Wednesday, May 22, 2013

SIARAN MEDIA


KESATUAN PEKERJA-PEKERJA
LEMBAGA PENGGALAKAN PELANCONGAN MALAYSIA
SEMENANJUNG MALAYSIA
(No. Pendaftaran: 531)

SIARAN MEDIA




KESATUAN MENGALU-ALUKAN YB DATO’ SERI MOHAMED NAZRI BIN TAN SRI ABDUL AZIZ SELAKU MENTERI DI
KEMENTERIAN PELANCONGAN & KEBUDAYAAN MALAYSIA



Putrajaya, 16 Jun 2013: Kesatuan Pekerja-Pekerja Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (LPPM) memanjatkan rasa syukur dan gembira di atas perlantikan YB Dato’ Seri Mohamed Nazri bin Tan Sri Abdul Aziz selaku Menteri di Kementerian Pelancongan & Kebudayaan Malaysia yang baru. Kesatuan percaya dengan keupayaan beliau untuk menyambung segala usaha mempromosi negara bagi memastikan Malaysia menjadi destinasi pilihan dunia. Di samping itu, Kementerian Pelancongan & Kebudayaan Malaysia dan Tourism Malaysia sudah pasti akan bekerja dengan lebih gigih dan bermotivasi tinggi khususnya bagi mempersiapkan negara dalam menyambut Tahun Melawat Malaysia 2014.



Kesatuan Pekerja-Pekerja LPPM akan memberi sokongan yang padu kepada YB Dato’ Seri Mohamed Nazri dan berharap agar kecemerlangan industri pelancongan negara yang telah dikecapi selama ini akan terus berkembang dan maju di bawah kepimpinan beliau.
Pada masa yang sama, Kesatuan mengucapkan jutaan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada YBhg. Dato’ Seri Dr Ng Yen Yen, di atas segala sumbangan beliau selama menjawat jawatan Menteri Pelancongan Malaysia.

Diterbitkan oleh :

HASRIZAL MUHAMMAD SHAWAL TUKIJAN

Yang Dipertua
Kesatuan Pekerja-Pekerja
Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia, Semenanjung Malaysia





Tuesday, May 14, 2013

Program Kesatuan Bersama Anda

Salam Sejahtera, Salam 1Malaysia,

Sukacita dimaklumkan kepada sekelian warga kerja Tourism Malaysia berkaitan perkara yang dinyatakan di atas.

Kesatuan Pekerja-Pekerja LPPM, melalui Biro Hal Ehwal Gred akan melaksanakan program Kesatuan Bersama Anda untuk gred-gred jawatan yang berikut mengikut tarikh-tarikh di bawah:

1.   Gred E27 – E38

Tarikh         :        14 Mei 2013 (Selasa)

Masa           :        11.30 pagi hingga 1.00 tengahari

Tempat       :        Bilik Mesyuarat Aras 3 (Unit Latihan)

 
2.   Gred B11, B17, B22, B31, F14 – F38

Tarikh         :        15 Mei 2013 (Rabu)

Masa           :        11.30 pagi hingga 1.00 tengahari

Tempat       :        Bilik Mesyuarat Aras 2 (BSP)
 
Sebagai makluman, program Kesatuan Bersama Anda merupakan satu program anjuran Kesatuan Pekerja-Pekerja LPPM yang akan sentiasa diadakan dari semasa ke semasa bertujuan untuk mendapat pandangan, komen, isu-isu yang berkaitan sambil bertukar-tukar maklumat diantara Kesatuan dan kumpulan pekerja yang berkenaan. Lanjutan dari itu, besar harapan pihak Kesatuan untuk mendapat sokongan dan kehadiran tuan/puan sekelian bagi menjayakan program tersebut.

Semoga sokongan tuan/puan akan dapat memberi manfaat kepada kita semua.

Sekian, terima kasih.

 

 
hasrizal muhammad shawal tukijan
Yang Dipertua
Kesatuan Pekerja-Pekerja
Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia
Semenanjung Malaysia

Thursday, May 2, 2013

Naik gred ikut tempoh khidmat


PELABUHAN KLANG 30 April - Kerajaan sedang menimbang untuk memperkenalkan kenaikan gred berdasarkan time-based bagi penjawat awam di jabatan tertutup seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Jabatan Imigresen.

Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr. Ali Hamsa berkata pertimbangan itu selepas mengambil kira kenaikan gred dalam kalangan penjawat awam di sektor berkenaan agak perlahan berbanding jabatan lain.

"Kalau ikut skim kenaikan pangkat sedia ada, ramai (pegawai dari jabatan tertutup) akan pencen pada tahap gred 48. Saya telah nyatakan perkara ini kepada Perdana Menteri dan ini akan dibawa untuk pertimbangan jawatankuasa Kabinet.

"Bagi pegawai berprestasi tinggi kalau boleh sebelum pencen sekurang-kurangnya gred 54 untuk lepasan ijazah dan untuk kakitangan sokongan kita juga akan perkenalkan time-based promotion mengikut kategori masing-masing," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja di Wisma Kastam Selangor di Pulau Indah, di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Khazali Ahmad dan Pengarah Kastam Selangor, Badaruddin Mohamed Rafik.

Ali berkata, konsep kenaikan gred berdasarkan tempoh perkhidmatan itu akan memberi motivasi yang lebih kepada anggota penguat kuasa untuk menjalankan tugas dengan cemerlang selain menghargai sumbangan mereka kepada negara.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan juga akan mempertimbangkan cadangan untuk memperkenalkan skim insurans khusus bagi anggota penguat kuasa beruniform memandangkan mereka sentiasa terdedah kepada ancaman semasa bertugas.
"Tugas penguatkuasaan selalu diancam pihak tidak bertanggungjawab dan saya ada menyatakan kepada semua ketua jabatan bahawa mereka perlu meningkatkan tahap keselamatan penjawat awam kita dan keluarga mereka," katanya.

Sementara itu ketika mengulas penyebaran khidmat pesanan ringkas (SMS) berhubung arahan daripada Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan yang kononnya meminta pegawai kerajaan tidak bekerja lebih masa, Ali berkata, perkara tersebut dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab yang berniat ingin memperlekehkan peranan penjawat awam di Malaysia.

Katanya, adalah perkara biasa bagi pihak Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan mengeluarkan pekeliling pentadbiran keselamatan untuk mengingatkan penjawat awam betapa pentingnya mereka menjaga keselamatan khususnya kerahsiaan dokumen.

"Tetapi saya nampak ada pihak tidak bertanggungjawab cuba spin (arahan pekeliling ini) dengan mengedarkan SMS. Saya rasa itu tidak elok, jangan bawa penjawat awam dalam perkara yang mereka nak perlekehkan dalam negara," katanya.

Ali percaya penjawat awam bijak membuat keputusan sendiri dan tidak akan mudah terpedaya dengan perbuatan pihak-pihak yang cuba memutarbelitkan perkara itu.

Terdahulu, Khazali semasa berucap pada majlis berkenaan mengutuk sekeras-kerasnya pihak yang bertanggungjawab dalam pembunuhan kejam Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman dan Cukai Dalam Negeri) Datuk Shaharuddin Ibrahim pada Jumaat lepas.

Beliau berharap kejadian itu tidak akan mematahkan semangat warga kastam untuk terus menjalankan tugas dengan penuh integriti.

"Kita sangat terasa kehilangan Allahyarham, yang sangat berkaliber dan berdedikasi dalam menjalankan tugasnya. Ketika ditanya pemberita adakah saya takut, saya jawab kalau pegawai penguat kuasa takut maka siapa yang nak diharapkan untuk memikul tanggungjawab yang diberi oleh kerajaan.

"Justeru, sama-samalah kita pastikan pengorbanan Allahyarham tidak sia-sia dengan bekerja penuh tanggungjawab serta penuh keimanan," katanya.
-bernama/utusan.

Jumlah 1.42 juta kakitangan awam tepat, mencukupi


KUALA LUMPUR 1 Mei - Jumlah penjawat awam seramai 1.42 juta orang ketika ini merupakan saiz yang sangat tepat atau mencukupi buat negara, kata Ketua Setiausaha Negara (KSN) Datuk Seri Dr. Ali Hamsa.

Bagaimanapun, katanya, bilangan itu perlu ditambah pada masa depan berdasarkan kepada permintaan terhadap perkhidmatan awam yang semakin meningkat khususnya dalam bidang tertentu.

"Sekarang kita guna konsep re-deployment atau pindahkan kakitangan daripada jabatan yang mempunyai lebihan pekerja ke jabatan yang sangat memerlukan.

"Bagaimanapun re-deployment ini tidak boleh dilakukan selamanya, sebab itulah kita perlu tingkatkan pengambilan penjawat awam pada masa akan datang," katanya dalam wawancara khas Bersama KSN yang siarkan di TV1 sempena dengan Hari Pekerja hari ini.

Selain itu, Ali yang menerajui perkhidmatan awam sejak 24 Jun 2012, berkata secara keseluruhannya beliau berpuas hati dengan pencapaian dan prestasi yang ditunjukkan penjawat awam di seluruh negara terutama menerusi konsep turun padang yang diperkenalkannya.

"Selain dapat maklum balas bagaimana untuk perbaiki perkhidmatan awam, konsep turun padang ini juga dapat merakyatkan perkhidmatan awam dan program ini akan diteruskan," katanya.

Ali turut meminta penjawat awam supaya bekerja dengan gigih, cepat serta berintergriti untuk memajukan negara dan ekonomi dalam usaha Malaysia mencapai status negara maju dalam tempoh tujuh tahun lagi.
-bernama/utusan.

Wednesday, May 1, 2013

Rumah PPA1M di Putrajaya akan ditambah

Kuala Lumpur: Perbadanan Putrajaya akan memohon pertambahan unit rumah di bawah Program Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) berikutan sambutan menggalakkan daripada kakitangan awam. 

Pengerusinya, Tan Sri Dr Aseh Che Mat berkata, sejak PPA1M dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 18 April lalu, tidak kurang 500 borang permohonan diterima setiap hari

Aseh berkata, permohonan diterima daripada penjawat awam yang bekerja di Putrajaya, Kuala Lumpur, Cyberjaya, Serdang dan Bangi. 

“Sehingga kini, kita sudah menerima 4,200 borang permohonan PPA1M-1 selain merekodkan 270,000 bilangan capaian oleh orang ramai yang mengunjungi portal perbadanan,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam. 

Aseh berkata, pemohon masih boleh mendapatkan borang PPA1M-1 menerusi laman web www.ppj.gov.my dan www.putrajaya.gov.my atau datang ke Pusat Khidmat Pelanggan, Kompleks Perbadanan di Presint 3, Putrajaya termasuk pada Sabtu dan Ahad. 

Beliau berkata, proses pengundian bagi permohonan rumah PPA1M dijangka dibuat sebaik permohonan ditutup iaitu pada jam 5 petang, 18 Mei depan. 

PPA1M adalah inisiatif murni kerajaan membantu penjawat awam membeli kediaman mampu milik yang bermutu. Sebanyak 10,336 unit rumah sudah diluluskan kerajaan. 
Tiga jenis rumah ditawarkan iaitu bersaiz 1,000 kaki persegi dengan harga bermula RM150,000 hingga RM220,000; 1,200 kaki persegi (RM221,000 hingga RM260,000) dan 1,300 persegi (RM261,000 hingga RM300,000). 

Fasa pertama membabitkan pembinaan sejumlah 1,256 unit di Presint 17 dan 256 unit di Presint 11. Ia dijangka siap dalam tempoh 18 bulan berbanding 36 bulan yang ditetapkan sebelum ini. 

Menerusi PPA1M, penjawat awam hanya perlu membayar minimum RM2,000 sebagai deposit dan mula membuat bayaran apabila mula mendiaminya.
-berita harian.

Kesatuan sekerja mahu kerajaan terus laksana pelbagai inisiatif

Kuala Lumpur: Kesatuan-kesatuan sekerja di negara ini berharap kerajaan akan terus mewujud dan melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menjamin masa depan warga pekerja di Malaysia. 

Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman berkata, beliau berharap inisiatif seperti semakan gred pekerja dan tangga gaji penjawat awam akan terus dilaksanakan tahun ini bagi menampung kos kehidupan yang kian meningkat.


Sempena Hari Pekerja hari ini, beliau berharap penjawat awam dan swasta akan terus berusaha meningkatkan produktiviti, sebagai tanda terima kasih kepada kerajaan yang amat prihatin terhadap kebajikan pekerja. 
“CUEPACS juga menyeru penjawat awam supaya teruskan usaha untuk meningkatkan produktiviti seiring dengan hasrat kerajaan untuk menaiktaraf kehidupan seharian kita. 

“Kami juga menyokong penuh kepimpinan Datuk Seri Najib Razak dan usaha-usaha yang diperkenalkan oleh beliau,” katanya di sini, semalam. 

Sejak mengambil alih tampuk kepemimpinan negara empat tahun lalu, Najib telah memperkenalkan pelbagai inisiatif untuk golongan pekerja termasuk mewujudkan gaji minima serta melanjutkan umur persaraan kepada 60 tahun. 

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) pula mahu kerajaan menambah usaha membina lebih banyak rumah mampu milik untuk pekerja yang berpendapatan rendah. 
“Kami juga meminta kerajaan supaya mengadakan pengambilan dan pengurusan pekerja asing melalui cara kerajaan ke kerajaan,” kata Presidennya, Mohd Khalid Atan. 

Guru hargai BN 

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Hashim Adnan, berkata warga guru di Malaysia seharusnya berterima kasih kepada Kerajaan Barisan Nasional (BN) kerana memberi kenaikan gaji serta bonus. 

Beliau berkata, NUTP berharap kerajaan akan mempertimbang untuk menyerap penuh penjawat awam kontrak yang telah bertugas melebihi tiga tahun. 

“Ada kira-kira 40,000 hingga 50,000 penjawat awam kontrak di negara ini. Jika kerajaan dapat menyerap mereka, produktiviti akan pasti melonjak," katanya. 

Bagi Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia, mereka mahu diberi peluang mengikuti latihan untuk membolehkan mereka menjadi lebih produktif dan cekap menjalankan tugas yang diamanah. 

Presidennya, Mohammed Nazari Othman berkata sebagai sebahagian daripada modal insan dalam sebuah organisasi, mereka perlu diberi latihan bagi membolehkan mereka menguasai kemahiran baharu seperti peluang yang dinikmati pekerja lain. 

“Dipercayai ramai pekerja OKU kurang diberi peluang untuk mengikuti latihan anjuran jabatan latihan dan sumber manusia di tempat kerja masing-masing, sedangkan mereka juga warga kerja dalam organisasi berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

-bernama/bh.

Perutusan Yang Dipertua Kesatuan Pekerja-Pekerja LPPM, Semenanjung Malaysia Sempena Sambutan Hari Pekerja, 1 Mei 2013


Perutusan Yang Dipertua
Kesatuan Pekerja-Pekerja LPPM, Semenanjung Malaysia
Bilangan 2/2013
Sempena Sambutan Hari Pekerja, 1 Mei 2013

Salam Sejahtera, Salam 1Malaysia,

Rakan-rakan sekerja sekelian,

Di kala ini, kita terlalu kerap mempersoalkan tentang hak dan kepentingan masing-masing dalam organisasi yang satu ini. Tourism Malaysia selaku tempat punca rezeki untuk kita menyara anak dan isteri telah menjadi suatu tempat yang misteri. Kerap juga kita disogok dengan harapan dan dongengan semata-mata untuk dijadikan picu supaya terus cekal memandu industri ke tempat yang lebih tinggi. Kini, setelah 40 tahun menabur bakti, Tourism Malaysia ternyata masih teguh berdiri, kukuh serta terus didukungi oleh sekelian warga pekerja dari pelbagai generasi. Jika dilihat dari satu sudut intrepretasi, ini pasti satu pencapaian yang berprestasi tinggi.

Saban tahun statistik ketibaan pelancong ke Malaysia menggambarkan kejayaan yang tidak disangkal sama sekali. Kejayaan demi kejayaan bersilih ganti sehingga tidak putus kata puji dari dalam mahupun di luar negeri. Lantaran dari itu, tidak hairanlah jika semua pihak berasa layak untuk berdiri sama tinggi, berkongsi persepsi malah berebut-rebut pula untuk bergambar bersama Menteri.

Secara jujur, Kesatuan melihat perkara-perkara tersebut sebagai satu kronologi singkat yang melentur kekuatan organisasi ini supaya terus disegani. Pada masa yang sama, Kesatuan tidak lupa berharap agar pembangunan dan peningkatan organisasi ini akan selari dengan perlaksanaan kepentingan kumpulan pekerja, khususnya warga kumpulan sokongan di Tourism Malaysia. Sudah sampai masanya untuk kita diberi perhatian dan pengiktirafan yang sama banyak dengan kumpulan di jawatan yang tinggi. Tidak perlu menjadi dungu untuk bercerita tentang gaji. Kesatuan hanya ingin menyentuh perkara-perkara yang berkaitan peluang peningkatan kerjaya serta kemudahan-kemudahan lain yang layak diberi.

Sebagai contoh, Kesatuan mahu kekosongan jawatan diisi tanpa kompromi. Baru-baru ini, sebanyak 5 jawatan E38 diberi kenaikan pangkat ke E41. Seharusnya kekosongan jawatan tersebut diisi dengan kadar yang segera supaya pergerakan boleh terlaksana dengan lancar.  Kesatuan berpendapat bahawa perkara ini perlu diberi perhatian yang tinggi oleh BSMP demi menjamin keharmonian di kalangan pekerja terutamanya kita yang berada di kumpulan sokongan. Kesatuan faham jika BSMP tidak mampu untuk memberikan peluang itu kepada semua, namun, sekurang-kurangnya 10 orang daripada kami akan dapat menikmati kenaikan tersebut. Sehubungan itu, Kesatuan akan berjuang demi memberikan hak berkenaan kepada kita di kumpulan sokongan. Pastinya, jawatan-jawatan lain di pelbagai peringkat gred juga akan diberi perhatian, khususnya gred-gred jawatan B, C dan D.

