Saturday, October 24, 2015

Faedah Pemindahan Gaji Bantu Penjawat Awam Tangani Kos Sara Hidup - Cuepacs

KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Faedah pemindahan gaji bersamaan satu kenaikan gaji tahunan mengikut gred yang akan dilaksana tahun depan dapat membantu penjawat awam menghadapi peningkatan kos sara hidup.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Azih Muda berkata ini bermakna mereka akan menikmati kenaikan gaji tahunan dua kali pada 2016.

"Kami mengucapkan terima kasih kerana perkara itu dipertimbangkan kerajaan. Kami juga kena memahami kedudukan kerajaan," katanya ketika diminta mengulas mengenai insentif kepada penjawat awam dalam Bajet 2016 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat, Jumaat.

Menurut Najib, kenaikan itu akan memanfaatkan 1.6 juta penjawat awam melibatkan peruntukan RM1.1 bilion.

Senada dengan Azih, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) Hashim Adnan berpendapat langkah berkenaan menunjukkan negara masih berada pada landasan ekonomi yang kukuh berbanding banyak negara lain.

Najib turut mengumumkan pemberian khas RM500 kepada semua penjawat awam dan bayaran khas RM250 kepada 700,000 pesara kerajaan dengan jumlah keseluruhan hampir RM1 bilion, yang akan dibayar pada Jan 2016.

"Perubahan ekonomi dunia tidak menghalang pemberian ini, kita harus melihatnya secara positif. Negara lain ada yang muflis, namun kita masih mampu membayar gaji bulanan serta kenaikan walaupun nilai mata wang jatuh," katanya.

Presiden Persatuan Pesara Kerajaan Tan Sri Raja Wan Mahmood Pawan Teh pula menarik perhatian bahawa ramai pesara hidup di bawah paras kemiskinan dan agak terbeban dengan kos sara hidup yang meningkat pada masa ini.

-Bernama.

Friday, October 23, 2015

Bajet 2016: Pemberian Khas RM500 Kepada 1.6 Juta Penjawat Awam

KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Kerajaan akan memberikan pemberian khas sebanyak RM500 kepada kira-kira 1.6 juta penjawat awam.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata sebanyak 700,000 pesara kerajaan pula akan menerima bayaran khas RM250.

"Kedua-dua bayaran ini yang berjumlah hampir RM1 bilion akan dibuat pada bulan Januari 2016," katanya ketika membentangkan Bajet 2016 bertemakan 'Mensejahtera Kehidupan Rakyat' di Dewan Rakyat Jumaat.

Dalam pada itu, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan bersetuju menambah baik beberapa perkara bagi menghargai sumbangan dan khidmat bakti kakitangan perkhidmatan awam.

Ini termasuk menetapkan gaji permulaan terendah dalam perkhidmatan awam kepada RM1,200 sebulan yang akan memanfaatkan 60,000 penjawat awam, selain menambah baik 252 skim perkhidmatan yang bermanfaat kepada 406,000 penjawat awam.

"Kerajaan juga bersetuju menetapkan kadar pencen minimum RM950 sebulan yang melibatkan hampir 50,000 pesara awam dengan sekurang-kurangnya 25 tahun tempoh perkhidmatan," katanya.

Selain itu, Najib berkata kerajaan akan memberi faedah pemindahan gaji bersamaan satu kenaikan gaji tahunan mengikut gred, yang akan memanfaatkan 1.6 juta penjawat awam dengan peruntukan RM1.1 bilion.

Tambah beliau, pegawai lantikan 'Perkhidmatan Kontrak" yang telah berkhidmat sekurang-kurangnya 15 tahun dalam perkhidmatan awam juga akan dilantik secara tetap.

Kesemua pelaksanaan itu dengan peruntukan sebanyak RM1.4 bilion akan berkuat kuasa 1 Julai 2016, katanya.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa mengucapkan terima kasih dan merakamkan penghargaan kepada kerajaan atas pengumuman beberapa tindakan penambahbaikan dalam skim perkhidmatan dan kesejahteraan penjawat awam yang akan dilaksanakan mulai 1 Julai 2016.

"Dalam keadaan ekonomi yang mencabar, kerajaan secara berterusan mengambil berat dan prihatin terhadap kebajikan penjawat awam sama ada yang masih berkhidmat ataupun yang sudah bersara," katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, Ali berkata semua penjawat awam hendaklah terus meningkatkan usaha dan produktiviti dalam pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) serta mengukuhkan tahap integriti dan memastikan perbelajaan kerajaan secara berhemah.

Kejayaan pelaksanaan RMK11 menjadi penentu kepada pencapaian Malaysia sebagai sebuah negara maju berpendapatan tinggi pada tahun 2020, katanya.

-Bernama.

Sunday, October 18, 2015

Sektor Pelancongan Telah Beri Sumbangan Ketara Kepada Ekonomi Negara - Najib

KUALA LUMPUR, 17 Okt (Bernama) -- Industri pelancongan telah memberi sumbangan ketara kepada ekonomi negara sejak pengenalan Program Transformasi Negara (NTP), kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata sektor pelancongan negara kini menjadi penyumbang keenam terbesar kepada ekonomi negara dengan sumbangan sejumlah RM161 bilion atau 14.9 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) pada tahun 2014.

"Walaupun suatu tahun penuh duka sengsara yang menyaksikan dunia bersedih dengan kita namun industri pelancongan kita masih mampu menarik 27.44 juta pelancong dengan pendapatan berjumlah RM72 bilion.

"Ini adalah angka sihat yang ktia tidak gentar untuk didedahkan," kata perdana menteri dalam blognya NajibRazak.com hari ini.

"Bagaimanapun, kesan daripada pelancongan melangkaui ketibaan pelancong atau pendapatan daripada pelancong...apabila kesannya adalah paling penting dalam pembangunan masyarakat dan ekonomi yang mampan," katanya.

Sejak pengenalan NTP, industri pelancongan telah memainkan peranan dalam membuka peluang baharu untuk rakyat Malaysia dan oleh itu beliau mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan atas kempen promosi yang agresif di luar negara.

Justeru, katanya, hasil daripada kempen promosi tersebut, negara tidak lagi dikenali sebagai 'negara antara Singapura dan Thailand.'

"Kempen promosi telah berjaya menampilkan keunikan, keharmonian dan kepelbagaian kita. Kita adalah negara contoh sebagai sebuah negara Islam yang progresif dan sederhana.

"Sambutan Hari Pelancongan Sedunia 2015 pada 27 Sept dengan tema '1 Bilion Pelancong, 1 Bilion Peluang' telah memberi semangat kepada hala tuju Malaysia ke arah 2020," katanya.

Menurutnya, sektor pelancongan secara langsung memanfaatkan rakyat Malaysia pada tahun lepas dengan industri itu menarik pelaburan sebanyak RM19.4 bilion serta mewujudkan sejumlah 1.77 juta peluang pekerjaan.

Dalam merealisasikan potensi yang dimiliki Malaysia daripada keindahan pulau-pulau Borneo sehingga ke hutan tropika dan syurga membeli-belah, kerajaan akan menjadikan industri pelancongan sebagai sempadan baharu dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa, kata Najib.

Menurutnya pengumuman langkah-langkah proaktif ekonomi baru-baru ini telah menyaksikan peruntukan tambahan RM80 juta untuk memperhebatkan aktiviti promosi di pasaran terpilih termasuk di negara-negara ASEAN, China dan India.

Katanya ia melibatkan program membangunakan produk ikonik termasuk memberi nahas baharu kepada Muzium Negara, Tugu Negara dan Taman Tasik Perdana, menjadikan ia lebih menarik dan mudah dikunjungi oleh pelawat.

"Pada 2017, Malaysia akan memiliki resort destinasi bersepadu paling menarik, Desaru Coast Destination. Ia menawarkan kehidupan mewah dan aktiviti santai dengan merangkumi hotel dan resorts mewah, lapangan golf, perkampungan membeli-belah, taman tema air dan sebuah pusat persidangan," katanya.

Najib juga menyentuh pelbagai produk pelancongan lain seperti Mahsuri di Langkawi, Tokong Kek Lo Si di Pulau Pinang, Kesulatanan Melayu dan warisan Peranakan di Melaka serta tapak warisan dunia, Taman Negara Gunung Mulu di Sarawak dan Taman Kinabalu di Sabah.

Beliau juga berkata Malaysia juga menjadi tuan rumah bagi acara-acara menarik seperti perlumbaan Grand Prix F1, perlumbaan berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) dan acara terjunan bebas, KL Tower Base Jump.

Perdana Menteri berkata tinjauan oleh sumber-sumber bebas Itali pada Ekspo Milano di Itali, yang dikunjungnya baru-baru ini, menunjukkan Malaysia menghuni ranking ketiga dari segi destinasi paling digemari oleh pelancong pada ekspo itu.

"Ini, saya percaya ia adalah petanda yang kukuh dan positif bagi industri pelancongan Malaysia," katanya.

Najib berkata semasa mula mengambil alih jawatan perdana menteri, Malaysia ketika itu berdepan dengan cabaran untuk mempunyai sumber pendapatan lestari bagi mentadbir negara dengan kebergantungan terhadap minyak adalah pada kadar 41.3 peratus dan bekalan minyak diramal hanya dapat bertahan selama 15 tahun.

Justeru, katanya beliau memulakan NTP dengan visi untuk mewujudkan sebuah sistem yang mampan bagi membangunkan negara demi kepentingan rakyat Malaysia.

NTP telah membolehkan aspirasi kerajaan untuk tahun 2020 dicapai menerusi kaedah rasionalisis dan oleh itu terdapat keperluan untuk mempelbagaikan ekonomi negara, katanya.

"Industri pelancongan memainkan peranan penting bagai memperkukuhkan kepelbagaian ekonomi Malaysia. Program NTP telah memanfaatkan rakyat Malaysia secara langsung termasuk industri pelancongan," katanya.

-Bernama.