Wednesday, December 30, 2015

Transformasi BPP Ke LPPSA Mulai 1 Januari 2016

1. Penjawat Awam boleh memohon pembiayaan perumahan melalui laman sesawang LPPSA (www.lppsa.gov.my). 

2. LPPSA telah melantik Panel Peguam bagi menguruskan dokumen pembiayaan. Namun, sehingga tarikh yang akan dimaklumkan kelak, peminjam boleh memilih untuk menggunakan khidmat Panel Peguam yang telah dilantik LPPSA ataupun peguam yang bukan panel bagi urusan dokumentasi tersebut. 

3. Penyerahan akhir dokumen pembiayaan:  
Mulai 1/1/2016, semua dokumen pembiayaan baru akan digunakan atas nama LPPSA. Namun begitu, dokumen pembiayaan yang telah disediakan atas nama Bahagian Pinjaman Perumahan sebelum tarikh tersebut boleh digunakan dan hendaklah diserahkan kepada 
LPPSA untuk diproses sebelum 31/1/2016. Semua pemohon tidak perlu memperbaharui dokumen pembiayaan sekiranya kesemua dokumen pembiayaan yang lengkap atas nama Bahagian Pinjaman Perumahan telah diserahkan sebelum 31/1/2016. Mulai 1/2/2016, hanya dokumen pembiayaan atas nama LPPSA akan diterima bagi semua permohonan baru. 

4. LPPSA akan melantik Panel Insurans baru. Semua permohonan pinjaman akan menggunakan Panel Insurans LPPSA yang akan dimuat naik di laman sesawang LPPSA (www.lppsa.gov.my) mulai 1 Januari 2016.

-http://bpp.treasury.gov.my/web/

Wednesday, December 23, 2015

Cuepacs Mungkin Tarik Balik Kebenaran Laksana Pemotongan Bayaran Balik Pinjaman PTPTN

KUALA LUMPUR, 22 Dis (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja- Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mungkin akan menarik balik kebenaran Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) membuat pemotongan gaji untuk kakitangan awam, sekiranya agensi itu masih melaksanakan pemotongan maksimum.

Presidennya, Datuk Azih Muda melahirkan rasa kesal kerana ada kakitangan awam yang dipotong gaji mereka oleh PTPTN sehingga kepada kadar maksimum dan tindakan itu adalah tidak wajar dilakukan serta membebankan kedudukan kewangan mereka.

"Ada slip gaji kakitangan awam yang tinggal sampai RM19, nak makan apa nanti? Gunakanlah kuasa sebaik-baiknya.

"Cuepacs juga mengingatkan, kami tidak akan teragak-agak untuk menarik balik keputusan benarkan penjawat awam potong gaji mereka untuk bayar PTPTN," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Cuepacs 2015 di sini, Selasa.

Justeru, beliau menasihatkan PTPTN agar lebih bertimbang rasa terhadap kakitangan awam dalam melaksanakan pemotongan gaji agar kakitangan awam tidak terbeban dalam aspek kewangan.

Isu PTPTN, menurut Azih, adalah antara empat perkara yang menekan kehidupan kakitangan awam pada masa kini.

Tiga isu lain yang perlu perhatian kerajaan ialah kenaikan kos sara hidup rakyat, mekanisma penetapan harga rumah dan pelaksanaan 252 skim perkhidmatan.

Mengenai kenaikan kos sara hidup, beliau meminta Kementerian Perdagangan, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) campur tangan secara serius dalam isu kenaikan harga barangan, terutamanya barangan dan perkhidmatan yang telah diberi pengecualian daripada dikenakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

"Kami (Cuepacs) rasa kesal kerana kenaikan harga barang yang sepatutnya 0 peratus dalam GST, telah dinaikkan," katanya.

Beliau juga meminta kerajaan agar segera mewujudkan mekanisma penetapan harga rumah dan mencadangkan agar mekanisme tersebut dapat meletakkan penetapan bagi peratusan kadar harga rumah serta keuntungan, yang bakal diperoleh oleh pemaju perumahan.

Cuepacs turut memohon agar kerajaan memperuntukkan jawatan bagi kenaikan pangkat untuk kakitangan awam yang berkhidmat di bawah agensi negeri, badan berkanun dan pihak berkuasa tempatan (PBT), katanya.

Kata Azih, ia selari dengan pelaksanaan sebanyak 252 Skim Perkhidmatan yang akan berkuatkuasa pada 1 Julai tahun depan agar pekerja tidak dinafikan hak dan peluang mereka untuk menerima kenaikan gaji yang lebih tinggi berikutan peningkatan kos sara hidup.
-Bernama.

Tuesday, December 22, 2015

Cuepacs Bantah Panel Peguam LPPSA Untuk Urusan Pembiayaan Rumah Sektor Awam

ALOR GAJAH, 21 Dis (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) hari ini membantah cadangan dikemukakan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) untuk mengadakan panel peguam dalam urusan pembiayaan perumahan sektor awam.

Presiden Cuepacs Datuk Azih Muda berkata kongres itu meminta supaya prosedur sebelum ini iaitu pelantikan peguam diuruskan oleh peminjam sendiri dapat dikekalkan.

"Cadangan tersebut (pelantikan panel peguam oleh LPPSA) boleh menyebabkan penjawat awam terutamanya golongan muda tidak mampu memiliki rumah mereka sendiri pada masa akan datang.

"Bukan kata ini panel boleh, ini panel tidak boleh, (tetapi) nanti panel (peguam itu) akan ikut LPPSA dan tidak akan membela peminjam," katanya kepada pemberita selepas Program Taklimat Isu-isu Semasa Bersama Presiden Cuepacs di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Alor Gajah di sini Isnin.

LPPSA akan menggantikan Bahagian Pinjaman Perumahan, Perbendaharaan Malaysia (BPP) mulai Januari depan bagi mengambil alih segala urusan pentadbiran, pengurusan dan pemberian pembiayaan perumahan kepada penjawat awam.

Azih berkata perkara tersebut perlu diberi perhatian kerana 70 peratus penjawat awam adalah daripada golongan muda dan merupakan nadi kepada produktiviti negara kita.

"Setiap penjawat awam ada pinjaman peribadinya, jika ini diambil kira untuk meluluskan pinjaman perumahan, sampai bila penjawat awam nak memiliki rumah sendiri.

"Jadi kita minta pihak kerajaan berunding bersama kita bagi menambah baik dan lihat apa tindakan yang boleh kita lakukan," katanya.

Beliau berkata pihaknya juga meminta kerajaan menambah lagi pembinaan rumah di bawah Program Perumahan Penjawat Awam (PPA1M) dan rumah PR1MA bagi membolehkan penjawat awam memiliki rumah idaman mereka.

-Bernama.

Thursday, December 17, 2015

Dasar Pemisah Untuk Wujud Persekitaran Perkhidmatan Awam Produktif - Mohamad Zabidi

KUALA LUMPUR, 16 Dis (Bernama) -- Pelaksanaan Dasar Pemisah pada tahun depan kepada penjawat awam yang memperoleh penilaian prestasi kerja tahunan kurang daripada 60 peratus bertujuan mewujudkan persekitaran perkhidmatan awam yang berprestasi tinggi, produktif dan berintegriti.

Justeru, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal berkata Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah melaksanakan kaedah libat urus dengan pelbagai pihak khususnya Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Majlis Bersama Kebangsaan dan Pengurusan Sumber Manusia, bagi memastikan dasar itu diterima oleh penjawat awam.

"Ini selaras dengan hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak supaya perkhidmatan awam menekankan kepada produktiviti dan inovasi bagi mewujudkan sebuah negara berpendapatan tinggi.

"Pengukuhan budaya kerja berprestasi tinggi dalam persekitaran perkhidmatan awam yang kompetitif adalah perkara sentiasa diberikan penekanan oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa," katanya dalam Program Dialog RTM1 bertajuk 'Transformasi Perkhidmatan Awam Bersama KPPA' yang disiarkan secara langsung malam ini.

Mengulas lanjut, Mohamad Zabidi berkata dasar itu membolehkan perkhidmatan penjawat awam yang mendapat prestasi kurang daripada 60 peratus ditamatkan dan dibersarakan dalam perkhidmatan awam.

Beliau, bagaimanapun berkata JPA tidak akan menamatkan perkhidmatan penjawat awam terbabit dengan sewenang-wenangnya kerana ia melibatkan beberapa peringkat tapisan untuk memastikan keputusan yang telus dan adil kepada penjawat awam itu.

Beliau berkata antaranya siasatan oleh Panel Pembangunan Sumber Manusia, tempoh pemerhatian selama satu tahun serta penilaian khas oleh Panel Penilaian Prestasi Khas terhadap penjawat awam terbabit.

"Ini bukan melibatkan tatatertib seperti tidak datang kerja... umpamanya yang tidak datang kerja dalam tempoh seminggu, dua minggu dan tiga minggu kita boleh buang dia.

"Ini atas penilaian prestasi, bila kita sudah berpuas hati dan keputusan diambil secara adil, baru kita menamatkan perkhidmatan dia di bawah Peraturan 49 dan dibersarakan dia di bawah Akta Pencen, ini semua kita perhatikan," katanya.

Mohamad Zabidi berkata penjawat awam berkenaan akan mendapat wang pencen penuh iaitu berbeza dengan penjawat awam yang ditamatkan perkhidmatan kerana tindakan tatatertib.

Beliau berkata pada tahun lepas, seramai 2,943 penjawat awam berada dalam kategori prestasi kerja tahunan bawah 60 peratus.

Sehubungan itu, beliau menyeru kepada semua penjawat awam supaya menunjukkan prestasi kerja yang tinggi sekali gus membantu kerajaan mencapai negara berpendapatan tinggi pada 2020.

Dalam perkembangan lain, Mohamad Zabidi berkata pada masa ini jumlah pesara penjawat awam adalah melebihi 739,000 orang termasuk 109,000 pesara tentera.

Beliau berkata hasil kajian awal daripada JPA mendapati pesara itu memilih empat perkara yang perlu diberi keutamaan iaitu bekerja semula, kesihatan, keusahawanan dan pengurusan kewangan.

-Bernama.

Sunday, December 13, 2015

Penjawat Awam Perlu Terap Budaya 'Cari Dan Bantu' - KSN

KUALA SELANGOR, 13 Dis (Bernama) -- Penjawat awam perlu menerapkan budaya 'Cari dan Bantu' dalam menjayakan konsep merakyatkan perkhidmatan awam, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Beliau berkata adalah tidak berguna sekiranya perkhidmatan yang ditawarkan kerajaan tidak dapat disampaikan sepenuhnya kepada golongan sasar dan pelanggan kerana kekangan tertentu.

Beliau mengambil contoh bantuan untuk golongan miskin dan orang kurang upaya (OKU) tidak sampai kerana mereka tidak mempunyai pengangkutan untuk ke pejabat kerajaan atau tidak tahu cara untuk memohon.

"Oleh itu saya minta penjawat awam dari semua jabatan dan agensi kerajaan untuk turun padang, mencari dan membantu (search and serve) mereka ini," kata Ali kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis pecah tanah projek Dewan Serba Guna Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Muda Musa di Bestari Jaya, di sini Ahad.

Beliau menegaskan: "Tiada guna ada perkhidmatan jika penggunanya (rakyat) tidak tahu atau tidak sampai kepada golongan yang disasarkan, dan saya mahu konsep ini diterapkan dan dipraktikkan mulai tahun depan.

Kos pembinaan dewan serba guna bernilai RM3 juta itu disumbangkan Yayasan Rafulin dan Alumni Kohort 82-86 Sekolah Menengah Batang Berjuntai. Ia dijangka siap awal 2017.

Turut hadir Pemegang Amanah Yayasan Rafulin dan Pengerusi Rafulin Holding Datuk Mohd Razali Othman dan Pengarah Pendidikan Selangor Zainuren Mohd Nor.

Ali berharap lebih banyak yayasan dan syarikat swasta tampil membantu kerajaan menaik taraf sekolah di seluruh negara.

Pada majlis sama, Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam (Puspanita) menyerahkan bantuan kewangan RM57,800 kepada lima pelajar OKU, 73 pelajar miskin dan empat rumah kebajikan di daerah berkenaan.

-Bernama.

Friday, December 4, 2015

Bayaran Khas Kepada Kakitangan Kerajaan Dan Pesara Pada Minggu Pertama 2016

PUTRAJAYA, 4 Dis (Bernama) -- Kementerian Kewangan mengarahkan semua kementerian supaya membuat pembayaran bagi pemberian khas sebanyak RM500 kepada kira-kira 1.6 juta penjawat awam pada minggu pertama tahun depan.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah berkata pembayaran pada minggu tersebut diharap dapat membantu ibu bapa menyediakan barangan dan bayaran persekolahan anak-anak.

Pada masa yang sama, 700,000 pesara kerajaan juga akan menerima bayaran khas RM250.

"Saya dapati kementerian-kementerian masih lagi boleh berbelanja. Jadi, saya telah maklumkan kepada mereka supaya menyiapkan bayaran gaji tahun ini dan bayaran khas seperti yang diumumkan dalam Bajet 2016," katanya kepada media di program #MyUberPitch di sini Jumaat.

Ketika membentangkan Bajet 2016 bertemakan 'Mensejahtera Kehidupan Rakyat' di Dewan Rakyat pada 23 Okt, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kedua-dua bayaran tersebut berjumlah hampir RM1 bilion akan dibuat pada bulan Januari 2016.

-Bernama.

Thursday, December 3, 2015

Penjawat Awam Laksana Program Pembangunan Kerajaan Tanpa Salah Laku

PUTRAJAYA, 2 Dis (Bernama) -- Penjawat awam secara keseluruhannya dapat melaksanakan semua program pembangunan dan perolehan kerajaan dengan menepati prosedur ditetapkan serta bebas daripada penyelewangan salah laku, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Ia dirumuskan melalui Siri 1 hingga Siri 3 Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2014 dan daripada 1,662 teguran, hanya 2.9 peratus atau 49 teguran merupakan teguran punitif manakala baki 97.1 peratus atau 1,613 lagi berbentuk teguran pembetulan, katanya.

"Walaupun hanya 2.9 peratus merupakan teguran punitif, kerajaan tetap mengambil tindakan tegas terhadap sebarang penyelewengan dan salah laku," katanya pada sesi bersama media berhubung tindakan susulan LKAN Tahun 2014 Siri 3 di sini Rabu.

Turut hadir Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal, Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang, ketua-ketua setiausaha kementerian, ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan serta badan berkanun persekutuan.

Terdapat dua bentuk teguran dalam Laporan Ketua Audit Negara iaitu 'teguran punitif' yang melibatkan penyelewengan, penyalahgunaan kuasa, salah laku atau kecuaian pelaksanaan tugas dan teguran pembetulan yang melibatkan penambahbaikan sistem dan prosedur.

Dalam LKAN Tahun 2014 Siri 3 yang dibentangkan di Parlimen pada 23 Nov lalu, Ali berkata terdapat 708 teguran iaitu 26 teguran punitif, manakala 682 lagi merupakan teguran pembetulan.

Ali berkata daripada 26 teguran punitif itu, 12 adalah teguran melibatkan empat kementerian, badan berkanun Persekutuan (satu) dan kerajaan negeri (lima).

Teguran punitif melibatkan Kementerian Kerja Raya bagi Pengurusan Kerja Awalan Melalui Kontrak Kerja Jabatan Kerja Raya dan Kementerian Kesihatan mengenai Projek Menaik Taraf Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat, Johor, katanya.

Teguran punitif lain melibatkan Kementerian Pendidikan iaitu berkaitan Pengurusan Projek Pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama dan Kemudahan Lain Yang Berkaitan serta Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah mengenai Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat Orang Asli di Jabatan Kemajuan Orang Asli.

Ali menegaskan kerajaan telah mengambil langkah proaktif dengan menubuhkan empat Jawatankuasa Siasatan Khas bagi menyiasat 12 teguran punitif itu yang melibatkan semua kementerian berkenaan.

"Siasatan ini bertujuan untuk memperoleh keterangan yang relevan daripada aspek kesaksian dan keterlibatan pegawai dalam kes-kes yang dilaporkan.

"Sekiranya wujud asas kukuh, bahawa pegawai didapati melakukan salah laku atau kecuaian, maka tindakan tatatertib, surcaj, atau pertuduhan jenayah di mahkamah akan dikenakan terhadap pegawai berkenaan," katanya.

Ali berkata siasatan jawatankuasa khas itu mendapati sembilan teguran mempunyai asas untuk dimulakan prosiding tatatertib yang melibatkan 24 pegawai.

Dua daripada sembilan teguran itu yang melibatkan kes Pengurusan Projek Pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama di Kementerian Pendidikan dan Projek Menaik Taraf Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat di Kementerian Kesihatan juga telah diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk siasatan kerana disyaki ada unsur perlakuan rasuah, katanya.

Ali berkata tiga teguran didapati tiada unsur penyelewengan, penyalahgunaan kuasa, salah laku atau kecuaian pelaksanaan tugas tetapi sebaliknya memerlukan penambahbaikan sistem, prosedur dan peraturan semasa.

"Untuk tiga teguran ini, penelitian susulan telah dibuat bersama Jabatan Audit Negara, Kementerian Kewangan, Penasihat Undang-Undang Jabatan Perkhidmatan Awam dan disahkan tiada kes terhadap teguran tersebut," katanya.

Menyentuh perbandingan LKAN 2014 dengan LKAN 2013, Ali berkata teguran punitif tahun lalu berkurangan sebanyak 51 peratus iaitu daripada 100 kepada 49 teguran.

"Saya percaya ini adalah hasil tindakan proaktif dan tegas yang diambil oleh kerajaan di samping program peningkatan kompetensi yang dilaksanakan secara berterusan," katanya.

Menurut Ali antara langkah yang diambil termasuk menubuhkan Jawatankuasa Siasatan seawal peringkat 'Exit Conference' selain mengadakan 30 kursus melibatkan 816 pegawai setakat ini.

Tambahnya kerajaan telah memberi mandat kepada ketua-ketua Unit Audit Dalam di setiap kementerian untuk memaklumkan terus kepada Ketua Audit Negara sebarang dapatan agar isu-isu berkaitan salah guna kuasa atau rasuah dapat ditangani dengan berkesan.

Selain itu, kerajaan turut mengarahkan agar 40 peratus daripada keseluruhan aktiviti pengauditan tahunan yang dirancang supaya memberi fokus kepada aspek perolehan kerajaan, katanya.

-Bernama.