Friday, June 29, 2012

Khidmat Abu Bakar berakhir 1 Julai - JPA

PUTRAJAYA 29 Jun - Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Abu Bakar Abdullah, 60, tamat perkhidmatan Ahad ini setelah dua tahun memegang jawatan tersebut.

Menurut kenyataan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), beliau dilantik ke jawatan itu pada 1 Julai 2010 dan sebelum itu berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan.

Sepanjang 35 tahun dalam perkhidmatan awam, Abu Bakar pernah ditugaskan di beberapa kementerian antaranya Kementerian Pertahanan, Kementerian Wilayah Persekutuan dan Jabatan Perdana Menteri.

Beliau memulakan kerjaya dalam sektor awam sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada September 1977 di Kementerian Perdagangan dan Perindustrian.

Abu Bakar merupakan salah seorang yang terlibat dalam pelaksanaan sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang menimbulkan rasa tidak puas hati kakitangan bawahan.

SBPA yang sempat dilaksanakan beberapa bulan sebelum dimansuhkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

-utusan/maa.

Monday, June 25, 2012

November diisytihar Bulan Keluarga Kebangsaan 1Malaysia

KUALA LUMPUR 25 Jun - Bulan November diisytiharkan sebagai Bulan Keluarga Kebangsaan 1Malaysia bermula tahun ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, langkah itu dibuat untuk memberi keutamaan kepada perspektif keluarga dalam pembangunan sosioekonomi negara.

Katanya, ia selaras dengan Gerakan 1Malaysia Family First di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan yang dilancarkan pada 17 Jun lepas menerusi pelaksanaan Dasar Keluarga Negara.

"Kementerian amat menitikberatkan pengukuhan isntitusi keluarga kerana ia merupakan kunci kepada kejayaan sesebuah negara" katanya semasa menjawab soalan Zuraida Kamaruddin (PKR-Ampang).
-bernama/maa.

Saturday, June 23, 2012

CUEPACS cadang cuti tanpa rekod untuk penjawat awam tunai umrah

LANGKAWI 23 Jun - Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) meminta kerajaan mempertimbangkan pemberian cuti tanpa rekod bagi penjawat awam menunaikan umrah.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, CUEPACS akan membuat usul rasmi kepada kerajaan berhubung perkara tersebut dalam masa terdekat.

"Bermula Januari 2009, cuti rehat penjawat awam dikurangkan dari 30 hari hingga 35 hari setahun kepada 17 hingga 25 hari. Penjawat awam hanya dibenar mengambil cuti tanpa rekod untuk aktiviti-aktiviti melibatkan negara atau negeri sahaja dan perlu mengambil cuti rehat atau tanpa gaji untuk menunaikan umrah.

"Ramai penjawat awam yang menunaikan umrah terpaksa menggunakan cuti rehat atau mengambil cuti tanpa gaji. Jadi kita minta kerajaan pertimbangkan semula penggunaan cuti tanpa rekod untuk tujuan itu," katanya.

-bernama/maa.

Friday, June 22, 2012

Ali Hamsa mahu turun padang

NAJIB Tun Razak menerima surat cara pelantikan selepas Ali Hamsa (kiri) menandatanganinya dan menerima pelantikan sebagai Ketua Setiausaha Negara pada majlis Penyerahan Surat Cara Pelantikan dan Penyerahan Nota Tugas di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur, semalam. - BERNAMA

KUALA LUMPUR 21 Jun - Datuk Seri Dr. Ali Hamsa yang bakal menjalankan tugas sebagai Ketua Setiausaha Negara (KSN) bermula Ahad ini berharap seluruh kakitangan kerajaan dapat bersama-samanya meneruskan usaha meningkatkan keberkesanan dan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam.

Menurut beliau, ia selaras dengan usaha kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam menerajui transformasi negara ke arah menjadikan Malaysia sebagai negara maju menjelang 2020.

Jelasnya, usaha tersebut bersandarkan kepada Dasar Transformasi Nasional yang bermula dengan Program Transformasi Kerajaan (GTP), Program Transformasi Ekonomi (ETP) diikuti Program Transformasi Luar Bandar (RTP).

"Saya ingin merafak sembah setinggi-tinggi junjungan kasih atas perkenan Yang di-Pertuan Agong melantik saya sebagai KSN berkuatkuasa 24 Jun ini. Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih juga dirakamkan kepada Perdana Menteri atas kepercayaan dan keyakinan beliau dalam memberikan peluang kepada saya untuk menerajui perkhidmatan awam.

"Saya akan teruskan apa yang ada. Namun, kalau bercakap soal cabaran, saya rasa sebenarnya untuk pegawai kerajaan, kita dalam meningkatkan pencapaian pelaksanaan semua dasar, program dan projek kerajaan. Kita akan terus berusaha meningkatkan pelaksanaan tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyerahan surat cara pelantikan dan penyerahan nota serah tugas KSN oleh Perdana Menteri di bangunan Parlimen hari ini.

Ali berkata, penjawat awam mempunyai tanggungjawab tinggi dan produktiviti mereka harus dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

Ujarnya, di samping pertemuan dengan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, beliau berhasrat untuk turun padang dan mengadakan pertemuan dengan pelbagai pihak bermula dengan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), media, industri, pertubuhan bukan kerajaan dan pegawai kerajaan pelbagai lapisan.

"Ini penting bagi memastikan pandangan mereka diperoleh dalam membantu saya untuk merancang dan melaksanakan usaha-usaha awal ke arah transformasi perkhidmatan awam sebagai KSN. Saya juga akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Khas Mengkaji Transformasi Perkhidmatan Awam.

"Ini bagi memastikan transformasi kepimpinan perkhidmatan awam yang berupaya menyeimbangkan kepentingan politik dan pentadbiran, memperkasa modal insan perkhidmatan awam terutama kumpulan kakitangan sokongan dan profesional serta mengutamakan kebajikan penjawat awam," katanya.

-utusan/maa.

Wednesday, June 20, 2012

Ali Hamsa diumum KSN baru

Ketua Setiausaha Negara (KSN) yang juga Pengerusi Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah), Tan Sri Mohd. Sidek Hassan bersama Ketua Pengarah Unit Kerjasama Awam Swasta, Jabatan Perdana Menteri (JPM) Datuk Seri Dr. Ali Hamsa yang bakal dilantik sebagai KSN berkuat kuasa 24 Jun ini pada majlis penyampaian hadiah Pemudah Challenge: Back to School di Putrajaya, semalam. - BERNAMA

KUALA LUMPUR 19 Jun - Ketua Pengarah, Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ali Hamsa, 57, hari ini diumumkan sebagai Ketua Setiausaha Negara (KSN) yang baru berkuat kuasa mulai 24 Jun 2012.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini berkata, beliau menggantikan Tan Sri Mohd. Sidek Hassan yang akan tamat kontrak perkhidmatannya pada 23 Jun ini.

Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan pelantikan Ali, kata kenyataan itu.

Ali yang dilahirkan di Kluang, Johor pada 29 Ogos 1955, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi (Kepujian) dari Universiti Malaya dan Ijazah Sarjana Ekonomi serta Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Environmental Science & Economics dari Oklahoma State University, Amerika Syarikat.

Beliau mula berkhidmat sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 5 Januari 1981 sebagai Penolong Setiausaha di Kementerian Perdagangan dan Perindustrian.

Beliau mempunyai pengalaman kerja yang sangat luas di Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri dari 16 Dis 1997 hingga 21 April 2009.

Di jabatan itu, beliau pernah berkhidmat sebagai Pengarah Seksyen Pembahagian dan Timbalan Ketua Pengarah, Program National Transformation & Advancement sebelum menjawat tugas sebagai Ketua Pengarah, UKAS, JPM pada 22 April 2009.

“Kerajaan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Tan Sri Mohd. Sidek Hassan di atas segala khidmat bakti beliau di sepanjang tempoh memegang jawatan Ketua Setiausaha Negara khususnya dalam usaha-usaha mengukuhkan sistem penyampaian Perkhidmatan Awam dengan memperkenalkan pelbagai pembaharuan demi memastikan agenda pembangunan negara yang dirancang dilaksanakan dengan jayanya," kata kenyataan itu.

-bernama/maa.

Tuesday, June 19, 2012

Penjawat Awam Perlu Ketepikan Pendirian Politik

KOTA KINABALU – Penjawat awam negeri ini diingatkan supaya melaksanakan tugas dengan profesional tanpa dipengaruhi oleh pendirian politik mereka.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Seri Yahya Hussin berkata, penjawat awam tidak boleh memihak atau simpati kepada perjuangan parti tertentu dalam soal kerja.

“Ingatan ini dibuat kerana sejak akhir-akhir ini terdapat rungutan orang awam terhadap sikap sesetengah penjawat awam yang cuba berjinak-jinak dengan politik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Penyampaian Sijil MS ISO 9001:2008 2012 kementerian itu di sini hari ini.

Yahya seterusnya berkata, beliau percaya setiap penjawat awam di negeri pmempunyai pendirian politik masing-masing.

Jelas beliau, pendirian itu akan membuat penjawat awam terbabit memihak atau bersimpati kepada perjuangan parti-parti politik tertentu.

Walau demikian, kata beliau, penjawat awam perlu professional semasa melaksanakan tugas tanpa mengambil kira pendirian politik mereka.

Tegas beliau, profesionalisme di kalangan penjawat awam amat penting dalam memastikan jentera kerajaan dapat berjalan dengan lancar dan teratur.

Sunday, June 17, 2012

Gaji, pangkat sebab bukan Melayu kurang minat sertai sektor awam

KUALA LUMPUR: Gaji dan pangkat adalah antara sebab utama mengapa bukan Melayu kurang berminat menyertai sektor awam, kata Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman.

Beliau berkata, bukan Melayu khususnya kaum Cina mahukan gaji yang tinggi dan terus menjawat jawatan yang bertaraf pegawai bila menyertai sektor awam.
"Mereka ini (bukan Melayu) banyak berkelulusan tinggi yang nak terus dapat jawatan dan gaji tinggi. "Mereka juga melihat sektor awam sebagai tempat yang agak terhad bagi mereka untuk kenaikan pangkat dan gaji," katanya kepada Bernama apabila diminta mengulas laporan berkaitan kurangnya penyertaan kaum Cina dalam sektor awam.

Sebuah akhbar berbahasa Mandarin, Oriental Daily pada Khamis lepas melaporkan memetik kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mahmood Adam bahawa lebih 1.12 juta permohonan sebagai penjawat awam diterima tahun lepas dan hanya 2.1 peratus terdiri daripada pemohon berbangsa Cina.

Osman berkata, proses kenaikan pangkat yang mengambil masa yang lama turut menjadi punca bukan Melayu kurang berminat menceburi sektor awam.

"Misalnya, sesetengah daripada mereka yang merungut tidak diberi peluang dinaikkan pangkat walaupun sudah lebih daripada 10 tahun berkhidmat dan terpaksa mengambil peperiksaan serta menghadiri kursus yang banyak.

"Ini adalah syarat untuk kenaikan pangkat sektor awam, mereka sepatutnya memahaminya dengan memberikan kerjasama mematuhi arahan yang sudah ditetapkan dalam sektor awam dan bukannya melepaskan peluang begitu sahaja," katanya.

Beliau berkata, faktor kurangnya minat bukan Melayu menyertai sektor awam boleh dilihat dengan jelas apabila bilangan pemohon bukan Melayu khususnya kaum Cina menyertai pasukan beruniform seperti Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia sangat kecil.

"Malah, kita boleh lihat pada masa sekarang jarang sekali masyarakat Cina yang berkecimpung dalam pasukan beruniform kerana menganggap skop pekerjaan yang susah dan gaji yang sedikit," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor, Tang Ah Chai berkata, golongan Cina tidak berminat menyertai sektor awam kerana tidak memahami skop perkhidmatan dan mempunyai pandangan negatif terhadap sektor berkenaan.
-bernama/maa.

Tuesday, June 12, 2012

Perutusan Khas Yang Dipertua

Kesatuan Pekerja-Pekerja LPPM,
Semenanjung Malaysia

12 Jun 2012

Salam Sejahtera, Salam 1Malaysia,

Rakan-rakan sekerja sekelian,

Sepertimana saudara/ saudari sekelian telah maklum melalui pemakluman yang terkini bahawa kelayakan permohonan kuarters kerajaan di Putrajaya telah dipanjangkan kepada semua penjawat agensi Badan Berkanun termasuk Tourism Malaysia.

Kesatuan mengucapkan syukur dan tahniah kepada Bahagian Sumber Manusia dan Pentadbiran Tourism Malaysia yang telah berusaha bersungguh-sungguh membantu kumpulan pekerja berkenaan isu tersebut. Selaku Yang Dipertua, saya sangat berbangga dan gembira dengan keputusan ini kerana bukan sahaja membantu Tourism Malaysia malah ianya telah membantu semua warga Agensi Badan Berkanun di Malaysia. Mari kita menadah tangan pada hari ini memanjatkan syukur kepada Allah SWT dengan limpah kurniaNya dapatlah membantu meringankan sedikit beban kita semua.

Kesatuan dengan ini menggesa semua terutamanya Ahli Kesatuan untuk mengambil tindakan segera dengan membuat permohonan bagi mendapatkan kuarters tersebut. Sokongan dan maklumbalas tuan/puan selama ini telah memberi hasil yang lumayan. Semoga kerjasama dan sokongan tuan/puan kepada Kesatuan akan berterusan. Secara peribadi, saya mengucapkan ribuan terima kasih di atas sokongan tuan/ puan sekelian.

Pihak Kesatuan akan menghantar satu surat rasmi kepada pihak yang berwajib menyatakan rasa syukur dan terima kasih bagi pihak warga Tourism Malaysia seluruhnya. Kesatuan menggesa kepada semua untuk terus komited dengan kerja dan tanggungjawab kepada organisasi dan Negara. Semoga keputusan berkenaan kuarters ini akan menambah motivasi dan kesetiaan tuan/ puan terhadap organisasi dan kerajaan Malaysia khususnya.

Sekali lagi Kesatuan mengucapkan tahniah kepada Tourism Malaysia kerana telah membantu meringankan beban kumpulan pekerja, amnya, dan Ahli Kesatuan, khususnya. Semoga usaha menjaga kebajikan kumpulan pekerja akan terus menjadi agenda utama pihak Pengurusan Tertinggi Tourism Malaysia dan kami terima ia sebagai hadiah ulangtahun Tourism Malaysia ke-40. Semoga selamat hingga ke akhir hayat.

Sekian, Terima Kasih

(HASRIZAL MUHAMMAD SHAWAL TUKIJAN)

Yang Dipertua
Kesatuan Pekerja-Pekerja
Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia
Semenanjung Malaysia
-maa.

KESATUAN PEKERJA-PEKERJA LPPM MENYAMBUT BAIK DATO’ KP KEMBALI BERTUGAS

Yang Dipertua Kesatuan Pekerja-pekerja LPPM bersama Ketua Pengarah Tourism Malaysia. Gambar oleh Boboy.

Putrajaya, 11 Jun 2012: Kesatuan Pekerja-Pekerja Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (LPPM) ingin memaklumkan rasa syukur dan gembira dengan kehadiran semula Y.Bhg. Dato’ Mirza Mohammad Taiyab menyambung tugas beliau selaku Ketua Pengarah Tourism Malaysia berkuatkuasa 11 Jun 2012.


Seramai 370 orang ahli Kesatuan Pekerja-Pekerja LPPM gembira dengan keputusan tersebut dan berharap agar kehadiran beliau akan memacu Tourism Malaysia ke tahap yang lebih tinggi. Kesatuan Pekerja-Pekerja LPPM juga menganggap perkara ini sebagai hadiah awal bagi sambutan ulangtahun ke-40 Tourism Malaysia tahun ini. Ahli-ahli Kesatuan selama ini telah memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada beliau dan sentiasa yakin dengan kredibiliti beliau selaku Ketua Pengarah.

Kesatuan Pekerja-Pekerja LPPM berharap agar Tourism Malaysia akan terus maju serta mencapai kecemerlangan di masa akan datang.

Diterbitkan oleh :


HASRIZAL MUHAMMAD SHAWAL TUKIJAN

Yang Dipertua
Kesatuan Pekerja-Pekerja
Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia, Semenanjung Malaysia
-maa.

Monday, June 11, 2012

TOURISM MALAYSIA DG RETURNS TO DUTY

Putrajaya, 11 June 2012: We are pleased to announce that Dato’ Mirza Mohammad Taiyab Beg has returned to duty as Director General of Tourism Malaysia, effective11 June 2012. The decision for his return was made by the Disciplinary Board of Tourism Malaysia following the order of his acquittal by the Sessions’ Court of Kuala Lumpur on 17 May 2012.
-Tourism Malaysia/maa.

Perutusan YDP: Y. Bhg. Dato' KP kembali bertugas

Perutusan Yang Dipertua


Kesatuan Pekerja-Pekerja LPPM,
Semenanjung Malaysia

Bilangan 2/2012

11 Jun 2012

Salam Sejahtera, Salam 1Malaysia,

Rakan-rakan sekerja sekelian,

Sepertimana saudara/ saudari sekelian telah maklum bahawa Y.Bhg Dato’ Mirza Mohammad Taiyab telah hadir pada hari ini bagi menyambung semula tugas beliau selaku Ketua Pengarah TM. Kehadiran beliau adalah bertepatan sekali dengan sambutan Ulangtahun ke-40 Tourism Malaysia yang bakal diraikan pada bulan Ogos nanti.

Bagi pihak Kesatuan, kami mengucapkan tahniah dan mengalu-alukan kehadiran Y.Bhg. Dato’ KP kembali bertugas di TM. Pandangan yang positif perlu terus disemai ke lubuk hati dan fikiran kita masing-masing. Ini adalah kerana dengan kehadiran semula beliau mengemudi jentera TM, maka, Kesatuan dengan penuh pengharapan berdoa agar kita menjadi lebih kuat dan tersusun sepertimana ia sepatutnya. Kesatuan berharap agar setiap dari kita terus bersatu demi mencapai kecemerlangan yang lebih banyak di masa-masa yang akan datang.

Pihak Kesatuan menghantar satu surat rasmi bagi menerangkan harapan dan doa Kumpulan Pelaksana sambil menyambut Y.Bhg. Dato’ kembali bertugas pada 11 Jun 2012. Rata-rata pegawai dan kakitangan TM menyambut berita ini dengan gembira. Bagi pihak Kesatuan, kejayaan beliau untuk kembali bertugas telah menjadi aspirasi untuk kami bekerja dengan lebih tekun dan dedikasi. Ia juga telah menjadi kejayaan kita semua kerana doa yang tiada putus serta sokongan yang tidak berbelah bahagi telah menyatukan kita semua demi memberi sumbangan yang lebih besar kepada organisasi, amnya dan industri pelancongan Malaysia, khususnya.

Kesatuan bermohon agar komitmen Y.Bhg. Dato’ KP terhadap kebajikan kumpulan pekerja tidak dilupakan malah, ditambah lagi untuk mengimbangi keperluan-keperluan kami dengan organisasi yang tercinta ini. Kesatuan berasa amat yakin bahawa sinar baru TM hanya akan terbit jika keharmonian dalam organisasi elok terpelihara. Malah, perkara ini juga hanya akan tercapai dengan kepimpinan yang adil dan bersifat prihatin. Semoga ianya terlaksana.

Ucapkan tahniah dan selamat kepada Y.Bhg. Dato’ dan semoga segala harapan dan impian menjadikan TM sebagai badan berwajib yang disegani tercapai.

Sekian terima kasih,

(HASRIZAL MUHAMMAD SHAWAL TUKIJAN)

Yang Dipertua
Kesatuan Pekerja-Pekerja
Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia
Semenanjung Malaysia
-maa.

Sunday, June 10, 2012

Gaji dan pangkat sebab bukan Melayu kurang minat serta sektor awam - CUEPACS

KUALA LUMPUR 10 Jun - Gaji dan pangkat merupakan antara sebab utama mengapa bukan Melayu kurang berminat menyertai sektor awam, kata Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Omar Osman.


Beliau berkata, bukan Melayu khususnya kaum Cina mahukan gaji yang tinggi dan terus menjawat jawatan bertaraf pegawai bila menyertai sektor awam. "Mereka bukan Melayu banyak berkelulusan tinggi yang nak terus dapat jawatan dan gaji tinggi. "Mereka juga melihat sektor awam sebagai tempat yang agak terhad bagi mereka untuk kenaikan pangkat dan gaji," katanya kepada Bernama apabila diminta mengulas laporan berkaitan kurangnya penyertaan kaum Cina dalam sektor awam.


Sebuah akhbar berbahasa Mandarin, Oriental Daily pada Khamis lepas melaporkan memetik kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mahmood Adam bahawa lebih 1.12 juta permohonan sebagai penjawat awam diterima tahun lepas dan hanya 2.1 peratus terdiri daripada pemohon berbangsa Cina.


Omar berkata, proses kenaikan pangkat yang mengambil masa yang lama turut menjadi punca bukan Melayu kurang berminat menceburi sektor awam. "Misalnya, sesetengah daripada mereka merungut tidak diberi peluang dinaikkan pangkat walaupun sudah lebih daripada 10 tahun berkhidmat dan terpaksa mengambil peperiksaan serta menghadiri kursus yang banyak.


"Ini merupakan syarat untuk kenaikan pangkat sektor awam, mereka sepatutnya memahaminya dengan memberikan kerjasama mematuhi arahan yang telah ditetapkan dalam sektor awam dan bukannya melepaskan peluang begitu sahaja," katanya.
Beliau berkata, faktor kurangnya minat bukan Melayu menyertai sektor awam boleh dilihat dengan jelas apabila bilangan pemohon bukan Melayu khususnya kaum Cina menyertai pasukan beruniform seperti Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia sangat kecil.
"Malah, kita boleh lihat pada masa sekarang jarang sekali masyarakat Cina yang berkecimpung dalam pasukan beruniform kerana menganggap skop pekerjaan yang susah dan gaji yang sedikit," katanya.


Ketua Pegawai Eksekutif Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor, Tang Ah Chai berkata, golongan Cina tidak berminat menyertai sektor awam kerana tidak memahami skop perkhidmatan dan mempunyai pandangan negatif terhadap sektor itu.
Beliau berkata, kerajaan sering menggalakkan golongan bukan Melayu untuk menyertai sektor awam dengan pelbagai usaha seperti mengadakan ceramah kerjaya, pameran dan sebagainya tetapi masih tidak berkesan. "Saya cadangkan adakan usaha untuk membawa bukan Melayu melawat jabatan kerajaan di seluruh Malaysia terutamanya yang melibatkan pentadbiran Kerajaan Pusat di Putrajaya untuk mereka memahami skop perkhidmatan awam itu sendiri," katanya.


Presiden Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM), Datuk Raja Wan Mahmood Pawan Teh berkata, sejarah merupakan antara faktor bukan Melayu tidak berminat menyertai sektor awam. Beliau berkata, pada zaman penjajahan British lagi rakyat sudah dibahagikan pengkhususan pekerjaan mengikut kaum, iaitu Melayu memasuki sektor awam, Cina dengan kegiatan ekonomi dan India terlibat dengan pertanian serta perladangan. "Apabila tradisi ini sudah dilanjutkan, maka mereka akan menganggap sektor awam hanya untuk golongan kaum Melayu. Masyarakat Cina lebih cenderung dalam bidang ekonomi. "Mereka lebih berminat untuk menceburi dalam bidang perniagaan dan ekonomi kerana sektor itu dapat menjana keuntungan dalam masa yang singkat".
-bernama/maa.

Friday, June 8, 2012

Pastikan pelaksanaan program beri impak baik: TPM

TAN Sri Muhyiddin Yassin (tiga dari kanan) beramah mesra dengan penerima anugerah selepas majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2011 Kementerian Pelajaran di sini hari ini. - Foto NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor

PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengingatkan setiap perancangan dan pelaksanaan program atau aktiviti yang ingin dilakukan kementerian dan agensi kerajaan perlu diteliti sebaik mungkin.


Beliau berkata, ini penting agar pelaksanaannya dapat memberi impak yang baik selain berjaya mengoptimumkan penggunaan semula sumber tanpa sebarang pembaziran. "Selain itu, sewajarnya juga terpahat di hati sanubari kita bahawa setiap sen wang rakyat yang kita belanjakan seharusnya memberi pulangan yang berganda kepada mereka," katanya ketika berucap pada majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2011 Kementerian Pelajaran di sini hari ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, sudah tiba masanya bagi anggota kementerian itu melaksanakan anjakan paradigma yang radikal supaya penyampaian perkhidmatan yang diberikan mempunyai hasil serta mampu memuaskan hati semua pelanggan dan pemegang amanah tanpa membelakangkan dasar dan prinsip asas perkhidmatan.

Beliau berkata, setiap kementerian dinilai daripada sudut kualiti penyampaian perkhidmatan yang diberikan kerana pelanggan pada ketika ini mahukan hasil yang boleh diterjemahkan serta memenuhi keperluan dan kehendak pelanggan.

"Keadaan ini menuntut kepada keperluan untuk menghasilkan kerja yang lebih efektif, cepat dan tepat. Malah, ekspektasi pelanggan terhadap mutu perkhidmatan kini semakin tinggi terutamanya dalam menyaksikan masalah dan memenuhi keperluan mereka," katanya.

Katanya, walaupun sistem penyampaian perkhidmatan ketika ini amat bergantung kepada faktor penggunaan ICT, namun kebergantungan sepenuhnya boleh menjadikan perkhidmatan itu lebih bersifat impersonal dan mekanistik.

Justeru, katanya, kerajaan berusaha untuk mengurangkan krisis komunikasi dengan membiasakan semula elemen sentuhan kemanusiaan bagi menangani dan menyelesaikan kes-kes tertentu.

Beliau mengambil contoh penggunaan jawapan automatik di dalam komunikasi secara e-mel kadangkala tidak memperlihatkan sensitiviti dan kemesraan kepada pelanggan bagi situasi yang memerlukan penjelasan lanjut.

"Oleh itu adalah wajar dalam keadaan tertentu pertanyaan pelanggan boleh dijawab dengan memberi penerangan yang lebih jelas serta meletakkan nilai insaniah dan empati yang secara tidak langsung dapat mengelakkan pelanggan keliru dan salah faham," katany.

Pada majlis itu, seramai 448 warga kementerian itu daripada pelbagai jawatan menerima anugerah khidmat cemerlang.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Dr Rosli Mohamed, dan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abd Ghafar Mahmud.
-bernama/maa.
Datanglah beramai-ramai. Sokonglah kegiatan sukan Tourism Malaysia.
-maa.

Saturday, June 2, 2012

Tun Zaki Azmi dilantik Pengerusi Suruhanjaya Khas Mengkaji Transformasi Perkhidmatan Awam


KUALA LUMPUR 2 Jun - Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Khas Mengkaji Transformasi Perkhidmatan Awam yang ditubuhkan bagi mengkaji secara komprehensif dan holistik perkhidmatan awam negara.


Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan berkata, suruhanjaya itu mempunyai enam anggota iaitu bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam; bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom; bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr. Hadenan A. Jalil; bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Hussin Ismail; bekas Panglima Latihan Tentera Darat Mejar Jeneral (B) Datuk Che Hasni Che Ahmad dan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman.


“Suruhanjaya ini diberi mandat untuk mengemukakan perakuan kepada kerajaan dalam tempoh enam bulan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.


Menurut Mohd. Sidek, perakuan-perakuan suruhanjaya khas itu akan dipertimbangkan mengikut kemampuan kewangan kerajaan.
-bernama/maa.