Saturday, June 29, 2013

45 peratus penjawat awam masih tidak mampu beli rumah


KUALA LUMPUR 28 Jun - Kira-kira 45 peratus atau 650,000 daripada 1.5 juta penjawat awam masih tidak mampu memiliki rumah kerana faktor harga, kata Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman hari ini.

Beliau berkata, kajian yang dijalankan kesatuan itu baru-baru ini menunjukkan harga rumah yang semakin meningkat menjadi kekangan utama kepada impian tersebut.

Menurutnya, rata-rata penjawat awam terbabit adalah daripada kumpulan sokongan dan bergaji rendah, manakala bagi golongan berusia 40 tahun ke atas, bergred tinggi selain telah berkhidmat lebih 20 tahun telah memiliki rumah.

"Golongan 45 peratus ini terpaksa terus menyewa atau tinggal di kuarters dan terpaksa mengutamakan kos sara hidup," katanya kepada Bernama.

Beliau turut meluahkan kebimbangan akan implikasi masalah itu jika ditangani segera.
"Antaranya ialah jika mereka membeli rumah pada usia lanjut, ini bermakna mereka akan mengambil masa lebih panjang untuk membayar balik pinjaman.

"Kesannya mereka akan menggunakan semua simpanan dan duit pencen yang sepatutnya digunakan untuk hari tua untuk membayar balik pinjaman itu. Kehidupan mereka selepas bersara akan terus dibelenggu hutang," katanya.

Malah katanya, mereka juga tidak mampu memohon skim Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) kerana harga rumah PR1MA yang mencecah RM250,000 adalah di luar kemampuan penjawat awam.

Justeru, katanya, CUEPACS menggesa kerajaan mengkaji isu itu dan mencadangkan supaya Jabatan Perumahan Negara menyediakan rumah kos sederhana untuk penjawat awam.

"Seboleh-bolehnya biarlah ia berharga RM250,000 ke bawah. Saya harap kerajaan dapat kaji isu ini secara serius," katanya.
-bernama.

Tuesday, June 25, 2013

Cuepacs Minta Kerajaan Urus Semula Pinjaman Perumahan Penjawat Awam

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta kerajaan mengambil alih kemudahan pinjaman perumahan untuk penjawat awam daripada bank komersil.
Presidennya, Datuk Omar Osman berkata ini berikutan kebimbangan anggota Cuepacs bahawa polisi baharu itu akan membebankan kedudukan kewangan peminjam.
"Kami memutuskan ia mesti diurus oleh Bahagian Pinjaman Perumahan. Kita tidak mahu ia diagih kepada bank komersil kerana ramai bimbang akan terdapat bermacam-macam caj yang mungkin dikenakan oleh bank komersial nanti," katanya kepada Bernama selepas Mesyuarat Agung Perwakilan Pertama Koperasi Penjawat Awam 1Malaysia Berhad di sini, Isnin.
Perkara itu antara usul yang diputuskan pada mesyuarat berkenaan.
Kerajaan dalam Belanjawan 2013 memutuskan untuk memindah kemudahan pinjaman perumahan kerajaan untuk diurus oleh bank komersil mulai Januari tahun ini.
Omar berkata Cuepacs juga akan terus mengesa agar faedah pinjaman perumahan empat peratus yang dikenakan oleh kerajaan diturun kepada satu peratus.
"Selain itu, kami juga mahu kerajaan menyemak semula untuk menaikkan elaun perumahan bulanan dari RM180 sekarang kepada RM450, manakala bantuan sara hidup (Cola) diseratakan di seluruh negara pada kadar RM300 sebulan," katanya.
Cuepacs juga mencadangkan agar kerajaan membenarkan pengeluaran bayaran gratuiti bagi penjawat awam sebanyak 20 peratus pada usia 50 tahun.
"Kami mencadangkan supaya pengeluaran dibenarkan untuk membantu pembiayaan yuran anak-anak di peringkat pengajian tinggi, membaiki atau membayar hutang rumah dan membuat umrah," katanya.
Beliau berkata Cuepacs juga akan mendesak Jabatan Perkhidmatan Awam supaya menyelesaikan semakan gred dan tangga gaji bagi hampir 200 kategori pekerjaan dalam perkhidmatan awam yang kebanyakannya melibatkan kumpulan sokongan, selewat-lewatnya akhir tahun ini.
Keputusan mesyuarat itu akan dihantar kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa minggu ini.
-bernama.

Monday, June 24, 2013

PM tentukan bonus penjawat awam - KSN

PUTRAJAYA 24 Jun - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang akan membuat keputusan berhubung pemberian bonus untuk penjawat awam tahun ini, kata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Beliau berkata, keputusan itu akan dibuat Najib selaku Menteri Kewangan sempena pembentangan Belanjawan 2014 yang dijadual 25 Oktober ini.


"Saya rasa kerajaan akan membuat keputusan apabila kerajaan buat bajet (pembentangan Belanjawan 2014), PM sendiri akan buat keputusan," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2012, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.


Seramai 1,374 petugas dari 42 Jabatan/Agensi/Bahagian Jabatan Perdana Menteri menerima anugerah itu.


Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) kepada kerajaan supaya bonus melebihi sebulan setengah gaji diberikan kepada kira-kira 1.4 juta penjawat awam.


Semalam, Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman menyarankan kerajaan agar bonus melebihi sebulan setengah gaji atau sekurang-kurangnya sebulan setengah gaji diberikan kepada kakitangan awam dengan pembayaran setengah bulan gaji dibuat sebelum perayaan Aidilfitri nanti.


Tahun lalu, penjawat awam menerima bonus sebulan setengah gaji dengan pembayaran dibuat sebanyak tiga kali; sebelum perayaan Aidilfitri, bulan Disember dan pada Januari tahun ini.


Terdahulu, dalam ucapannya, Dr Ali yang genap setahun menjalankan tugas sebagai KSN, meminta penjawat awam supaya lebih peka dan mendekati nadi rakyat dengan mengambil langkah proaktif melalui Program Jejak Mesra Perkhidmatan Awam.


"Penjawat awam (menerusi program itu) akan turun untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh rakyat dan membawa perkhidmatan kepada mereka.


"Ini adalah satu pendekatan baharu di mana kita tidak boleh menunggu untuk rakyat datang kepada kita dengan masalah mereka tetapi sebaliknya kita mendekati mereka," katanya.


Beliau juga mengalu-alukan maklum balas, pandangan dan cadangan membina daripada seluruh penjawat awam demi mempertingkatkan penyampaian perkhidmatan awam.


"Kita semua (penjawat awam) perlu senang dihubungi dan didekati. Saya berharap agar sebarang maklum balas yang ingin disampaikan dapat disalurkan melalui saluran yang bersesuaian," katanya.

-bernama.

Sunday, June 23, 2013

Penjawat awam patur syukuri faedah gaji Julai ini


MUAR, 23 Jun (Bernama) - Penjawat awam patut bersyukur dengan pemberian faedah pemindahan gaji bersamaan kadar satu Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) berkuat kuasa 1 Julai ini, menurut Kongres Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs).

Timbalan Presidennya, Azih Muda berkata, walaupun kenaikan itu dilihat kecil oleh sesetengah pihak, ia memberi faedah besar kepada penjawat awam dalam jangka masa panjang.

"Walaupun kenaikan ini tidak besar, tetapi ia jelas menunjukkan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) amat prihatin terhadap kebajikan penjawat awam," katanya pada majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan ke-30 Koperasi KOSPETA Malaysia Berhad di sini hari ini.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memaklumkan pelaksanaan eksesais itu susulan keputusan kerajaan berkaitan kajian penambahbaikan skim perkhidmatan awam, landasan kerjaya dan pembetulan kepada masalah struktur gaji.

Menurut JPA masalah struktur gaji akan diselesaikan sebelum 31 Dis ini.

Mengenai bonus tahun ini, beliau berkata, Cuepacs yakin kerajaan akan memberikan habuan lebih baik daripada satu setengah bulan gaji tahun lalu.

Azih berkata Cuepacs juga berharap kerajaan memperuntukkan 30 peratus daripada sejuta buah rumah mampu milik yang akan dibina dalam tempoh lima tahun akan datang kepada penjawat awam.
-bernama.

Sunday, June 16, 2013

CUEPACS harap elaun rumah, sara hidup diselaras


BUKIT KAYU HITAM 15 Jun - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berharap kerajaan dapat melaksanakan penyelarasan elaun tetap perumahan dan sara hidup (Cola) penjawat awam pada tahun ini.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, dua perkara itu merupakan isu tertunggak dan berharap pelarasan dibuat dengan kadar segera kerana kos sara hidup semakin meningkat.
"Kita perlu selaraskan semua elaun, termasuk elaun Cola, bagi mereka yang tinggal di kuarters," katanya kepada pemberita pada persidangan perwakilan Cuepacs Kedah Sesi 2013-2016 di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di sini hari ini.

Sementara itu, Omar berkata, prestasi tiga kumpulan penjawat awam yang dinaikkan gred daripada 17 kepada 27 melibatkan juruteknik, pelukis pelan dan renjer hutan bermula 1 Julai depan dipantau agensi terbabit bagi memastikan produktiviti mereka meningkat.

Beliau berkata, petugas terbabit juga perlu dihantar mengikuti pelbagai latihan kemahiran sesuai dengan gred demi memastikan produktiviti mereka meningkat dari semasa ke semasa.

"Kita tidak mahu mereka naik gred tetapi hasil kerja atau produktiviti mereka tidak meningkat, sama seperti sebelumnya," katanya.

Dalam perkembangan lain, Omar berkata, Cuepacs juga menggalakkan penjawat awam membuat pinjaman dengan Koperasi Sektor Awam 1Malaysia (KSA1M) bagi mengelak mereka meminjam daripada ah long.

Katanya, beliau akan membawa usul itu dalam Mesyuarat Agung Perwakilan Cuepacs hujung tahun ini bagi membolehkan KSA1M menyediakan peraturan atau syarat kepada peminjam.

"Kita bagi mereka (penjawat awam) pinjam (sehingga) RM3,000 dan perlu membayar pinjaman itu dalam tempoh setahun tanpa penjamin," katanya.
-Bernama.

Wednesday, June 12, 2013

Penjawat awam sementara, kontrak carum Perkeso

KUALA LUMPUR 10 Jun - Penjawat awam bertaraf sementara dan kontrak yang bergaji RM3,000 sebulan atau kurang layak mencarum dalam skim Pertubuhan Keselamatan Sosial Pekerja (Perkeso) mulai 1 Jun lepas, kata Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk K. Selvarajah.

Beliau berkata, pekerja yang menerima gaji bulanan lebih RM3,000 dan tidak layak mencarum di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja, masih boleh mencarum dengan syarat majikan dan pekerja setuju memilih untuk diliputi skim Perkeso dengan mengemukakan notis pilihan.

Bagi pekerja yang sebelum ini telah mencarum dan pada masa sekarang bergaji melebihi RM3,000, mereka wajib untuk terus mencarum selaras dengan prinsip sekali layak mencarum terus layak mencarum," katanya.

"Perkeso akan memastikan semua pekerja dan majikan memahami perkara ini dengan menganjurkan taklimat ke seluruh negara bermula hari ini," katanya kepada Bernama selepas merasmikan Taklimat Perlindungan Keselamatan Sosial Perkeso Kepada Penjawat Awam Bertaraf Sementara dan Kontrak di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, hari ini.

Selvarajah berkata penjawat awam akan menerima faedah yang sama dengan pekerja swasta berdasarkan dua skim perlindungan yang disediakan Perkeso.

"Skim pertama ialah Skim Bencana Pekerjaan iaitu Perkeso memberi perlindungan kepada pekerja yang mengalami kemalangan dengan faedah-faedah seperti perubatan, hilang upaya sementara dan kekal, pendidikan, orang tanggungan dan pengurusan mayat.

"Skim kedua ialah Skim Keilatan iaitu meliputi pencen ilat, pendidikan dan pencen penakat," katanya.

Beliau berkata, caruman yang perlu dibayar penjawat awam adalah sama dengan pekerja swasta iaitu kategori pertama ialah caruman untuk Skim Bencana Pekerjaan dan Pencen Ilat; dan kategori kedua ialah Skim Bencana Pekerjaan.

Kategori pertama melibatkan pekerja belum mencapai umur 60 tahun iaitu syer dibayar majikan ialah 1.75 peratus dan pekerja 0.5 peratus, manakala kategori kedua pekerja berumur melebihi 60 tahun iaitu syer caruman 1.25 peratus hanya dibayar majikan, katanya.

Sementara itu, Selvarajah berkata, majikan yang mempunyai sekurang-kurangnya seorang pekerja dikehendaki mendaftar dengan Perkeso dalam tempoh tidak lewat 30 hari daripada tarikh diambil bekerja.
-bernama/utusan.