Friday, August 21, 2009

Selamat Menyambut Bulan Ramadhan

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

22 Ogos 2009 umat Islam dijangka akan mula berpuasa di Bulan Ramadhan. Sebagai seorang Islam, kita disaran untuk melakukan banyak ibadah kerana Bulan Ramadhan adalah bulan yang amat istimewa didalam Islam. Pada bulan inilah, dibuka pintu syurga dan di tutup pintu neraka dan diikat para syaitan disepanjang bulan ini.

Tanggal 31 Ogos 2009 pula kita akan menyambut hari kemerdekaan Negara yang ke 52. Kita hendaklah bersatu padu, menjaga hubungan baik antara kaum demi kesejahteraan Negara kita agar kekal aman untuk diwarisi oleh anak cucu kita dimasa hadapan.

Disamping itu dengan penularan wabak H1N1 yang agak ketara sekarang ini, kita hendaklah sentiasa menjaga diri dan keluarga kita daripada dijangkiti oleh Virus yang amat merbahaya ini. Kita hendaklah sentiasa menggunakan penutup mulut setiap kali kita keluar khususnya semasa membeli-belah di Bazaar Ramadhan serta di pasaraya bagi kelengkapan berbuaka puasa dan berhari raya.

Akhir kata, saya dan AJK Kesatuan mengucapkan SELAMAT MENYAMBUT BULAN RAMADHAN AL-MUBARAK KEPADA SEMUA AHLI KESATUAN SERTA WARGA TOURISM MALAYSIA YANG BERAGAMA ISLAM dan SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN NEGARA KALI KE 52.

Wassalam.


JAMALUDIN JANTAN
Presiden
Kesatuan Pekerja-Pekerja
Tourism Malaysia

20 Ogos 2009

Tuesday, August 18, 2009

Retoriknya Seorang Jurugambar

Klik … klik …. klik … tersenyum simpul kedua mempelai di atas pelamin. Gembira terpancar jelas di ruang litup wajah mereka. Jibam sibuk ke kiri dan ke kanan mencari sudut trampil yang jelas dan kreatif. Tertonggeng-tonggeng Jibam mengambil gambar. Biarlah dia susah asal kedua mempelai dan keluarga gembira bila melihat hasilnya nanti.
Jibam seorang jurugambar dan beginilah kebiasaannya dia bekerja. Tapi, apa retoriknya dia berupa demikian?

“Aku nak cari duit tambahan. Hari biasa aku kerja dengan gomen, kumpul duit 3 tahun baru lah dapat beli kamera … boleh belajar ambil gambar, boleh kerja extra dapat duit untuk anak dan bini” ~ untuk cari duit lebih, itu retoriknya.
Klik...klik...klik... berpeluh Raman (bukan nama sebenar) hari ini. Segala sudut di Menara Kuala Lumpur sudah dijajahinya. Di luar, di dalam malah di kaki Bukit Nenas pun sudah diredahnya. Dia bertugas hari ini. Tertonggeng-tonggeng dia bekerja. Faktor cahaya, bayang dan objek sangat diambil kira.Biarlah berpeluh sehingga basah pakaiannya asal bos puas tengok hasilnya nanti.

Dia seorang jurugambar. Habis di sini, terus ke Tasik Perdana kemudian ke Tasik Titiwangsa sebelum balik semula ke pejabat menyambung kerja. Kesian, letih dia bekerja. Tapi, apa retoriknya dia berupa demikian?
”Setiap kali gambar yang aku ambil menjadi, aku berasa puas. Sekurang-kurangnya inilah sumbangan aku pada industri ini. Pegawai-pegawai lain boleh gunakannya untuk buat brosur, poskad dan majalah. Apa yang penting integriti dan imej organisasi terpilihara melalui gambar-gambar yang aku ambil. Bersemangat lah sikit buat kerja” ~ untuk kepuasan diri serta tanggungjawab pada organisasi, itu retoriknya.
Klik ... klik ... klik ... semua orang diam dan berpandangan sesama sendiri. Apa hal pula jurukamera ini tertonggeng-tonggeng mengambil gambar orang yang sedang beratur untuk membeli makan? Perut yang lapar berhenti sekejap kerana terpinga-pinga melihat keletah jurukamera yang satu ini. Tidak pula disuruh senyum atau bergaya. Namun, dia terus juga mengambil gambar semua orang di pantri. Apa retorikya dia mengambil gambar kami yang sibuk nak menapau makan pagi ini?

