagi membentuk peribadi kita di masa-masa yang mendatang.  

Tourism Malaysia telah melalui pelbagai fasa sekaligus membentuk wajah 
kematangan supaya sentiasa dilihat kukuh dan berpengaruh dalam industri 
pelancongan Negara. Pada saat ini, kucupan syukur serta takbir gembira perlu 
dilaungkan bagi mengingatkan kita pada kejayaan yang telah dikecapi bersama. 

Dalam hal ini, Kesatuan Pekerja-Pekerja LPPM berharap agar setiap pencapaian 
akan sentiasa diambil perhatian dan dipandang tinggi oleh pihak Pengurusan, 
sekaligus memberi pengiktirafan yang tidak berbelah bahagi kepada kumpulan 
pekerja khususnya kami di kumpulan sokongan.  

Rakan-rakan sekerja sekelian, 

Selama 40 tahun mengharungi naik dan turun industri, pelbagai cabaran dan 
halangan meniti, bergilir-gilir menghempas tanpa henti, namun apa yang 
menjadikan kita terus berdiri hanyalah rasa cinta pada organisasi ini.  


Tidak lupa pada rasa hormat dan sepakat sebagai satu famili, sentiasa memegang 
erat janji dan amanah yang telah diberi demi memartabatkan kendiri serta 
memelihara nama dan imej organisasi yang satu ini. 

Kesatuan ingin mengambil iktibar untuk berpesan kepada seluruh warga Tourism 
Malaysia, tidak kira pangkat atau jawatan, agar sentiasa berasa syukur dengan 
limpahan nikmat yang dikurniakan Ilahi. Kesatuan amat yakin bahawa dengan rasa 
syukur pasti akan menjauhkan diri kita dari sifat-sifat negatif seperti dengki dan 
tamak sekaligus menjauhkan kita dari rasuah serta gejala-gejala lain yang bakal 
menjatuhkan semangat dan moral warga Tourism Malaysia seluruhnya.  

Pada masa yang sama, kita juga harus memberikan 100% komitmen kepada setiap 
kerja yang kita lakukan dengan ikhlas serta penuh ketaqwaan agar setiap kerja yang 
kita laksanakan diangkat menjadi ibadah yang penuh keberkatan. Semoga anak dan 
isteri-isteri kita juga akan mendapat keberkatan tersebut.  

"Sesungguhnya harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi 
ujian, dan di sisi ALLAH jualah pahala yang besar"  

(Surah At-Taghaabun, 64:15)  

“Sesungguhnya berjayalah orang yang telah menerima peringatan itu terus 
berusaha membersihkan dirinya (dengan taat dan amal yang soleh)”  

(Surah Al-A’la, 87:14) 

 Rakan-rakan sekerja sekelian, 

Menjelang tahun baru ini, Kesatuan ingin mengambil kesempatan untuk memohon 
maaf jika terdapat kesilapan dan kekurangan sepanjang penggal 2011/ 2012. Semoga 
segala pandangan dan cadangan tuan / puan akan membantu kami dalam membina 
dan membentuk kekuatan yang berlipat ganda demi membawa usaha-usaha 
memperjuangkan kebajikan para pekerja, khususnya, ahli-ahli Kesatuan.  

Terima kasih kami ucapkan di atas kesetiaan dan pengorbanan tuan / puan.  

Semoga kedatangan tahun 2013 akan membawa lebih banyak peluang yang positif 
kepada seluruh warga kerja di Tourism Malaysia. Tiada jalan yang mudah, setiap 
cabaran perlu dihadapi dengan dada yang lapang dan minda yang terbuka. Kekuatan 
Kesatuan perlu diluaskan. Semoga cita-cita Kesatuan untuk mencapai sejumlah 500 
orang ahli akan tercapai pada tahun 2013 yang bertuah ini. Kami memohon doa dan 
harapan tuan / puan agar ia akan terlaksana. 

Mari kita jadikan tahun 2013 sebagai pemangkin untuk menjadi pekerja yang lebih 
baik, ayah yang lebih bertanggungjawab, ibu yang lebih mengasihani, suami yang 
lebih mencukupi, isteri yang lebih mentaati dan anak yang lebih merindui kedua-dua 
orang tuanya.  

Barangsiapa yang mahukan kemuliaan (maka hendaklah dia berusaha 
mencarinya dengan jalan mematuhi perintahNYA) kerana ALLAH jualah segala 
kemuliaan"  

(Surah Fathir, 35:10) 
  
Sehingga berjumpa lagi, Selamat Menyambut Tahun Baru 2013 dan Selamat Maju 
Jaya. 
  

(HASRIZAL MUHAMMAD SHAWAL TUKIJAN) 
Yang Dipertua 
Kesatuan Pekerja-Pekerja 
Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia 
Semenanjung Malaysia 

Saturday, December 29, 2012

CUEPACS mahu kerajaan umum jadual gaji secepat mungkin

KUALA LUMPUR: Cuepacs hari ini mahu kerajaan mengumumkan jadual gaji yang lengkap untuk pekerja sektor awam secepat mungkin bagi memastikan mereka dapat menikmati pergerakan gaji yang mantap. 
Setiausaha Agungnya, Loke Yim Pheng, berkata dengan adanya jadual gaji yang baru, ia juga dapat mengatasi masalah pekerja yang akan menghadapi masalah mencapai tahap gaji maksimum atau 'gaji mati' tahun depan. 



"Awal tahun depan, dianggarkan hampir 50,000 penjawat awam akan menikmati gaji maksimum, kalau mereka tidak ada jadual gaji yang lengkap, bermakna mereka tidak dapat pergerakan gaji," katanya kepada Bernama di sini. 

Sementara itu, Loke yang juga Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) berkata cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk mengambil guru dari India yang mahir dalam Bahasa Inggeris mengajar di sini merupakan cadangan yang baik. 

Beliau berkata kemasukan guru dari negara luar dapat berkongsi kepakaran dan idea serta amalan baik dengan guru di negara ini bagi melahirkan pelajar yang kreatif dan inovatif. 

"Tetapi, untuk jangka panjang, kita perlu membina dan membentuk satu kumpulan guru yang betul-betul berkualiti dan bertaraf antarabangsa, justeru mereka juga boleh berkongsi idea, kefasihan dalam Bahasa Inggeris dengan negara luar," katanya.


-bernama/maa.

Friday, December 28, 2012

Majlis Jasamu Dikenang 2012 - 40 Tahun Tourism Malaysia





Tahniah kepada penerima-penerima Anugerah Persaraan, Anugerah Khas Pengurusan, Anugerah KAT dan Anugerah Khidmat Setia.
-TM/maa.

Thursday, December 27, 2012

45,000 kakitangan kerajaan disambung kontrak


KUALA LUMPUR, 27 Dis (Bernama) - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) hari ini mengumumkan kontrak 45,000 kakitangan awam yang berstatus perkhidmatan kontrak akan disambung enam bulan lagi.

Presidennya Datuk Omar Osman berkata kontrak mereka akan diperbaharui mulai 1 Januari sehingga hujung bulan Jun nanti.

"Kita ucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak atas kebenaran ini, kesemua mereka akan mendapat surat penyambungan tidak lama lagi," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Majlis Kongres di sini hari ini.

Beliau mendapat keputusan itu dalam minggu ini dan pengumuman itu akan memberi harapan baru kepada 45,000 kakitangan kerajaan yang bimbang dengan masa depan mereka ekoran kontrak bakal ditamatkan pada hujung tahun ini.
-utusan/maa.

Thursday, December 13, 2012

Pesara dapat durian runtuh 17 Disember ini


KUALA LUMPUR 13 Dis. - Bayaran pencen dan Bayaran Khas Pesara kali kedua sebanyak RM500 kepada para pesara kerajaan akan dibuat pada 17 Disember ini.

Unit Komunikasi Korporat, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam kenyataan di sini hari ini berkata, perkara itu diputuskan kerajaan untuk dilaksanakan sempena sambutan Hari Krismas pada 25 Disember ini.

Sehubungan itu menurut kenyataan tersebut, penerima pencen yang dibayar melalui bank boleh menuntut bayaran berkenaan mulai 17 Disember ini manakala Bayaran Khas Pesara akan dikreditkan terus ke akaun bank penerima pencen termasuk penerima di bawah Skim B iaitu mereka yang tidak perlu mengisi borang tuntutan pencen di kaunter bank.

“Penerima pencen yang menerima waran pencen bertarikh 18 hingga 31 Disember 2012 juga boleh menunaikan waran mereka mulai 17 Disember ini.

“Perkara ini juga sudah dimaklumkan kepada semua pihak termasuk bank yang terlibat bagi maksud pelaksanaan," demikian menurut kenyataan itu.

Orang ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut berhubung pembayaran itu boleh menghubungi talian 03-88854906/4475/4476/4477/4478.
-utusan/maa.

Wednesday, December 12, 2012

'Mohon kontrak disambung'

Kuala Lumpur: Hampir 50,000 penjawat awam kontrak berkemungkinan terpaksa mencari pekerjaan lain berikutan belum menerima surat penyambungan perkhidmatan yang bakal tamat 31 Disember ini.

Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) yang meminta kerajaan melanjutkan kontrak berkenaan, menjelaskan kebanyakan kakitangan terbabit sudah berkhidmat lebih 10 tahun. 


Sara keluarga 

Presidennya, Datuk Omar Osman, berkata perkhidmatan kakitangan kumpulan sokongan dan pengurusan terbabit perlu diteruskan kerana kebanyakan mereka menanggung keluarga. 

“Kami berharap semua agensi, jabatan dan jabatan berkanun mengambil semula staf kontrak yang sudah berkhidmat ini. 
“Ia amat penting, kerana ada antara mereka memerlukan mata pencarian untuk meneruskan kehidupan,” katanya dalam satu sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi CUEPACS, di sini, semalam.

Hadir sama, Setiausaha Agung Cuepacs, Lok Yim Pheng bersama 37 anggota kesatuan. 

Mohon jasa baik PM 

Katanya, beliau turut memohon jasa baik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menimbang masalah itu kerana ia membabitkan jumlah yang ramai. 

“Selain itu, dalam isu penamatan kontrak juga, nasib sama turut dihadapi lebih 3,000 guru tadika dan pembantu mereka yang kini bertugas di bawah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN). 

“Kontrak mereka tamat 31 Disember ini,” katanya.

-berita harian/maa.