Tuesday, March 26, 2019

Rakyat, penjawat awam kena ‘ikat perut’

 
KUALA LUMPUR 25 Mac - RAKYAT termasuk kese­mua 1.7 juta penjawat awam diminta berkorban dan ‘ikat perut’ buat sementara waktu sehingga kerajaan dapat meng­atasi masalah kewangan negara dan menyelesaikan hutang yang didakwa lebih RM1 trilion diwarisi daripada kerajaan terdahulu.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, pada waktu ini kerajaan perlu memberi tumpuan untuk membayar hutang yang tinggi dan semua pihak diminta bersabar.

Katanya, jika kerajaan berjaya menyelesaikan hutang berkenaan, pendapatan negara juga akan dapat dipertingkatkan dan akan memberi manfaat kepada rakyat keseluruhannya.

“Saya harap kita boleh bersabar, insya-Allah! kalau kita boleh bekerjasama dalam keadaan aman dan tenteram, maka kita akan dapat pulihkan kewangan dan pembangunan negara kita. Hari ini, kita telah berjaya mengurangkan sedikit hutang yang diambil oleh kerajaan terdahulu.

“Tetapi untuk menghapuskan hutang sebanyak lebih RM1 trilion, seluruh rakyat termasuk kerajaan dan anggota kerajaan perlu ikat perut sikit supaya kita dapat kurangkan perbelanjaan biasa dan kita bayar hutang.

“Walaupun kita bermasalah, tidak sampai peringkat kebuluran. Kita sebuah negara aman, boleh pulih dengan lebih cepat. Di Asia Barat, negara mereka termusnah dan satu bilion daripada rakyat mereka akan mati kelaparan,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap dalam majlis Perhimpunan Perdana Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Bersama Perdana Menteri di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia dekat sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ismail Bakar dan Presiden CUEPACS, Datuk Azih Muda.

Tambah Perdana Menteri, jika tidak ada tentangan daripada rakyat terutamanya penjawat awam dan ahli-ahli CUEPACS, negara ini akan pulih semula dalam tempoh tiga tahun.

Katanya, banyak rancangan yang dibuat kerajaan untuk mengatasi masalah pentadbiran daripada kerajaan terdahulu yang didakwanya mencuri wang rakyat dan negara.
-Utusan.

Wednesday, March 6, 2019

Jangan campur aduk politik dengan tugas - CUEPACS

KUALA LUMPUR 5 Mac - Penjawat awam di negara ini dinasihatkan tidak mencampuradukkan fahaman politik dengan tugas yang dijalankan supaya tiada lagi wujud unsur-unsur sabotaj sehingga boleh menyukarkan urusan kerajaan.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Da­lam Per­khid­matan Awam (CUE­PACS), Datuk Azih Muda berkata, penjawat awam perlu taat dan setia kepada kerajaan yang mentadbir dan tidak bertindak dengan berkiblatkan parti politik.

“CUEPACS bersetuju dengan saranan Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail) kerana sebagai seorang penjawat awam, kita jangan sesekali sabotaj kerajaan. Ini perlu dipegang kuat oleh semua penjawat awam.

“Taat setia (penjawat awam) kepada kerajaan, raja dan negara. Jadi, jangan campur adukkan dengan fahaman politik sehingga segala maklumat kerajaan, rahsia kerajaan dan urusan kerajaan dicampuradukkan dengan politik,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Wan Azizah mengingatkan penjawat awam yang berbeza pendirian politik dan mewarisi sokongan kerajaan lama supaya tidak melakukan sebarang unsur-unsur sabotaj.

Mengulas lanjut, Azih berkata, penjawat awam perlu taat kepada kerajaan supaya kerajaan boleh menjalankan urus tadbir negara dengan baik.

Beliau malah menegaskan, beliau percaya bahawa penjawat-penjawat awam di negara ini cukup matang untuk membezakan keutamaan mereka dan bertindak untuk kebaikan negara.

“Kalau tidak mampu (taat kepada kerajaan), kita tidaklah mahu sampai ke tahap menunjukkan jalan keluar (tamatkan tugas). Kalau sampai ke tahap itu, baru dia tahu susah. Saya percaya penjawat awam ini cukup matang,” katanya.
-utusan.