Saturday, August 31, 2013

Perutusan Hari Kebangsaan Yang Ke-56 2013


Bismillahirrahmanirrahim,
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia,

1. Alhamdulillah, segala puji dan syukur yang setulusnya, dipanjatkan ke hadrat Allah S.W.T., lantaran di bawah lembayung rahmat dan keredhaan-Nya, kita sebagai rakyat Malaysia, berpeluang meraikan ulangtahun kemerdekaan negara buat kali yang ke-56 dalam keadaan permai sentosa. Tahun ini juga merupakan tahun ke-50 Sabah dan Sarawak bersama-sama menyambutnya sejak 1963.

2. Sesungguhnya, bersesuaian dengan situasi semasa, MalaysiaKu Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku, telah dipilih sebagai tema yang tepat untuk Hari Kebangsaan kali ke-56 ini.

Saudara dan Saudari,
3. Hakikatnya, telah puluhan tahun rakyat Malaysia menempuhi pelbagai perubahan dan transformasi bersama, baik dari sudut politik, ekonomi mahupun sosial. Sepanjang tempoh itu juga, Malaysia menjadi sebuah negara yang berdaulat dan merdeka, bebas dari cengkaman serta belenggu penjajahan asing.

4. Sesungguhnya, kedaulatan menjadi faktor yang menunjang kita sebagai sebuah negara tidak datang secara bergolek. Telah banyaknya keringat yang mengalir, telah sekian tumpahnya darah pengorbanan. Semua itu hasil perjuangan para pemimpin bersama generasi terdahulu, hatta bersinambung sampai sekarang.

5. Maka yang demikian, memiliki kedaulatan bermaksud, kita berhak sepenuhnya dalam segala urusan mentadbir, memerintah dan menentukan sendiri halatuju negara. Malah, dalam menjiwai kemerdekaan dan kisah-kisah meraihnya, kita juga wajib terus memelihara dan mempertahankan perkara-perkara berkaitan Raja-Raja Melayu, kedudukan Agama Islam, serta keistimewaan Melayu dan Bumiputera, seperti mana bapa-bapa kita terdahulu telah maktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Saudara dan Saudari,
6. Kita menginsafi, dunia kini sering berdepan dengan pelbagai mehnah dan pancaroba. Justeru, kita terdedah dengan pelbagai ancaman oleh dalang-dalang yang cuba mewujudkan sengketa di serata dunia. Umpamanya, krisis dalaman yang sedang melanda di beberapa buah negara Arab, akhirnya bertukar menjadi kecemperaan politik yang berpanjangan.

7. Pergolakan yang mengorbankan ribuan nyawa rakyat tidak berdosa sebegini, wajar dijadikan iktibar kepada kita semua. Konflik yang sedang berlarutan, seperti tiada kesudahannya. Cahaya di hujung terowong yang dinantikan oleh rakyat mereka, tampaknya masih samar dan buntu. Demikianlah jika perubahan yang ditagih hanya sekadar perubahan semberono. Natijahnya, kemusnahan ekonomi dan pertumbuhan negara akan terjejas pabila tiadanya kestabilan dan perpaduan.

Saudara dan Saudari,
8. Merujuk ehwal negara kita, peristiwa hitam pencerobohan bersenjata di Lahad Datu, Sabah baru-baru ini turut mengorbankan nyawa para perajurit tanah air. Sudah tentu, tragedi berdarah ini akan menjadi satu pengajaran kepada kita bahawa, Malaysia tidak terlepas daripada terdedah kepada ancaman musuh dari luar.

9. Hakikatnya, tragedi walang itu telah menyentap benak sanubari rakyat Malaysia, tentang peri-mustahak untuk kekal bersatu, demi mempertahankan kedaulatan negara. Lantaran, kita tidak boleh kunjung jemu untuk menyemai benih-benih jatidiri dan pucuk-pucuk semangat cintakan negara di kalangan rakyat, khususnya golongan muda yakni generasi pewaris.

10. Pendek kata, sambutan Kemerdekaan bukanlah sekadar laungan membangkitkan semangat. Lebih dari itu, ia perlu disulami dengan penghayatan yang mendalam. Sememangnya lagi, kita tidak mahu kemerdekaan hanya pada nama. Pengisiannyalah yang lebih utama, dan terbukti, kita telah pun melalui episod-episod seperti perselisihan antara kaum, krisis kewangan dan kemelut politik. Syukurlah semua itu kita lalui dengan jayanya.

11. Sesungguhnya jua, perkara utama untuk direnungkan dalam mencapai maksud ulang tahun kemerdekaan adalah, sejauh manakah kejayaan kita sehingga kini dalam mempersiapkan dan mempersembahkan sebuah Malaysia yang progresif bagi ditinggalkan kepada zuriat hari muka.

12. Jelasnya, pada hemah saya, pelbagai usaha perlu digembleng dan dibugarkan, demi mencelikkan sejarah kepada generasi muda tanpa mengira latar agama, keturunan mahupun budaya. Anak-anak muda sebagai bunga-bunga bangsa perlu terus dibimbing dan diasuh, dipersiapkan dengan jatidiri dan diperteguhkan semangat patriotisme mereka. Barulah Malaysia dengan rakyatnya yang berjiwa besar, akan kekal berdaulat lagi merdeka dalam permaknaan sebenar.

Saudara dan Saudari,
13. Secara tuntas, Malaysia sebuah negara berbilang kaum yang unik di dunia. Keunikan inilah menjadikan kita istimewa dan aset bagi mencapai taraf negara maju berpendapatan tinggi beberapa tahun lagi.

14. Pucuk pangkalnya, kini bukanlah masanya untuk kita berpecah belah. Walau apa dugaan yang merintang, kita tidak boleh berputus asa, sebaliknya harus mara ke hadapan untuk memajukan negara berasaskan perpaduan nasional. Atas sebab itu, saya yakin dan percaya tiada siapa pun pihak luar yang berhak mengajar kita bagaimana hendak berjalan, kerana kita sudah lama bertatih dan melangkah.

15. Kesimpulannya, rupa dan wajah Malaysia seperti mana yang kita lihat dewasa ini, telah dibina melalui pelbagai ikhtiar, perancangan teliti, serta strategi yang rapi oleh pihak Kerajaan sejak berdekad lalu, mengikut pendekatan serta acuan kita yang tersendiri.

16. Akhir kalam, saya ingin berpesan kepada semua rakyat Malaysia, hargailah keamanan, peliharalah keharmonian, pupuklah perpaduan dengan mencintai watan. Ayuh, marilah kita berpadu, dengan obor perjuangan yang jitu, demi Malaysia yang satu.

Selamat Menyambut Ulangtahun Kemerdekaan Ke-56.
Merdeka, Merdeka, Merdeka. Dirgahayu Malaysiaku.
Sekian, Wabillahi Taufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
(Perdana Menteri Malaysia)
-www.1malaysia.com.my

Monday, August 12, 2013

Naikkan kadar pencen pesara kepada 10 peratus


KUALA LUMPUR 11 Ogos - Kelab Persatuan Pesara Kerajaan 1Malaysia (Kupekmas) meminta kerajaan mengkaji kenaikan kadar pencen kepada 10 peratus berbanding dua peratus seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini.

Menurut Setiausaha Agungnya, Datuk Abdul Rahman Manan, kadar dua peratus adalah terlalu kecil jika dibandingkan dengan kos sara hidup dan harga barang yang semakin meningkat.

"Kami berterima kasih atas kenaikan dua peratus itu, namun persatuan berasakan kadar itu agak tidak memberangsangkan. Contohnya kalau pencen yang diterima RM1,000 sebulan, kenaikan yang diperoleh hanya RM20.

"Jadi, kami minta kenaikan pencen tahunan itu dinaikkan kepada 10 peratus seiring dengan dua kenaikan gaji tahunan kepada kakitangan awam berkuat kuasa Julai lalu. Wajarlah ia dipanjangkan juga kepada pesara-pesara kepada peratusan yang sesuai," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, tuntutan tersebut merupakan tiga perkara utama yang dikemukakan kepada Bahagian Pencen Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam pertemuan berkala yang diadakan sejak kelab itu dilancarkan pada 19 Julai tahun lepas oleh Perdana Menteri.

Katanya, menerusi kertas kerja yang dikemukakan kepada JPA itu juga, persatuan turut menuntut kerajaan mengkaji semula kadar pembayaran pencen seimbang kepada kira-kira 150,000 pesara yang tamat perkhidmatan pada usia 55 sebelum 2001.

