Tuesday, September 29, 2015

Penjawat Awam Perlu Jana Idea Inovasi Untuk Kualiti Perkhidmatan - Entulu

PUTRAJAYA, 29 Sept (Bernama) -- Penjawat awam perlu berkongsi, menjana dan menghasilkan idea inovasi dan kreatif bagi menambah baik kualiti perkhidmatan awam serta menjadikannya sebagai titik tambah dalam mencapai visi transformasi negara, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Joseph Entulu Belaun.

Beliau berkata ketua jabatan pula perlu lebih kreatif dalam menyediakan pelbagai platform untuk menjana idea baharu yang sesuai dengan semua lapisan penjawat awam supaya mereka secara sukarela mengusahakan sesuatu pembaharuan dalam memudahkan tugas masing-masing.

Katanya, antara pendekatan yang boleh diusahakan ketua jabatan ialah mengadakan sesi percambahan idea, memberi insentif dalam bentuk kewangan dan bukan kewangan serta menyediakan peluang kepada warga organisasi untuk menyertai latihan yang relevan bagi mempertingkatkan kemahiran.

"Dengan ini, ekosistem inovasi yang positif dapat diwujudkan dengan lebih berkesan di tempat kerja," katanya ketika berucap pada majlis Hari Inovasi dan Kecemerlangan Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini, Selasa.

Sambutan Hari Inovasi dan Kecemerlangan kali ini memberi tumpuan kepada usaha menyemarakkan pembudayaan inovasi dan kecemerlangan dalam kalangan warga JPM ke arah menjadikan perkhidmatan awam Malaysia disegani di persada antarabangsa selaras dengan tema, 'Kecemerlangan Inovasi, Merentas Globalisasi.'

Anugerah Jabatan Paling Inovatif dimenangi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan yang berjaya menubuhkan pusat rawatan katarak di Selayang yang berjaya mengurangkan tempoh menunggu pembedahan untuk pesakit katarak di Hospital Selayang dari enam bulan kepada dua minggu.

Sementara seorang pemenang Pingat Perkhidmatan Cemerlang, S. Karunanithy, 48 dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berkata, pingat berkenaan akan memberikan beliau lebih motivasi untuk menyumbang kepada program kemasyarakatan.

Hari Inovasi dan Kecemerlangan JPM 2015 dianjurkan untuk memberi pengiktirafan kepada jabatan dan agensi di bawah JPM yang mencapai kecemerlangan dalam pelbagai bidang termasuk pengurusan, penghayatan inovasi, sosial serta sukan.

-Bernama.

No comments: