Thursday, December 28, 2017

Cuepacs desak batal penalti, notis pengosongan kuarters kerajaan

AZIH MUDA menunjukkan notis pengosongan kuarters yang dikeluarkan BPH kepada penjawat awam
dalam isu pemindahan tempat kerja dalam sidang akhbar hari ini. - UTUSAN

KUALA LUMPUR 28 Dis. - Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mendesak kerajaan membatalkan penalti dan notis pengosongan kuaters yang dikenakan terhadap lebih 500 penjawat awam dan pesara di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, penalti yang mencecah hampir RM120,000 yang dikeluarkan Badan Pengurusan Hartanah, Jabatan Perdana Menteri itu dikenakan ekoran arahan pemindahan tempat kerja dari Kuala Lumpur ke Putrajaya dan sebaliknya selain persaraan kakitangan yang terlibat.

Katanya, rata-rata penjawat yang menerima penalti dan notis pengosongan tidak dimaklumkan mengenai perkara tersebut apatah lagi menerima notissi peringatan daripada badan tersebut.

“Kami hendak lihat kerajaan yang dipimpin seorang Perdana Menteri yang begitu bertanggungjawab, lepaskan kelompok ini. Mengapa pertukaran tempat kerja dalam radius 25 kilometer (km) tetapi nak dikenakan caj apabila menduduki kuarter, sebab kita berkhidmat di bawah kerajaan yang sama.

“Kita akan berjumpa dengan Ketua Setiausaha Negara petang ini dan meminta agar polisi yang membebankan penjawat awam dan pesara diubah.Diharapkan pembatalan tunggakan sewa ini akan dibuat sebelum 1 Januari tahun depan,” katanya di sini hari ini.


Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas bertemu dengan kira-kira 100 penjawat awam dan pesara yang terlibat dalam masalah dikenakan penalti dan notis pengosongan kuarters daripada BPH di ibu pejabat CUEPACS di sini.
-Utusan Online.

Monday, October 30, 2017

Tukar formula 13-13 kepada 10-8: CUEPACS

KUALA LUMPUR: CUEPACS merayu kepada kerajaan, supaya mengkaji semula kenaikan pangkat kumpulan pelaksana berasaskan tempoh perkhidmatan (time-based) daripada 13 tahun kepada 10 tahun untuk kali pertama dan lapan tahun bagi kenaikan kali kedua.

 
Presidennya, Datuk Azih Muda, berkata walaupun dalam Bajet 2018, kerajaan mengumumkan kenaikan pangkat kali kedua selepas 13 tahun, ia tempoh yang terlalu lama bagi penjawat awam kumpulan itu untuk merasai peluang kenaikan pangkat.

"Ketika ini, kenaikan pangkat ditetapkan kerajaan bagi kumpulan pelaksana ialah selepas 13 tahun berkhidmat dan menerusi Bajet 2018, kenaikan kedua juga dilaksanakan selepas 13 tahun lagi.
 
"CUEPACS berpendapat kenaikan pangkat sehingga 13 tahun bagi kali kedua terlalu lama, terpaksa menunggu sehingga 26 tahun untuk menikmati kenaikan pangkat dan gaji, sedangkan mereka adalah kumpulan paling terbeban dan menanggung kos sara hidup yang meningkat setiap tahun.
 
"Berikutan itu, kita merayu kerajaan supaya menukar formula ini daripada '13-13' kepada '10-8' bagi membolehkan penjawat awam kumpulan pelaksana yang merangkumi kakitangan Gred 11 hingga 29, menikmati kenaikan lebih cepat berbanding sekarang," katanya kepada BH.
 
Ketika membentangkan Bajet 2018, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengumumkan mulai 1 Januari tahun depan, kenaikan pangkat berasaskan 'time-based' kali kedua bagi kumpulan pelaksana adalah 13 tahun selepas kenaikan kali pertama.
 
Ketika ini, kumpulan pelaksana hanya berpeluang menikmati kenaikan pangkat sekali sahaja selepas 13 tahun berkhidmat.
 
Kira-kira 60 peratus atau 960,000 daripada 1.6 juta penjawat awam yang berkhidmat di seluruh negara adalah daripada kumpulan pelaksana.
 
Bagi Kumpulan Pengurusan dan Profesional, kenaikan pangkat mereka tidak terikat kepada tempoh perkhidmatan kerana ia dilaksanakan menerusi Sistem Kenaikan Pangkat Secara Fleksi.
 
Azih berkata, CUEPACS berharap kerajaan menggunakan peluang perbahasan Bajet 2018 di Parlimen nanti, untuk menimbang semula Formula 13-13 kepada 10-8.
 
"Sekiranya formula 13-13 bagi kenaikan pangkat itu dikekalkan, jika ada 1,000 penjawat awam kumpulan pelaksana yang layak, mungkin hanya 10 orang sahaja berpeluang naik pangkat," katanya.
-BH Online.

Thursday, October 26, 2017

Janji berita gembira... Perdana Menteri akan umum peruntukan terbaik kepada penjawat awam

KUALA LUMPUR 25 Okt. - Datuk Seri Najib Tun Ra­zak berkata, pembentangan Bajet 2018 akan menjanjikan berita gembira khu­susnya kepada golongan penjawat awam.

Perdana Menteri berkata, beliau akan mengumumkan peruntukan-peruntukan terbaik kepada golo­ngan berkenaan pada Jumaat ini bermula 3.30 petang.

“Seperti yang dijanjikan, saya akan umum berita gembira untuk penjawat awam, 27 Oktober ini pada 3.30 petang #Bajet2018,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.

Selepas Perdana Menteri memuat naik status menggembirakan rakyat itu, laman sosial beliau dihujani komen-komen daripada pengguna yang meletakkan harapan tinggi selain berterima kasih di atas keprihatinan beliau.

Antaranya, seorang rakan Facebook beliau, Mohd. Haniff Nif mengharapkan pengumuman bonus untuk penjawat awam kali ini dinaikkan sebanyak dua bulan gaji berbanding hanya RM500 sebagaimana dalam peruntukan bajet sebelum ini sejak tujuh tahun lalu.

Perkara sama turut dibangkitkan oleh Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) sebelum ini yang menuntut kerajaan mempertimbangkan pemberi­an bonus sekurang-kurangnya satu bulan setengah gaji kepada 1.6 juta penjawat awam bagi mengurangkan beban golongan itu yang bergaji rendah untuk menyara kehidupan dengan kenaikan kos sara hidup.

Kesatuan berkenaan juga menuntut kerajaan membina rumah mampu milik untuk penjawat awam berpendapatan rendah pada kadar harga serendah RM80,000 sebuah memandang­kan kebanyakan projek perumahan kerajaan seperti Perumahan Pen­jawat Awam 1Malaysia (PPA1M), skim Perumahan Mam­pu Milik Swasta (MyHome) dan Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dijual pada harga RM150,000 yang disifatkan masih tinggi bagi segelintir golongan tersebut.

Menerusi tinjauan cadangan di laman web khas untuk Bajet 2018, antara cadangan yang paling disukai orang ramai ialah meningkatkan elaun kakitangan perkhidmatan awam sebagaimana yang dicadangkan oleh Ravidasan berikutan kos sara hidup rakyat kini telah meningkat.

Richard Samie pula mencadangkan kadar gaji dinaikkan sebanyak 4 peratus mengikut kadar inflasi semasa manakala elaun perumahan ditambah sebanyak RM100.
-Utusan.

Wednesday, October 25, 2017

Bajet 2018: Kerajaan Prihatin, Sediakan Terbaik Untuk Penjawat Awam - KSN


PUTRAJAYA, 24 Okt (Bernama) -- Kerajaan prihatin terhadap perkhidmatan awam dan akan menyediakan Bajet 2018 yang terbaik untuk golongan penjawat awam, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

"Untuk penjawat awam, saya rasa kerajaan akan prihatin terhadap penjawat awam yang sentiasa menjalankan tugas dengan baik serta melaksanakan segala dasar-dasar kerajaan. Sama-sama kita tunggu pengumuman Jumaat ini," katanya ketika ditanya mengenai jangkaan beliau pada Bajet 2018.

Ali ditemui pemberita selepas menyampaikan anugerah kepada 126 orang anak anggota Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam (Puspanita) daripada seluruh negara di Majlis Anugerah Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) di sini, hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan akan membentangkan Bajet 2018 di Dewan Rakyat Jumaat ini.

Pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-15 (MAPPA XV) pada 3 Okt lepas, perdana menteri berkata beberapa khabar gembira dan penambahbaikan untuk penjawat awam akan diumumkan dalam Bajet 2018.

Ditanya mengenai pencapaian penjawat awam, Ali berkata beliau amat berpuas hati dengan pencapaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI) semua ketua ketiausaha, ketua jabatan, ketua pengarah dan ketua perkhidmatan dalam perkhidmatan awam sepanjang tahun.

"Saya dapati semua tercapai dan secara keseluruhan, saya amat berpuas hati dengan prestasi mereka. Kita selalu menilai prestasi penjawat awam khususnya peringkat pengurusan tertinggi ini dari semasa ke semasa bagi memastikan segala hasrat dan tanggungjawab dilaksanakan," katanya.

Beliau berkata pencapaian KPI itu menunjukkan trend meningkat setiap tahun.

-BERNAMA.

Wednesday, October 18, 2017

Bajet 2018: Dua insentif baharu antara tuntutan CUEPACS

PRESIDEN Cuepacs, Datuk Azih Muda ketika sidang media mengenai Bajet 2018
di Wisma Cuepacs, Pudu. - Foto Khairull Azry Bidin

KUALA LUMPUR: Dua insentif baharu antara 11 tuntutan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) untuk dipertimbangkan kerajaan dalam pengumuman Bajet 2018, hujung bulan ini.

Tuntutan itu adalah memperkenalkan elaun bandar raya dan rebat kepada pengguna pengangkutan awam, selain pemberian bonus sebulan setengah gaji kepada penjawat awam.

Presiden CUEPACS, Datuk Azih Muda, berkata pihaknya mencadangkan kerajaan memperkenalkan elaun bandar raya sebanyak RM300 sebulan kepada setiap penjawat awam berstatus miskin bandar yang tinggal di kawasan berstatus bandar raya.

Katanya, tuntutan itu adalah relevan susulan keperitan hidup dialami penjawat awam di bandar berikutan kenaikan kos sara hidup.

Selain itu, katanya, CUEPACS mencadangkan pemberian rebat kepada penjawat awam yang menggunakan pengangkutan awam menerusi kad diskaun, berkuatkuasa Januari tahun depan.

"Pemberian rebat ini perlu diberikan kepada semua jenis pengangkutan awam bagi menggalakkan penggunaannya untuk pergi bekerja dan sebagainya, selain membantu menyelesaikan masalah kesesakan jalan raya, mengurangkan perbelanjaan harian serta masa pergi dan balik dari tempat kerja.

"CUEPACS juga berharap pemberian bonus sebulan setengah sebagai pengiktirafan kepada perkhidmatan penjawat awam, memandangkan sudah tujuh tahun kami hanya diberikan bantuan khas kewangan RM500," katanya pada sidang media khas di Wisma CUEPACS di sini, hari ini.

Azih berkata, semua tuntutan itu sudah dihantar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak awal Ogos lalu dan difahamkan, memorandum CUEPACS itu sedang diberikan pertimbangan serius oleh Pejabat Perdana Menteri.

Katanya, permintaan lain termasuklah memberikan dua kenaikan gaji tahunan, memperbanyakkan pembinaan rumah pada harga RM90,000 hingga RM150,000 khusus bagi penjawat awam serta mengurangkan kadar faedah pinjaman perumahan daripada Lembaga Pinjaman Perumahan Sektor Awam (LPPSA) daripada empat peratus kepada satu peratus.

"Ramai penjawat awam tak mampu miliki rumah sendiri. 100 peratus daripada 30,000 penjawat awam baharu setiap tahun tiada rumah dan selepas lima tahun, mereka masih belum miliki rumah.

Selain itu, 70 peratus penjawat awam sedia ada berusia 50 tahun ke bawah tiada rumah sendiri," katanya.

Selain itu, cadangan lain adalah kenaikan pelepasan cukai bagi beberapa kategori, antaranya individu (RM9,000 kepada RM18,000), isteri/suami (RM4,000 kepada RM9,000), anak (18 tahun kepada 21 tahun, RM2,000 kepada RM4,000), anak belum berkahwin dan masih belajar (RM8,000 kepada RM12,000) dan perubatan ibu bapa (RM5,000 kepada RM9,000).

CUEPACS turut memohon kerajaan menyemak semula elaun wilayah dan elaun perumahan wilayah bagi penjawat awam di Sabah dan Sarawak berikutan mereka terpaksa menempuhi pelbagai kesukaran berkhidmat di kawasan pedalaman.

"CUEPACS juga memohon imbuhan tetap khidmat awam bagi gred terendah dinaikkan daripada RM95 kepada RM180 memandangkan kali terakhir ia disemak adalah 15 tahun lalu.

"Cadangan lain adalah semua penjawat awam diberi perlindungan di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi menggantikan ex-gratia, dengan caruman sendiri serta sedikit bantuan kerajaan.


"Kerajaan juga disaran melaksanakan kenaikan pangkat khas untuk penyandang (KUP) kali kedua untuk penjawat awam gred kanan, dengan kali pertama ditukar daripada 13 tahun kepada 10 tahun, manakala kali kedua selepas lapan tahun," katanya.
-berita harian.

Tuesday, October 17, 2017

Gaji, kos sara hidup & rasuah

Beberapa khabar gembira untuk penjawat awam akan diumumkan dalam Bajet 2018. Wah! Setiap tahun hampir ada sahaja habuan ‘istimewa’ kepada pekerja sektor kerajaan atau awam. Pengumuman Bajet 2018 yang akan dibentangkan pada 27 Oktober ini pasti memberi harapan kepada penjawat awam seluruh Malaysia.

Kalau kerajaan nak beri, lebihkan peruntukan kepada golo­ngan kakitangan bawahan. Pemerhatian CUEPACS sejak beberapa tahun lalu mendapati skala gaji rendah dan kos sara hidup tinggi mungkin menjadi antara faktor penjawat awam terbabit rasuah.

Bagaimanapun rantaian masalah kos sara hidup tidak pernah berkurangan. Jika kerajaan mahu naikkan gaji lagi, bagaimana dengan harga barangan. Takkan peniaga hanya melihat kaki­tangan kerajaan sahaja banyak duit.

Peniaga juga hendak merasa sedikit wang yang kakitangan dapat. Maka harga barangan mungkin naik juga. Bagaimana pula orang ramai yang bukan bekerja dengan kerajaan? Tanggung apa sahaja kenaikan harga barangan?

Mengekang kenaikan kos hidup dan menaikkan gaji adalah dua perkara berbeza. Berdasarkan pengalaman lalu, menaikkan gaji secara mendadak pun tidak ada guna, sebab kenaikan harga barangan bagaikan selari dengan kenaikan gaji sektor awam. Umum sahaja kenaikan gaji minggu depan, hari ini harga barangan sudah naik.

Tambahan pula agensi penguatkuasaan kerajaan masih lemah dalam hal ini. Mekanisme yang lemah perlu diperbaiki dengan segera untuk mengelakkan masalah ekonomi ini memberi kesan pula kepada permasalahan sosial.

Selama ini pun gaji bulanan golongan bawahan mahupun pertengahan dan atasan jarang-jarang yang cukup. Segelintir orang guna jalan rasuah untuk tampung kekurangan itu. Sebenarnya amalan rasuah berlaku dalam sektor awam dan swasta – asalkan ada urusan melibatkan wang.

Gaya hidup

Tetapi punca amalan rasuah da­lam kalangan penjawat awam ialah nafsu, iaitu gaya hi­dup me­­lebihi pendapatan. Tidak mengukur baju di badan sendiri. Bukan semua penjawat awam begitu – hanya se­gelintir penjawat awam bergaya hidup mewah dengan buat pinjaman peribadi – bila hutang tak dapat dijelaskan, rasuah dijadikan sandaran. Ber­beza dengan pega­wai awam gred tinggi yang bergaji besar, hidup mewah dan ada kuasa tapi segelintir lakukan rasuah juga.

Untuk menanganinya, elok sangat diberikan ganjaran serta per­lin­dungan kepada pemberi maklumat, terutama daripada pihak dalaman. Ganjaran itu bo­leh menggalakkan penjawat awam melaporkan kegiatan rasuah sekali gus mampu meng­hapuskan rasuah dalam kalangan penjawat awam di negara ini.

Hakikatnya sampai sekarang, go­lo­­ngan sokongan masih takut me­la­por­kan ketua jabatan yang ra­suah. Mere­ka takut terjejas masa depan ker­jaya dan peluang kenaikan pangkat. Apa pun kadangkala go­longan sokongan dan ketuanya sama-sama amal rasuah.

Tahniah Suruhanjaya Pen­cegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ber­jaya melakukan beberapa tang­kapan dan penyelewengan dalam kes-kes rasuah terbesar di Malaysia khasnya sejak tahun lalu.

Dalam konteks politik masa kini, tahap kebolehpercayaan ins­­ti­tusi kerajaan di mata rakyat bergantung kepada sejauh mana pemerintah dan penjawat awam dapat mengelakkan diri daripada terjebak dengan amalan rasuah dan salah guna kuasa.

Bukan mudah untuk memerangi amalan rasuah dan salah guna kua­sa. Sikap belas kasihan kepada pesa­lah rasuah masih menjadi asas pertimbangan dalam proses tindakan tatatertib. Siasatan sesuatu kes tidak hanya berakhir dengan tindakan menghadapkan suspek ke mahkamah semata-mata.

Sebaliknya, banyak kes yang disiasat SPRM dikemukakan sebagai Laporan SPRM untuk tindakan tatatertib. Atas dasar simpati, suspek-suspek ini terlepas daripada hukuman berat seperti ditamatkan perkhidmatan dan hanya diberikan surat teguran atau amaran sahaja.
-Utusan.

Tuesday, October 10, 2017

MTUC tuntut gaji minimum RM1,800

SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mahu gaji minimum yang diperkenalkan pada tahun 2012 dinaikkan kepada RM1,800 dengan mengambil kira kos sara hidup yang semakin meningkat.

Setiausaha Agung MTUC, J Solomon berkata, pihaknya berharap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Razak akan mengumumkan dasar terbaharu ini apabila membentangkan Bajet 2018 akhir bulan ini.

Solomon berkata, dasar gaji minimum RM1,800 seharusnya selari dengan aspirasi kepimpinan perdana menteri yang mahu melahirkan masyarakat berpendapatan tinggi.

"Selari dengan aspirasi perdana menteri menjadikan rakyat Malaysia masyarakat berpendapatan tinggi, perdana menteri mengumumkan pelaksanaan dasar gaji minimum. Tetapi kadar pada hari ini tidak memadai untuk pekerja khususnya rakyat Malaysia merasai kehidupan yang berkualiti," kata beliau.

Katanya, MTUC mahu gaji minimum semasa dinaikkan sebanyak AS$50 (sekitar RM200) seminggu atau AS$200 (sekitar RM800) sebulan di mana ia akan membawa kepada gaji minimum yang dicadangkan RM1,800.

Selepas mengambil kira analisis ekonomi kesatuan-kesatuan sekerja di peringkat global juga memutuskan negara-negara membangun dan sedang membangun seharusnya memberi tambahan AS$50 seminggu untuk membawa kadar gaji minimum sehingga RM1,800.

"Maklumat yang dikumpulkan MTUC sejak kebelakangan ini menunjukkan kos hidup di negara kita telah meningkat dengan kadar yang tinggi. Ini realiti pada hari ini," kata beliau.

Oleh itu kata Solomon, MTUC mahu kadar RM1,800 diperkenalkan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

"MTUC telah menghantar senarai cadangan sebagai input untuk Bajet 2018, berharap ia akan diberi pertimbangan oleh Najib selaku perdana menteri dan menteri kewangan," kata beliau yang juga setiausaha agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank.

MTUC telah mengadakan 1 forum berkaitan gaji minimum di ibu negara semalam. Forum itu yang memfokus perbincangan "Asia Berjuang Untuk AS$50+: Hentikan Ketamakan Korporat", turut mencadangkan keperluan had gaji minimum di negara ini disemak semula dengan mengambil kira pelbagai perkembangan sosioekonomi.

"Mengambil kira pendirian kepimpinan Najib yang mahu melahirkan masyarakat berpendapatan tinggi, usaha awal perlu diambil untuk menaikkan gaji minimum. Ini masa yang sesuai untuk mengkaji semula gaji minimum," katanya.
Susulan gaji minimum yang dilaksanakan pada tahun 2012, gaji minimum dikaji semula dengan Perintah Gaji Minimum 2016 dikuatkuasakan mulai 1 Julai 2016 ke atas semua majikan tanpa mengira bilangan pekerja.

Perintah tersebut melibatkan semua pekerja di sektor swasta kecuali pekhidmat domestik (pembantu rumah) sebagaimana yang terkandung dalam Perintah Gaji Minimum 2012.

Melalui Perintah Gaji Minimum 2016, kadar gaji minimum ditetapkan mengikut wilayah iaitu RM1,000 sebulan atau RM4.81 sejam bagi Semenanjung Malaysia dan RM920 sebulan atau RM4.42 sejam bagi Sabah, Sarawak dan Labuan.

Pada tahun 2012, Najib mengumumkan kadar gaji minimum kebangsaan bagi sektor swasta sebanyak RM900 sebulan atau RM4.33 sejam untuk Semenanjung manakala Sabah, Sarawak dan Labuan pula pada paras RM800 atau RM3.85 sejam.

Dalam pengumuman lima tahun lalu, Najib berkata, kerajaan menyedari dan amat prihatin terhadap tuntutan para pekerja supaya gaji minimum ditetapkan pada paras antara RM1,200 hingga RM1,500.

"Oleh itu, sudah tiba masanya kadar semasa dikaji semula, dan dinaikkan kepada RM1,800 kerana RM1,800 adalah kadar yang munasabah pada hari ini," kata Solomon.
Solomon berkata, salah seorang ahli panel iaitu Timbalan Pengerusi Bantah TPPA Azlan Awang telah berkongsi pandangan bahawa purata kadar kos barangan di Malaysia tujuh kali lebih mahal berbanding di Australia meskipun nilai mata wang jauh berbeza.


"Maklumat mengenai perbezaan purata kadar kos harga barangan adalah sesuatu yang mengejutkan. Apa pilihan yang kita ada bagi pekerja-pekerja di Malaysia?" kata Solomon.
-sinar harian.

Tuesday, October 3, 2017

PM umum berita gembira penjawat awam 27 Oktober ini


PUTRAJAYA 3 Okt.- Datuk Seri Najib Tun Razak bakal mengumumkan khabar gembira dan penambahbaikan untuk seluruh penjawat awam sewaktu Bajet 2018 pada 27 Oktober ini.

Perdana Menteri berkata, beliau memahami ramai anggota perkhidmatan awam ternanti-nanti dengan pengumuman tersebut.


“Saya faham, ramai yang ternanti-nanti akan pengumuman tertentu. 



“Insya Allah, beberapa khabar dan penambahbaikan untuk penjawat awam akan diumumkan dalam Bajet 2018 pada 27 haribulan Oktober ini nanti,” katanya ketika berucap dalam Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Kelima Belas (MAPPA XV) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.
-Utusan.