Wednesday, July 24, 2013

PM umum bantuan Raya RM500 kepada penjawat awam


KUALA LUMPUR 24 Julai - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan RM500 sebagai persiapan Aidilfitri kepada penjawat awam.

Pemberian bantuan itu melibatkan penjawat awam Gred 1 hingga 54. Para pesara pula akan menerima bantuan RM250.

Pembayaran bantuan akan dibuat pada 31 Julai ini.
-utusan.

Sunday, July 21, 2013

CUEPACS mahu penjawat awam lebih berdedikasi laksana tugas


KUALA BESUT 21 Julai - Penjawat awam digesa meningkatkan dedikasi selain ikhlas dalam melaksanakan tugas selaras dengan pelbagai kemudahan dan insentif yang diberi kerajaan kepada mereka.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, mereka juga perlu mengubah minda daripada menumpukan perhatian terhadap tuntutan kebajikan kepada membantu kerajaan meningkatkan sistem penyampaian.

"Penjawat awam dituntut mahir dalam peranan mereka bagi membantu kerajaan yang telah banyak melayan pelbagai tuntutan yang dikemukakan yang tidak selalu diperoleh di negara lain," katanya kepada Bernama di sini.

Beliau turut menasihatkan penjawat awam menjalani pemeriksaan kesihatan apabila umur mencecah 40 tahun bagi memastikan mereka berada dalam keadaan yang terbaik untuk terus berkhidmat sehingga umur persaraan.

"Kita tidak mahu ada penjawat awam yang tidak sihat tetapi masih meneruskan perkhidmatan mereka sehingga 60 tahun yang pasti tidak akan membantu dalam meningkat prestasi perkhidmatan awam," katanya.
-utusan.

Wednesday, July 17, 2013

Aidilfitri: PM bayangkan berita gembira penjawat awam


PUTRAJAYA 17 Julai - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan akan mengkaji kemungkinan mengumumkan khabar baik kepada penjawat awam terutamanya menjelang perayaan Aidilfitri nanti.

Perdana Menteri yang ditanya pemberita mengenai perkara itu kelihatan senyum dan memberi jawapan ringkas bahawa kerajaan masih mempunyai masa untuk memutuskan soal tersebut.

"Nanti, kita akan melihat perkara ini. Ada masa lagi," katanya ketika menjawab pertanyaan pemberita dalam sidang akhbar yang diadakan selepas majlis pertukaran memorandum pelaburan Koridor Utara di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam
(CUEPACS ), Datuk Omar Osman meminta kerajaan mempertimbangkan pemberian bonus dua bulan setengah kepada 1.5 juta penjawat awam di negara ini iaitu setengah bulan dipertimbangkan dibayar sebelum Aidilfitri.

Omar berkata, pemberian bonus itu mengurangkan beban penjawat awam dalam membuat persiapan hari raya kerana perbelanjaan ketika Ramadan dan Aidilfitri adalah tinggi berbanding hari biasa.

Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Dr. Ali Hamsa pula percaya Perdana Menteri, akan memutuskan isu pemberian bonus kepada penjawat awam
sempena pembentangan Bajet 2014 nanti.
-utusan.

Monday, July 15, 2013

Kerajaan belum bincang pemberian bonus Aidilfitri - KSN


PUTRAJAYA 15 Julai - Kerajaan masih belum berbincang mengenai pemberian bonus kepada 1.4 juta penjawat awam sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini, kata Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan sebelum ini telah mengumumkan Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) sebanyak dua kali untuk tahun ini sahaja.

"Itu juga boleh dianggap bonus, namun terpulang kepada kerajaan tetapi selalunya pemberian bonus pada hujung tahun dan bergantung kepada output, sekarang terlalu awal untuk membincangkan perkara itu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ali berkata untuk tahun ini sahaja kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM2 bilion bagi pemberian KGT selain penyelarasan gaji untuk skim-skim tertentu.

"Bagi bulan ini sahaja sebanyak enam skim akan ditambah baik dan 81 skim lagi pada November nanti," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas permintaan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) untuk pemberian bonus setengah bulan gaji sebelum Adilfitri yang dijangka disambut pada 8 Ogos ini.
-bernama.

Sunday, July 14, 2013

63,000 kakitangan awam kontrak kini dilindungi Perkeso


MARAN 14 Julai - Nasib lebih 63,000 kakitangan kerajaan bertaraf kontrak dan sementara dalam perkhidmatan awam kini lebih terbela kerana kerajaan mencarum untuk mereka kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sejak 1 Jun lalu.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Ismail Mutalib berkata, mereka tidak perlu bimbang kerana dilindungi insurans bagi mengelak menanggung kesusahan jika terbabit dalam kemalangan atau musibah yang tidak dijangkakan.

Katanya, seperti pencarum Perkeso lain, golongan tersebut juga akan dilindungi mengikut peruntukan di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja, 1969 serta kelayakan, terma dan syarat dan tatacara ditetapkan di bawah Peraturan-Peraturan (Am) Keselamatan Sosial Pekerja 1971.


"Secara mudahnya, mereka akan menerima faedah sama dengan pekerja swasta berdasarkan skim perlindungan yang disediakan Perkeso, antaranya Skim Keilatan meliputi pencen ilat, pendidikan dan pencen penakat.


"Selain itu, mereka juga akan dilindungi Skim Bencana Pekerjaan dengan mendapat perlindungan setelah mengalami kemalangan seperti perubatan, hilang upaya sementara dan kekal, pendidikan, orang tanggungan serta pengurusan jenazah ," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Ziarah Ramadan di masjid Felda Jengka 2 di sini semalam yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Shahaniza Shamsuddin.
-utusan.

Saturday, July 6, 2013

CUEPACS gesa segerakan bina rumah kos sederhana


SHAH ALAM 6 Julai - Kerajaan Pusat serta kerajaan-kerajaan negeri digesa menyegerakan pembinaan perumahan kos sederhana di bawah RM250,000 kepada golongan penjawat awam yang tidak berkemampuan memiliki kediaman sendiri.

Gesaan itu dinyatakan sekali lagi oleh Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman setelah mengambil kira bilangan penjawat awam yang tidak mampu memiliki kediaman sendiri masih lagi tinggi iaitu 45 peratus atau 600,000 daripada keseluruhan 1.5 juta orang.

Menurut Omar, selain menetapkan harga rumah di bawah RM250,000, pihaknya meminta Kerajaan Pusat dan negeri melaksanakan sendiri projek perumahan tersebut menerusi agensi sedia ada seperti Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan diselia oleh Jabatan Perumahan Negara.

"Sekiranya pembinaan perumahan penjawat awam yang dicadangkan ini dilaksanakan oleh pemaju luar, kita khuatir kosnya tidak akan mencapai sasaran kita iaitu di bawah RM250,000.

"Jika kos rumah melebihi jumlah itu iaitu RM300,000 ke atas, ia masih di luar kemampuan kewangan penjawat awam yang berpendapatan di bawah RM7,000 sebulan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Kesatuan Guru-guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (Kongres) di sini hari ini yang turut dihadiri Presiden Kongres, Datuk Jemale Paiman.
-utusan online.