Wednesday, December 12, 2012

'Mohon kontrak disambung'

Kuala Lumpur: Hampir 50,000 penjawat awam kontrak berkemungkinan terpaksa mencari pekerjaan lain berikutan belum menerima surat penyambungan perkhidmatan yang bakal tamat 31 Disember ini.

Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) yang meminta kerajaan melanjutkan kontrak berkenaan, menjelaskan kebanyakan kakitangan terbabit sudah berkhidmat lebih 10 tahun. 


Sara keluarga 

Presidennya, Datuk Omar Osman, berkata perkhidmatan kakitangan kumpulan sokongan dan pengurusan terbabit perlu diteruskan kerana kebanyakan mereka menanggung keluarga. 

“Kami berharap semua agensi, jabatan dan jabatan berkanun mengambil semula staf kontrak yang sudah berkhidmat ini. 
“Ia amat penting, kerana ada antara mereka memerlukan mata pencarian untuk meneruskan kehidupan,” katanya dalam satu sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi CUEPACS, di sini, semalam.

Hadir sama, Setiausaha Agung Cuepacs, Lok Yim Pheng bersama 37 anggota kesatuan. 

Mohon jasa baik PM 

Katanya, beliau turut memohon jasa baik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menimbang masalah itu kerana ia membabitkan jumlah yang ramai. 

“Selain itu, dalam isu penamatan kontrak juga, nasib sama turut dihadapi lebih 3,000 guru tadika dan pembantu mereka yang kini bertugas di bawah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN). 

“Kontrak mereka tamat 31 Disember ini,” katanya.

-berita harian/maa.

No comments: