Thursday, January 28, 2016

Pengubahsuaian Bajet 2016 Hadiah Istimewa Untuk Penjawat Awam - Cuepacs

KUALA LUMPUR, 28 Jan (Bernama) -- Pengubahsuaian Bajet 2016 amat melegakan penjawat awam ketika ekonomi negara dalam keadaan sangat mencabar ketika ini, kata Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs).

Presiden Cuepacs Datuk Azih Muda berkata pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan pengubahsuaian Bajet 2016 hari ini, menyangkal segala dakwaan kononnya kerajaan akan memotong gaji dan elaun penjawat awam.

"Janji penambahbaikan gaji saraan perkhidmatan dikekalkan, tiada pemotongan elaun, penamatan kontrak dan gaji minimum...apa yang telah diluluskan dilaksanakan semua, jadi menolak segala khabar angin sebelum ini.

"Jarang kita temui mana-mana negara dalam keadaan ekonomi sebegini, kerajaan masih lagi mempertahan dan mengutamakan kebajikan setiap penjawat awam...ini harapan tinggi diberikan kerajaan kepada mereka," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Justeru, Azih mahu penjawat awam berusaha meningkatkan produktiviti kerja masing-masing supaya dapat memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan negara.

-Bernama.

No comments: