Friday, January 23, 2015

Penjawat Awam Jadi Sasaran Kes Penipuan - PPIM

KUALA LUMPUR, 22 Jan (Bernama) -- Penjawat awam kini dilihat menjadi sasaran utama pihak tertentu dalam kes-kes penipuan melibatkan skim pinjaman perumahan dan perniagaan.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata berdasarkan laporan yang diterima pihaknya, sebanyak 60 peratus mereka yang menjadi mangsa dalam kes sedemikian melibatkan penjawat awam.

"Mereka yang tidak bertanggungjawab ini menjadikan penjawat awam sebagai sasaran kerana golongan ini dilihat mudah mendapatkan pinjaman kewangan," katanya kepada pemberita dalam sidang media Kempen Perangi Penipu di sini, pada Khamis.

Kempen Perangi Penipu yang akan berjalan sepanjang 2015 itu digerakkan oleh PPIM dengan kerjasama Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) bertujuan menghakis gejala penipuan oleh pihak tidak bertanggungjawab terhadap pengguna.

Beliau berkata ramai penjawat awam yang terdiri daripada golongan muda turut menjadi mangsa penipuan pihak tertentu.

"Kita sedia maklum ramai yang berkeinginan tinggi untuk memiliki aset persendirian seperti rumah, kereta dan memulakan perniagaan tetapi perlulah berhati-hati dan menyemak latar belakang pihak berkaitan (pihak pemaju, pinjaman kredit) agar tidak mudah diperdaya," katanya.

-Bernama.

Saturday, January 17, 2015

Kerajaan Puas Hati Peranan Penjawat Awam Bantu Mangsa Banjir

DUNGUN, 17 Jan (Bernama) -- Kerajaan berpuashati dan mengucapkan terima kasih kepada kakitangan awam seluruh negara yang menjadi sukarelawan membantu rakyat yang terlibat dengan musibah banjir baru-baru ini.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata hasil dedikasi kakitangan awam tanpa mengira waktu kerja, mereka telah memberikan suatu perkhidmatan yang terbaik membantu mangsa dalam bencana alam itu.

"Saya dimaklumkan ada pegawai di peringkat daerah, persekutuan seperti di hospital-hospital termasuk doktor dan lain-lain pihak telah meneruskan tugas mereka walaupun rumah mereka sendiri terlibat dalam banjir itu.

"Ini menunjukkan satu semangat yang bersemarak dalam kalangan penjawat awam untuk merakyatkan perkhidmatan awam yang rakyat lebih diutamakan daripada diri mereka sendiri," katanya kepada pemberita semasa menyampaikan bantuan kepada 197 mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Durian Mentangau di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal, Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Shukry Mohd Salleh dan Setiausaha Kerajaan Terengganu Datuk Osman Muda.

Terdahulu, Ali dan Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman diberi taklimat mengenai banjir dan kerja-kerja selepas pasca banjir di Pejabat Daerah Kemaman.

Katanya pada kesempatan itu, Ahmad Razif telah meminta kerajaan untuk membaiki infrastruktur, berbincang tentang cadangan projek tebatan banjir termasuk pembinaan empangan bagi mengurangkan banjir di negeri itu.

"Ini bergantung kepada kerajaan pusat kerana peruntukannya adalah besar. Kita mulakan dulu dengan peruntukan khusus untuk penduduk seperti membina rumah, membaik pulih rumah serta menaik taraf semua kemudahan awam yang rosak, yang sedang giat dilaksanakan sekarang.

"Seterusnya barulah kita melihat keperluan dari segi pembangunan infrastruktur seperti mendalamkan sungai dan sebagainya bagi mengurangkan kejadian bencana alam itu," katanya.

-Bernama.

Friday, January 9, 2015

Penjawat Awam Terjejas Banjir Diberi Kelonggaran Ambil Cuti Bencana

DUNGUN, 9 Jan (Bernama) -- Penjawat awam yang tidak dapat memulakan tugas apabila turut terperangkap di kawasan dilanda banjir baru-baru ini diberi kelonggaran untuk mengambil cuti bencana.

Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal berkata pihaknya sedang mengemas kini bilangan sebenar penjawat awam yang menghadapi masalah itu.

"Kita maklum ada ramai penjawat awam yang pulang ke kampung untuk bercuti dan tidak boleh kembali bertugas mengikut jadual kerana laluan ditenggelami air, malah ada yang turut menjadi mangsa banjir.

