Tuesday, November 18, 2008

Ucapan Timbalan YDP Semasa Mesyuarat Agong Kesatuan Ke - 29

Bismillahirrahmanirrahim,
Assalamualaikum dan salam Sejahtera,

Yang Diutamakan Tuan Pengerusi Majlis
Y.Brs Encik Amirrudin Abu, Menanggung Keja Ketua Pengarah (Tourism Malaysia)
Y. Brs. Tuan Haji Azizan Noordin, Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan)
Pengarah-pengarah Bahagian
Wakil-wakil Kumpulan A, Saudara Ammar Abdul Ghapar dan Saudara Bahrudin Sulaiman, tuan-tuan, puan-puan, saudara-saudari sidang hadirin yang saya muliakan.

Saudara/Saudari yang saya hormati,
Saya ditugaskan hari ini untuk menyampaikan amanat YDP Kesatuan yang kini bertugas di pejabat TM Seoul, Korea.

Sekiranya kita masih ingat pihak Kesatuan telah mengadakan Mesyuarat Agong Luar biasanya pada bulan 13 Februari 2008. Selepas dari Mesyuarat tersebut Ahli Jawatankuasa telah mengadakan mesyuarat AJK nya yang pertama pada 25 Februari 2008. Kita telah merancang dan berusaha menambahkan keahlian Kesatuan sekerja dan juga berusaha menambahkan dana Kesatuan. Kita telah melibatkan diri di dalam beberapa aktiviti seperti yang disenaraikan oleh Setiausaha di dalam laporan beliau sepanjang sesi 2007/2008. Di antara aktiviti-aktiviti tersebut adalah seperti berikut:

· Perhimpunan Perpaduan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan pada 3 Mei 2008.
Seramai 50 orang pegawai dan kakitangan telah mewakili Tourism Malaysia ke perhimpunan tersebut. Pihak Pengurusan telah memberikan kerjasama menjayakan usaha ini. Kita ucapkan berbanyak terima kasih.
· Perhimpunan Hari Pekerja Sektor Perkhidmatan Awam pada 10 Mei 2008 bertempat di Putrajaya Convention Centre. Usaha ini juga mendapat kerjasama Wakil Kumpulan A dan pihak Pengurusan.
· Majlis Bersama Jabatan pada 10 Jun 2008. Antara isu-isu yang dibincangkan seperti pertukaran tempat kerja, Majlis Malam Mesra TM, penempatan pegawai gred N ke luar negara, pemangkuan, ubahsuai pejabat dan pengurusan pantry. Masih ada perkara-perkara yang tertunggak.
· Pihak Kesatuan juga telah beberapa kali mengadakan mesyuarat jawatankuasa kerja, perjumpaan, perbincangan dengan pihak Pengurusan pada tarikh-tarikh 5 September, 17 September dan 15 Oktober, 17 Oktober dan 31 Oktober 2008 di dalam usaha mencari jalan penyelesaian kepada isu-isu yang rumit.
· Pihak Kesatuan telah berusaha menawarkan beberapa kemudahan seperti memperbaharui insurans kenderaan dan pembelian polisi peribadi untuk ahli-ahli Kesatuan dan pegawai di Tourism Malaysia melalui Kesatuan. Sambutan kurang memberangsangkan walaupun mendapat galakan Mantan Pengarah Pengurusan.
· Pihak Kesatuan pada 19 Mac 2008 telah menyediakan laluan e-mel tm-union@tourism.gov.my sebagai saluran komunikasi kepada ahli dan pegawai di Tourism Malaysia. Kaedah ini amat memudahkan AJK Kesatuan. Syabas kepada Penolong Setiausaha kita.
· Pada 7 November 2008 pula, pihak Kesatuan membuka blog Kesatuan dengan alamat http://tm-union.blogspot.com. Ruang komunikasi ini seharusnya digunakan dengan semangat penuh tanggung jawab bersama. Ahli-ahli dan pegawai bolehlah menyuarakan cadangan, pendapat, kritikan dengan tujuan mencari jalan penyelesaian. Pihak Kesatuan ingin berpesan agar kita berhemah tatkala menggunakan forum ini.

Alhamdulillah, dengan komitmen dan keprihatinan Y.Bhg Dato’ KP kita serta jalinan kerjasama yang baik dengan Pihak Pengurusan, sebahagian daripada perkara-perkara yang menjadi masalah telah berjaya diselesaikan. Walau bagaimanapun, masih terdapat perkara-perkara yang masih belum diambil tindakan sewajarnya oleh Pihak Pengurusan. Kesatuan faham dengan komitmen kerja yang semakin banyak saban hari, masa yang sentiasa mengejar, kekangan dan tekanan tertentu tapi sebenarnya ia tidak boleh dijadikan alasan untuk Pihak Pengurusan melengah-lengahkan di dalam mencari jalan penyelesaian. Kesatuan sangat berharap agar Pihak Pengurusan memberi tumpuan serius di dalam menangani isu-isu yang dibangkitkan terutama yang masih tertangguh dan mengharapkan ianya dapat diselesaikan dengan tidak hanya menunggu rundingan di meja Majlis Bersama Jabatan (MBJ) semata-mata. Untuk makluman semua, mesyuarat MBJ pada tahun lepas berjaya diadakan sebanyak 2 kali sahaja berbanding Mesyuarat Pengurusan yang boleh diadakan setiap minggu. Setakat ini kita baru sekali dapat berunding melalui mesyuarat MBJ. Adalah diharapkan kita dapat bermesyuarat di dalam masa terdekat bagi menangani isu-isu yang berbangkit.



Encik Amir/Tuan/Puan/Saudara/Saudari sekalian,

Kita sedia maklum proses Penyusunan Semula Organisasi setakat ini memperlihatkan pertambahan kakitangan dan juga peluang kenaikan pangkat. Menerusi Penyusunan Semula Organisasi ini, Kesatuan berasakan sudah tiba masanya bagi Pihak Pengurusan mempunyai rangka pembangunan kerjaya bagi setiap warga TM dengan menaiktarafkan Unit Sumber Manusia ke taraf Bahagian. Pertambahan warga kerja TM daripada 700 orang kepada lebih kurang 1000 orang juga menjadikan ‘Expectation’ atau harapan Organisasi dan Kerajaan kepada kakitangan TM juga semakin tinggi. Justeru itu, pembangunan modal insan perlulah dibangunkan secara berterusan di semua peringkat. Hanya dengan adanya satu Bahagian Sumber Manusia kita akan mula melihat banyak masalah yang kita hadapi kini dapat diselesaikan. Hasrat ini jika kita capai akan membolehkan setiap warga kerja mencapai mutu kerja dan hasil yang diharapkan. Setiap warga kerja TM mempunyai hak. Kita dilindungi oleh undang-undang buruh seperti Akta Pekerjaan, Akta Kesatuan Sekerja, Akta KWSP dan Akta Keselamatan Sosial Pekerja.

Pihak Kesatuan memohon Pihak Pengurusan mengambil kira mutu tempat bekerja yang selesa bagi setiap kakitangan. Tempat kerja yang kondusif amat penting, tetapi sehingga kini masih terdapat kakitangan yang terpaksa berfungsi dari Bahagian lain. Kesatuan bimbang, produktiviti kerja kakitangan berpotensi merosot dengan persekitaran kerja yang kurang selesa. Pihak Kesatuan juga berpandangan, kita semestinya prihatin terhadap warga kerja yang kurang upaya dan di mana boleh menawarkan kerja yang lebih terjamin.


Encik Amir/Tuan/Puan/Saudara/Saudari sekalian,

Tahun 2007 dan pada tahun ini memperlihatkan peningkatan dari segi kedatangan pelancong. Menurut laporan, bagi tempoh setakat Januari hingga September 2008, negara kita menerima kedatangan seramai 16.3 juta pengunjung. Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 4.4% dari tahun 2007 di mana di dalam jangka yang sama seramai 15.6 juta pelancong berkunjung ke Malaysia. Kita kira tiada siapa dapat menafikan pencapaian TM selama ini adalah manifestasi kerja dan komitmen yang ditunjukkan oleh warga kerja TM. Sesuai dengan komitmen kerja yang ditunjukkan oleh warga kerja TM, adalah diharapkan pihak Pengurusan tidak lupa menyediakan insentif bersesuaian sebagai menghargai sumbangan mereka.

Encik Amir/Tuan/Puan/Saudara/Saudari sekalian,

Sepertimana pendirian Kesatuan sebelum ini, kita sentiasa mengambil sikap inginkan kerjasama dan kesefahaman dan sentiasa bersedia berdialog untuk penambahbaikan kakitangan dan lebih penting dari itu dapat mengekalkan komitmen kerja yang tinggi kepada Organisasi. Kesatuan percaya kita boleh meluahkan pendapat dan pandangan yang berbeza dari pihak Pengurusan, tetapi matlamat akhirnya mestilah mencari jalan penyelesaian kepada isu-isu yang kita hadapi.

Di sini, pihak Kesatuan ingin mengingatkan kepada semua ahli dan diri saya sendiri agar berusaha menjalankan tugas di tempat kerja dengan rasa tanggungjawab, menjaga disiplin, tidak mempersendakan agama, dan menjauhkan daripada melakukan perkara-perkara yang menyalahi undang-undang seperti rasuah dan salah guna kuasa. Kita belajarlah saling hormat menghormati dan tanamkan sikap mahu bekerjasama sesama kita. Sekiranya kita di kedudukan di atas menjawat jawatan yang lebih tinggi, tidak bermakna kita boleh menganiaya orang lain (terutama SKT yang patut dinilai dengan lebih adil dan munasabah, bukan peluang menindas dan membalas dendam).

Encik Amir/Tuan/Puan/Saudara/Saudari,

Sekiranya kita masih ingat, CEUPACS pada tahun 2007 telah mengemukakan beberapa tuntutan kepada Kerajaan. Selain dari kenaikan gaji, umur persaraan yang baru, juga menuntut peperiksaan PTK dimansuhkan. Mengenai tuntutan pemansuhan peperiksaan PTK, walaupun, Kerajaan tidak menunaikan tuntutan tersebut, namun kerajaan menyarankan kaedah-kaedah lain yang bersesuaian boleh dipertimbangkan. Pihak Kesatuan menyokong tuntutan CEUPACS dan ingin mencadangkan agar pihak Pengurusan mencari kaedah yang lebih efektif dari segi kos dipertimbangkan sebagai alternatif untuk urusan kenaikan pangkat warga kerja TM memandangkan kita adalah sebuah jabatan tertutup. Dengan cara sedemikian, kita mungkin boleh menyelesaikan beberapa masalah yang telah timbul baru-baru ini.

Encik Amir/Tuan/Puan/Saudara/Saudari,

Di kesempatan yang akhir ini, bagi pihak AJK Kesatuan dan ahli keseluruhannya, sekali lagi merakamkan ribuan terima kasih kepada Y.Brs. Encik Amir kerana dapat meluangkan masa menghadiri majlis kita walaupun dalam kesibukan waktu dan kerja dan seterusnya sudi merasmikan Mesyuarat Agong Tahunan Kesatuan Pekerja-Pekerja TM kali ke-29.
Sekian, terima kasih.

Wassalam,
t.t
Noel Bin Nor Jettey
Naib Yang Dipertua bagi pihak YDP
KESATUAN PEKERJA-PEKERJA TOURISM MALAYSIA

06 November 2008

No comments: