Wednesday, May 30, 2018

Bonus khas RM400 untuk Gred 41 ke bawah, pesara dapat RM200

PERDANA Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata dalam sidang akhbar selepas
mempengerusikan mesyuarat Kabinet di sini hari ini.-UTUSAN ONLINE

PUTRAJAYA 30 Mei - Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini mengumumkan bantuan khas raya RM400 kepada seluruh penjawat awam Gred 41 ke bawah dan RM200 kepada pesara kerajaan.

Beliau turut mengumumkan Bantuan Sara Hidup yang menggantikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1) akan mula disalurkan pada 6 Jun dengan kadar bantuan dikekalkan.

Ujar beliau lagi, harga minyak RON95 serta diesel akan dikekalkan namun minyak RON97 akan diapungkan mengikut harga pasaran.

“Esok, taklimat penuh akan dibuat oleh Kementerian Kewangan,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet di sini hari ini. 

Selain itu, Dr. Mahathir turut mengumumkan diskaun 50 peratus tol lebuh raya di seluruh negara bagi tempoh dua hari sebelum Hari Raya Aidilfitri.


Dalam sidang akhbar sama, beliau turut memberi laluan kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo untuk mengumumkan Piala Dunia di Rusia akan disiarkan di RTM.
- UTUSAN ONLINE

Tuesday, May 29, 2018

Bonus penjawat awam sebelum Aidilfitri - Dr M

PERDANA Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Pimpinan Tertinggi PPBM hari ini. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memberikan bonus kepada 1.6 juta penjawat awam sempena perayaan Aidilfitri tidak lama lagi, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Kita akan bagi bonus, banyak mana tidak tau lagi," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di ibu pejabat parti itu di Menara Yayasan Selangor, Petaling Jaya dekat sini, hari ini.

Turut hadir pada mesyuarat yang berlangsung kira-kira 3 jam itu ialah Presiden PPBM yang juga Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Presiden PPBM yang juga Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Ketua Pemuda PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.


Dr Mahathir yang juga Pengerusi PPBM dan Anggota Parlimen Langkawi berkata sambutan Aidilfitri parti itu akan diadakan di Perak, dengan lokasinya akan ditetapkan kelak.

Dalam Bajet 2018, kerajaan Barisan Nasional mengumumkan bantuan khas sebanyak RM1,500 kepada 1.6 juta penjawat awam.


Sebanyak RM1,000 sudah dibayar pada Januari lepas manakala bakinya dijadualkan sebelum sambutan Aidilfitri.
- BERNAMA

Saturday, May 26, 2018

CUEPACS mohon bantuan Aidilfitri kepada semua penjawat awam


KUALA LUMPUR 26 Mei - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berharap kerajaan dapat memberikan bantuan Aidilfitri kepada semua penjawat awam di setiap peringkat.

Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, pihaknya amat mengalu-alukan pertimbangan daripada kerajaan berkenaan bantuan Aidilfitri yang sewajarnya diterima semua penjawat awam tanpa ada perbezaan penjawatan.

“Saya mengharapkan selagi seseorang itu penjawat awam, dia layak untuk mendapat bantuan tersebut. Jangan membezakanlah.

“Kami di CUEPACS juga berharap pembayaran bantuan Aidilfitri tersebut dapat dilakukan secepat mungkin. Penjawat awam terutama yang bergaji rendah amat mengharapkan bantuan itu kerana baki gaji mereka memang tidak mencukupi,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, pihaknya akan mengusulkan cadangan kepada Perdana Menteri berkenaan bantuan Aidifitri yang bakal menjelang.

Katanya, cadangan itu akan diutarakan bagi membantu penjawat awam yang bergaji rendah untuk menyediakan persiapan menyambut Hari Raya.

Guan Eng juga berkata bantuan tersebut ditujukan kepada golongan berjawatan rendah, dan jumlah bantuan itu akan diumumkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Sementara itu, jelas Azih, Parlimen menerusi Bajet 2018 yang lalu telah meluluskan Bantuan Khas Kewangan kepada penjawat awam sebanyak RM500 sempena Aidilfitri, sehubungan itu CUEPACS berharap perkara tersebut tidak terjejas meskipun kerajaan Persekutuan telah bertukar kepimpinan.


“Jika Dr. Mahathir ingin memberi lebih pun bagus juga, kami yakin perkara ini mungkin boleh berubah dan mungkin juga boleh lebih tapi saya rasa tidak kurang daripada RM500,” katanya.
-Utusan.

Wednesday, May 23, 2018

Kenaikan gaji tahunan penjawat awam ditentukan semula

PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersalaman dengan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa ketika tiba di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya, hari ini. - Foto BERNAMA

PUTRAJAYA: Status Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) bagi semua penjawat awam berkuat kuasa 1 Julai ini akan ditentukan semula kerajaan baharu nanti.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa, berkata pengumuman kenaikan KGT pada 1 Julai itu dilakukan kerajaan terdahulu dan kini terpulang kepada kerajaan baharu sama ada mahu melaksanakannya atau sebaliknya.

"KGT itu adalah janji (kerajaan) dahulu, sekarang kita serah kerajaan baru untuk tentukan. Kita ikut manifesto kerajaan sekarang.

"Jadi, esok ada mesyuarat Kabinet, kita tunggu, mungkin perkara ini akan diputuskan kemudian," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini, hari ini.

Pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) kali ke-16 pada 4 April lalu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata kerajaan bersetuju memberikan kenaikan gaji bersamaan satu KGT kepada semua penjawat awam berkuat kuasa 1 Julai 2018.

"Ini bermakna penjawat awam mendapat tambahan satu lagi KGT disamping gaji tahunan yang diterima bagi tahun 2018," katanya.

Terdahulu, Ali tiba di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini pada jam 2.25 petang sebelum meluangkan masa lebih satu jam bertemu Perdana Menteri.

"Pertemuan hari ini adalah rutin harian sahaja," katanya.
-Berita Harian.

Thursday, May 17, 2018

Buat laporan jika diberhentikan


KUALA LUMPUR 16 Mei – Mana-mana penjawat awam berstatus kontrak yang ditamatkan perkhidmatan diminta tampil ke hadapan untuk membuat laporan ber­tulis kepada Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhid­matan Awam (CUEPACS) agar tindakan selanjutnya dapat diambil segera.

Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, walau ba­gaimanapun, sehingga kini pihaknya masih tidak me­nerima sebarang aduan dan laporan berkenaan isu tersebut dan berpendapat ia hanya direka oleh individu yang tidak bertanggungjawab bagi memburuk-burukkan kerajaan baharu.

“Sekiranya benar memang ada, tampil sahaja kehadapan, tindakan susulan akan dibuat segera.

“Jika setakat ingin menularkan dalam media sosial tanpa mendedahkan identiti, kami menganggap berita tular tersebut sengaja diada-adakan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini. 

Semalam, isu penjawat awam berstatus kontrak termasuk di Jabatan Perdana Menteri ditamatkan perkhidmatan serta-merta ekoran perubahan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) tular dalam media sosial.

Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Datuk Abdul Halim Mansor berkata, langkah memberhentikan pekerja kontrak dengan menamatkan perkhidmatan mereka merupakan tindakan yang tidak masuk akal.

“Setakat ini saya difahamkan kami masih belum menerima lagi laporan tersebut. Namun, sekiranya benar ada ini merupakan satu bentuk penganiayaan kepada pekerja sendiri memandangkan kita bakal menyambut hari raya Aidilfitri tidak lama lagi.

“Justeru, saya menyeru individu terbabit untuk melaporkan masalah atau isu kepada CUEPACS agar hak mereka dapat dikembalikan,” katanya. 

Mengulas lanjut, beliau meminta agar rakyat menghormati keputusan yang telah dibuat dalam PRU-14 dengan tidak menimbulkan sebarang provokosi yang boleh menjatuhkan kerajaan baharu yang diterajui Pakatan Harapan.
-Utusan Online.

Jumlah penjawat awam tidak akan dikurangkan

PUTRAJAYA 14 Mei- Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengesahkan jumlah penjawat awam tidak akan dikurangkan walapun berlaku penstrukturan semula kementerian seiring dengan pertukaraan kerajaan.

Menurut Dr. Mahathir, penjawat awam di kementerian yang terlibat dengan penstrukturan semula itu akan dipindahkan ke jabatan-jabatan dan agensi tertentu mengikut kesesuaian bagi mengelak mereka hilang pekerjaan.

“Kita tidak akan gugurkan mereka (penjawat awam) selepas mereka bekerja sekian lama dengan kerajaan. Kita akan cari kaedah untuk tempatkan mereka ini di jabatan dan juga agensi lain.

“Dahulu kita swastakan Telekom, selepas itu pekerja dibawahnya kita pindahkan untuk berkhidmat dengan agensi itu,” katanya dalam sidang akhbar di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.

Sementara itu Dr. Mahathir memaklumkan, semua dasar kerajaan terdahulu termasuk Transformasi Nasional 2050 (TN50) dan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) akan dikaji semula.

“Semua dasar yang dibuat oleh kerajaan terdahulu akan dikaji semula,” katanya.
-UTUSAN ONLINE.