Beliau menyifatkan pesara yang terlibat tidak menerima kadar pencen yang berpatutan kerana hanya menerima separuh gaji akhir atau maksimum 25 tahun perkhidmatan berbanding mereka yang bersara selepas tahun tersebut yang mendapat bayaran pencen sebanyak 70 peratus.

"Jadi sekarang memandangkan kakitangan kerajaan bersara pada usia 60 tahun, kita minta supaya perkara ini dikaji semula supaya mereka yang terlibat sebelum ini menikmati kenaikan pencen yang seimbang," katanya.

Selain itu, jelasnya, Kupekmas juga meminta bayaran pencen di bawah RM300 diselaraskan kepada RM720 terutama kepada bekas kakitangan badan kerajaan yang kemudian diswastakan seperti Lembaga Letrik Negara (LLN) yang kini dikenali sebagai Tenaga Nasional Berhad (TNB).

"Setelah diswastakan, mereka dianggap bukan lagi pesara kerajaan dan pencen mereka dibayar ikut tempoh sepanjang berada di bawah kerajaan manakala duit simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja pula sudah habis dikeluarkan. Isunya sekarang JPA memaklumkan mereka ini tidak cukup tempoh perkhidmatan.

"Kami memandang ia sebagai prinsip kemanusiaan dan perlu dipertimbangkan mereka ini untuk menerima pencen sekurang-kurangnya RM720 sebulan memandangkan sebahagian mereka yang menerima pencen RM720 sebulan sebelum ini telah mendapat kenaikan pencen kepada RM820 pada tahun lepas," katanya.
-utusan.

Wednesday, August 7, 2013

Perutusan Perdana Menteri Sempena Hari Raya Aidilfitri 2013


Bismillahirrahmanirrahim,
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam 1Malaysia,

1. Pertama-tamanya, bersamalah kita dengan penuh rasa syahdu menggemakan takbir dan kalimah-kalimah tahmid bagi menyambut detik kemenangan pada Hari Raya Aidilfitri yang mulia ini.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillah hil Hamd’

Saudara dan saudari,

2. Alhamdulillah, kita rafakkan rasa syukur tidak terhingga, bersempena hari lebaran penuh syahdu dan barakah ini. Pastinya, segala ini mampu dinikmati dek kerana keamanan, kemakmuran serta keharmonian yang wujud. Tentunya juga, dengan izin Allah SWT, kita dalam keadaan bebas daripada peperangan, persengketaan, mahupun bencana alam melampau sepertimana yang melanda saudara-saudara seakidah di beberapa negara seluruh dunia.

3. Justeru, setiap seorang daripada kita perlu menginsafi betapa bukannya mudah untuk membina tapak seterusnya mempastikan keberlangsungan sebuah negara yang stabil seperti Malaysia hari ini. Pucuk pangkalnya, benarlah kata orang bijak pandai bahawa perpaduan bukannya barang boleh diganti, perpaduan bukannya barang yang boleh dijual beli. Jelas sekali, perpaduan nasional yang mapan adalah tunjang kepada haluan Malaysia menjadi sebuah negara maju yang dijangkakan sekitar 7 tahun lagi.

Saudara dan Saudari,

4. Dalam konteks Islam pula, perpaduan nasional yang tuntas tidak mungkin dicapai oleh umat jikalau tiadanya ijmak di dalam perkara-perkara asas beragama, ditambah pula polemik tanpa kesudahan yang akhirnya akan merugikan semua pihak. Makanya, pada hari-hari kebesaran seperti ini, atas nama negara yang tercinta, pupuklah dan teruskanlah menyemai bibit-bibit kesatuan sesama kita, bukannya perpecahan demi pengukuhan perpaduan kebangsaan.

5. Kata orang, yang baik jadikan teladan, yang buruk jadikan sempadan. Ini merujuk kepada apa yang dapat kita saksikan di pelbagai sudut dunia, di mana ketidakstabilan dan di mana fahaman melampau, menjadi elemen negatif yang sedang memporak-perandakan sesebuah negara bangsa, hatta menghancurkan kelestarian tamadunnya. Sesungguhnya, kita hendaklah beringat-ingat bahawa untuk membina sebuah peradaban memerlukan tempoh yang panjang. Namun, untuk meranap dan merudumkannya hanyalah dalam sekelip mata.

Saudara dan Saudari,

6. Di Malaysia, Islam bukan sahaja termaktub sebagai Agama Persekutuan dalam Perlembagaan yang merupakan undang-undang tertinggi negara, tetapi juga syiar pengamalannya bersifat meluas merangkumi bukan sahaja bidang ibadah tetapi juga munakahah, muammalah dan jinayah. Melaluinya, kita berjaya mengamalkan Islam sebagai cara hidup yang syumul di negara ini.

7. Dalam konteks yang sama juga, Malaysia adalah negara Islam berasaskan Ahli Sunnah Wal-Jama’ah. Maka, umat Islam di Malaysia hendaklah hanya mengikut ajaran Islam yang berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal-Jama’ah dari segi akidah, syariah dan keperibadian. Kerajaan juga memperakukan bahawa ajaran Islam yang lain daripada pegangan Ahli Sunnah Wal-Jama’ah adalah bercanggah dengan Hukum Syarak dan Undang–Undang Islam, dengan demikian penyebaran apa–apa ajaran yang lain daripada pegangan Ahli Sunnah Wal-Jama’ah adalah dilarang.

8. Penetapan dasar ini sesuai dengan konsep maqasid syariah yang meletakkan pemeliharaan agama sebagai objektif utamanya. Dalam hal sebuah negara, sememangnya tanggungjawab menjaga keluhuran dan kesucian agama terletak di bahu pemerintah. Di sinilah Kerajaan Malaysia berperanan menjalankan prinsip memelihara agama dan mentadbir negara berteraskan siyasah syar-iyyah.
9. Lantaran itu, sebagai umat Islam, kita haruslah memahami bahawa penetapan Ahli Sunnah Wal-Jama’ah sebagai mazhab rasmi negara adalah bertujuan untuk mempastikan kesucian akidah dan syariah Islam dapat dibela sekaligus dipertahankan agar perpaduan umat Islam sentiasa berkekalan. Kerana itu, saya menyeru kepada seluruh umat Islam supaya berwaspada dan berhati-hati, janganlah sesekali terpedaya pada pengaruh atau fahaman menyimpang yang sedang menular dan cuba merosakkan tradisi amalan Islam di Malaysia ini.

10. Sejak dahulu, perkembangan syiar Islam di Nusantara dan Malaysia khususnya, menjadi lambang betapa Islam adalah agama yang syumul. Berteraskan Al-Quran dan As-Sunnah, Islam adalah cara hidup yang paling sesuai dengan fitrah manusia dan sesuai untuk semua zaman serta situasi. Dengan demikian, sebagai umat Islam, kita seharusnya berwaspada dan berhati-hati dengan fahaman yang menyongsang daripada ajaran murni Ahli Sunnah Wal-jama’ah selama ini. Pokoknya, kita tidak mahu sifat taksub dan fanatik yang akan mengelirukan rakyat khususnya orang Islam kerana akan memecahbelahkan ummah.

Saudara dan Saudari,

11. Makanya, saya menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia, untuk mengambil yang jernih dengan meruntuhkan dan merungkaikan prejudis antara satu sama lain. Bukalah pintu hati dan pintu rumah dengan jujur dan ikhlas dalam meraikan perayaan Aidilfitri. Pada yang berkelapangan teruskanlah tradisi kunjung-mengunjung dan mempertautkan muhibbah rakyat Malaysia.

12. Dalam pada itu, rahmat kesejahteraan yang tercipta, telah membolehkan kita menyambut hari raya dalam suasana damai. Sebab itu, marilah kita juga sama-sama mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada prajurit tanah air terutamanya yang bertugas di perbatasan, serta anggota pasukan keselamatan yang sejak sekian lama telah mempertaruhkan jiwa dan raga mereka demi mempertahankan keamanan dan kedaulatan negara.

13. Akhir kalam, pada kesempatan ini, saya turut menyusun jari sepuluh memohon ampun dan maaf bagi pihak diri saya, isteri serta keluarga di atas apa-apa kekhilafan. Saya juga berdoa ke hadrat Allah SWT supaya kita semua dapat menyambut hari lebaran ini dengan penuh kegembiraaan di samping mereka yang tersayang.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillah hil Hamd’
Wabillahi Taufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

YAB. DATO’ SRI MOHD NAJIB BIN TUN HAJI ABDUL RAZAK
PERDANA MENTERI MALAYSIA
-www.1Malaysia.com.my

Wednesday, July 24, 2013

PM umum bantuan Raya RM500 kepada penjawat awam


KUALA LUMPUR 24 Julai - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan RM500 sebagai persiapan Aidilfitri kepada penjawat awam.

