KUALA LUMPUR 8 Okt. — Penjawat awam perlu bekerja lebih rajin dan meningkatkan produktiviti mereka selepas mendapat kenaikan gaji dan pemberian bonus dalam Belanjawan 2012, kata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan.
Beliau berkata, pemberian imbuhan itu merupakan satu pengiktirafan kerajaan terhadap sumbangan oleh semua penjawat awam tanpa mengira pangkat.
"Saya meminta penjawat awam meningkatkan prestasi dan produktiviti mereka dari semasa ke semasa dalam memastikan negara mencapai status negara maju menjelang tahun 2020 dan menjadi sebuah negara yang kompetetif dalam semua sektor seperti ekonomi, pendidikan dan modal insan,” katanya.
Beliau berkata, demikian kepada pemberita selepas mewakili Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah merasmikan majlis konvokesyen Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ke-27 di kampus universiti itu di Gombak di sini hari ini. Turut hadir ialah Rektor UIAM Datuk Dr Zaleha Kamaruddin.
— Bernama
No comments:
Post a Comment