Tuesday, November 13, 2018

Civil servants to receive RM500 bonus before Dec 25

PUTRAJAYA: Civil servants will receive the RM500 one-off payment along with their salary to be paid before Dec 25.

Finance Minister Lim Guan Eng said this would be the first time that bonus payment would be made in the same year.

Before this, bonuses were paid in the following year, he said.

"There is no allocation for (such) payment in the 2018 Budget, but the government will find resources and ways to give civil servants the bonus.

"We hope that the Sales and Service Tax will provide us with additional revenue for the payment," he said on Tuesday (Nov 13).

In the 2019 Budget, the Pakatan Harapan government had announced the RM500 one-off payment for civil servants Grade 54 and below.

It also will award the same amount to eligible pensioners receiving less than RM1,000 monthly while other pensioners are to be given RM250.
-thestar.

Saturday, October 13, 2018

Pegawai kerajaan ikut arahan ahli politik boleh didakwa


SHAH ALAM 12 Okt. - Pegawai kerajaan yang mengikut arahan ahli politik untuk melaksanakan tugas mereka kini boleh didakwa.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kerajaan telah bersetuju untuk melaksanakan peruntukan undang-undang yang membolehkan pegawai kerajaan didakwa jika bersekongkol dengan ahli politik.

Menurutnya, ini bagi memastikan pegawai kerajaan menjalankan tugas secara profesional dan mengelak arahan yang tidak mematuhi proses serta prosedur sedia ada.

"Pegawai kerajaan perlu bertindak mengikut undang-undang. 

Mereka tidak boleh mendapat arahan daripada orang politik kerana jika berlaku sesuatu siapa yang hendak dipertanggungjawabkan?.

"Itu sebab dari awal pegawai kerajaan mesti meneliti permohonan itu (permohonan yang diterima) mengikut merit dan proses serta peraturan yang sedia ada," katanya dalam program Bicara Minda di Komplek Karangkraf di sini hari ini.


Mohamed Azmin memberitahu, kerajaaan juga sudah membuang slogan 'Saya yang menurut perintah' dan digantikan dengan 'Saya yang menjalankan amanah' melalui persetujuan Perdana Menteri.
-Utusan.

Tuesday, October 9, 2018

Harap penjawat awam tidak dibuang


KUALA LUMPUR 8 Okt. – Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berharap kerajaan tidak akan mengecilkan jabatan atau agensi dengan bertindak membuang penjawat awam sedia ada.

Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, pihaknya percaya kerajaan akan mengekalkan penjawat awam sedia ada kerana mereka adalah perhubungan kerajaan dengan rakyat.

“Kerajaan sekarang dipilih oleh rakyat malah mereka juga masih berorientasikan rakyat malah berkhidmat untuk rakyat.

“Mengenai kajian agensi yang mempunyai tugas bertindih, kami percaya kerajaan ada cara untuk menyelesaikannya dan kita harap selepas ia diselesaikan, pemantapan organisasi akan berlaku,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ismail Bakar semalam bahawa kerajaan sedang mengkaji beberapa jabatan dan agensi yang mempunyai pertindihan fungsi selepas penyusunan dilakukan.

Tambah Azih, beliau berharap ke­naikan yang diumumkan kerajaan lalu itu tidak akan dibatalkan kerana ia me­rupakan sesuatu yang ditunggu-tunggu penjawat awam.

“Kita berterima kasih kepada Ketua Setiausaha Negara kerana sudi untuk bantu dan kaji.

“Gaji yang diperoleh penjawat awam jika mahu diban­dingkan dengan kos sara hidup adalah masih rendah jadi kita harap ia tidak dibatalkan,” katanya.
-Utusan.

Thursday, August 16, 2018

Tiada belas kasihan kepada pelaku rasuah dalam kerajaan - PM


PUTRAJAYA 15 Ogos - Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan, kerajaan tidak akan melindungi, berkompromi serta menunjukkan belas kasihan terhadap mana-mana pegawai kerajaan yang melakukan rasuah dan salah guna kuasa.

Perdana Menteri berkata, mereka yang berbuat demikian akan ditamatkan daripada perkhidmatan.

“Kita perlu menunjukkan teladan yang baik. Pemimpin kerajaan telah diberi amaran dari saya bahawa kalau terlibat rasuah (akan dikenakan tindakan).

“Kalau di negara China, pesalah rasuah ini akan ditembak mati... Tetapi mereka tidak setujulah ditembak mati (ketawa) tetapi kalau pegawai kerajaan membuat perkara tidak baik, mereka akan dikeluarkan,” katanya ketika sesi Town Hall Perdana Menteri Bersama Pegawai Tadbir dan Diplomatik di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.

Sesi bertemakan ‘Langkah Ke Hadapan: Kebangkitan Kepimpinan Tulen’ itu dihadiri kira-kira 3,500 pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) seluruh negara.

Program tersebut menjadi platform kepada PTD untuk memahami dan menghayati aspirasi Perdana Menteri dan memberi peluang kepada pegawai-pegawai berkenaan untuk bertukar-tukar pandangan serta pendapat dengan pemimpin tertinggi negara.

Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Menteri-menteri Kabinet dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa
-utusan.

Saturday, August 4, 2018

Pelancaran Bulan Kebangsaan paling bersejarah

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad (tengah) dan timbalannya Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail (dua dari kanan) hadir ke Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2018 di Padang Kota Lama, Georgetown, malam ini. - UTUSAN ONLINE/AZMAN ASMAYATIM

PULAU PINANG 4 Ogos - Pelancaran Bulan Kebangsaan 2018 yang diadakan serentak dengan kempen Kibar Jalur Gemilang kali ini disifatkan sebagai paling bersejarah kerana dilaksanakan buat pertama kalinya di bawah tampuk pemerintahan kerajaan baharu iaitu Pakatan Harapan (PH).

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobimd Singh Deo berkata, selain itu, sejarah juga tercipta kerana Pulau Pinang telah terpilih sebagai tuan rumah buat julung kalinya untuk program berskala besar seperti itu sejak 10 tahun lalu.

"Justeru, harapan saya, di sinilah kita eratkan perkenalan, persefahaman dan jalinan hubungan yang kukuh antara pemimpin dengan rakyat dalam semangat gelora patriotisme dan cintakan negara kita," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena majlis pelancaran tersebut yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di Padang Kota Lama, di sini, malam ini.

Selain pelancaran Bulan Kebangsaan dan kempen Kibar Jalur Gemilang yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam di sini, dua lagi program utama yang dirancang sempena sambutan Hari Kebangsaan ialah acara perbarisan pada 31 Ogos ini di Putrajaya dan sambutan Hari Malaysia pada 16 September di Sabah.

Dalam pada itu, Gobind memberitahu, tema 'Sayangi Malaysiaku' sempena sambutan Hari Kebangsaan tahun ini telah diumumkan oleh Perdana Menteri sejak 30 Mei lalu.

Katanya, tema itu dipilih bagi merai serta mempertingkatkan lagi semangat cintakan negara di kalangan setiap warga rakyat Malaysia.

"Oleh itu, saya merayu kepada setiap rakyat supaya menunjukkan cinta setianya kepada Malaysia dengan mengibarkan Jalur Gemilang di rumah, pejabat, premis perniagaan, kereta dan di mana-mana tempat bersesuaian.


"Kibarkan dengan penuh perasaan kebangsaan dan kegembiraan untuk menunjukkan bahawa Malaysia ini kita yang punya," ujar beliau. 
-Utusan.

Monday, July 9, 2018

Penjawat awam wajar berpegang nilai murni - Tun M

PERDANA Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menghadiri Majlis Perjumpaan Bulanan Jabatan Perdana Menteri di Dataran Perdana, Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.-UTUSAN ONLINE

PUTRAJAYA 9 Julai - Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, penjawat awam perlu berpegang kepada nilai-nilai murni dan tidak menyalahguna kuasa serta amanah yang dipertanggungjawabkan.

Menurut Perdana Menteri, warga pentadbir juga wajar memiliki keikhlasan dalam menjalankan tugas untuk menjayakan pembangunan negara.

“Pentadbir dalam negara kita memang mempunyai kuasa untuk mencapai matlamat kita (kerajaan).

“Kuasa bukan untuk perkayakan diri, keluarga atau sahabat handai, kuasa ada matlamat khusus untuk menjayakan negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Bulanan Jabatan Perdana Menteri di Dataran Perdana, Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa.

Yang hadir sama dua Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang baharu dilantik, Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa dan Liew Vui Keong.

Turut hadir, tiga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh, Mohamed Hanipa Maidin dan Dr. Md. Rafik Md. Farid yang turut baharu dilantik.


Perjumpaan itu merupakan kali pertama bagi Timbalan Perdana Menteri dan anggota menteri serta timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri sejak mereka menyertai Kabinet selepas Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
-UTUSAN.

Tuesday, July 3, 2018

Pentadbiran Kerajaan Persekutuan kini mempunyai 25 Kementerian

KUALA LUMPUR, 2 Julai (Bernama) -- Kerajaan Pakatan Harapan pimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kini mempunyai keseluruhan 25 kementerian yang dianggotai 26 orang menteri.

Senarai itu lengkap dengan pelantikan dan istiadat angkat sumpah jawatan oleh 13 lagi menteri di hadapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V di Istana Negara pagi ini. Sebanyak 13 menteri terdahulu mengangkat sumpah pada 21 Mei lepas.

Turut dilantik hari ini ialah 23 orang timbalan menteri.

Senarai penuh Menteri Kabinet

1. Perdana Menteri : Tun Dr Mahathir Mohamad

2.Timbalan Perdana Menteri : Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail

3. Menteri Kewangan : Lim Guan Eng

​​​​​​​4. Menteri Dalam Negeri : Tan Sri Muhyiddin Yassin


​​​​​​​ 5. Menteri Pertahanan : Mohamad Sabu

​​​6. Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat : Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ​​​​​​​​​​​​​​

7. Menteri Pendidikan : Dr Maszlee Malek

8. Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Masyarakat : Rina Mohd Harun

9. Menteri Hal Ehwal Ekonomi : Datuk Seri Mohamed Azmin Ali

​​​10. Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan : Zuraidah Kamaruddin

​​​​​​​11. Menteri Pengangkutan : Anthony Loke Siew Fook

​​​​​​​12. Menteri Komunikasi dan Multimedia : Gobind Singh Deo

​​​​​​​​13. Menteri Sumber Manusia : M. Kula Segaran

​​​​​​​14. Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani : Salahuddin Ayub

​​​​​​​15. Menteri Kesihatan : Dr Dzulkifley Ahmad

​​​​​​​16. Menteri Luar : Datuk Saifuddin Abdullah

​​​​​​​17. Menteri Belia dan Sukan : Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

​18. Menteri Pembangunan Usahawan : Mohd Redzuan Md Yusof

​​​​​​​19. Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli : Dr A. Xavier Jayakumar

​​​​​​​20. Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna : Datuk Saifuddin Nasution Ismail
 
​​​​​​​ 21. Menteri Kerja Raya : Baru Bian

​​​​​​​22. Menteri Industri Utama : Teresa Kok Suh Sim

​​​​​​​23. Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar : Yeo Bee Yin

​​​​​​​24. Menteri Wilayah : Khalid Samad

​​​​​​​25. Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri : Ignatius Darell Leiking

​​​​​26. Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya : Mohamaddin Ketapi

​​​​​​27. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) : Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa

​​​​​​​28. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) : Datuk Liew Vui Keong​​​​​​​.

Senarai Timbalan Menteri:-

1. Timbalan Menteri Kewangan : Datuk Ir Amiruddin Hamzah

2.​​​ Timbalan Menteri Dalam Negeri : Datuk Mohd Azis Jamman

3. ​​​​​Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat : Hannah Yeoh Tseow Suan

​​​​​​​​​​​​​​4. Timbalan Menteri Pendidikan : Teo Nie Ching

​​​​​​​5. Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Masyarakat : R. Sivarasa

​​​​​​​6. ​​​​​​Timbalan Menteri Pengangkutan : Datuk Kamarudin Jaffar

​​​​​​7. Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia : Eddin Syazlee Shith

​​​​​​​8. Timbalan Menteri Sumber Manusia : Datuk Mahfuz Omar

​​​​​​​9. Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani : Sim Tze Tzin

​​​​​​​10. Timbalan Menteri Kesihatan : Dr Lee Boon Chye

​​​​​​​11. ​​​​​Timbalan Menteri Belia dan Sukan : Steven Sim Chee Keong

​​​​​​12. Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan : Dr Hatta Md Ramli

​​​​​​​13. TImbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli : Tengku Zulpuri Shah Raja Puji

​​​​​​​14. Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna: Chong Chieng Jen

​​​​​​​15. Timbalan Menteri Kerja Raya : Mohd Anuar Mohd Tahir

​​​​​​​16. Timbalan Menteri Industri Utama : Shamsul Iskandar Md Akin

​​​​​​​17. Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar : Isnaraissah Munirah Majilis @ Fakharudy

18. Timbalan Menteri Wilayah : Datuk Dr Shahruddin Md Salleh

​​​​​​​19. Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri : Dr Ong Kian Ming

​​​​​​​20. Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya : Muhammad Bakhtiar Wan Chik

​​​​​​​21. Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) : Fuziah Salleh

22.​​​​ Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) : Mohamed Hanipa Maidin

​​​​​​​​​​23. Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial) : Dr Md Farid Rafik

-BERNAMA.

Wednesday, May 30, 2018

Bonus khas RM400 untuk Gred 41 ke bawah, pesara dapat RM200

PERDANA Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata dalam sidang akhbar selepas
mempengerusikan mesyuarat Kabinet di sini hari ini.-UTUSAN ONLINE

PUTRAJAYA 30 Mei - Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini mengumumkan bantuan khas raya RM400 kepada seluruh penjawat awam Gred 41 ke bawah dan RM200 kepada pesara kerajaan.

Beliau turut mengumumkan Bantuan Sara Hidup yang menggantikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1) akan mula disalurkan pada 6 Jun dengan kadar bantuan dikekalkan.

Ujar beliau lagi, harga minyak RON95 serta diesel akan dikekalkan namun minyak RON97 akan diapungkan mengikut harga pasaran.

“Esok, taklimat penuh akan dibuat oleh Kementerian Kewangan,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet di sini hari ini. 

Selain itu, Dr. Mahathir turut mengumumkan diskaun 50 peratus tol lebuh raya di seluruh negara bagi tempoh dua hari sebelum Hari Raya Aidilfitri.


Dalam sidang akhbar sama, beliau turut memberi laluan kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo untuk mengumumkan Piala Dunia di Rusia akan disiarkan di RTM.
- UTUSAN ONLINE

Tuesday, May 29, 2018

Bonus penjawat awam sebelum Aidilfitri - Dr M

PERDANA Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Pimpinan Tertinggi PPBM hari ini. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memberikan bonus kepada 1.6 juta penjawat awam sempena perayaan Aidilfitri tidak lama lagi, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Kita akan bagi bonus, banyak mana tidak tau lagi," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di ibu pejabat parti itu di Menara Yayasan Selangor, Petaling Jaya dekat sini, hari ini.

Turut hadir pada mesyuarat yang berlangsung kira-kira 3 jam itu ialah Presiden PPBM yang juga Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Presiden PPBM yang juga Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Ketua Pemuda PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.


Dr Mahathir yang juga Pengerusi PPBM dan Anggota Parlimen Langkawi berkata sambutan Aidilfitri parti itu akan diadakan di Perak, dengan lokasinya akan ditetapkan kelak.

Dalam Bajet 2018, kerajaan Barisan Nasional mengumumkan bantuan khas sebanyak RM1,500 kepada 1.6 juta penjawat awam.


