Sunday, May 13, 2012

Kebajikan pekerja dijaga - Najib


Ribuan warga pekerja yang hadir pada Perhimpunan Hari Pekerja 2012 bertemakan Pekerja Berinovatif Penggerak Tranformasi yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Pusat MAEPS di Serdang, Selangor, semalam. - BERNAMA


KUALA LUMPUR 12 Mei - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, kebajikan pekerja akan menjadi falsafah dan agenda perjuangan kerajaan pada masa kini dan akan datang. Beliau berkata, ia akan menjadi pegangan kerajaan bagi memastikan semua pihak iaitu pekerja, majikan dan kerajaan meraih keuntungan. ''Kalau kita menjaga kebajikan pekerja, pekerja akan untung, syarikat untung malah kerajaan juga akan meraih keuntungan. ''Namun jika kita menekan kebajikan pekerja, syarikat tidak akan mendapat keuntungan tambahan, pekerja rugi, syarikat pun rugi dan negara juga akan rugi,'' katanya.


Beliau berkata demikian dalam amanatnya sempena Sambutan Hari Pekerja 2012 peringkat kebangsaan yang turut dihadiri oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam dan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd. Sidek Hassan di Tapak Pameran Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang, dekat sini hari ini.


Lebih 10,000 pekerja menghadiri sambutan itu yang turut dihadiri oleh Ketua Perkhidmatan Awam, Tan Sri Abu Bakar Abdullah, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman dan Presiden Kesatuan Kongres Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd. Khalid Atan.


Dalam pada itu, Najib mengingatkan semua pihak untuk meningkatkan produktiviti masing-masing selaras dengan kenaikan gaji. Beliau mengambil contoh prestasi luar biasa yang dicatatkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang memperlihatkan lonjakan tinggi dalam produktiviti. ''Jika kita lihat contoh tersebut, kita boleh bayar gaji lebih kepada jabatan dan agensi lain tanpa menjejaskan ekonomi tetapi kita kena tambah produktiviti,'' ujar beliau. Beliau juga percaya hubungan baik dan persepakatan antara kerajaan, majikan dan pekerja yang wujud di negara ini sekarang akan memudahkan perjalanan untuk menjayakan transformasi negara. "Saya penuh yakin dengan kerjasama ketiga-tiga pihak antara pekerja, majikan dan kerajaan maka kita akan terus kukuh membentuk persefahaman dan kesepakatan jitu ke arah mewujudkan suasana dan perhubungan harmoni dan kondusif,'' katanya.
-utusan/maa.

No comments: