Saturday, November 2, 2013

Berita gembira buat 613,782 penjawat awam


PUTRAJAYA 1 Nov. - Lebih 600,000 penjawat awam akan mendapat faedah perkhidmatan baharu berikutan langkah kerajaan melaksanakan penambahbaikan kepada 81 skim perkhidmatan awam sedia ada.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal berkata, antara faedahnya ialah kenaikan taraf skim perkhidmatan, pemberian dua tambahan kenaikan mata gaji dan penggabungan serta pindaan nama beberapa skim perkhidmatan.

“Serentak itu, 613,782 penyandang skim perkhidmatan awam terbabit akan diberikan surat tawaran melalui jabatan masing-masing dalam bulan ini.

“Mereka diberikan tempoh selama sebulan selepas menerima surat tawaran itu untuk membuat keputusan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) di sini hari ini.

Yang turut hadir Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman.

Langkah penambahbaikan itu selaras dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa pembentangan Bajet 2014 di Parlimen pada bulan lalu.

Berikutan penambahbaikan itu, kerajaan berjaya mengurangkan bilangan skim perkhidmatan sedia ada daripada 274 kepada 249 mulai 1 Januari depan.

Mohamad Zabidi berkata, JPA akan memaklumkan pelaksanaan tersebut kepada Ketua Setiausaha kementerian dan ketua jabatan yang berkaitan dalam tempoh terdekat ini.

“Kita juga akan mengadakan perjumpaan dengan semua bahagian sumber manusia kementerian dan jabatan untuk menerangkan langkah penambahbaikan itu," katanya.
-utusan.

1 comment:

Anonymous said...

Mohon maklumkan jika ada jawatan dalam Tourism Malaysia yng termasuk dalam 613,782 jawatan tersebut.