Kesatuan akan cuba sedaya upaya untuk menarik perhatian pihak yang berwajib berkenaan isu tersebut. Apa yang kami harapkan ialah sokongan dan semangat yang positif di kalangan warga Kesatuan supaya setiap perjuangan yang kami cuba bawakan tidak akan dipandang ringan oleh BSMP dan pihak pengurusan tertinggi.

Bersempena sambutan Hari Pekerja pada kali ini, Kesatuan dengan penuh dedikasi akan cuba sehabis baik untuk mengupas isu-isu serta cadangan dan pandangan semua pihak. Hubungan baik Kesatuan dengan pihak CUEPACS baru-baru ini telah membuka lembaran yang unik sekaligus menjanjikan sesuatu yang istimewa. Kami dengan penuh pengharapan agar semua tunjuk ajar dan sokongan YBhg. Datuk Hj Omar Osman, Presiden CUEPACS akan membantu peningkatan pencapaian Kesatuan Pekerja-Pekerja LPPM (Tourism Malaysia) di masa yang terdekat ini. Untuk makluman semua, Kesatuan telah menyuarakan beberapa perkara kepada beliau termasuk isu waran perjawatan yang telah dikelirukan sama sekali oleh pihak-pihak tertentu. Kami berasa berterima kasih dan bersyukur kerana usaha kami telah mendapat respon yang positif dari pihak CUEPACS dan Y Bhg. Datuk Hj Omar sendiri.

Bagi merealisasikan hak-hak warga pekerja, satu program bersama CUEPACS untuk diadakan di Tourism Malaysia sedang diperincikan. Harapan kami agar mendapat kerjasama warga Kesatuan sekelian. Semoga lawatan CUEPACS melalui program berkenaan akan membuka lebih banyak peluang kepada kita.

Rakan-rakan sekerja sekelian,

Jika tuan/ puan perhatikan, beberapa mantan Yang Dipertua Kesatuan telah pun kembali bertugas di ibu pejabat. Sukacita saya maklumkan bahawa pengalaman mereka ini semua akan menjadi sumber inspirasi kepada diri saya sendiri agar memberikan yang terbaik kepada Kesatuan. Semoga segala tunjuk ajar akan dapat dimanfaatkan ke arah yang menguntungkan kumpulan pekerja. Pada masa yang sama, Kesatuan juga komited untuk bekerjasama dengan Kumpulan P & P bagi melihat isu-isu kumpulan pekerja secara yang menyeluruh. Kami berharap agar wakil Kumpulan P & P juga akan mengambil sikap yang proaktif dan selari dengan susur perjuangan Kesatuan.

Demi menyambut Hari Pekerja pada tahun ini, Kesatuan ingin menyeru seluruh warga pekerja, khususnya para ahli Kesatuan untuk sentiasa bantu-membantu dalam segala bidang termasuk mengekalkan bentuk hubungan yang lebih harmoni dan erat sekaligus meningkatkan silaturrahim di antara kita. Kesatuan percaya bahawa perkara tersebut akan mewujudkan kejayaan di dalam diri kita sendiri serta organisasi yang dicintai ini.

Akhir kata, Kesatuan ingin bermohon agar komitmen Y.Bhg. Dato’ Ketua Pengarah terhadap kebajikan kumpulan pekerja tidak akan luntur malah, bertambah segar dalam mengimbangi keperluan-keperluan yang wajar. Kesatuan berasa amat yakin bahawa sinar baru yang kita nantikan akan terbit tepat pada masanya.
Sepertimana harapan dan doa kami sebelum ini, Kesatuan masih percaya bahawa bentuk kepimpinan yang adil dan bersifat prihatin sahaja yang akan memelihara organisasi ini. Semoga ianya terlaksana.

Rakan-rakan sekerja sekelian,

Kesatuan akan sentiasa bersama anda. Itu ialah janji. Semoga Hari Pekerja pada tahun ini akan memberi peluang dan ruang yang luas kepada kita semua agar menjadi yang terbaik.
 
Sekian terima kasih,  

(HASRIZAL MUHAMMAD SHAWAL TUKIJAN)
Yang Dipertua
Kesatuan Pekerja-Pekerja
Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia
Semenanjung Malaysia.