Salam Sejahtera, Salam 1Malaysia
Kedatangan tahun baru, 2013 disambut dengan penuh kesyukuran. Semoga 2012
berlalu pergi dengan seribu panduan dan pengajaran. Kita berdoa agar setiap
peristiwa yang dilalui mampu dijadikan peringatan untuk membimbing serta
memimpin kita menyusuri tahun baru dengan tenang dan jayanya.
Rakan-rakan sekerja sekelian,
Apa jua yang dinikmati sepanjang tahun 2012, samada pangkat atau imbuhan,
anugerah atau sanjungan, mahupun musibah dan kegagalan adalah merupakan
senarai lengkap bagi membentuk peribadi kita di masa-masa yang mendatang.
Tourism Malaysia telah melalui pelbagai fasa sekaligus membentuk wajah
kematangan supaya sentiasa dilihat kukuh dan berpengaruh dalam industri
pelancongan Negara. Pada saat ini, kucupan syukur serta takbir gembira perlu
dilaungkan bagi mengingatkan kita pada kejayaan yang telah dikecapi bersama.
Dalam hal ini, Kesatuan Pekerja-Pekerja LPPM berharap agar setiap pencapaian
akan sentiasa diambil perhatian dan dipandang tinggi oleh pihak Pengurusan,
sekaligus memberi pengiktirafan yang tidak berbelah bahagi kepada kumpulan
pekerja khususnya kami di kumpulan sokongan.
Rakan-rakan sekerja sekelian,
Selama 40 tahun mengharungi naik dan turun industri, pelbagai cabaran dan
halangan meniti, bergilir-gilir menghempas tanpa henti, namun apa yang
menjadikan kita terus berdiri hanyalah rasa cinta pada organisasi ini.
Tidak lupa pada rasa hormat dan sepakat sebagai satu famili, sentiasa memegang
erat janji dan amanah yang telah diberi demi memartabatkan kendiri serta
memelihara nama dan imej organisasi yang satu ini.
Kesatuan ingin mengambil iktibar untuk berpesan kepada seluruh warga Tourism
Malaysia, tidak kira pangkat atau jawatan, agar sentiasa berasa syukur dengan
limpahan nikmat yang dikurniakan Ilahi. Kesatuan amat yakin bahawa dengan rasa
syukur pasti akan menjauhkan diri kita dari sifat-sifat negatif seperti dengki dan
tamak sekaligus menjauhkan kita dari rasuah serta gejala-gejala lain yang bakal
menjatuhkan semangat dan moral warga Tourism Malaysia seluruhnya.
Pada masa yang sama, kita juga harus memberikan 100% komitmen kepada setiap
kerja yang kita lakukan dengan ikhlas serta penuh ketaqwaan agar setiap kerja yang
kita laksanakan diangkat menjadi ibadah yang penuh keberkatan. Semoga anak dan
isteri-isteri kita juga akan mendapat keberkatan tersebut.
"Sesungguhnya harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi
ujian, dan di sisi ALLAH jualah pahala yang besar"
(Surah At-Taghaabun, 64:15)
“Sesungguhnya berjayalah orang yang telah menerima peringatan itu terus
berusaha membersihkan dirinya (dengan taat dan amal yang soleh)”
(Surah Al-A’la, 87:14)
Rakan-rakan sekerja sekelian,
Menjelang tahun baru ini, Kesatuan ingin mengambil kesempatan untuk memohon
maaf jika terdapat kesilapan dan kekurangan sepanjang penggal 2011/ 2012. Semoga
segala pandangan dan cadangan tuan / puan akan membantu kami dalam membina
dan membentuk kekuatan yang berlipat ganda demi membawa usaha-usaha
memperjuangkan kebajikan para pekerja, khususnya, ahli-ahli Kesatuan.
Terima kasih kami ucapkan di atas kesetiaan dan pengorbanan tuan / puan.
Semoga kedatangan tahun 2013 akan membawa lebih banyak peluang yang positif
kepada seluruh warga kerja di Tourism Malaysia. Tiada jalan yang mudah, setiap
cabaran perlu dihadapi dengan dada yang lapang dan minda yang terbuka. Kekuatan
Kesatuan perlu diluaskan. Semoga cita-cita Kesatuan untuk mencapai sejumlah 500
orang ahli akan tercapai pada tahun 2013 yang bertuah ini. Kami memohon doa dan
harapan tuan / puan agar ia akan terlaksana.
Mari kita jadikan tahun 2013 sebagai pemangkin untuk menjadi pekerja yang lebih
baik, ayah yang lebih bertanggungjawab, ibu yang lebih mengasihani, suami yang
lebih mencukupi, isteri yang lebih mentaati dan anak yang lebih merindui kedua-dua
orang tuanya.
“Barangsiapa yang mahukan kemuliaan (maka hendaklah dia berusaha
mencarinya dengan jalan mematuhi perintahNYA) kerana ALLAH jualah segala
kemuliaan"
(Surah Fathir, 35:10)
Sehingga berjumpa lagi, Selamat Menyambut Tahun Baru 2013 dan Selamat Maju
Jaya.
(HASRIZAL MUHAMMAD SHAWAL TUKIJAN)
Yang Dipertua
Kesatuan Pekerja-Pekerja
Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia
Semenanjung Malaysia