Friday, November 28, 2014

Setiap Penjawat Perlu Faham Dengan Jelas Transformasi Perkhidmatan Awam - KP JPA

KANGAR, 24 Nov -- Setiap penjawat awam perlu memahami dengan jelas transformasi sektor awam supaya matlamat yang ditetapkan tercapai, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (JPA) Tan Sri Mohd Zabidi Zainal.

Beliau berkata transformasi juga untuk meningkatkan integriti, keberkesanan dan kelicinan sistem penyampaian, dinamik dan berjiwa rakyat serta menambah nilai perkhidmatan awam.

Dalam pada itu, Mohamad Zabidi berkata, "Isu-isu membabitkan agensi-agensi tertentu ibarat 'nila setitik rosak susu sebelanga' telah merosakkan seluruh perkhidmatan awam.

Sebagai contoh, katanya, isu tanah runtuh dan pendatang asing tanpa izin di Cameron Highlands telah menyebabkan persepsi negatif terhadap perkhidmatan awam di kalangan rakyat timbul.

"Persepsi negatif ini perlu diubah dengan memenuhi kepercayaan dan harapan rakyat terhadap perkhidmatan awam sebagai tiang seri kerajaan yang memerintah," katanya.

Mohamad Zabidi berucap merasmikan program 'Semarakkan Transformasi dan Jelajah #myGST4U' peringkat negeri Perlis di Dewan 2020 di sini, Isnin.

Setiausaha kerajaan Perlis, Romli Dai serta wakil CUEPACS dan agensi-agensi kerajaan persekutuan dan negeri turut hadir.

Sebanyak 20 booth mempamerkan perkhidmatan kerajaan termasuk mengenai Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP).

"Jabatan-jabatan kerajaan hendaklah bertindak sebagai satu pasukan. Kena buat koordinasi, tidak boleh bertindak sendiri, malah pemikiran juga kena berubah. Inilah transformasi sebagai satu pasukan.

"Apabila pendekatan ini dilaksanakan, masalah tidak cukup anggota tidak akan berlaku. Kita juga mesti responsif dan memberi yang terbaik kepada rakyat," tambahnya.

Menurutnya program tersebut bagi membolehkan JPA dan agensi-agensi lain menyebar luas agenda dan dasar-dasar kerajaan mengenai CBP serta menjawab keraguan atau pertanyaan mengenainya.

Mohamad Zabidi berkata program itu yang telah dibuat di Perak, Kedah dan Sabah menunjukkan kefahaman penjawat awam semakin meningkat berdasarkan maklum balas positif hasil sesi soal jawab, forum dan pameran yang diadakan.

"Sekiranya penjawat awam boleh bertindak sebagai jurucakap dengan menerangkan kepada ahli keluarga dan rakan-rakan mereka, akan berlaku kesan berganda yang memberi impak besar mengenai dasar yang dilaksanakan kerajaan terutama berkaitan CBP," katanya.

Beliau menambah Perlis adalah negeri pertama melaksanakan Lab Transformasi dengan kerjasama pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri bertujuan memberi pendedahan mengenai transformasi perkhidmatan awam kepada semua penjawat awam.

Katanya, program sama akan diadakan di Johor Baharu pada 2 Dis depan.

-Bernama.

No comments: