Friday, March 10, 2017

Hanya 10 Pejabat Tourism Ditutup, Empat Kekal Jadi Pejabat Wilayah

KUALA LUMPUR – Hanya 10 pejabat Tourism Malaysia negeri yang ditutup manakala empat lagi dikekalkan sebagai pejabat wilayah, demikian menurut Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.

Menurut jawapan bertulis kementerian itu di Parlimen hari ini, pejabat yang dikekalkan ialah pejabat Wilayah Tengah di Kuala Lumpur (meliputi Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan), pejabat Wilayah Utara di Pulau Pinang (meliputi Pulau Pinang, Perak, Kedah dan Perlis), pejabat Wilayah Selatan di Johor (meliputi Johor dan Melaka) dan pejabat Wilayah Pantai Timur di Pahang (meliputi Pahang, Kelantan dan Terengganu)

Bagi Sabah dan Sarawak, kedua-dua Pusat Penerangan Pelancongan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dan Kuching akan diperkasakan dan bertindak sebagai ‘mini Tourism Malaysia’.
Tourism Malaysia akan mengekalkan Pusat Penerangan Pelancongan di negeri-negeri seperti sedia ada untuk memudahkan penyebaran maklumat kepada pelancong.

Jawapan bertulis itu merujuk soalan lisan Datuk Seri Hasan Malek (BN-Kuala Pilah) yang meminta penjelasan kementerian berhubung penyelarasan semula tugas dan fungsi berkaitan pelancongan, khususnya yang dipertanggungjawabkan kepada Tourism Malaysia setelah pejabat Tourism negeri di seluruh negara diarah tutup baru-baru ini.

Kementerian itu menjelaskan fungsi pejabat wilayah Tourism Malaysia termasuk menguruskan kesemua Pusat Penerangan Pelancongan di setiap negeri serta bertindak sebagai sudut rujukan dan nasihat untuk penggiat industri pelancongan seperti hotel, agensi pelancongan, pengusaha produk pelancongan dan persatuan pelancongan dalam kempen promosi pelancongan.

Pejabat itu akan membantu segala inisiatif kajian berkaitan pelancongan yang dibuat oleh Tourism Malaysia dan kementerian serta mengemas kini inventori produk pelancongan di setiap negeri agar dapat diwujudkan pakej-pakej dan dipromosikan.

Sebelum ini, kerajaan membuat keputusan menutup semua pejabat Tourism Malaysia di seluruh negara bagi mengelak pertindihan kerja dengan agensi-agensi negeri dalam mempromosi pusat pelancongan di negara ini.
– BERNAMA

Friday, March 3, 2017

Nasib Pekerja Tourism Malaysia Belum Ditentukan - Cuepacs


KUALA LUMPUR: Nasib pekerja pejabat Tourism Malaysia yang diumumkan penutupannya pada Januari masih belum dapat ditentukan, kata Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Azih Muda.

Azih bagaimanapun berkata, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz telah bersetuju untuk bertemu Cuepacs berhubung perkara ini.
“Menteri sudah maklum dan telah setuju nak jumpa kita tapi belum dapat tarikh lagi.
“Saya harap isu berkaitan penempatan kakitangan Tourism Malaysia di negeri-negeri ini dapat diselesaikan lebih cepat kerana sebahagian daripada mereka mempunyai keluarga dan tanggungjawab sendiri,” katanya, lapor mstar.
Menurut Azih, walaupun pekerja-pekerja berkenaan tidak dibuang kerja, keadaan mereka kini yang digambarkan seperti ‘terumbang-ambing’ menunjukkan wujudnya situasi kurang sihat dalam institusi awam.
“Mereka tak dibuang kerja, tapi tak ada pejabat, mereka berkerja, mundar-mandir…tak produktiflah.
“Cuepcs berharap menteri dapat melapangkan masanya,” katanya.
Cuepacs sebelum ini pernah menggesa kementerian menangguhkan keputusan menutup pejabat Tourism Malaysia di semua negeri.
Azih berkata, beliau difahamkan sejumlah 232 pekerja yang terlibat tidak dimaklumkan secara rasmi tentang penutupan tersebut.
Daripada jumlah tersebut, 39 daripadanya berstatus kontrak di mana mereka berisiko kehilangan pekerjaan secara serta-merta.
Nazri ketika mengumumkan penutupan kesemua 14 pejabat pelancongan 23 Januari lalu berkata, ia tidak melibatkan pemberhentian kakitangan, sebaliknya mereka akan diserap ke ibu pejabat kementerian dan jabatan lain.
Katanya, keputusan ini dibuat bagi mengelak pertindihan kerja dengan agensi negeri dalam mempromosi pusat pelancongan negara ini dan langkah itu dijangka dapat menjimatkan kos sebanyak RM6 juta setahun yang boleh diguna sebagai perbelanjaan lain.

-peraktoday.com.my