Wednesday, June 17, 2015

Najib Umum Bayaran Bantuan Khas Kewangan RM500 Kepada Penjawat Awam

PUTRAJAYA, 17 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Rabu mengumumkan bayaran bantuan khas kewangan sebanyak RM500 untuk penjawat awam Gred 54 dan ke bawah.

Beliau turut mengumumkan bantuan khas untuk lebih 700,000 pesara kerajaan yang menerima pencen, dengan bayaran berjumlah RM250.

Kedua-dua pembayaran berkenaan akan dibuat pada 25 Jun, yang melibatkan anggaran implikasi kewangan berjumlah RM1 bilion, katanya.

"Bayaran ini bagi membantu dan meringankan beban kewangan penjawat awam membuat persiapan menyambut Ramadan dan Aidilfitri," katanya pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-14 di sini.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, turut mengumumkan kadar baharu terendah imbuhan tetap perumahan dinaikkan daripada RM180 kepada RM300 sebulan untuk penjawat awam gred 41 dan ke bawah.

Beliau juga mengumumkan bagi mereka yang mendiami kuarters pula, yang selama ini tidak menikmati imbuhan tetap tersebut, turut mendapat faedah sebanyak 25 peratus daripada kadar imbuhan tetap perumahan sebenar, yang layak bagi mereka.

Najib berkata keputusan yang berkuat kuasa mulai 1 Nov depan melibatkan lebih 1.1 juta penjawat awam di seluruh negara, manakala implikasi kewangan pula ialah sebanyak RM1.04 bilion setahun.

-Bernama.

Tuesday, June 16, 2015

PTPTN: CUEPACS Saran Pembayaran Balik Secara Mandatori Disegerakan

KUALA LUMPUR, 16 Jun (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) bersetuju langkah pemotongan gaji secara mandatori dilaksanakan terhadap penjawat awam yang 'liat' membayar hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Presidennya Datuk Azih Muda berkata mekanisme itu seharusnya dilaksanakan secepat mungkin bagi membolehkan PTPTN mendapatkan semula pembiayaan yang disalurkan kepada peminjam.

"Kami telah mengadakan perbincangan dengan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (Angkasa) dan mereka telah bersetuju untuk menguruskan kutipan bayaran tunggakan ini.

"Potongan gaji melalui arahan tetap bank boleh dilakukan dan ia perlu dilaksanakan segera. PTPTN dah ada rekod peminjam, cuma PTPTN boleh beri arahan berapa jumlah pembayaran balik dan tempoh yang dipersetujui kedua-dua pihak," katanya kepada pemberita di sini, Selasa.

Beliau mengulas laporan sebuah akhbar tempatan sebelum ini melaporkan lebih 33,000 kakitangan awam termasuk penyandang pelbagai jawatan kanan yang masih gagal membayar pinjaman PTPTN.

Jumlah itu mewakili 12 peratus daripada keseluruhan lebih 280,000 kakitangan kerajaan yang membuat pinjaman PTPTN.

Azih berkata peminjam tidak seharusnya melenting jika arahan pemotongan gaji secara mandatori itu dilaksanakan kerana ia merupakan tanggungjawab mereka untuk melunaskan hutang sebagaimana yang dipersetujui ketika menerima pembiayaan daripada PTPTN.

"Kalau tak nak bayar hutang, belajarlah bersungguh-sungguh, keputusan pengajian mestilah cemerlang, supaya pinjaman ditukar menjadi biasiswa," katanya.

Katanya cadangan itu dilihat sebagai tindakan 'menang-menang' kepada kedua-dua pihak, dengan peminjam secara automatik akan membayar pinjaman sebaik sahaja mendapat pekerjaan manakala proses mendapatkan kembali pembiayaan oleh PTPTN akan lebih mudah.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata CUEPACS meminta kaunter di Pusat Transformasi Bandar (UTC) ditambah ekoran jumlah pelanggan yang semakin meningkat setiap tahun.

Katanya pihaknya menyarankan sekurang-kurangnya dua kaunter ditambah bagi setiap agensi yang terdapat di UTC bagi memudahkan raktyat berurusan.

-Bernama.

CUEPACS Gesa Kerajaan Laksana Penambahbaikan 252 Skim Perkhidmatan Awam

KOTA KINABALU, 16 Jun (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menggesa supaya kerajaan mengumumkan pelaksanaan dan penambahbaikkan 252 skim perkhidmatan awam menjelang perhimpunan Majlis Perdana Perkhidmatan Awam esok.

Presidennya Datuk Azih Muda berkata CUEPACS masih menanti pelaksanaan skim perkhidmatan awam seperti yang dibentangkan dalam pembentangan belanjawan pada Oktober tahun lepas.

"Sebagai penjawat awam, sudah tentulah mereka menaruh harapan kepada kerajaan sebagai majikan dan sehingga kini, masih belum dapat gambaran jelas tarikh sebenar pelaksanaan skim ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri pelancaran Minggu Tanpa Tembakau peringkat negeri di Auditorium Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di sini Selasa.

Minggu Tanpa Tembakau peringkat negeri itu dilancarkan oleh Setiausaha Persekutuan Sabah Datuk Borhan Dolah.

Menurut Azih, CUEPACS juga berharap pelaksanaan skim perkhidmatan itu dapat dikuatkuasakan bermula Januari tahun ini.

Pada pembentangan Bajet 2015, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah memberi jaminan kerajaan akan menambah baik 252 skim perkhidmatan awam termasuk skim kenaikan gaji, dan 81 daripadanya sudah dilaksanakan secara berperingkat.

Azih juga berkata pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sejak April lepas turut memberi kesan kepada penjawat awam apabila ada peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga barangan.

Oleh itu, beliau berharap elaun rumah, elaun perumahan wilayah bagi Sabah dan Sawarak dan elaun sara hidup diselaraskan di seluruh negara.

"Kami minta bantuan kerajaan untuk lihat semula kadar ini agar lebih munasabah, lebih mampu supaya penjawat awam dapat memberi fokus kepada produktiviti masing-masing," katanya.

-Bernama.

Monday, June 15, 2015

CUEPACS Harap Najib Umum Kenaikan Gaji Rabu Ini

ALOR SETAR, 14 Jun (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berharap gaji minimum penjawat awam RM1,200 sebulan antara yang bakal diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Himpunan Penjawat Awam dijadual Rabu ini.

Presidennya Datuk Azih Muda berkata ini kerana kenaikan gaji itu dari RM900 kepada RM1,200 sebulan mampu meringankan penjawat awam untuk menampung kos sara hidup yang semakin meningkat.

"Sudah tentu penjawat awam tertunggu-tunggu kenaikan gaji mereka. Mereka harap Najib akan umumkan sesuatu yang menggembirakan mereka dalam menyambut Ramadan dan musim perayaan Aidilfitri tidak lama lagi," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata selain itu Cuepacs turut meminta elaun rumah penjawat awam di Semenanjung, Sabah dan Sarawak diselaraskan memandangkan sewa rumah agak tinggi pada masa ini.

Katanya ada kalangan penjawat awam menerima elaun rumah pada kadar RM180 sebulan sedangkan kadar sewa rumah paling rendah lebih RM300 sebulan.

"Kerajaan perlu selaraskan elaun tersebut agar ia tidak membebankan penjawat awam yang sentiasa berdiri teguh di belakang kepimpinan Najib," katanya.

-Bernama.

Saturday, June 13, 2015

Cuepacs Gesa Kerajaan Segera Umum Kenaikan Gaji Dan Bonus

Datuk Azih Muda
KUCHING, 12 Jun (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mahu supaya kerajaan segera mengumumkan kenaikan gaji untuk penjawat awam.

Presidennya Datuk Azih Muda berkata kenaikan itu mestilah lebih baik memandangkan pekerja dalam sektor awam di negara ini berhadapan dengan cabaran kos sara hidup yang masih jauh jurangnya dengan kadar upah yang diterima.

"Penjawat awam kini tertanya-tanya bila lagi kerajaan akan mengumumkan kenaikan gaji, bulan puasa ini ada atau tidak ada bonus.

"Inilah masa yang terbaik untuk kerajaan umumkan kenaikan gaji, elaun, elaun wilayah serta penambahbaikan 252 skim gaji dan elaun penjawat awam bagi mengurangkan bebanan mereka dalam keadaan ekonomi tidak menentu kini," katanya ketika berucap pada Majlis Penghargaan Hari Pekerja 2015 dan Malam Mesra Hari Gawai 2015 di sini, malam tadi.

Beliau berkata walaupun keadaan kewangan negara kurang stabil ketika ini tetapi ia bukan alasan untuk kerajaan tidak mengumumkan kenaikan gaji kepada penjawat awam yang telah menunjukkan komitmen dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab masing-masing.

Azih berkata kepimpinan Cuepacs akan terus memperjuangkan hak dan kebajikan penjawat awam di negara ini.

-Bernama.