Thursday, June 30, 2016

Pelepasan Khas Daripada Bertugas Pada 8 Julai Jika Aidilfitri Pada 6 Julai

PUTRAJAYA, 30 Jun (Bernama) -- Kerajaan telah bersetuju untuk memberikan pelepasan khas daripada bertugas pada 8 Julai ini kepada pegawai perkhidmatan awam Persekutuan sekiranya Hari Raya Aidilfitri diisytiharkan pada 6 Julai, demikian umum Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Bagaimanapun, katanya pelepasan khas daripada bertugas itu tidak terpakai sekiranya Hari Raya Aidilfitri diisytiharkan pada 5 Julai.

"Orang awam yang merancang untuk mendapatkan perkhidmatan kerajaan pada hari pelepasan khas tersebut digalakkan untuk mengunjungi jabatan dan agensi yang berkenaan sebelum cuti umum Hari Raya Aidilfitri," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ali dalam pada itu merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kerana bersetuju dengan cadangan daripada penjawat awam itu khususnya oleh CUEPACS.

"Semoga penjawat awam dapat memanfaatkan pemberian pelepasan khas daripada bertugas untuk meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga dan seterusnya memberikan perkhidmatan yang terbaik dan produktif apabila kembali bertugas di jabatan dan agensi masing-masing," katanya.

Dalam 'Surat Edaran : JPA.SARAAN 223/5/4-3 Jld.3 (11)' yang dikeluarkan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal pula menyatakan pelepasan khas daripada bertugas pada 8 Julai itu hanya terpakai kepada pegawai perkhidmatan awam Persekutuan yang berkhidmat di negeri-negeri yang kelepasan mingguannya ialah pada hari Ahad.

"Pemberian pelepasan khas daripada bertugas ini hanya terpakai pada tahun ini sahaja dan tidak boleh dijadikan duluan bagi apa-apa tujuan di masa hadapan," menurut surat edaran yang dimuat naik di portal rasmi Jabatan Perkhidmatan Awam itu.

Ia menyatakan tertakluk kepada penerimaan pakai oleh pihak berkuasa masing-masing, peruntukan surat edaran itu pada keseluruhannya dipanjangkan kepada semua perkhidmatan awam negeri, pihak berkuasa berkanun dan pihak berkuasa tempatan.

-Bernama.

Sunday, June 26, 2016

Angkasa sedia bantu Penjawat awam terjebak dengan ah long


KUALA LUMPUR 25 Jun: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) menyatakan kesediaan untuk membantu penjawat awam yang terjebak de­ngan masalah hutang ah long.

Presidennya, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, pada asas­nya penjawat awam tidak dibenarkan meminjam lebih daripada 60 peratus jumlah gaji mereka dengan koperasi namun bagi kes ah long pengecualian diberikan.

Kata beliau, pinjaman akan diuruskan oleh koperasi kredit yang bakal menjadualkan semula struktur pembayaran melalui potongan gaji.

“Masalah ah long dalam kala­ngan penjawat awam ini walaupun sedikit namun membimbangkan. Kami menerima laporan terdapat staf Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang diburu oleh ah long sehingga mereka bertindak melarikan isteri dan anak mangsa.

“Kita tidak mahu perkara se­perti ini berulang dan bersedia membantu penjawat awam. Kami faham mereka ini terdesak, hendak buat pinjaman bank pun bukan mudah sekarang, tambahan lagi jumlah penjawat awam yang diisytiharkan muflis sudah mencecah 3,000 orang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Perwakilan Koperasi Serbaguna Pekerja-pekerja Pihak Berkuasa Tempatan (Kospeta) Kali Ke-34 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Presiden Kospeta, Datuk Azih Muda dan Penolong Pengarah Suruhanjaya Koperasi, Junaidah Ramli.
Sementara itu, Azih yang juga Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmat­an Awam (CUEPACS) mendesak kerajaan supaya meluluskan pembiayaan pembelian apartmen studio atau rumah satu bilik dalam kalangan penjawat awam.

Jelasnya, hal ini kerana ketika ini Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) tidak membiayai permohonan sedemikian sedangkan permintaan untuk membelinya adalah tinggi.

“Penjawat awam tak mampu nak beli rumah yang mempunyai tiga atau empat bilik yang harganya di luar kemampuan. 

Kerajaan perlu lihat perkara ini terutamanya bagi mereka yang masih bujang atau baru berkahwin namun berhasrat untuk memiliki rumah sendiri.

“Banyak kawasan di Kuala Lumpur menjual rumah satu bilik seperti di Sentul, Damansara dan Subang pada harga rendah dalam lingkungan RM150,000. Tetapi peraturan LPPSA menyebabkan penjawat awam tidak boleh membeli rumah tersebut,” ujarnya.
-Utusan.

Friday, June 24, 2016

Cuti peristiwa raya ketiga dipertimbang - KSN

PUTRAJAYA: Kerajaan akan mempertimbang permohonan penjawat awam yang mahu supaya tarikh 8 Julai ini iaitu hari Jumaat yang juga hari ketiga sambutan Aidilfitri dijadikan sebagai cuti peristiwa khas. 

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa, berkata permohonan yang disampaikan menerusi Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) itu akan dibawa untuk perbincangan dalam mesyuarat peringkat tertinggi kerajaan. 

"Bagaimanapun perbincangan mengenai cuti khas itu hanya terpakai untuk negeri-negeri yang bekerja pada hari Jumaat minggu perayaan terbabit. 

"Insya-Allah saya akan bawa perkara ini untuk dirundingkan, sebab kerajaan memang tidak pernah ada cuti peristiwa hanya untuk negeri yang kerja pada hari Jumaat," katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perjumpaan Khas bersama Ahli Kongres CUEPACS di sini hari ini. Yang turut hadir Presiden CUEPACS, Datuk Azih Muda. 

Sementara itu, Ali turut meminta CUEPACS supaya turut bersama memberi cadangan kepada kerajaan cara untuk meningkatkan hasil negara. 

"Sudah sampai masa untuk CUEPACS turut menjadi rakan bagi membantu memberi idea dan pandangan mereka. Ini satu cabaran bukan sahaja kepada CUEPACS tapi juga jabatan lain," katanya.
-berita harian.

Penjawat awam diingat jaga rahsia kerajaan – Zahid


PUTRAJAYA 23 Jun – Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan penjawat awam agar sentiasa menjaga rahsia kerajaan dan tidak membocorkannya kepada pihak luar.

Timbalan Perdana Menteri berkata, meskipun kerajaan telah menguatkuasakan undang-undang bagi mengekang perkara berkenaan, setiap individu perlu juga melengkapkan diri dengan nilai ‘self impose’ atau ‘self enforce’.

“Pegawai kerajaan tertakluk tatacara dan tataetika perkhidmatan, kalau ada kalangan kita yang ada perasaan untuk membocorkan atau kongsi rahsia dengan pihak luar, undang- undang tetap ada.

“Kita punyai Akta Rahsia Rasmi (OSA), tapi ia hanya undang-undang yang menjadi panduan, penguatkuasaan yang sebenar adalah diri kita sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Berbuka Puasa Timbalan Perdana Menteri bersama Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Sri Satria di sini hari ini.

Yang turut hadir isteri beliau, Datin Seri Hamidah Khamis; kedua-dua Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jaz­lan Mohamed dan Masir Anak Kujat; Ketua Setiausaha KDN, Datuk Alwi Ibrahim dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Dalam majlis yang diha­diri 1,200 tetamu itu, Ahmad Zahid turut menyampaikan sumbangan kepada 100 anak yatim dan fakir miskin dari Tahfiz Al-taqwa dan Rumah Kasih Harmoni, Sungai Buloh, Selangor.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, perkara melibatkan rahsia tersebut bukanlah satu amaran sebaliknya sebagai peringatan kepada semua penjawat awam terutama ketika bulan Ramadan.

“Amalan yang baik seperti menyimpan rahsia perlu dibuat bukan setakat pada bulan Ramadan sahaja tetapi ia perlu dilakukan pada setiap masa dan ketika.

“Kita telah bersumpah atas nama Allah untuk menyimpan rahsia jadi sekiranya kita langgar sumpah itu kita akan dilaknat. Sebelum itu terjadi, saya ingatkan pegawai awam termasuk di KDN supaya menjaga sumpah yang sudah dibuat,” katanya.
-utusan.

Sunday, June 19, 2016

Pembiayaan penuh Bank Rakyat bagi pembeli kereta Proton


KUALA LUMPUR 16 Jun - Bank Koperasi Islam terbesar Malaysia, Bank Rakyat hari ini bekerjasama dengan Proton Holdings Bhd (Proton) dengan menawarkan kemudahan pembiayaan kewangan 100 peratus bagi pembelian kereta nasional berkenaan termasuk Proton Perdana yang baru dilancarkan pada Selasa lalu.

Pengerusi Bank Rakyat, Tan Sri Abdul Aziz Zainal berkata, tawaran itu terbuka kepada semua penjawat awam dan swasta yang menepati syarat-syarat pinjaman dan tempoh tawaran itu terbuka sepanjang masa.

"Bank Rakyat sentiasa mengutamakan keperluan pelanggan dan sebagai inisiatif membantu rakyat memiliki produk tempatan, kami tampil dengan tawaran ini," katanya selepas menghadiri majlis pelepasan model Proton Perdana baharu di sini.

Majlis pelepasan itu diadakan seiring dengan promosi Kempen Beraya Bank Rakyat yang menawarkan Pembiayaan Kenderaan-i serta produk auto yang lain dengan tawaran hadiah wang tunai sehingga RM400,000.

Pada majlis sama, turut diadakan program Pautan Ramadan Kacau Bubur Lambuk bertujuan menyemarakkan sambutan bulan Ramadan di samping mengeratkan hubungan dengan masyarakat setempat.

"Kira-kira 5,000 bungkus bubur lambuk akan diagih di beberapa lokasi tumpuan ramai seperti KL Sentral, Stesen LRT Bangsar dan Masjid Bangsar bermula pukul 3 petang ini," katanya.
-Bernama.

Monday, June 13, 2016

Kospen Akan Diperluas Dalam Kalangan Penjawat Awam - KSN

PUTRAJAYA, 13 Jun (Bernama) -- Program Komuniti Sihat Perkasa Negara (Kospen) akan memperluaskan khidmatnya dalam kalangan penjawat awam sebagai usaha membantu menangani peningkatan masalah penyakit tidak berjangkit, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

"Perkara tersebut masih dalam peringkat perbincangan secara menyeluruh dengan kesemua kementerian, dan program ini dijangka akan mula dilaksana pada tahun ini," katanya.

Kospen mula diperkenalkan pada 2013 oleh Kementerian Kesihatan (KKM) bagi memberi perkhidmatan saringan kesihatan percuma melibatkan masyarakat awam di peringkat komuniti.

-bernama.
http://www.infosihat.gov.my/infosihat/projekkhas/kospen.php

Saturday, June 11, 2016

Azlan Mahu Penjawat Awam Tingkatkan Integriti, Tidak Bocor Rahsia

KANGAR, 11 Jun (Bernama) -- Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man mahu penjawat awam yang berkhidmat di Perlis meningkatkan integriti diri serta mematuhi akta rahsia berikutan banyak maklumat sulit kerajaan bocor dengan cepat.

Katanya beliau mendapati maklumat-maklumat yang dianggap sulit diviralkan di laman sosial dan aplikasi WhatsApp dengan pantas selepas sesuatu mesyuarat atau keputusan dibuat.

"Saya mendapat maklumat ada juga perkara-perkara yang belum dibincangkan tetapi telah dibincangkan di media sosial. Perkara sebegini harus dihentikan," katanya semasa mempengerusikan mesyuarat ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan negeri Perlis yang pertama tahun ini di sini, semalam.

-Bernama.

Friday, June 10, 2016

Cuepacs Minta Tarik Balik Pembekuan Jawatan Baharu Dalam Sektor Awam

PUTRAJAYA, 9 Jun (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta kerajaan menarik balik pembekuan pengambilan penjawat awam dengan tidak membenarkan pewujudan jawatan baharu serta kenaikan pangkat secara serta-merta.

Presiden Cuepacs Datuk Azih Muda berkata ini adalah kerana keadaan ekonomi negara semakin baik memandangkan harga minyak melonjak dari US$35 kepada US$50 per tong baru-baru ini.

Beliau berkata Surat Pekeliling Perbendaharaan perlu ditarik balik agar rasionalisasi 252 skim perkhidmatan awam di bawah Sistem Saraan Malaysia yang ditambah baik yang berkuat kuasa 1 Julai ini, dapat dilaksanakan.

-bernama.

Thursday, June 9, 2016

Tak Perlu Sekat Penjawat Awam Guna Internet - Ali Hamsa

PUTRAJAYA, 8 Jun (Bernama)-- Tiada keperluan untuk menyekat akses kemudahan internet di kalangan penjawat awam dengan tujuan menghalang kebocoran maklumat kerajaan, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Susulan pengumuman kerajaan Singapura untuk mengenakan sekatan kemudahan internet di pejabat kerajaan ke atas penjawat awam mereka bermula Mei tahun depan, beliau berkata isu kebocoran maklumat bukan lagi menjadi isu utama di negara ini.

Malah katanya menyekat penggunaan internet tidak secara keseluruhannya mampu menghalang kebocoran maklumat.

-Bernama.

Wednesday, June 8, 2016

Bantuan Khas RM500 Untuk 1.6 Juta Penjawat Awam Sempena Aidilfitri

KUALA LUMPUR, 8 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan RM500 kepada 1.6 juta penjawat awam sebagai persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Dalam kenyataan di sini, beliau berkata bantuan khas RM250 akan turut dinikmati 743,000 pesara kerajaan sebagai menghargai jasa perkhidmatan mereka.

"Pembayaran bagi bantuan khas ini akan dibuat pada 13 Jun ini," katanya sambil menambah ia melibatkan anggaran peruntukan kewangan RM1 bilion.

"Kerajaan berharap pemberian bantuan khas ini dapat meringankan beban kewangan penjawat awam dan pesara bagi persiapan Hari Raya Aidilfitri 2016," kata perdana menteri.

Najib menarik perhatian bahawa penjawat awam akan menikmati satu kenaikan gaji tahunan (KGT) pada Julai ini yang melibatkan anggaran implikasi kewangan RM1.1 bilion.

-Bernama.

Saturday, June 4, 2016

Kerajaan Belum Putuskan Imbuhan Penjawat Awam Menjelang Aidilfitri

PASIR PUTEH, 4 Jun (Bernama) -- Kerajaan belum membuat keputusan berhubung imbuhan kepada penjawat awam dan pesara kerajaan sebagai persiapan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri awal Julai depan.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah berkata kerajaan sedang meneliti pelbagai aspek terutama kedudukan kewangan sebelum membuat keputusan mengenainya.

"Sehingga hari ini tiada sebarang keputusan dibuat (berhubung pemberian imbuhan kepada kakitangan awam dan pesara)," katanya kepada pemberita pada majlis Program Transformasi Komuniti Bergerak Orang Kampung Selising yang dirasmikan Anggota Dewan Undangan Negeri Selising, Zulkifli Ali di sini, Sabtu.

-Bernama.

Cuepacs Ikrar Terus Perjuangkan Hak Dan Kebajikan Penjawat Awam - Azih

KUALA KANGSAR, 3 Jun (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berikrar untuk terus memperjuangkan hak dan kebajikan penjawat awam temasuk mendapatkan kenaikan tangga gaji dan bonus.

Presidennya Datuk Azih Muda berkata kerajaan perlu memberikan kenaikan gaji dan bonus selaras dengan bebanan yang ditanggung penjawat awam ketika ini.

"Walaupun adanya kenaikan gaji, namun ia sedikit dan tidak mencukupi bagi mereka yang mempunyai lebih tanggungjawab...jika kerajaan tidak memberi bantuan terutamanya untuk menghadapi Ramadan, ia akan memberi tekanan kepada penjawat awam," katanya kepada Bernama hari ini.

-Bernama.