Pemberian bantuan itu melibatkan penjawat awam Gred 1 hingga 54. Para pesara pula akan menerima bantuan RM250.

Pembayaran bantuan akan dibuat pada 31 Julai ini.
-utusan.

Sunday, July 21, 2013

CUEPACS mahu penjawat awam lebih berdedikasi laksana tugas


KUALA BESUT 21 Julai - Penjawat awam digesa meningkatkan dedikasi selain ikhlas dalam melaksanakan tugas selaras dengan pelbagai kemudahan dan insentif yang diberi kerajaan kepada mereka.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, mereka juga perlu mengubah minda daripada menumpukan perhatian terhadap tuntutan kebajikan kepada membantu kerajaan meningkatkan sistem penyampaian.

"Penjawat awam dituntut mahir dalam peranan mereka bagi membantu kerajaan yang telah banyak melayan pelbagai tuntutan yang dikemukakan yang tidak selalu diperoleh di negara lain," katanya kepada Bernama di sini.

Beliau turut menasihatkan penjawat awam menjalani pemeriksaan kesihatan apabila umur mencecah 40 tahun bagi memastikan mereka berada dalam keadaan yang terbaik untuk terus berkhidmat sehingga umur persaraan.

"Kita tidak mahu ada penjawat awam yang tidak sihat tetapi masih meneruskan perkhidmatan mereka sehingga 60 tahun yang pasti tidak akan membantu dalam meningkat prestasi perkhidmatan awam," katanya.
-utusan.

Wednesday, July 17, 2013

Aidilfitri: PM bayangkan berita gembira penjawat awam


PUTRAJAYA 17 Julai - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan akan mengkaji kemungkinan mengumumkan khabar baik kepada penjawat awam terutamanya menjelang perayaan Aidilfitri nanti.

Perdana Menteri yang ditanya pemberita mengenai perkara itu kelihatan senyum dan memberi jawapan ringkas bahawa kerajaan masih mempunyai masa untuk memutuskan soal tersebut.

"Nanti, kita akan melihat perkara ini. Ada masa lagi," katanya ketika menjawab pertanyaan pemberita dalam sidang akhbar yang diadakan selepas majlis pertukaran memorandum pelaburan Koridor Utara di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam
(CUEPACS ), Datuk Omar Osman meminta kerajaan mempertimbangkan pemberian bonus dua bulan setengah kepada 1.5 juta penjawat awam di negara ini iaitu setengah bulan dipertimbangkan dibayar sebelum Aidilfitri.

Omar berkata, pemberian bonus itu mengurangkan beban penjawat awam dalam membuat persiapan hari raya kerana perbelanjaan ketika Ramadan dan Aidilfitri adalah tinggi berbanding hari biasa.

Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Dr. Ali Hamsa pula percaya Perdana Menteri, akan memutuskan isu pemberian bonus kepada penjawat awam
sempena pembentangan Bajet 2014 nanti.
-utusan.

Monday, July 15, 2013

Kerajaan belum bincang pemberian bonus Aidilfitri - KSN


PUTRAJAYA 15 Julai - Kerajaan masih belum berbincang mengenai pemberian bonus kepada 1.4 juta penjawat awam sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini, kata Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan sebelum ini telah mengumumkan Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) sebanyak dua kali untuk tahun ini sahaja.

"Itu juga boleh dianggap bonus, namun terpulang kepada kerajaan tetapi selalunya pemberian bonus pada hujung tahun dan bergantung kepada output, sekarang terlalu awal untuk membincangkan perkara itu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ali berkata untuk tahun ini sahaja kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM2 bilion bagi pemberian KGT selain penyelarasan gaji untuk skim-skim tertentu.

"Bagi bulan ini sahaja sebanyak enam skim akan ditambah baik dan 81 skim lagi pada November nanti," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas permintaan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) untuk pemberian bonus setengah bulan gaji sebelum Adilfitri yang dijangka disambut pada 8 Ogos ini.
-bernama.