Berita gembira tersebut diumumkan Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi laman Facebook­nya, sebagai menepati janji kerajaan Barisan Nasional (BN) selepas pengumuman mengenainya terlebih dahulu dibuat Perdana Menteri ketika membentangkan Bajet 2016, Oktober tahun lalu.

Pada masa yang sama, keupayaan kerajaan melaksanakan janji tersebut mengikut jadual ditetapkan membuktikan ekonomi negara bukan sahaja stabil tetapi kekal berdaya tahan biarpun persekitaran ekonomi global berada dalam keadaan tidak menentu ketika ini.

“Meskipun berdepan tohmahan dan pelbagai fitnah, terutamanya berkenaan keadaan kewangan kerajaan dan negara. Malah ada yang berkata kita akan jatuh muflis dan sebagainya, kerajaan tetap meletakkan kepentingan serta kebajikan rakyat sebagai yang paling utama.

“Insya-Allah, bermula bulan Julai 2016, kenaikan satu tangga gaji dan gaji minimum RM1,200 kepada penjawat-penjawat awam seluruh negara akan mula dilaksanakan seperti mana yang telah saya umumkan dalam Bajet 2016 yang lalu,” kata Perdana Menteri di sini hari ini.

Dalam Bajet 2016, Najib yang juga Menteri Kewangan mengumumkan kenaikan gaji baharu serta pelaksanaan gaji minimum tersebut adalah sebahagian daripada program Rasionalisasi Skim Perkhidmatan Bagi Perkhidmatan Awam Persekutuan di Bawah Sistem Saraan Malaysia.

Menerusinya, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM1.4 bilion untuk menambah baik perkhidmatan awam berkuat kuasa 1 Julai 2016, termasuk memberi satu kenaikan gaji tahunan, menambah baik 252 skim perkhidmatan serta melaksanakan gaji permulaan (minimum) RM1,200.
-Utusan.