Tuesday, October 11, 2011

MTUC akan berpiket seluruh negara pada 3 November

KUALA LUMPUR 11 Okt. - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) akan berpiket di seluruh negara pada 3 November untuk membantah cadangan pindaan Akta Pekerjaan yang diluluskan Dewan Rakyat minggu lepas, kata presidennya, Mohd. Khalid Atan.

Beliau berkata, keputusan untuk berpiket di seluruh negara diputuskan malam tadi pada mesyuarat yang dihadiri wakil-wakil dari lebih 100 kesatuan.

"Kita putuskan untuk berpiket di seluruh negara kerana Kementerian Sumber Manusia berkeras untuk meneruskan pindaan itu walaupun kita minta ditangguhkan agar lebih banyak perbincangan boleh dibuat mengenai perkara itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, MTUC membantah dengan kerasnya pindaan itu dan telah menghantar surat meminta menangguhkan pindaan tersebut kepada Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam pada mesyuarat Majlis Penasihat Buruh Negara (NLAC) 3 Oktober sebelum kira-kira 200 anggota MTUC berpiket di luar Parlimen hari itu.

"Ramai pekerja dan pemimpin kesatuan tidak berpuas hati dengan kementerian itu yang tidak menghiraukan bantahan kita terhadap cadangan pindaan tersebut dan meneruskan pembentangan. Sehubungan itu, kita putuskan untuk mengadakan piket bagi menunjukkan betapa kita tidak puas hati,” tambah beliau. 

- Bernama

No comments: