Friday, June 30, 2017

KSN Akan Jumpa Cuepacs Bincang Penambahbaikan Sektor Penjawat Awam


KUALA LUMPUR, 29 Jun (Bernama) -- Kerajaan akan berjumpa pihak Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) bagi membincangkan cadangan menambah baik sektor penjawat awam termasuk cadangan kongres berkenaan supaya gaji penjawat awam dan pencen pesara dinaikkan sehingga tiga peratus.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata perjumpaan itu akan diadakan dalam masa terdekat.

Ali mengulas kenyataan Cuepacs sebelum ini yang dilapor mencadangkan supaya perkara berkenaan diberi pertimbangan sewajarnya oleh kerajaan dalam Bajet 2018.

Beliau ditemui pemberita selepas mengadakan tinjauan di KL Sentral dan laluan pejalan kaki baharu yang menghubungkan pusat sehenti pengangkutan rel awam itu dengan Stesen Transit Aliran Massa Muzium Negara, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, mengulas lanjut Ali menarik perhatian bahawa kerajaan telah memberi kenaikan tiga peratus secara automatik kepada penjawat awam yang telah mencapai tahap maksimum tangga gaji masing-masing, sejak dua tiga tahun lepas.

"Dulu penjawat awam apabila sampai ke had maksima gaji, kena tunggu naik pangkat (untuk naik gaji), tetapi sekarang memang dah automatik...kita laksana sejak 2014," katanya.
- BERNAMA.

Tuesday, June 6, 2017

Melegakan 63,200 penjawat awam, 600 koperasi

MARAN 5 Jun - Keputusan menarik balik arahan sekatan pemotongan gaji pinjaman kakitangan awam yang melebihi 60 peratus memberi manfaat berganda kepada kakitangan awam dan koperasi di seluruh negara.

Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, keputusan yang dibuat itu memberi kelegaan kepada kira-kira 63,200 penjawat awam terlibat dan lebih 600 koperasi kredit di seluruh negara.

“Keputusan ini dapat membolehkan peminjam menjelaskan hutang pinjaman mereka kepada koperasi dan koperasi terlibat juga dapat membuat kutipan pinjaman dengan baik.

“Kita berterima kasih kepada kerajaan dan Angkasa yang akan berbincang semula dengan koperasi kredit seluruh negara bersama Jabatan Akauntan dan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Da­lam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) bagaimana dapat merealisasikan hasrat kerajaan untuk melihat kakitangan awam berbelanja berhemah dapat dilaksanakan dengan adil,” kata beliau.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis Ihya Ramadan Angkasa peringkat Zon Pahang 2 di Masjid Kampung Batu 13, Chenor di sini semalam.

Yang hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenor, Datuk Mohd. Arifin Awang Ismail.

Menurut Abdul Fattah, dalam tempoh dua bulan sekatan dikenakan, jumlah kutipan pinjaman tertangguh yang tidak dapat dikutip koperasi-koperasi kredit berjumlah kira-kira RM20 juta sebulan.

Dalam pada itu beliau memberitahu, sekatan kutipan pinjaman melebihi 60 peratus dikenakan terhadap kakitangan awam yang telah membuat pinjaman itu memberikan kesan negatif kepada peminjam yang berhadapan dengan tindakan undang-undang daripada koperasi kerana gagal melunaskan pinjaman.

Tambahnya, tindakan itu juga menyebabkan koperasi-koperasi kredit tidak dapat mengutip pinjaman seterusnya dan menghadapi masalah membayar pinjaman mereka dengan bank seterusnya berhadapan dengan tindakan undang-undang.

“Malah kalau peminjam berkenaan adalah ahli koperasi dan mereka tidak membayar yuran dalam tempoh tiga bulan, maka secara automatik mereka tidak lagi menjadi ahli koperasi,” katanya sambil memberitahu sekatan pemotongan gaji bermula bulan ini.

-Utusan.

Saturday, June 3, 2017

Bantuan khas kewangan RM500 untuk penjawat awam

KERAJAAN bersetuju untuk memberi bantuan khas kewangan sebanyak RM500 kepada hampir 1.6 juta penjawat awam sebagai persiapan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini.-UTUSAN ONLINE/GAMBAR HIASAN


PUTRAJAYA 2 Jun- Kerajaan bersetuju untuk memberi bantuan khas kewangan sebanyak RM500 kepada hampir 1.6 juta penjawat awam sebagai persiapan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataannya berkata, bantuan khas itu juga akan turut dinikmati oleh hampir 775,000 pesara kerajaan sebagai menghargai jasa perkhidmatan dengan bayaran sebanyak RM250.


“Pembayaran bantuan khas ini akan dibuat pada 9 Jun. 

Bantuan khas kewangan kepada penjawat awam dan pesara kerajaan ini membabitkan peruntukan sebanyak RM1 bilion.

“Kerajaan berharap dengan pemberian bantuan khas ini dapat meringankan beban kewangan kepada penjawat awam dan pesara kerajaan bagi persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri,” kata kementerian itu dalam kenyataannya di sini hari ini.

-utusan online.