Friday, November 6, 2015

Sektor Pelancongan Sumbang RM151.7 Bilion Kepada KDNK

KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- Sektor pelancongan menyumbang pendapatan RM151.7 bilion kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada tahun lepas, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

Menurutnya jumlah tersebut adalah Sumbangan Nilai Ditambah Kasar Industri Pelancongan (NDKIP), yang didorong oleh industri perdagangan runcit, makanan & minuman dan penginapan.

Menurutnya pada 2014, Malaysia menerima ketibaan seramai 27.4 juta pelancong.

"Perbelanjaan Pelancongan Inbound pada tahun lepas meningkat kepada RM80.1 bilion berbanding 2013, iaitu RM73.4 bilion.

"Perbelanjaan Pelancongan Domestik mencatatkan RM55.5 bilion tahun lalu manakala Perbelanjaan Pelancongan Outbound pula RM32 bilion," menurutnya.

Jumlah itu adalah antara isi kandungan laporan statistik dan graf Akaun Satelit Pelancongan 2010-2014, yang dikeluarkan oleh jabatan itu dalam satu kenyataan Jumaat.

Menurut jabatan itu, pada tahun lepas peluang pekerjaan ditawarkan kepada 2.6 juta orang bagi guna tenaga dalam industri pelancongan dengan sektor perkhidmatan penyediaan makanan dan minuman serta perdagangan runcit merekodkan guna tenaga tertinggi.

-Bernama.

No comments: