Wednesday, March 25, 2015

Cuepacs Harap Kerajaan Umum Pelaksanaan 252 Skim Perkhidmatan Sebelum 1 Mei

IPOH, 24 Mac (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berharap kerajaan akan memberi jawapan terhadap gesaannya agar 252 skim gaji dan elaun dikaji semula dan ditambah baik sebelum sambutan Hari Pekerja pada 1 Mei ini.

Presiden Cuepacs Datuk Azih Muda berkata pihaknya yakin elaun dan perubahan gaji skim itu tidak melibatkan pertambahan yang besar dalam peruntukan perbelanjaan mengurus kerajaan.

"Kami yakin dengan keupayaan yang kerajaan ada selepas pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP), tarikh penguatkuasaan untuk skim ini kita minta berkuat kuasa mulai Januari 2015 kepada semua," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Sepetang Bersama Presiden Cuepacs Malaysia di sini hari ini.

Azih berkata kerajaan sepatutnya melakukan semakan gaji yang tertanggguh sejak 15 tahun berikutan peningkatan kos sara hidup yang begitu tinggi ketika ini.

Katanya beliau berharap Cuepacs akan diberi laluan untuk bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam masa terdekat bagi menyampaikan keluh kesah dan luahan penjawat awam dari seluruh negara.

"Kami jumpa kali terakhir untuk semakan gaji SSM pada 2005 manakala pada 2007 tidak ada semakan gaji cuma kenaikan 25 peratus untuk kos sara hidup dan pada 2011 kerana berpindah skim," katanya.

-Bernama.

Saturday, March 21, 2015

Cuepacs Minta Kerajaan Percepat Kaji Kenaikan Gaji Penjawat Awam

TEMERLOH, 21 Mac (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa kerajaan segera mengkaji semula 252 skim gaji dan elaun penjawat awam bagi mengurangkan bebanan mereka dalam keadaan ekonomi tidak menentu kini.

Presidennya Datuk Azih Muda berkata, isu kenaikan elaun dan gaji kakitangan awam telah tertangguh sejak 15 tahun lepas walaupun kenaikan sepatutnya berlaku lima tahun sekali.

"Cuepacs meminta agar gaji serta elaun sedia ada dinaikkan sehingga 35 peratus dan berdasarkan perbincangan awal sebelum ini kerajaan bersetuju mengkaji skim gaji kakitangan awam dalam tempoh lima tahun sekali.

"Langkah itu bertujuan untuk mengelakkan kakitangan berpendapatan rendah berada di bawah paras kemiskinan," katanya selepas majlis penyampaian bantuan kepada 430 mangsa banjir di sini Sabtu.

Turut hadir Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Abdul Fatah Abdullah.

Azih berkata bebanan kerja ditanggung kakitangan awam juga semakin meningkat setiap hari dan penangguhan kajian skim gaji akan mendatangkan kesan negatif terhadap kualiti dan produktiviti kerja mereka.

Katanya antara elaun yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan termasuk Imbuhan Tetap Perumahan (ITP) yang diberikan serendah RM180 kerana kadar itu tidak munasabah bagi mereka yang bekerja di bandar.

Beliau berharap kerajaan dapat menyelesaikan isu itu dengan kadar segera bagi membantu meningkatkan taraf hidup kakitangan sektor awam terutama yang berpendapatan rendah.

Sementara itu, Abdul Fatah berkata bagi membantu kakitangan awam memiliki rumah di kawasan bandar, Angkasa dan Cuepacs akan bekerjasama membina 600 unit rumah pelbagai jenis dilengkapi perabot dan kemudahan insurans di Putrajaya.

Beliau berkata, satu mesyuarat khas dengan pemaju akan diadakan April ini bagi membincangkan pelaksanaan projek yang dijangka memberi manfaat kepada semua lapisan penjawat awam.

"Rumah yang akan dibina itu akan dijual kepada penjawat awam dengan harga yang berpatutan bagi membolehkan golongan berkenaan memiliki rumah sendiri," katanya.

-Bernama.

Thursday, March 12, 2015

Umur Persaraan 62 Tahun Penjawat Awam Nafi Kenaikan Pangkat Golongan Muda

KUALA LUMPUR, 11 Mac (Bernama) -- Dua Anggota Parlimen hari ini berpendapat cadangan menaikkan umur persaraan penjawat awam daripada 60 ke 62 tahun adalah tidak relevan kerana melambatkan proses kenaikan pangkat bagi kakitangan lain.

Datuk Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) berpendapat cadangan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) itu menutup peluang kepada golongan lebih muda yang mempunyai kebolehan.

"Saya tidak terima cadangan itu tetapi jika Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) hendak buat kajian, tidak ada masalah.

"Kalau dilaksanakan, tertutuplah peluang orang lain khususnya orang muda," katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di Dewan Rakyat hari ini.

Baru-baru ini, CUEPACS mencadangkan supaya kerajaan mempertimbang umur persaraan penjawat awam daripada 60 kepada 62 tahun memandangkan Malaysia sedang menuju ke arah negara maju.

Anuar Abd Manap (BN-Sekijang) juga menolak cadangan CUEPACS itu kerana ia menafikan peluang kakitangan muda untuk dinaikkan pangkat.

Beliau berkata CUEPACS sepatutnya memperjuangkan isu-isu lain seperti peluang memiliki rumah sendiri, masalah hutang dan bankrupsi dalam kalangan penjawat awam.

"Ini lebih penting untuk CUEPACS perjuangkan...golongan muda ada idea baharu dan mereka perlu bersama-sama kepimpinan negara untuk mencorak masa depan negara. Saya tidak setuju cadangan (menaikkan umur persaraan itu)," katanya.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok.

-Bernama.

Sunday, March 8, 2015

JPA Kaji Cadangan Umur Bersara 62 Tahun

NIBONG TEBAL, 8 Mac (Bernama) -- Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan mengkaji cadangan Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) supaya umur persaraan wajib penjawat awam dilanjutkan kepada 62 tahun daripada 60 tahun.

Namun Ketua Pengarah JPA, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal berkata sebarang keputusan untuk melanjutkan umur persaraan penjawat awam bukan hanya merupakan keputusan JPA tetapi turut melibatkan keputusan kerajaan.

"Saya kena lihat secara keseluruhan dan mengkaji terlebih dahulu. Ini bukan keputusan JPA sahaja dan ia juga merupakan keputusan kerajaan atau dasar yang kita kena bawa balik kepada kerajaan.

"Buat masa ini, saya ingat tidak perlu komen panjang mengenai hal berkenaan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau merasmikan Pusat Latihan Kemahiran Peringkat Tertinggi CoAS, Institut Kemahiran Tinggi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang, di sini.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Farizan Darus dan Pengurus Besar Perda, Saringat Hassan.

Semalam CUEPACS meminta kerajaan supaya membuat pertimbangan bagi melanjutkan umur persaraan penjawat awam atas alasan negara sedang menuju status negara maju.

Sementara itu Mohamad Zabidi berkata kerajaan akan memperluas pengambilan pemegang Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) ke dalam perkhidmatan awam.

Beliau berkata kini 17 skim perkhidmatan berkelayakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) telah diperuntukkan kemasukan di peringkat SKM yang akan diperluas kepada lebih banyak skim perkhidmatan lain.

"Penjawat awam dengan kelayakan SPM dan memiliki sijil kemahiran akan memperoleh gaji permulaan lebih tinggi dan ini merupakan nilai tambah kepada mereka yang memiliki SKM," katanya.

-Bernama.

CUEPACS Gesa Kerajaan Kaji Balik Kadar 231 Elaun Penjawat Awam

KEMAMAN, 7 Mac (Bernama) -- Kesatuan Kongres Pekerja-Pekerja Perkhidmatan Awam (CUEPACS) meminta kerajaan mengkaji semula dan menambahbaik kadar 231 elaun yang diberikan kepada penjawat awam.

Presidennya Datuk Azih Muda berkata penambahbaikan elaun berkenaan perlu kerana kadar sedia ada tidak lagi relevan berikutan kenaikan kos sara hidup, harga barangan serta ekonomi negara masa kini.

"Elaun yang dinikmati penjawat awam sudah lama tidak dikaji, dan sekarang kos sara hidup semakin meningkat dan sangat memerlukan kerajaan untuk kaji semula elaun ini," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan peralatan dapur kepada 300 penjawat awam yang terbabit banjir di daerah Kemaman di sini pada Sabtu.

Antara elaun berkenaan ialah elaun perumahan, elaun khidmat awam, elaun sara hidup (COLA), elaun perjalanan, elaun hotel, elaun wilayah untuk mereka yang berkhidmat di Sabah dan Sarawak.

Azih berkata pihaknya difahamkan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah meminta pihak berkenaan mengkaji perkara itu namun belum ada kata putus mengenainya sehingga kini.

"Kalau kaji lama-lama pun tak guna sebabnya kos sara hidup kini semakin meningkat dan kerajaan perlulah membuat keputusan segera," katanya.

Azih berkata CUEPACS juga memohon kerajaan melaksanakan segera 252 skim baharu yang telah diumum Perdana Menteri pada Oktober tahun lepas.

"Pelaksanaan skim baharu ini tidak melibatkan kos yang tinggi sebab ia bukan divisyen gaji... jadi tak ada halangan untuk kerajaan melaksanakan skim ini," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata pelaksanaan penstrukturan semula penjawatan baharu dan kenaikan pangkat penjawat awam setiap lima tahun sekali juga perlu dilakukan bagi memberi peluang kepada penjawat awam meningkatkan profesyen masing-masing.

Menurutnya pada masa ini, ramai penjawat awam khususnya kumpulan sokongan yang mempunyai ijazah sarjana muda dan mereka harus diberi kenaikan pangkat dan gaji setimpal dengan pendidikan mereka.

-Bernama.

Saturday, March 7, 2015

Cuepacs Minta Kerajaan Pertimbang Umur Bersara Daripada 60 Kepada 62 Tahun

KEMAMAN, 7 Mac (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta kerajaan supaya membuat pertimbangan bagi melanjutkan umur persaraan penjawat awam daripada 60 tahun kepada 62 tahun.

Presidennya, Datuk Azih Muda berkata kebanyakan negara melanjutkan usia persaraan kepada 65 tahun seperti Thailand, Singapura, Sri Lanka, negara Eropah serta Amerika Syarikat dan kita sebagai negara, yang menuju negara maju harus mengambil langkah sama.

"Pertimbangan umur persaraan perlu dibuat, berikutan ekonomi negara yang tidak menentu dalam menuju negara maju.

"Selain itu, kerajaan menanggung kos yang tinggi untuk melahirkan pegawai yang berpengalaman dan mempunyai kepakaran...seperti pensyarah, kebanyakan mereka pada usia 55 hingga 56 baru mendapat Ijazah Kedoktoran(PhD), jadi takkan dah beribu-ribu habis buat PhD, baru berkhidmat lima tahun sudah nak pencen?," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Misi Bantuan Bencana Banjir 2015 anjuran Cuepacs dan Angkasa yang turut dihadiri Setiausaha Perhubungan Angkasa Terengganu, Mohamed Yusoff serta Pengerusi Cuepacs Terengganu, Muhamad Maliki Idris di sini hari ini.

Azih berkata, pelaksanaan usia persaraan 62 tahun harus diberi pertimbangan bagi penjawat awam yang melepasi tapisan tertentu seperti mempunyai tahap kesihatan yang baik serta masih berminat untuk menyumbang kepakaran tenaga kerja.

"Kerajaan juga menanggung kos yang tinggi setiap tahun untuk bayaran pencen kira-kira 70,000 penjawat awam dan kalau umur pencen dilanjutkan, mungkin pengaliran keluar wang tidak terlalu tinggi selepas ini.

"Mengenai peluang pekerjaan untuk anak muda, sebenarnya walaupun usia pencen dilanjutkan, peluang untuk anak muda masih ada dan tiada sekatan sebab ada penjawat awam yang pencen disebabkan persaraan wajib, persaraan pilihan serta kekosongan jawatan disebabkan kematian.

Dalam pada itu, Azih berharap kerajaan tidak akan menamatkan perkhidmatan kira-kira 70,000 penjawat awam yang dilantik secara kontrak, bermula pada 31 Dis ini.

Beliau yang agak terkilan berkata adalah tidak wajar bagi kerajaan menamatkan kontrak pekerja ini kerana mereka juga mempunyai tanggungan untuk meneruskan hidup dengan ekonomi negara pada masa kini yang tidak menentu.

"Sekurang-kurangnya kerajaan perlu beri mereka peluang bekerja dan bukannya menutup peluang mereka dan golongan ini merupakan 'lidah kerajaan' sebenarnya," katanya.

-Bernama.

Friday, March 6, 2015

CUEPACS Tidak Akan Bela Penjawat Awam Buat Kesalahan

KUALA LUMPUR, 5 Mac (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) tidak akan membela mana-mana penjawat awam yang didapati bersalah kerana melakukan kesalahan serius yang boleh menggugat keselamatan negara.

Timbalan Presiden II Mohd Shaman Jaes menyifatkan penahanan beberapa individu, yang merupakan penjawat awam, menunjukkan pihak berkuasa tegas menguatkuasakan undang-undang tanpa mengira siapa.

Beliau mengulas penahanan seorang penjawat awam berusia 39 tahun kerana terlibat dengan kegiatan militan IS serta penahanan 25 pegawai polis oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes berkaitan melindungi aktiviti penyeludupan dan penjualan minyak petrol dan diesel secara haram di sempadan Malaysia-Thailand, baru-baru ini.

"Kita rasa sedikit terkilan kerana masih ada lagi penjawat awam yang terlibat dengan perkara-perkara sebegini... Pada saya ini soal tidak amanah.

"CUEPACS menyeru semua penjawat awam supaya tidak terlibat dengan apa-apa pertubuhan atau perkara yang haram di sisi undang-undang negara. Dalam program CUEPACS seterusnya, kita akan menitikberatkan lagi soal disiplin," katanya ketika dihubungi Bernama pada Khamis.

Mohd Shaman berkata penahanan penjawat awam berkenaan tidak akan menjejaskan aspirasi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu perkhidmatan awam peneraju pembangunan negara.

Pada Ogos tahun lepas, Najib menggariskan empat nilai iaitu kesetiaan, dedikasi, kompetensi dan integriti yang perlu dimiliki penjawat awam sebagai tulang belakang pembangunan negara.

Mohd Shaman berkata adalah tidak adil untuk menghakimi keseluruhan penjawat awam hanya kerana perbuatan segelintir daripadanya.

"Pada saya ini soal kesalahan individu dan jika mereka bersalah, mereka akan terima akibatnya," katanya.

-Bernama.