Thursday, April 17, 2014

Pemantauan Ke Atas Pegawai Awam Yang Menjalankan Perniagaan Dalam Talian


Rujukan : LPPM/A(1)/39.2                                                             Tarikh : 14 April 2014

MAKLUMAN UNTUK PEGAWAI/KAKITANGAN
TOURISM MALAYSIA

Salam Sejahtera Y. Bhg. Dato’/Datuk/Datin/Tuan/Puan yang dihormati……

Dengan hormatnya menarik perhatian Y. Bhg. Dato’/Datuk/Datin/Tuan/Puan ke atas pegawai awam yang menjalankan perniagaan menggunakan kemudahan talian dan  media sosial di internet.

2. Adalah dimaklumkan bahawa Y.Bhg. Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia melalui surat edaran JPA.BK(S)223/8/2-3 Jld. 4 (56) bertarikh 07 Jun 2013 dan JPA.BK(S)201/8(29) bertarikh 06 Mac 2014 telah meminta semua Ketua Jabatan membuat pemantauan ke atas pegawai/kakitangan masing-masing yang di dapati menggunakan media sosial untuk menjalankan perniagaan sama ada penjualan produk atau perkhidmatan pada waktu pejabat kerana perbuatan tersebut telah melanggari tanggungjawab pegawai awam dalam memelihara integriti perkhidmatan awam.   Keadaan ini boleh menimbulkan pelbagai persepsi dan boleh menjejaskan imej pegawai awam dan Kerajaan.

3. Pada dasarnya, pegawai awam yang terlibat dengan perniagaan melalui media sosial atau dalam talian adalah disifatkan melakukan “pekerjaan luar” .  Di bawah Peraturan 4 , Bahagian II – Tatakelakuan [Jadual Kedua Seksyen 5 ] ( Akta Badan-Badan Berkanun-Tatatertib dan Surcaj 2000 ( Akta 605 ) dan  Peraturan 5, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam ( Kelakuan dan Tatatertib ) 1993 Perintah Am Bab D, “….mana-mana pegawai awam yang bercadang untuk melakukan pekerjaan luar hendaklah dengan terlebih dahulu mendapatkan kebenaran bertulis daripada Ketua Jabatannya.”

4. Ketua Jabatan hendaklah memberi perhatian semasa menimbang permohonan pegawai awam berkenaan dan hendaklah memastikan pekerjaan itu :-

(a) tidak dilakukan dalam waktu pejabat dan semasa pegawai itu dikehendaki melaksanakan tugas rasminya;

(b) tidak dengan apa-apa cara cenderung menjejaskan kebergunaan pegawai itu sebagai seorang pegawai perkhidmatan awam/badan berkanun;  dan

(c) tidak dengan apa-apa cara cenderung bercanggah dengan kepentingan perkhidmatan awam/badan berkanun atau menjadi tidak selaras dengan kedudukan pegawai itu sebagai perkhidmatan awam/badan berkanun.

5. Setiap pegawai awam bertanggungjawab untuk memelihara integriti dan imej perkhidmatan awam sepanjang masa serta berusaha meningkatkan produktiviti dan hasil kerja yang cemerlang.    Sehubungan dengan itu, semua Ketua Jabatan/Bahagian/Pejabat Negeri dan Luar Negeri Tourism Malaysia adalah diminta untuk memberi perhatian serius terhadap perkara ini dan pemantauan hendaklah dibuat dari semasa ke semasa serta tindakan tatatertib yang sewajarnya perlu diambil sekiranya berlaku sebarang pelanggaran terhadap arahan ini.


Sekian dimaklumkan. Terima Kasih.

( UNIT PERHUBUNGAN PEKERJA )
Bahagian Sumber Manusia & Pentadbiran
Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia ( Tourism Malaysia )

No comments: