Saturday, July 22, 2017

Penjawat awam digalak jadi sukarelawan APM


SEREMBAN 21 Julai - Kakitangan kerajaan digesa supaya mendaftar sebagai anggota sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bagi memperkasakan pasukan itu dalam membantu masyarakat.

Ketua Pesuruhjayanya, Mejar Jeneral (B) Datuk Azmy Yahya berkata, pada masa ini terdapat kira-kira 1.6 juta kakitangan awam dan penyertaan mereka pastinya akan meningkatkan lagi saiz dan keupayaan APM.

"Sehingga penghujung tahun ini, kita menyasarkan untuk mendaftarkan seramai dua juta anggota sukarelawan APM. Sehingga kini kita berjaya mendaftarkan kira-kira 1.6 juta anggota.

"Kita galakkan kakitangan kerajaan menyertai APM kerana jumlah mereka besar. Dengan adanya penyertaan anggota daripada pelbagai agensi kerajaan sudah tentu kita akan dapat banyak kepakaran untuk membantu orang ramai," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar semasa Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri APM Peringkat Kebangsaan yang dihadiri kira-kira 4,000 tetamu di padang kawad APM Negeri Sembilan di sini malam ini.

Dalam pada itu, Azmy berkata, sebahagian besar anggota sukarelawan APM pada masa ini terdiri daripada golongan yang berumur antara 25 hingga 40 tahun.

"Sepanjang enam bulan lalu, kita berjaya mendaftarkan kira-kira 500,000 anggota sukarelawan. Bagi menarik lebih ramai sukarelawan, kita akan adakan kerjasama dengan pihak sekolah, kampung dan badan bukan kerajaan (NGO)," katanya.

Ujarnya, APM turut berusaha memperluaskan peranan dan perkhidmatannya supaya sentiasa bersedia dalam membantu orang ramai tanpa mengira masa.

-Utusan.