Friday, October 7, 2011

Petikan Ucapan Bajet Tahun 2012

FOKUS KEEMPAT: MEMPERKEJAP PERKHIDMATAN AWAM 

 

Mentransformasikan Perkhidmatan Awam 

 

56. Bajet 2012 akan memperkenalkan Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam atau SBPA yang akan menggantikan Sistem Saraan Malaysia atau SSM. Sesungguhnya, SBPA digubal dengan matlamat mentransformasikan Perkhidmatan Awam Malaysia supaya menjadi organisasi yang lebih dinamik, responsif dan berorientasikan prestasi. SBPA akan memperkenalkan prinsip perubahan radikal dalam pengambilan dan pengisian jawatan serta 

pembangunan kerjaya dengan teras pengekalan atau penamatanperkhidmatan penjawat awam berasaskan prestasi kerja. SBPA ini mempunyai elemen-elemen berikut: 

 

Pertama: Mewujudkan Dasar Pemisah atau exit policy bagi penjawat awam yang berprestasi rendah dan mereka yang memilih untuk meninggalkan perkhidmatan; 

 

Kedua: Menambah baik struktur gaji penjawat awam melalui pembentukan gaji sebaris dengan mewujudkan lebih banyak mata gaji supaya penjawat awam terus mendapat kenaikan 

tahunan bagi tempoh yang lebih lama. Dengan itu, gaji maksimum bagi sesuatu gred adalah lebih tinggi daripada sekarang. Contohnya, jika di bawah SSM, bagi seorang guru pada gred DG48, gaji maksimum adalah 6,325 ringgit dan 39 sen, kelak, di bawah SBPA, gaji maksimum beliau akan meningkat 37.7 peratus kepada 8,710 ringgit. Bagi guru bukan siswazah pula, jika di bawah SSM kini, yang berada pada gred DG34, gaji maksimum adalah 3,860 ringgit dan 52 sen, kelak nanti, di bawah SBPA ia akan meningkat 39 peratus kepada 5,370 ringgit; 

 

Ketiga: Pada perutusan khas Hari Guru yang lalu, saya telah mengumumkan laluan kerjaya perkhidmatan perguruan siswazah yang lebih baik. Tidak perlu lagi seperti dulu, seorang guru 

terpaksa menunggu sehingga 20 tahun untuk naik pangkat, sebaliknya sekarang, dalam skim baru mengikut time-based, seorang guru akan mendapat gred 44 pada tahun ke-8 dan gred 

48 pada tahun ke-16. Bagi guru bukan siswazah, dari gred 29 kepada 32, jika mengikut sistem time-based sekarang, ia memakan masa 10 tahun, namun, di bawah SBPA hanya 

mengambil tempoh lapan tahun sahaja. Seterusnya pula, bagi kenaikan gred 32 ke 34, jika sekarang ini bergantung pada kekosongan, tetapi di bawah SBPA kelak, kaedah time-based 

lapan tahun turut diterima pakai; dan


Keempat: Kenaikan Gaji Tahunan tidak pernah disemak sejak 1991. Mulai tahun 2012, Kenaikan Gaji Tahunan penjawat awam akan ditingkatkan antara 80 hingga 320 ringgit mengikut gred. Di samping itu, bagi penjawat awam yang menerima opsyen ke SBPA, akan mendapat faedah kenaikan gaji, di antara 7 hingga 13 peratus. 

 

57. Kerajaan sentiasa prihatin ke atas beban kewangan yang ditanggung oleh pesara. Dengan pelaksanaan SBPA, lebih 600 ribu pesara Kerajaan akan menikmati pelarasan pencen yang melibatkan peruntukan 600 juta ringgit. Mulai tahun 2013 nanti, Kerajaan akan melaksanakan kenaikan tahunan pencen pesara sebanyak dua peratus setahun tanpa perlu menunggu 

sebarang semakan sistem saraan atau pelarasan gaji.  

 

58. Dunia yang semakin maju menyaksikan keterdepanan dalam teknologi dan sains perubatan. Hari ini, kita adalah sebuah negara yang secara relatifnya muda namun suka tidak suka, pada suatu masa nanti kita turut akan menghadapi fenomena biasa yang berlaku kepada mana-mana negara sedang meningkat maju dan maju. Antara elemennya, kadar kelahiran berkurang, keluarga memilih untuk mempunyai bilangan anak yang lebih kecil dan kadar penuaan meningkat. Lalu, adalah tidak ekonomikal sifatnya dalam keadaan begini jika umur persaraan tidak dilanjutkan, sedangkan harus barang diingat bahawa kerajaan akan menanggung kos gratuiti dan pembayaran pencen.  

 

59. Ternyata, penjawat awam yang berumur antara 55 tahun hingga 60 tahun masih boleh memberi sumbangan berdasarkan kemahiran dan pengalaman mereka. Oleh itu, Kerajaan bersetuju untuk melanjutkan umur persaraan wajib daripada 58 tahun kepada 60 tahun bagi mengoptimumkan sumbangan pegawai perkhidmatan awam. Pelanjutan ini tidak akan 

menjejaskan peluang pekerjaan kepada generasi muda kerana sektor awam dan swasta akan terus mewujudkan peluang pekerjaan baru. 


Menghargai Penjawat Awam 

 

114. Kerajaan yakin penjawat awam akan terus mempertingkatkan kualiti perkhidmatan dalam mempastikan agenda pembangunan nasional menjadi kenyataan. Dalam konteks ini, seperti yang semua ketahui, pada bulan Ogos yang lalu, Kerajaan telah pun membayar bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum 500 ringgit kepada penjawat awam dan bayaran bantuan 

500 ringgit kepada pesara.


115. Berdasarkan sokongan dan komitmen penjawat awam yang tidak terhargakan dalam mencapai matlamat pembangunan negara, sukacita saya mengumumkan tambahan bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum 500 ringgit dan bayaran bantuan 500 ringgit kepada pesara Kerajaan. Bayaran ini akan dibuat bersekali dengan gaji bulan Disember 2011. Ini akan menjadikan jumlah bonus bagi tahun 2011 bersamaan sebulan gaji dengan 

bayaran minimum seribu ringgit bagi penjawat awam dan bantuan seribu ringgit bagi pesara Kerajaan. Bayaran ini akan memanfaatkan 1.3 juta penjawat awam serta 618 ribu pesara Kerajaan.  Bayaran bonus dan bantuan dua kali pada tahun ini akan menelan belanja sebanyak 4 bilion ringgit. 

-Kementerian Kewangan.

 


No comments: