Thursday, April 28, 2011

Perutusan Yang Dipertua Bil 3/2011

Salam Sejahtera, Salam 1Malaysia

Semakin hari bertambah, semakin itu juga cabaran kian datang menjengah
Kesatuan pada tahun ini. Tourism Malaysia kini menjadi sebutan yang kerap di
dada akhbar tempatan tertentu. Perhatian media kini agak mengelirukan
sehingga saya sendiri tertanya-tanya tindakan apa yang harus diambil bagi
mengimbangi situasi ini.


Tuan/ puan,

Perutusan pada kali ini mungkin berat untuk dihadam oleh orang-orang tertentu
dalam organisasi kita yang tercinta ini. Namun demikian, niat saya semata-mata
ikhlas bagi memberi peluang minda kita berfikir dan mengkaji tentang perkara-
perkara yang telah ditinggalkan sepi oleh kita sendiri.

Seramai 355 orang telah berdaftar secara rasmi dengan Kesatuan. Jumlah
tersebut seharusnya bertambah sesuai dengan bertambahnya cabaran dan
rintangan yang kita sedang hadapi ketika ini. Jika tuan/ puan layak untuk
bersama tetapi masih meragui untuk menyertai kami, percayalah bahawa ia akan
membantu tuan/ puan satu hari nanti. Malah, ianya harus menjadi
tanggungjawab tuan/ puan sekelian.

Perbualan ringkas bersama beberapa rakan sekerja baru-baru ini amat
mengejutkan saya. Tidak sangka masih terdapat ramai kakitangan yang enggan
menyertai Kesatuan. Apa yang lebih mengejutkan saya ialah mereka di kalangan
kakitangan yang telah lama berkhidmat dengan TM. Kesatuan tidak pernah berat
sebelah dalam membincangkan masalah-masalah pekerja. Dari Kerani,
Pemandu, Pembantu Pelancong hinggalah kepada Pegawai Pelancongan
Tertinggi, semuanya dilayan sama banyak, sama rata. Pencapaian kami selama
ini dikongsi bersama sehingga pegawai yang bukan ahli kepada Kesatuan juga
turut merasainya. Persoalannya, apakah yang menyebabkan keengganan mereka
untuk menyertai Kesatuan? Jika terdapat perkara yang perlu dibincangkan,
maka, bincangkanlah. Saya selaku YDP pada penggal ini bersifat terbuka dengan
sebarang pendapat dan komen. Saya juga berpendapat bahawa tuan/ puan sudah
pun mengenali saya sehingga kini dan tiada apa yang boleh menghalang tuan/
puan dari meluahkan apa-apa perkara sekalipun. Melalui perutusan ini, saya
mengambil peluang untuk menjemput tuan/ puan untuk sentiasa berhubung
dengan Ahli Jawatankuasa Kesatuan umumnya, dan saya, khususnya. Saya
bersedia untuk mendengar.


Tuan/ puan,

Kesatuan telah memulakan inisiatif terkini bagi mendapatkan kerjasama pihak
Sumber Manusia & Pengurusan untuk melihat dengan lebih dekat perihal
perpindahan ke Putrajaya. Satu surat rasmi dari meja Kesatuan akan sampai ke
meja Bahagian Sumber Manusia & Pengurusan bagi mendapatkan jawapan yang
pasti. Gesaan saya agar seluruh warga TM untuk tidak panik setelah mendengar
hebahan terkini tentang tarikh perpindahan yang terbaru dikeluarkan oleh
Bahagian Sumber Manusia & Pengurusan, malah, ini adalah masa yang sesuai
untuk kita terus bersatu mendapatkan hak kita selaku pekerja dalam organisasi
ini. Berdoalah, agar manfaat dapat dicapai dan dirasai bersama.

Berbalik kepada perkara pertama yang saya sebutkan di atas tadi, Kesatuan
berpendapat bahawa kita sudah mulai hilang keakraban diantara satu sama lain.
Buktinya, setiap tekanan terutamanya dari pihak luar hanya ditelan sehingga
pahit anak lidah tanpa usaha yang sepakat bagi menghindarinya dari terus
berlaku. Mungkin tuan/ puan tidak sedar bahawa keakraban itulah yang akan
membentuk kekuatan kita, membentuk benteng teguh serta memberi kelebihan
kepada setiap warga TM sehingga generasi yang akan datang. Pihak Sumber
Manusia & Pengurusan perlu melihat perkara berkenaan dengan lebih
mendalam. Program kekeluargaan perlu diterapkan serta dilaksanakan dengan
segera dan kerap agar nilai keakraban tersebut terus bertambah dan kukuh.
Perasaan sayang kepada organisasi perlu sentiasa ditanam dalam hati setiap
warga TM supaya tidak menyesal di kemudian hari. Hanya perasaan kasih dan
sayang kepada organisasi ini sahajalah yang akan menjamin kewujudan TM
sehingga ratusan tahun yang mendatang. Walaupun begitu, ia bukan sahaja
menjadi tanggungjawab pihak Sumber Manusia & Pengurusan semata-mata.
Malah, ia seharusnya menjadi beban dan kewajipan kita semua. Apabila telah
kuat dan kukuh, pasti akan kebal dari apa jua bentuk ancaman dari luar.
Percayalah, semua ini akan memberi kebaikan kepada kita pada masa yang akan
datang.


Tuan/ puan,

Kesatuan telah berhubung dengan CUEPECS bagi merealisasikan permohonan
ahli untuk bernaung di bawahnya. Insyallah, jika tiada aral, satu lawatan rasmi
akan dilaksanakan dalam masa yang terdekat bagi menyerahkan permohonan
tersebut, selain mempelajari dan mendapatkan pandangan mereka berkaitan
beberapa perkara yang sedang berlaku di TM. Selain itu, Kesatuan juga telah
merencanakan beberapa lawatan ke pejabat-pejabat Kesatuan Pekerja tempatan
yang lain bagi merapatkan hubungan dua hala seterusnya mempelajari
pengalaman-pengalaman berguna bagi meletakkan Kesatuan Pekerja-Pekerja
LPPM, Semenanjung Malaysia ke satu aras yang lebih dihormati dan disegani di
masa akan datang.

Kesatuan akan sentiasa mengharapkan kepada sokongan tuan/ puan sekelian.
Tidak kira di Ibu pejabat, pejabat-pejabat negeri mahupun di luar Negara,
sokongan tuan/ puan sangat kami hargai. Pastikan setiap cadangan dan komen
tuan/puan sampai kepada kami tanpa ragu-ragu. Jika sokongan tuan/ puan
berterusan, maka banyak lagi pencapaian akan dinikmati bersama. Melalui
lembaran kali ini, Kesatuan berbesar hati ingin mengambil kesempatan
mengucapkan Selamat Hari Pekerja kepada semua warga Tourism Malaysia.
Semoga sinar yang baru akan menyelubungi organisasi kita ini agar menjadi yang
terbaik dari pelbagai segi, khususnya berkaitan kebajikan para pekerja dan
organisasi amnya.

Sehingga bertemu lagi di ruangan yang akan datang, sekian, terima kasih.

Kuarters untuk TM!

Insyallah


…………………………………………………………………..

HASRIZAL MUHAMMAD SHAWAL TUKIJAN

Yang Dipertua

Kesatuan Pekerja-Pekerja

Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia, Semenanjung Malaysia