Tuesday, March 22, 2016

Pegawai Jawatan Sensitif Seharusnya Ditukar 3-5 Tahun

PUTRAJAYA, 21 Mac (Bernama) -- Pegawai yang memegang jawatan sensitif seharusnya ditukarkan dalam tiga hingga lima tahun, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Beliau berkata Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 3 Tahun 2004 Panduan Pertukaran Pegawai Awam menyatakan ketua jabatan boleh menukarkan pegawai yang menyandang jawatan yang diklasifikasikan sebagai jawatan sensitif.

Katanya, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pernah menegur dan mengeluarkan surat mengenai pertukaran pegawai yang memegang jawatan sensitif namun menghadapi cabaran berikutan rayuan bahawa (keperluan bagi) pegawai itu kritikal dan perlu dikekalkan.

"Sehubungan itu, saya minta kerjasama kementerian dengan bantuan menteri supaya jangan merayu kalau seseorang pegawai diarahkan bertukar kerana tempoh panjang (berkhidmat) di sesebuah kementerian, pada masa depan," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Hadir sama pada sidang media tersebut Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal.

Ali berkata jawatan yang sensitif adalah jawatan di mana penyandangnya terlibat secara langsung dengan pelanggan semasa menguatkuasakan undang-undang, terlibat secara langsung dengan pelanggan semasa memproses sesuatu permohonan yang boleh menghasilkan pulangan kewangan atau habuan.

Jawatan sensitif juga termasuk pegawai yang menjalankan tugas membuat bayaran atau kutipan hasil daripada pelanggan dan membuat keputusan berdasarkan kepada pertimbangan budi bicara sama ada seseorang itu layak atau tidak mendapat sesuatu.

Ali berkata pegawai yang memegang jawatan diklasifikasikan sebagai jawatan bukan sensitif boleh berkhidmat antara tiga hingga lapan tahun di sesebuah kementerian atau agensi.

-Bernama.

Wednesday, March 16, 2016

Anggota Cuepacs Diminta Tidak Terlibat Perhimpunan 'Deklarasi Mahathir'

JOHOR BAHARU, 16 Mac (Bernama) -- Anggota Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) diminta supaya tidak terlibat dalam perhimpunan 'Deklarasi Mahathir' yang dijangka diadakan di Shah Alam, Selangor pada 27 Mac ini.

Presiden Cuepacs Datuk Azih Muda berkata pihaknya menyokong penuh kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan sememangnya tidak bersetuju dengan perhimpunan itu.

"Kita tidak setuju dengan cara-cara yang dilakukan oleh pihak tertentu untuk menjatuhkan kerajaan. Nasihat saya kepada penjawat awam, jangan ada dalam kalangan mereka terlibat sama.

"Kita berkhidmat dengan kerajaan dan bukannya terlibat dengan parti politik. Kita mahu penjawat awam ini tumpukan matlamat dan kerjaya kepada tugas mereka (dan) jangan terikut-ikut dengan sentimen tertentu seperti menjatuhkan kerajaan," katanya selepas menghadiri taklimat isu semasa oleh Cuepacs yang dihadiri kira-kira 200 penjawat awam di sini Rabu.

Azih berkata penjawat awam seharusnya sedar bahawa tugas mereka adalah untuk berkhidmat kepada kerajaan dan memastikan ekonomi negara stabil, sekaligus mampu memberi kesejahteraan kepada rakyat.

Beliau berkata sekiranya ada penjawat awam yang masih berdegil dan turut terlibat dalam perhimpunan itu, mereka akan berhadapan dengan risiko dibuang kerja di bawah tatatertib 4B.

-Bernama.

Friday, March 4, 2016

Kenaikan Gaji Penjawat Awam Tetap Dilaksanakan 1 Julai Ini - KSN

KUALA LUMPUR, 3 Mac (Bernama) -- Kerajaan tetap melaksanakan kenaikan satu tangga gaji bagi 1.4 juta penjawat awam pada 1 Julai ini seperti yang dijanjikan dalam Bajet 2016, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Beliau berkata gaji minimum penjawat awam sebanyak RM1,200 sebulan juga akan dilaksanakan pada tarikh sama.

"Kerajaan juga tidak akan berhentikan penjawat awam termasuk mereka yang dilantik secara kontrak," katanya semasa menutup Konvensyen Perumahan Penjawat Awam bertema 'Rumah Idaman Menjamin Kualiti Hidup' di sini, hari ini.

Turut hadir Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Azih Muda dan Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (ANGKASA) Datuk Abdul Fattah Abdullah.

Ali berkata kesemua inisiatif itu membuktikan komitmen kerajaan terhadap kebajikan rakyat terutamanya penjawat awam walaupun dalam persekitaran ekonomi yang mencabar.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan amat turut mengambil berat dalam isu kebajikan mereka dengan melaksanakan program perumahan seperti Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) yang diperkenal sejak 2013.

"Setakat ini, sebanyak 300 unit rumah berharga RM90,000 telah diluluskan untuk pembinaan, dan unit-unit ini dikhaskan kepada mereka yang berpendapatan kurang daripada RM1,2000 sebulan.

"Namun, kerajaan akan kaji semula (perkara ini) agar lebih ramai penjawat awam dari golongan ini dapat memiliki rumah," katanya.

Sehingga hari ini, sebanyak 48,695 unit PPA1M telah diluluskan dan sedang dalam pelbagai peringkat pelaksanaan.

Pada majlis itu, Azih menyerahkan senarai 15 resolusi kepada Ali untuk kerajaan mengkaji semula Dasar Perumahan Negara 2011.

Antara intipati resolusi itu, yang merupakan hasil perbincangan bersama antara Cuepacs dan ANGKASA, adalah memastikan semua penjawat awam khasnya kumpulan B40/M40 mampu memiliki rumah idaman bagi menjamin kualiti hidup.

Selain itu Cuepacs dan ANGKASA meminta kerajaan mengkaji semula Akta dan Peraturan Perumahan serta Akta Kanun Tanah Negara, mewujudkan bank tanah dan bank data perumahan negara.

-Bernama.