"Mereka perlu memaklumkan keadaan itu kepada ketua jabatan dan perlu bertugas seperti biasa apabila keadaan mengizinkan, manakala bagi penjawat awam yang menyertai misi bantuan kemanusiaan pasca banjir, JPA memberikan mereka cuti khas," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan dan cek faedah terbitan kepada keluarga Allahyarham Mohmad Yusof Awang Noh di Kampung Durian Mentangau di sini hari ini.

Di majlis itu, Mohamad Zabidi turut menyampaikan bantuan kewangan dan barangan keperluan asas hasil sumbangan sukarelawan JPA4U kepada keluarga tersebut.

Allahyarham Mohmad Yusof yang bekerja sebagai tukang kebun di Sekolah Kebangsaan Durian Mentangau meninggal dunia pada 1 Jan lalu ketika sedang membersihkan sekolah yang terjejas banjir akhir tahun lepas.

Dalam rangka lawatan kerjanya ke Terengganu hari ini, Mohamad Zabidi turut menziarahi dua keluarga penjawat awam yang terkorban ketika bencana banjir baru-baru ini iaitu Allahyarhamah Norhayati Sulong di Taman Geliga Intan dan Allahyarham Mat Zaik Mohd Yusof di Felda Seberang Tayor, Kemaman.

JPA melalui Pasukan Intervensi Krisis Malaysia (MCIT) turut menyediakan pegawai psikologi untuk memberi khidmat kaunseling di kalangan mangsa, keluarga dan petugas yang menghadapi bencana banjir, katanya.

-Bernama.

Monday, January 5, 2015

Bonus Kakitangan Awam Diawalkan, Pembayaran Pada 15 Jan

KUALA LUMPUR, 5 Jan (Bernama) -- Kerajaan bersetuju pembayaran bonus sebanyak setengah bulan gaji atau minimum RM500 kepada penjawat awam dan bantuan khas RM250 kepada pesara kerajaan diawalkan iaitu pada 15 Jan ini.

Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah berkata keputusan itu berikutan kerajaan prihatin dan memahami situasi semasa terutama sekali penjawat awam yang terlibat dalam bencana banjir.

"Kerajaan berharap pemberian ini (pembayaran awal bonus) dapat meringankan beban penjawat awam akibat banjir serta membantu persediaan persekolahan anak-anak," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Banjir yang berlaku di beberapa negeri sejak pertengahan Disember lalu mengakibatkan ribuan penduduk terpaksa dipindahkan dengan angka semasa menunjukkan sejumlah 41,421 orang masih ditempatkan di pusat-pusat pemindahan.

Dalam pembentangan Bajet 2015 pada Oktober tahun lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pemberian bonus itu yang sebelum ini dijadualkan dibayar kepada penjawat awam bersekali dengan gaji bulan Januari 2015.

-Bernama.

Cuepacs Cadang Potongan Gaji Penjawat Awam Untuk Bantu Mangsa Banjir

KOTA BAHARU, 4 Jan (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) akan mencadangkan kepada kerajaan agar setiap penjawat awam menyumbang melalui potongan gaji bulanan untuk membantu mangsa di negeri yang dilanda banjir.

Presiden Cuepacs, Datuk Azih Muda berkata, cadangan itu akan dikemukakan kepada Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dalam tempoh terdekat supaya penjawat awam boleh menyumbang pada kadar yang munasabah.

"Kalau boleh sumbangan minima RM5 tetapi kalau lebih daripada itu, kita amat alu-alukan," katanya kepada Bernama selepas menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir negeri ini, di Majlis Perbandaran Kota Baharu-Bandar Raya Islam di sini Ahad.

Azih berkata Cuepacs berharap potongan gaji itu dapat dilakukan pada bulan ini memandangkan kaedah itu adalah mekanisme terbaik dalam mengumpul dana bagi meringankan beban mangsa banjir.

Beliau berkata pihaknya juga meminta kerajaan menyediakan peruntukan khas untuk membeli peralatan sekolah termasuk pakaian seragam kepada pelajar yang terjejas dengan banjir.

"Masih ramai yang tiada baju sekolah, yang mana beli awal memang sudah rosak, nak beli untuk kali kedua duit pun sudah habis," katanya yang turut mencadangkan pembayaran yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) ditangguhkan.

-Bernama.