Sebanyak RM1,000 sudah dibayar pada Januari lepas manakala bakinya dijadualkan sebelum sambutan Aidilfitri.
- BERNAMA

Saturday, May 26, 2018

CUEPACS mohon bantuan Aidilfitri kepada semua penjawat awam


KUALA LUMPUR 26 Mei - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berharap kerajaan dapat memberikan bantuan Aidilfitri kepada semua penjawat awam di setiap peringkat.

Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, pihaknya amat mengalu-alukan pertimbangan daripada kerajaan berkenaan bantuan Aidilfitri yang sewajarnya diterima semua penjawat awam tanpa ada perbezaan penjawatan.

“Saya mengharapkan selagi seseorang itu penjawat awam, dia layak untuk mendapat bantuan tersebut. Jangan membezakanlah.

“Kami di CUEPACS juga berharap pembayaran bantuan Aidilfitri tersebut dapat dilakukan secepat mungkin. Penjawat awam terutama yang bergaji rendah amat mengharapkan bantuan itu kerana baki gaji mereka memang tidak mencukupi,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, pihaknya akan mengusulkan cadangan kepada Perdana Menteri berkenaan bantuan Aidifitri yang bakal menjelang.

Katanya, cadangan itu akan diutarakan bagi membantu penjawat awam yang bergaji rendah untuk menyediakan persiapan menyambut Hari Raya.

Guan Eng juga berkata bantuan tersebut ditujukan kepada golongan berjawatan rendah, dan jumlah bantuan itu akan diumumkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Sementara itu, jelas Azih, Parlimen menerusi Bajet 2018 yang lalu telah meluluskan Bantuan Khas Kewangan kepada penjawat awam sebanyak RM500 sempena Aidilfitri, sehubungan itu CUEPACS berharap perkara tersebut tidak terjejas meskipun kerajaan Persekutuan telah bertukar kepimpinan.


“Jika Dr. Mahathir ingin memberi lebih pun bagus juga, kami yakin perkara ini mungkin boleh berubah dan mungkin juga boleh lebih tapi saya rasa tidak kurang daripada RM500,” katanya.
-Utusan.

Wednesday, May 23, 2018

Kenaikan gaji tahunan penjawat awam ditentukan semula

PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersalaman dengan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa ketika tiba di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya, hari ini. - Foto BERNAMA

PUTRAJAYA: Status Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) bagi semua penjawat awam berkuat kuasa 1 Julai ini akan ditentukan semula kerajaan baharu nanti.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa, berkata pengumuman kenaikan KGT pada 1 Julai itu dilakukan kerajaan terdahulu dan kini terpulang kepada kerajaan baharu sama ada mahu melaksanakannya atau sebaliknya.

"KGT itu adalah janji (kerajaan) dahulu, sekarang kita serah kerajaan baru untuk tentukan. Kita ikut manifesto kerajaan sekarang.

"Jadi, esok ada mesyuarat Kabinet, kita tunggu, mungkin perkara ini akan diputuskan kemudian," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini, hari ini.

Pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) kali ke-16 pada 4 April lalu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata kerajaan bersetuju memberikan kenaikan gaji bersamaan satu KGT kepada semua penjawat awam berkuat kuasa 1 Julai 2018.

"Ini bermakna penjawat awam mendapat tambahan satu lagi KGT disamping gaji tahunan yang diterima bagi tahun 2018," katanya.

Terdahulu, Ali tiba di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini pada jam 2.25 petang sebelum meluangkan masa lebih satu jam bertemu Perdana Menteri.

"Pertemuan hari ini adalah rutin harian sahaja," katanya.
-Berita Harian.

Thursday, May 17, 2018

Buat laporan jika diberhentikan


KUALA LUMPUR 16 Mei – Mana-mana penjawat awam berstatus kontrak yang ditamatkan perkhidmatan diminta tampil ke hadapan untuk membuat laporan ber­tulis kepada Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhid­matan Awam (CUEPACS) agar tindakan selanjutnya dapat diambil segera.

Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, walau ba­gaimanapun, sehingga kini pihaknya masih tidak me­nerima sebarang aduan dan laporan berkenaan isu tersebut dan berpendapat ia hanya direka oleh individu yang tidak bertanggungjawab bagi memburuk-burukkan kerajaan baharu.

“Sekiranya benar memang ada, tampil sahaja kehadapan, tindakan susulan akan dibuat segera.

“Jika setakat ingin menularkan dalam media sosial tanpa mendedahkan identiti, kami menganggap berita tular tersebut sengaja diada-adakan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini. 

Semalam, isu penjawat awam berstatus kontrak termasuk di Jabatan Perdana Menteri ditamatkan perkhidmatan serta-merta ekoran perubahan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) tular dalam media sosial.

Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Datuk Abdul Halim Mansor berkata, langkah memberhentikan pekerja kontrak dengan menamatkan perkhidmatan mereka merupakan tindakan yang tidak masuk akal.

“Setakat ini saya difahamkan kami masih belum menerima lagi laporan tersebut. Namun, sekiranya benar ada ini merupakan satu bentuk penganiayaan kepada pekerja sendiri memandangkan kita bakal menyambut hari raya Aidilfitri tidak lama lagi.

“Justeru, saya menyeru individu terbabit untuk melaporkan masalah atau isu kepada CUEPACS agar hak mereka dapat dikembalikan,” katanya. 

Mengulas lanjut, beliau meminta agar rakyat menghormati keputusan yang telah dibuat dalam PRU-14 dengan tidak menimbulkan sebarang provokosi yang boleh menjatuhkan kerajaan baharu yang diterajui Pakatan Harapan.
-Utusan Online.

Jumlah penjawat awam tidak akan dikurangkan

PUTRAJAYA 14 Mei- Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengesahkan jumlah penjawat awam tidak akan dikurangkan walapun berlaku penstrukturan semula kementerian seiring dengan pertukaraan kerajaan.

Menurut Dr. Mahathir, penjawat awam di kementerian yang terlibat dengan penstrukturan semula itu akan dipindahkan ke jabatan-jabatan dan agensi tertentu mengikut kesesuaian bagi mengelak mereka hilang pekerjaan.

“Kita tidak akan gugurkan mereka (penjawat awam) selepas mereka bekerja sekian lama dengan kerajaan. Kita akan cari kaedah untuk tempatkan mereka ini di jabatan dan juga agensi lain.

“Dahulu kita swastakan Telekom, selepas itu pekerja dibawahnya kita pindahkan untuk berkhidmat dengan agensi itu,” katanya dalam sidang akhbar di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.

Sementara itu Dr. Mahathir memaklumkan, semua dasar kerajaan terdahulu termasuk Transformasi Nasional 2050 (TN50) dan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) akan dikaji semula.

“Semua dasar yang dibuat oleh kerajaan terdahulu akan dikaji semula,” katanya.
-UTUSAN ONLINE.

Wednesday, April 4, 2018

Buah tangan dari Perdana Menteri untuk penjawat awam, pesara


PUTRAJAYA 4 April - Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak mengumumkan khabar gembira kepada 1.6 juta penjawat awam pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam ke-16 bahawa kerajaan bersetuju memberi kenaikan gaji bersamaan satu kenaikan gaji tahunan dengan implikasi kewangan sebanyak RM1.46 bilion ringgit berkuatkuasa mulai 1 Julai 2018.

Beliau berkata ini bermakna penjawat awam mendapat tahunan 1 lagi kenaikan gaji tahunan disamping pergerakan gaji tahunan yang diterima bagi tahun ini.

Selain itu beliau turut mengumumkan:-

2- Pemendekan tempoh time-based kali kedua kepada kumpulan pelaksana daripada 13 tahun kepada 10 tahun mulai 1 Januari 2018.

3- Mewujudkan lapisan Gred 56 bagi skim pegawai perkhidmatan pendidikan (berkuatkuasa 1 Januari 2019).

4- Pemanjangan kemudahan perubatan kepada ibu bapa bagi pegawai lantikan kontrak warganegara (berkuatkuasa 1 Julai 2018).

5- Dana tahunan kepada Cuepacs RM3 juta setahun.

6- Kemudahan cuti tanpa rekod keagamaan kepada penajwat awam bukan islam maksimum 7 hari (berkuatkuasa Januari 2018).

7- 1% Kenaikan kadar pencen tahunan secara one off untuk tahun 2018 sebagai tambahan kepada 2% yang diterima pesara pada 1 Januari 2018.

8- Pemberian Geran Khas RM1 juta kepada Persatuan Pesara bagi tahun 2018

9.- Menetapkan kuota haji untuk persatuan pesara kerajaan.

-Utusan.

Friday, March 23, 2018

CUEPACS gesa isi perjawatan 100 peratus

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Azih Muda (tengah) bergambar bersama ahli KEKAF pada Program Bual Bicara Ahli Kesatuan Kakitangan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (KEKAF) FAMA di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh. - Foto Norizzah Baharudin

MELAKA: Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CEUPACS) menggesa kerajaan memastikan pengisian perjawatan di setiap agensi, jabatan atau badan berkanun di negeri dan Persekutuan mencapai tahap 100 peratus.

Presidennya, Datuk Azih Muda, berkata langkah itu penting terutama bagi perjawatan di barisan hadapan bagi memastikan sistem penyampaian perkhidmatan kepada rakyat dapat dilaksanakan dengan lebih lancar, efektif dan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap sistem perkhidmatan kerajaan.

"Kita menerima banyak aduan berkaitan masalah perjawatan yang tidak diisi daripada pelbagai pihak baik agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan dan badan berkanun di peringkat Persekutuan dan negeri dengan perjawatan yang diisi hanya sekitar 85 hingga 90 peratus saja.

"Kekosongan perjawatan yang ada ini disebabkan pelbagai faktor terutamanya persaraan. Perkara ini perlu diambil serius pihak yang melakukan lantikan perjawatan seperti Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kerana ia akan menyebabkan tenaga kerja atau kakitangan tidak mencukupi sehingga boleh menjejaskan prestasi dan produktiviti secara keseluruhan," katanya selepas Program Bual Bicara Ahli Kesatuan Kakitangan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (KEKAF) Zon Selatan di sini.

Turut hadir, Presiden KEKAF, Mohd Hamidi Saleh.

Mengulas lanjut, Azih berkata, gesaan berhubung pengisian jawatan itu tidak membabitkan permintaan pertambahan waran perjawatan baharu, sebaliknya mengisi perjawatan sedia ada.

Beliau berkata, inisiatif berkenaan juga secara tidak langsung dapat meringankan beban kerja penjawat awam dalam melaksanakan tugas seharian yang semakin mencabar dengan tekanan luar termasuk kos sara hidup yang semakin meningkat.

Sementara itu, Azih berkata pengumuman elaun khas RM200 sebulan kepada 13,342 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di seluruh negara berkuat kuasa 1 April ini membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap skop kerja jabatan berkenaan yang semakin mencabar dan berisiko.


Beliau berkata, pemberian elaun berkenaan diharap dapat meningkatkan lagi produktiviti anggota bomba dan penyelamat, seterusnya memberi keyakinan terhadap usaha kebajikan dilaksanakan kerajaan.
-BERNAMA/berita harian.

Tuesday, March 13, 2018

Ada niat jahat siar berita tiga tahun lalu - CUEPACS


KUALA LUMPUR 12 Mac – Tindakan pihak tertentu membangkit semula isu persaraan penjawat awam pada usia 62 tahun baru-baru ini jelas mahu membangkitkan kemarahan rakyat kepada kerajaan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Azih Muda berkata, isu tersebut sudah selesai dan kerajaan menetapkan usia persaraan kakitangan awam kekal 60 tahun.

“Memang kita pernah membuat gesaan ini, tetapi itu tiga tahun lalu dan semuanya sudah selesai.

“Saya tidak faham mengapa ia dibangkitkan semula melainkan ada niat-niat tertentu untuk menimbulkan kemarahan kepada kerajaan dan kakitangan awam,” katanya kepada Utusan Online hari ini.

Sabtu lalu tular, kenyataan akhbar CUEPACS tiga tahun lalu yang meminta kerajaan mempertimbangkan had umur persaraan kakitangan awam dinaikkan kepada 62 tahun berbanding 60 tahun.

Berita bertarikh 9 Mac yang turut disertakan gambar Azih itu menimbulkan pelbagai komen negatif sehingga mencetuskan kemarahan dalam kalangan netizen yang mendakwa perkara itu sudah tidak relevan.

Azih berkata, beliau juga tidak berada di Kemaman, Terengganu ketika artikel itu dikeluarkan pada 8 atau 9 Mac lalu.

"Saya tidak berada di sana pada hari berkenaan dan saya tidak mengeluarkan kenyataan sedemikian," katanya.
-Utusan.

Monday, March 12, 2018

CUEPACS terus gesa umur bersara 62 tahun


KUALA LUMPUR 9 Mac – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) hari ini terus mengulangi gesaan supaya kerajaan mengambil kira cadangan pihaknya untuk melanjutkan usia persaraan wajib kakitangan awam daripada 60 kepada 62 tahun.

Presidennya, Datuk Azih Muda (gambar) berkata, kerajaan sepatutnya mengkaji serta mengadakan perbincangan dengan CUEPACS sebelum membuat keputusan dan bukannya menolak cadangan itu kerana tindakan sedemikian seolah-olah apa memperlekehkan pandangan pertubuhan itu.

Menurut beliau, seandainya perkara itu diputuskan setelah kerajaan berbincang dengan CUEPACS, tiada masalah untuk pertubuhan tersebut menerimanya.

Sebaliknya, tegas Azih, apa yang dikesalkan ialah kerajaan bertindak tanpa mengadakan sebarang perbincangan dengan pihaknya.

“Kita masih kekal dengan pendirian kita. CUEPACS sangat kecewa dengan tindakan pihak kerajaan kerana jelas tiada perbincangan yang dilakukan antara dua pihak berhubung cadangan ini.

“Sepatutnya kerajaan mengambil masa untuk mengkaji cadangan ini dan bukannya bulat-bulat menolaknya . Jangan ambil cadangan kami sebagai satu sampah dan terus buang dalam tong sampah, “ katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa hari ini mengumumkan, kerajaan tidak berhasrat untuk melanjutkan usia persaraan wajib kakitangan awam kepada 62 tahun sebaliknya dikekalkan pada usia 60 tahun.

Kata Ali, usia persaraan penjawat awam sedia ada sudah memadai dan kerajaan akan mengekalkan usia persaraan pada 60 tahun kerana peningkatan had umur persaraan daripada 58 kepada 60 tahun baru sahaja dilaksana.

Azih sebelum ini meminta kerajaan mempertimbangkan cadangan tersebut dengan membandingkan tindakan negara seperti Singapura, Thailand , Sri Lanka, Eropah dan Amerika Syarikat yang menetapkan umur persaraan mencecah 65 tahun.

Dalam pada masa yang sama, Azih mempersoalkan tindakan kerajaan yang menyambung kontrak perkhidmatan penjawat awam yang telah bersara namun apabila cadangan yang hampir sama diutarakan, kerajaan menolaknya.

Beliau berkata, cadangan tersebut bukanlah diwajibkan kepada semua penjawat awam tetapi kepada mereka yang melepasi tahap kesihatan dan dipraktikkan dalam sektor-sektor tertentu seperti pendidikan.

“Kalau kerajaan menolak cadangan tersebut, sistem kontrak juga perlu dihentikan. CUEPACS akan terus kekal dengan cadangan ini dan sekiranya pihak kerajaan mahu berbincang, kami terbuka dengan perkara tersebut,” katanya.
-Utusan.