Wednesday, August 20, 2014

Penjawat Awam Perlu Terjemah Erti Kemerdekaan Dengan Meningkatkan Prestasi

PUTRAJAYA, 19 Ogos (Bernama) -- Penjawat awam perlu terjemahkan erti kemerdekaan dengan meningkatkan prestasi dan semangat patriotisme, kata Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal.

Beliau berkata sempena sambutan hari kemerdekaan negara, penjawat awam juga perlu menilai semula peranan dan tanggung jawab mereka bagi memastikan kejayaan negara.

"Kejayaan negara hari ini juga adalah usaha tanpa jerih perjuangan kita pada suatu ketika dahulu bagi melihat sebuah negara bangsa yang bebas, diperintah dan ditadbir sendiri oleh rakyatnya," katanya semasa melancarkan sambutan Bulan Kemerdekaan dan Kibar Jalur Gemilang 2014 peringkat Kompleks C di sini Selasa.

Turut hadir Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Tan Sri Mahmood Adam dan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Azih Muda.

Katanya penjawat awam akan tetap mengibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda patriotisme sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-57 meskipun diselubungi kesedihan ekoran kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 dan tragedi MH17 terhempas di timur Ukraine pada 17 Julai lepas.

"Jadi, walaupun nampak mudah iaitu hanya kibar bendera, tetapi di sini letaknya jiwa dan raga kita, meletakkan harapan bagi melihat negara kita jauh lebih maju, lebih hebat daripada apa yang ada sekarang.

"Seperti yang diucapkan Perdana Menteri semalam (pada sambutan Bulan Kemerdekaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang), Jalur Gemilang bukan sekadar sehelai kain bercorak tetapi tersimpan sebuah pengertian dan seribu makna yang sangat mendalam," kata Mohamad Zabidi.

Menurutnya sebagai penjawat awam, sokongan dan semangat cintakan negara akan diteruskan walaupun negara dilanda pelbagai insiden dan dugaan akhir-akhir ini.

Katanya insiden kehilangan MH370 dan nahas MH17 turut menunjukkan negara terdedah kepada pelbagai ancaman bukan sahaja dalam bentuk fizikal, tetapi juga ancaman terhadap ekonomi, penyebaran berita palsu, fitnah dan sebagainya terutamanya melalui media sosial.

"Di sinilah peranan kita sebagai penjawat awam dalam menyokong dasar-dasar negara dan kesetiaan kepada pemimpin walaupun dalam dilanda fitnah," katanya.

-Bernama.

Monday, August 18, 2014

Cuepacs Harap Penambahbaikan 171 Skim Perkhidmatan Awam Diumum Dalam Bajet 2015

IPOH, 18 Ogos (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berharap penambahbaikan 171 skim perkhidmatan awam yang sedang disemak kerajaan diumumkan dalam pembentangan Bajet 2015.

Presidennya Azih Muda berkata Cuepacs kini dalam rundingan akhir dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berhubung penambahbaikan skim perkhidmatan awam dari peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hingga ijazah.

"Cuepacs berharap kerajaan dapat memberi penjelasan segera mengenai penambahbaikan skim itu," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan taklimat isu-isu semasa bersama Pembantu Tadbir di Kompleks Rawatan Harian Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini hari ini.

Beliau turut meminta kerajaan menyemak gaji minimum kakitangan awam RM800 supaya dinaikkan 30 peratus kerana kos sara hidup yang kini kian meningkat.

"Penjawat awam masih lagi ada yang gaji bawah RM800, mereka ini dikira golongan di bawah garis kemiskinan. Kita minta kerajaan menaikkan gaji kakitangan awam minimum RM1,200 kerana generasi muda perlukan rumah untuk didiami, membesarkan anak-anak mereka dalam keadaan yang lebih kondusif," katanya.

Dalam Bajet 2015, Azih berkata Cuepacs juga berharap kerajaan memberi lebih peruntukan terhadap aspek kesihatan termasuk menambah mesin hemodialisis.

-Bernama.

Monday, August 11, 2014

Cuepacs Minta Kerajaan Beri Dua Bulan Bonus Dalam Bajet 2015

KUALA LUMPUR, 11 Ogos (Bernama) -- Cuepacs hari ini meminta kerajaan mempertimbang pemberian dua bulan bonus kepada penjawat awam dalam pembentangan Bajet 2015.

Presidennya Azih Muda berkata ia selaras dengan pertumbuhan ekonomi negara yang dilihat semakin memberangsangkan selain bertujuan menghargai jasa penjawat awam dalam memacu perkembangan itu.

"Ekonomi negara pada masa ini menunjukkan perkembangan yang positif dengan pertubuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara meningkat lebih lima peratus.

"Sekiranya ekonomi negara tidak menyusut dalam tempoh enam bulan, kita rasa momentumnya akan terus meningkat dan sudah tentu pemacu kepada keberkesanan ekonomi ini dimulai dengan penjawat awam", katanya pada majlis penyerahan sumbangan di Wisma Cuepacs di sini.

Pada majlis itu, Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (MERCY Malaysia) menerima sumbangan sebanyak RM20,000 daripada Cuepacs untuk disalurkan kepada rakyat Palestin di Gaza, selain RM5,000 masing-masing diberikan kepada Ma'ahad Tahfiz Akademi Iqro Alquran dan Pusat Jagaan Darul Atiq.

Azih berkata Cuepacs akan membuat permohonan rasmi dengan menghantar surat pertimbangan kepada Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan mengenai pemberian bonus itu.

Sementara itu, beliau turut menggesa kerajaan supaya terlibat secara langsung dalam pembinaan rumah mampu milik supaya harga rumah tidak dimanipulasi oleh pihak-pihak tertentu.

Kerajaan juga katanya, perlu menambah unit kediaman selaras dengan permintaan masa kini selain mengekalkan instrumen subsidi termasuk untuk tapak rumah.

"Pada masa sama Cuepacs berpendapat kerajaan perlu mengkaji semula tempoh bayaran balik pinjaman kerana kalau dipanjangkan, maka jumlah potongan menjadi kecil dan lebihan daripada itu boleh dibelanja untuk keperluan lain", katanya.

Menyentuh kesediaan kerajaan untuk mengkaji kewajaran menutup laman sosial Facebook, Azih berkata penyekatan sebegini kurang efektif sebaliknya pendidikan di peringkat awal dapat membanteras penyalahgunaannya.

"Apa yang kita harapkan ialah kerajaan perlu menerapkan integriti kepada rakyat negara kita supaya lebih profesional dan memahami apa yang akan berlaku sekiranya maklumat-maklumat yang disalurkan berunsur fitnah atau perkara yang memudaratkan," katanya.

-Bernama.

Thursday, August 7, 2014

Cuepacs Mahu Kerajaan Bina Lebih Banyak Rumah Mampu Milik

KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) -- Cuepacs meminta kerajaan membina lebih banyak rumah mampu milik untuk penjawat awam serta golongan berpendapatan sederhana bagi tempoh lima tahun akan datang.

Presidennya, Azih Muda berkata permintaan itu dikemukakan untuk pertimbangan kerajaan dalam penyediaan Belanjawan 2015 yang dijangka dibentang di Parlimen beberapa bulan lagi.

Azih berkata ia merupakan antara perkara yang dibangkitkan dalam pertemuan singkat beliau dengan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengunjungi majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Cuepacs di sini Khamis.

Katanya, Cuepacs juga berharap kerajaan mengadakan lebih banyak sesi penerangan dan penjelasan mengenai Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) di peringkat akar umbi kerana ramai yang masih tidak jelas mengenainya.

"Umum bimbang kenaikan kos akan berlaku dengan pelaksanaan GST ini, jadi kerajaan perlu bagi jaminan bahawa barangan asas tidak naik harga kerana diberi pengecualian cukai," kata Azih kepada pemberita selepas majlis itu.

GST pada kadar enam peratus akan dilaksanakan mulai April 2015 bagi menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan sebanyak 16 peratus.

Mengulas lanjut, Azih berkata Cuepacs turut meminta kerajaan mempertingkat kadar penembusan jalur lebar terutama di kawasan luar bandar yang kini menurutnya hanya pada kadar 60 peratus.

"Kita bimbang (jika masalah ini tidak ditangani) generasi muda di luar bandar susah nak dapat pekerjaan kerana banyak iklan jawatan kerja kini perlu diisi secara dalam talian," jelasnya.

Menurutnya, Cuepacs juga meminta kerajaan memberi perhatian kepada keperluan golongan pensyarah yang disifatkan sebagai bakat penting buat negara.

Muhyiddin meluangkan masa kira-kira 45 minit di majlis Hari Raya itu yang turut dihadiri Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Bakri Mohd Zinin.

-Bernama.