”Kami pekerja contoh. Waktu kerja bermula dari pukul 8.30 pagi. Sesiapa yang membeli makan atau makan selepas waktu ini akan dirakamkan gambarnya sebagai bukti. Semua orang sepatutnya jujur dan ikhlas bekerja. Waktu kerja sudah bermula. Sehubungan dengan itu, proses makan atau membeli makan selepas waktu ini dianggap telah melanggar peraturan bekerja dan boleh diambil langkah-langkah tatertib” ~ untuk membuktikan orang lain tidak mematuhi peraturan, tidak komited dan tidak ikhlas bekerja, itu retoriknya atau itukah?

Waktu kerja pun sebenarya subjektif. Ada yang masuk kerja pukul 7.30 pagi, 8.00 pagi dan 8.30 pagi. Jika mengambil kira mereka yang masuk kerja kul 7.30 pagi maka, pukul 8.00 pagi akan menjadi kesalahan bagi mereka jika keluar untuk makan pagi. Jika mereka masuk pukul 8.00 pagi pula maka akan menjadi kesalahan bagi mereka jika mereka makan pagi pada pukul 8.30 pagi. Jadi, siapa yang akan memastikan mereka ini tidak menyalahi peraturan waktu bekerja?
Jika mengambil kira mereka yang tinggal di Rawang, Kajang, Bangi mahupun Seremban ~ mereka perlu keluar rumah seawal 6 pagi. Azan subuh pun sekarang mulai berkumandang pada pukul 6.00 pagi. Bayangkan jika solat subuh pun mereka berebut hendak kerjakan apatah lagi sarapan pagi. Pada hari biasa mungkin mereka sempat sampai awal untuk membeli sarapan dan selamat dari lensa ajaib tersebut, tapi kita manusia kan, siapa yang tak pernah tertinggal tren? Lebih-lebih lagi tren KTM yang hampir rutin tidak mengikut jadual dan sentiasa rosak di tengah jalan.

Jika diambil kira tempoh perjalanan dari Seremban ke PWTC mengambil masa selama sejam, maka jika mereka tertinggal tren pada pukul 6.30 pagi, mereka perlu tunggu tren seterusnya pada pukul 7 pagi (itu pun kalau KTM ikut jadual) dan akan sampai pada pukul 8.00 pagi. Kita ambil kira pula tempoh berjalan kaki dari stesyen Putra ke Menara Dato’ Onn selama 10 minit. Gedebuk-gedebak (bak kata orang Melayu) sampai kul 8.15 pagi. Punch card di pejabat kemudian melepas lelah berjalan kaki (semua kita adalah working class) untuk seketika kemudian berkejar pula ke tingkat 32 atau 17. Sampai di sana sambil menepuk dahi apabila melihat barisan manusia yang sama-sama kelaparan sedang sabar menanti giliran untuk mengintai sedikit makanan dan minuman. Bila tiba giliran kita sudah pun pukul 8.45 atau 9.00 pagi. Pada waktu itulah jua datang si jurugambar yang tidak diketahui retorik perbuatannya itu tertonggeng-tonggeng mencari sudut yang sesuai untuk dimuatkan ke dalam kamera digital yang kecil dan tidak menarik itu.

Persoalannya ~ Adakah perlu menahan lapar kerana situasi seperti yang dibayangkan di atas ini semata-mata hendak menunjukkan kita bagus, komited dan ikhlas bekerja dalam organisasi? Tidak semua mempunyai kelebihan dipandu ke tempat kerja mahupun penyedia makanan di waktu pagi. Tidak semua juga yang mempunyai kelebihan untuk memanggil orang lain membelikan makanan dan dihantar kepadanya sambil dia membetulkan kot yang berjenama dan mahal di pejabatnya. Tidak semua!

Seorang yang berpangkat besar dan aku sanjungi ketika ini pernah berkata sesuatu tentang bab makan ini ~ sampai sekarang aku masih mengingatinya; beliau pernah menyebut bahawa perkara makan ini tidak boleh dikompromi, lebih-lebih lagi bila pada waktu makan itu sahajalah manusia akan berasa rendah diri kerana terpaksa menundukkan sedikit kepala sewaktu menyuapkannya ke mulut. Tidak kiralah tentang kelas dalam hierarki masyarakat kita, semuanya akan terpakai. Boleh aku katakan bahawa perkatannya itulah yang membuatkan aku memiliki pandangan jelas tentang rasa syukur setiap kali sesuap nasi masuk ke dalam mulut kecil yang satu ini.

Maka, retoriknya tidak berhenti pada komitmen, keikhlasan mahupun tanggungjawab seseorang kepada kerjanya tetapi bersambungan kepada keseluruhan rantai yang mengikat tanggungan kemanusiaannya. Akal.
Klik...klik...klik.... ke mana pula lah aku selepas ini?