Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Shamshun Baharin Mohd. Jamil berkata, kesedaran pekerja baik penjawat awam atau swasta untuk melaporkan jenayah rasuah dalam kalangan rakyat adalah sangat rendah.

“Jenayah rasuah bukanlah hak eksklusif SPRM, tetapi masyarakat harus memainkan peranan melaporkan dan sifat kebersamaan kita dalam memerangi jenayah ini di setiap peringkat sangat diperlukan kerana kami tidak akan tahu jika anda tidak melaporkan.

“Apabila bercakap mengenai rasuah, mereka adalah yang paling hebat, tetapi bila bab untuk melaporkan kepada SPRM, semua jadi takut walaupun ada insentif yang kerajaan sediakan kepada penjawat awam yang melaporkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam Forum ke Arah Negara Bebas Rasuah: Isu dan Cabaran pada Persidangan Hari Anti Rasuah Antarabangsa 2016 di sini hari ini.

Turut menjadi panel ialah Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah, Tan Sri Ismail Adam dan Ketua Pengarah Mara, Datuk Ibrahim Ahmad manakala moderator ialah Pengarah Kanan dan Ketua Penyelaras Pusat Ilmu dan Rundingcara (Integriti), Mohd. Nizam Mohd. Ali.
-Utusan Online.