Monday, September 10, 2012

Jangan simpan pekerja malas

KOTA BHARU 9 Sept. - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menyarankan agensi dan jabatan kerajaan tidak 'menyimpan' penjawat awam yang dikatakan berdepan dengan masalah suka ponteng kerja.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, dianggarkan terdapat antara 15,000 hingga 18,000 kakitangan awam berdepan masalah tersebut dan mereka sukar dikenakan tindakan berdasarkan peraturan sedia ada.

Menurutnya, walaupun jumlah mereka kecil berbanding sejumlah lebih 1.2 juta penjawat awam, tindakan pekerja terbabit yang datang bekerja dan punch card tetapi bersikap 'sekejap ada, sekejap tidak ada' boleh mendatangkan masalah kepada majikan.

Justeru, katanya, tindakan perlu diambil terhadap pekerja terbabit bagi memastikan sektor awam yang kini dalam proses transformasi dan penambahbaikan dapat memberikan perkhidmatan yang cekap dan berkesan kepada rakyat.

"Kita tidak mahu buang mereka secara drastik kerana nanti teraniaya pula sebab mereka sudah mempunyai keluarga dan ada hutang. Jadi, kalau boleh dipanggil, hantar kursus motivasi. Kalau tidak boleh juga, dicadang suruh dia bersara awal.

"Jika degil dan tidak mahu juga serta melakukan kesalahan yang sama sampai jabatan pun susah, elok dia dikenakan tindakan tatatertib,'' katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Bersama Pembantu Pertanian Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) dan sambutan Aidilfitri di sini hari ini.

Majlis itu dirasmikan oleh Pengurus Besar KADA, Ibrahim Mat.

Menurut Omar, semua pihak mahu penjawat awam yang efisien kerana hanya dengan itu kehadiran mereka dapat dirasai dan diperlukan lebih-lebih lagi tempoh perkhidmatan telah dilanjutkan sehingga usia 60 tahun.

"CUEPACS juga tidak mahu dituduh bersubahat dengan orang seperti itu," katanya

Beliau berkata, sikap dan masalah kakitangan tersebut sebenarnya boleh diatasi dengan menghantar mereka berkursus, namun apa yang berlaku ialah pihak majikan kerap bersikap tidak ambil kisah terhadap pekerja terbabit.

Sehubungan itu, katanya, dalam 'roadshow' CUEPACS, pihaknya telah meminta jabatan dan agensi kerajaan supaya jangan menyimpan penjawat awam seperti itu.

Dalam pada itu, Omar memberitahu, tidak ada penjawat awam yang dilaporkan terlibat dalam tindakan memijak gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan mengibarkan bendera selain Jalur Gemilang semasa Himpunan Janji Bersih pada malam 30 Ogos lalu.

-utusan/maa.

No comments: